eBay menghubungkan penjual dengan 136 juta pembeli aktif di seluruh dunia, sekali gus menjadikan platform ini pasaran dalam talian ke-10 terbesar di dunia. Pada suku keempat 2025 sahaja, platform ini mencatat jumlah nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak $79.6 bilion.
Bagi pemilik kedai Shopify, eBay boleh menjadi saluran jualan tambahan. Anda boleh menawarkan produk sedia ada kepada khalayak baharu sambil mengurus katalog, inventori dan pesanan dari satu tempat.
Panduan ini menerangkan cara berjualan di eBay, termasuk menyediakan akaun penjual, menghubungkan akaun penjual dengan Shopify, mencipta penyenaraian produk dan mengurus pesanan.
Perkara yang diperlukan untuk mula berjualan di eBay
Untuk mula berjualan di eBay, anda memerlukan:
- Akaun eBay. Cipta akaun eBay dan pilih jenis akaun yang sesuai dengan aktiviti jualan anda. Penjual baharu bermula dengan had penyenaraian yang akan meningkat apabila anda membina rekod jualan dan menerima maklum balas positif.
- Butiran akaun bank. eBay membuat pembayaran melalui deposit terus. Pautkan akaun bank ke akaun penjual eBay untuk menerima bayaran.
- Kad pengenalan yang sah dan maklumat cukai. eBay mungkin meminta pengesahan identiti serta maklumat cukai bergantung pada lokasi dan jenis perniagaan anda.
- Maklumat produk. Sediakan tajuk produk, penerangan, harga dan foto sebelum anda menyenaraikan produk di eBay. Jika ingin menyenaraikan semula produk, gunakan ciri “sell similar” di eBay untuk menyalin penyenaraian sedia ada dan mengemas kini butiran tanpa perlu mencipta penyenaraian baharu dari awal.
- Pelan penghantaran. Tentukan kaedah pemenuhan pesanan, sama ada melalui pemenuhan sendiri, penyedia logistik pihak ketiga atau perniagaan dropship. Kemudian, tetapkan tempoh dan kos penghantaran dengan jelas.
Tip: Integrasi eBay untuk Shopify menyegerakkan penyenaraian, tahap inventori dan data pesanan antara kedua-dua platform. Sebelum menghubungkan kedua-duanya, pastikan tajuk produk, penerangan, harga dan imej dalam Shopify telah dikemas kini.
7 langkah cara berjualan di eBay pada 2026
- Pilih jenis akaun penjual
- Sediakan akaun penjual eBay
- Cipta penyenaraian pertama
- Tetapkan harga yang kompetitif
- Sediakan penghantaran dan pemulangan
- Fahami pembayaran dan cukai eBay
- Hubungkan eBay dengan Shopify
Berikut ialah cara berjualan di eBay, daripada menyediakan akaun penjual hingga menghubungkan akaun penjual dengan kedai Shopify anda:
1. Pilih jenis akaun penjual
Jika anda baharu dalam berjualan di eBay, pilih jenis akaun yang sesuai sebagai langkah pertama:
- Akaun peribadi sesuai untuk penjual sambilan atau yang hanya menjual sekali-sekala. Penyenaraian produk adalah percuma, tetapi had jualan lebih rendah dan pilihan penjenamaan adalah terhad.
- Akaun perniagaan sesuai untuk penjual yang menjual dalam jumlah yang besar, menggunakan nama jenama atau mengendalikan kedai Shopify. Akaun ini menawarkan penjenamaan tersuai, paparan nama perniagaan serta akses kepada alat penjual lanjutan.
| Akaun peribadi | Akaun perniagaan | |
|---|---|---|
| Sesuai untuk | Penjual sambilan atau yang menjual sekali-sekala | Penjual berpengalaman, jenama dan peniaga Shopify |
| Kos | Percuma | Bermula $4.95/bulan (kira-kira RM20.80) |
| Keperluan persediaan | Maklumat cukai peribadi | ID cukai perniagaan dan dokumen sokongan |
| Had jualan dan yuran | 250 penyenaraian percuma sebulan. Selepas itu, yuran 35¢ (kira-kira RM1.50) dikenakan bagi setiap penyenaraian. Setiap pesanan turut dikenakan yuran nilai akhir (%) dan yuran pemprosesan bagi setiap pesanan. | Sehingga 100,000 penyenaraian sebulan untuk penjual perusahaan. Penyenaraian tambahan dikenakan yuran kemasukan sebanyak 5¢ (kira-kira RM0.20) setiap penyenaraian. |
2. Sediakan akaun penjual eBay
Untuk mencipta akaun penjual eBay, sahkan e-mel dengan mengklik pautan pengesahan yang dihantar oleh eBay selepas pendaftaran.
Seterusnya, jawab beberapa soalan daripada eBay. Platform ini akan meminta maklumat seperti jenis perniagaan anda (contohnya pemilikan tunggal, Sdn. Bhd. atau badan bukan untung), alamat perniagaan, maklumat untuk dihubungi, butiran pihak berkepentingan serta maklumat akaun bank.
3. Cipta penyenaraian pertama
Untuk menyenaraikan produk di eBay, pilih “List an item” daripada menu juntai bawah Seller Hub Listings. Kemudian, tambahkan maklumat berikut:
- Nama atau pengecam produk
- Foto dan video produk
- Penerangan penyenaraian
- Kategori dan butiran produk
- Kuantiti, harga, berat dan pilihan lain
- Tetapan pakej dan maklumat penghantaran
- Spesifikasi dan variasi produk
- Keadaan produk
- Harga
Sertakan kata kunci yang berkaitan, termasuk maklumat seperti jenama, model, saiz, warna dan keadaan produk. Elakkan penggunaan perkataan yang tidak diperlukan serta tanda baca yang berlebihan. Sebagai contoh, gunakan “Nike Air Max 270 Men’s Running Shoes Size 9 Black/White New” berbanding “Great deal!! Amazing shoes size 9.”
Pilih “List it” untuk menerbitkan penyenaraian.
Tip: Gunakan aplikasi Marketplace Connect Shopify untuk menyegerakkan penyenaraian produk, inventori dan pesanan antara Shopify dengan eBay secara automatik tanpa perlu membuat suntingan secara manual. Anda juga boleh menggunakan Marketplace Connect untuk menyegerakkan penyenaraian kedai Shopify anda dengan Amazon, Walmart dan Target Plus.
4. Tetapkan harga yang kompetitif
Untuk menentukan julat harga yang sesuai, semak penyenaraian aktif dan penyenaraian yang telah terjual di eBay bagi produk yang setanding. Anda juga boleh menggunakan alat Product Research eBay, yang tersedia dalam Seller Hub, untuk menganalisis trend harga dan data permintaan.
Perbandingan Lelong vs. Beli Sekarang
Pilih salah satu daripada dua format harga berikut:
| Lelong | Beli Sekarang | |
|---|---|---|
| Cara berfungsi | Pembeli membuat bidaan, dan pembida tertinggi akan menang apabila tempoh lelongan tamat | Penjual menetapkan harga tetap dan pembeli boleh membeli produk serta-merta |
| Tempoh penyenaraian | 1, 3, 5, 7 atau 10 hari | Diperbaharui secara automatik setiap bulan sehingga produk dijual, penyenaraian ditamatkan atau akaun dibatalkan |
| Potensi harga | Boleh melebihi jangkaan hasil persaingan bidaan | Terhad kepada harga yang ditetapkan |
| Kelajuan jualan | Tetap: Anda perlu menunggu sehingga tempoh lelongan berakhir | Boleh berlaku dengan pantas: Berpotensi untuk jualan serta-merta |
| Risiko menjual pada harga terlalu rendah | Ya, jika anda tidak menetapkan harga rizab | Tidak |
Tip: Jika anda menyegerakkan inventori daripada Shopify ke eBay menggunakan Marketplace Connect, penyenaraian Beli Sekarang membantu memastikan harga produk kekal konsisten pada kedua-dua platform.
5. Sediakan penghantaran dan pemulangan
eBay mengira kadar penghantaran berdasarkan berat dan dimensi bungkusan, serta lokasi pembeli. Timbang dan ukur bungkusan anda untuk mendapatkan anggaran kos penghantaran yang lebih tepat.
“Produk yang kecil dan ringan lazimnya lebih mudah dihantar, manakala produk yang mempunyai kadar pemulangan yang rendah kurang berkemungkinan menimbulkan masalah dengan pelanggan,” kata Kristin Stump, pengurus pemasaran di MyEnamelPins.
Pilih salah satu daripada tiga pilihan penghantaran berikut:
- Cetak label penghantaran terus melalui eBay pada kadar penghantaran yang telah dirundingkan. Serahkan pesanan kepada syarikat penghantaran yang anda gunakan. Anda boleh mengenakan caj penghantaran kepada pelanggan atau menawarkan penghantaran percuma dengan memilih tetapan “Seller pays.”
- Tetapkan kadar penghantaran tetap. eBay menawarkan pilihan kadar penghantaran tetap, namun ciri ini hanya tersedia untuk penjual di AS dan beberapa lokasi terpilih.
- Tawarkan pengambilan sendiri. Pilih “No shipping: Local pickup only” semasa mencipta penyenaraian.
Jika anda layak, eBay akan mendaftarkan anda secara automatik dalam program Penghantaran Antarabangsa. Apabila anda menerima pesanan daripada pembeli di luar negara, anda hanya perlu menghantar bungkusan ke hab domestik eBay. Selepas itu, eBay akan menguruskan penghantaran antarabangsa, urusan kastam, duti, penjejakan dan pemulangan, serta menanggung kos penghantaran antarabangsa, duti dan cukai.
eBay menawarkan beberapa pilihan pemulangan standard:
- Tiada pemulangan
- Pemulangan dalam tempoh 30 hari (percuma atau ditanggung pembeli)
- Pemulangan dalam tempoh 60 hari (percuma atau ditanggung pembeli)
Tetapkan kaedah penghantaran bagi pemulangan serta kaedah bayaran balik dalam tetapan akaun Seller Hub anda.
Perniagaan dropship di eBay dibenarkan jika anda mempunyai perjanjian dengan pembekal borong. Selain itu, eBay tidak membenarkan anda menjual produk yang belum berada dalam simpanan anda.
Tip: eBay mengambil kira tempoh pengendalian apabila menentukan kedudukan penyenaraian dalam hasil carian dan menganggarkan masa penghantaran. Oleh itu, tetapkan tempoh pengendalian yang realistik dan mampu anda penuhi.

6. Fahami bayaran dan cukai eBay
eBay menguruskan pembayaran secara terus dan menawarkan pelbagai kaedah pembayaran kepada pembeli, bergantung pada faktor seperti harga produk, lokasi pembeli dan kategori penyenaraian. Antara kaedah pembayaran yang disokong termasuk:
- Apple Pay dan Google Pay
- Kad kredit dan kad debit
- PayPal dan PayPal Credit
- Klarna, eBay Bucks, kad hadiah dan baucar
- Bayaran semasa pengambilan
- Dana yang boleh digunakan
Dalam keadaan tertentu, eBay juga menerima pindahan bank, cek, pindahan kawat dan kiriman wang.
Tempoh penerimaan bayaran
Selepas jualan selesai, eBay akan menolak yuran jualan yang berkaitan sebelum memindahkan baki bayaran ke akaun bank yang dipautkan kepada akaun anda. Anda boleh menetapkan jadual pembayaran sama ada secara harian, mingguan, dua minggu sekali atau bulanan.
Kebiasaannya, eBay akan memindahkan dana dalam tempoh satu hingga tiga hari bekerja selepas pembeli membuat pembayaran. Walau bagaimanapun, bagi akaun penjual baharu, bayaran mungkin ditahan sehingga 31 hari.
Keperluan pelaporan cukai
Jika anda mencatat jualan melebihi $20,000 dan lebih daripada 200 transaksi dalam satu tahun kalendar, eBay akan mengeluarkan Borang 1099-K untuk melaporkan jumlah pembayaran kasar.
Menyimpan rekod yang lengkap bagi jualan, perbelanjaan dan pemulangan serta mendapatkan nasihat daripada pakar cukai dapat membantu anda memahami tanggungjawab cukai anda. Jika IRS mengklasifikasikan aktiviti anda sebagai perniagaan dan bukan hobi, anda mungkin layak menuntut potongan bagi perbelanjaan seperti kos penghantaran, pembungkusan dan yuran eBay. Dapatkan nasihat daripada pakar cukai berdasarkan keadaan anda.
Perhatian: Keperluan ini terpakai kepada sistem percukaian Amerika Syarikat. Jika anda beroperasi di Malaysia, rujuk Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) atau dapatkan nasihat daripada pakar cukai untuk memahami kewajipan cukai yang berkaitan.
7. Hubungkan eBay dengan Shopify
Gunakan Shopify Marketplace Connect untuk menghubungkan katalog Shopify anda dengan eBay. Aplikasi ini menyegerakkan penyenaraian produk, inventori dan pesanan antara kedua-dua platform. Oleh itu, sebarang perubahan yang anda lakukan di Shopify akan dikemas kini secara automatik pada penyenaraian eBay anda.
Produk paling laris di eBay pada 2026
Anda boleh menyenaraikan produk baharu, terpakai atau diperbaharui dalam pelbagai kategori di eBay.
Berikut ialah kategori produk utama eBay berserta contoh produk:
- Automotif: Alat ganti kereta dan motosikal, aksesori, lampu dan komponen prestasi.
- Elektronik: Telefon bimbit, komputer, kamera dan permainan video.
- Barang koleksi dan karya seni: Memorabilia sukan, patung koleksi, barang kemas vintaj dan bekalan kraf.
- Rumah dan taman: Perkakas dapur, produk untuk ruang luar dan barangan penambahbaikan rumah.
- Pakaian, kasut dan aksesori: Pakaian, kasut sukan, kot, jaket dan beg tangan.
- Mainan dan hobi: Permainan kad koleksi, patung aksi dan kenderaan mainan.
- Barangan sukan: Peralatan golf, memburu, berbasikal, memancing dan sukan musim sejuk.
- Buku, filem dan muzik: Buku dan e-pembaca, DVD, CD, alat muzik dan peralatan audio.
- Kesihatan dan kecantikan: Wangian, suplemen, produk penjagaan kulit dan produk kesihatan. Semak dasar barang terhad eBay bagi kategori ini sebelum membuat penyenaraian kerana sesetengah produk memerlukan kelulusan.
- Perniagaan dan perindustrian: Bekalan penjagaan kesihatan, peralatan pembuatan dan jentera.
- Barang kemas dan jam tangan: Cincin, gelang, rantai, jam tangan dan aksesori jam tangan.
- Keperluan bayi: Kereta sorong bayi, lampin, peralatan penyusuan dan mainan.
- Bekalan haiwan peliharaan: Sangkar, akuarium dan kandang haiwan kecil.
- Tiket dan perjalanan: Bagasi, tiket serta pengalaman pelancongan.
Pecahan yuran jualan eBay
eBay mengenakan yuran kemasukan apabila anda mencipta penyenaraian dan yuran nilai akhir apabila produk berjaya dijual:
- Yuran kemasukan (yuran penyenaraian): Semua penjual eBay menerima 250 penyenaraian percuma sebulan. Selepas had tersebut, eBay akan mengenakan yuran tambahan bagi setiap penyenaraian, tanpa mengira sama ada produk itu terjual atau tidak.
- Yuran nilai akhir: Bergantung pada kategori produk, eBay akan mengenakan 2.5% hingga 15.3% daripada jumlah nilai jualan, ditambah yuran tetap bagi setiap pesanan (kebiasaannya 30¢ (kira-kira RM1.25) untuk jualan bawah $10 atau 40¢ (kira-kira RM1.70) untuk jualan melebihi $10).
Pakej langganan eBay Store menentukan jumlah penyenaraian percuma dan yuran yang dikenakan:
| Pakej eBay Store | Yuran bulanan | Penyenaraian harga tetap percuma/bulan | Yuran bagi setiap penyenaraian harga tetap tambahan |
|---|---|---|---|
| Starter | Bermula dari $4.95 (kira-kira RM20.80) | 250 | 30¢ (kira-kira RM1.25) |
| Basic | Bermula dari $21.95 (kira-kira RM92.20) | 1,000 | 25¢ (kira-kira RM1.05) |
| Premium | Bermula dari $59.95 (kira-kira RM251.80) | 10,000 | 10¢ (kira-kira RM0.40) |
| Anchor | Bermula dari $299.95 (kira-kira RM1,259.80) | 25,000 | 5¢ (kira-kira RM0.20) |
| Enterprise | Bermula dari $2,999.95 (kira-kira RM12,599.80) | 100,000 | 5¢ (kira-kira RM0.20) |
Tip: Sebelum membuat penyenaraian, semak yuran kemasukan dan yuran nilai akhir bagi kategori produk anda di Seller Center eBay.
Peringkat penjual eBay dan reputasi anda
eBay menilai prestasi penjual setiap bulan berdasarkan bilangan kes yang ditutup tanpa penyelesaian oleh penjual (<0.3% daripada jumlah transaksi) dan kadar kecacatan transaksi (<2%).
Data ini digunakan untuk meletakkan penjual pada salah satu daripada tiga peringkat:
- Di Bawah Standard. Apabila eBay mendapati prestasi anda di bawah standard minimum, platform ini mungkin mengehadkan aktiviti jualan anda serta mengenakan yuran nilai akhir yang lebih tinggi sehingga prestasi anda bertambah baik.
- Memenuhi Standard. Prestasi anda memenuhi standard yang ditetapkan oleh eBay. Anda tidak akan dikenakan penalti dan hanya perlu membayar yuran standard.
- Penjual Bertaraf Tinggi (Top Rated). Prestasi anda melebihi standard yang ditetapkan oleh eBay, disokong oleh rekod jualan yang kukuh dan pematuhan terhadap dasar eBay. Status Top Rated akan dipaparkan pada profil maklum balas anda. eBay juga menyatakan anda akan mendapat “keterlihatan yang lebih tinggi dalam hasil carian serta perlindungan eksklusif untuk penjual.”
Penjual Bertaraf Tinggi (Top Rated) yang menawarkan tempoh pengendalian pada hari yang sama atau satu hari bekerja, serta pemulangan percuma dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 hari, layak menerima manfaat Top Rated Plus, termasuk:
- Lencana Top Rated Plus yang dipaparkan dalam hasil carian dan penerangan penyenaraian
- Diskaun 10% ke atas yuran nilai akhir standard
Pantau metrik prestasi anda secara berkala melalui Seller Dashboard. Jika status anda turun kepada Below Standard, kurangkan bilangan kes yang ditutup tanpa penyelesaian oleh penjual serta pembatalan pesanan sebelum penilaian bulanan yang seterusnya.
Kesilapan biasa yang perlu dielakkan oleh penjual baharu di eBay
Penjual baharu di eBay sering melakukan kesilapan berikut:
- Foto berkualiti rendah atau tidak jelas. Penyenaraian eBay menyokong sehingga 24 keping foto dan foto pertama akan dipaparkan dalam hasil carian. Muat naik imej berkualiti tinggi dengan resolusi minimum 500 x 500 piksel. eBay mengesyorkan resolusi 1600 x 1600 piksel untuk paparan yang lebih jelas. Sertakan juga foto yang menunjukkan sebarang kecacatan atau kesan penggunaan pada produk.
- Penerangan produk yang kabur atau tidak tepat. Borang penyenaraian eBay menyediakan medan untuk jenama, saiz, keadaan produk, nombor model dan butiran produk. Lengkapkan semua maklumat yang berkaitan dengan tepat bagi mengurangkan bilangan kes yang ditutup tanpa penyelesaian oleh penjual, kerana metrik ini mempengaruhi penilaian peringkat penjual anda.
- Kos penghantaran tidak tepat. Timbang dan ukur produk selepas dibungkus sebelum membuat penyenaraian. Gunakan kalkulator penghantaran eBay atau tetapkan kadar penghantaran tetap berdasarkan kos sebenar syarikat penghantaran.
- Tidak memantau maklum balas. Pantau maklum balas yang diterima dan berikan respons dengan segera, terutamanya kepada ulasan negatif. Ulasan positif dan penilaian yang baik membantu membina kepercayaan serta boleh mempengaruhi keputusan pembeli untuk membeli. Malah, dalam satu tinjauan terhadap lebih 1,000 pembeli di AS, 41% menyatakan bahawa mereka sentiasa membaca ulasan sebelum membuat keputusan untuk membeli. Perkara yang sama juga penting bagi pembeli di Malaysia apabila membuat pembelian dalam talian.
Soalan lazim tentang cara berjualan di eBay
Berapakah umur minimum untuk berjualan di eBay?
Anda mesti berumur sekurang-kurangnya 18 tahun untuk berjualan di eBay.
Bolehkah saya menjual apa-apa sahaja di eBay?
Tidak. eBay mempunyai senarai barangan yang dilarang dan dihadkan, termasuk alkohol, senjata api, bahan berbahaya, produk tembakau, haiwan hidup dan banyak lagi. Sesetengah kategori, seperti kosmetik dan makanan, turut tertakluk pada sekatan tertentu. Selain itu, penjual juga perlu mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di lokasi masing-masing.
Bagaimanakah saya boleh meningkatkan peringkat penjual eBay?
eBay mengambil kira tempoh pemenuhan pesanan dan kualiti perkhidmatan pelanggan sebelum menentukan peringkat penjual anda. Untuk meningkatkan peringkat, pastikan penerangan produk adalah tepat, pesanan dihantar mengikut masa yang dijanjikan, aduan pelanggan ditangani dengan segera dan anda sentiasa mematuhi dasar amalan jualan eBay.
Bolehkah saya menawarkan penghantaran gabungan apabila pembeli membeli beberapa produk?
Ya. eBay membolehkan anda menawarkan diskaun penghantaran gabungan, supaya pembeli membayar kos penghantaran yang lebih rendah apabila membeli beberapa produk daripada anda dalam satu pesanan. Anda juga boleh mengaktifkan invois gabungan dalam tetapan penghantaran serta menetapkan peraturan promosi atau kadar penghantaran yang dikira secara automatik untuk pesanan yang layak.

