Etsy ialah salah satu pasaran dalam talian terbesar di dunia, dengan lebih lima juta penjual yang menjual kepada lebih 86 juta pembeli aktif. Penjual Etsy yang berjaya boleh menjadikan perniagaan sampingan sebagai kerjaya sepenuh masa.
Penjual menggunakan Etsy untuk menyenaraikan produk buatan tangan, produk vintaj atau produk terpilih, manakala pembeli mencari kraf, barang kemas, karya seni, pakaian dan barangan rumah yang unik di pasaran ini.
Mulakan kedai Etsy anda dengan mengikuti panduan langkah demi langkah ini, daripada menyediakan kedai hingga mula berjualan.
Cara berjualan di Etsy dalam 6 langkah
- Buka akaun Etsy
- Buka kedai Etsy anda
- Muat naik produk
- Pilih cara menerima bayaran
- Sediakan maklumat pengebilan
- Sesuaikan kedai Etsy anda
1. Buka akaun Etsy
Anda boleh membuka akaun Etsy secara percuma. Layari Etsy.com dan klik Mulakan. Masukkan maklumat peribadi asas, termasuk nama dan alamat e-mel anda, untuk melengkapkan proses pendaftaran. Jika anda sudah menjadi ahli Etsy, anda tidak perlu mencipta akaun berasingan untuk membuka kedai baharu.
2. Buka kedai Etsy anda
Selepas mencipta akaun, anda boleh membuka kedai Etsy dengan menyediakan akaun penjual Etsy. Mulakan dengan memasukkan keutamaan dan maklumat kedai, termasuk bahasa, negara dan mata wang.
Klik Simpan dan Teruskan, kemudian masukkan nama kedai. Nama kedai boleh terdiri daripada gabungan huruf dan nombor tanpa ruang.
Jika anda belum mempunyai nama untuk kedai, dapatkan inspirasi dengan penjana nama perniagaan Shopify. Pilih nama yang sesuai dengan produk anda dan belum digunakan oleh pemilik kedai Etsy lain. Semasa memilih nama kedai Etsy, pertimbangkan untuk memasukkan kata kunci yang berkaitan dengan produk anda dan berkemungkinan digunakan dalam carian pelanggan.
Kedai anda akan tersedia sebaik sahaja anda melengkapkan tetapan pengebilan pada langkah 5. Sebelum itu, penyenaraian produk kekal dalam mod draf dan hanya kelihatan kepada anda.
3. Muat naik produk
Sebaik sahaja kedai Etsy dibuka, anda boleh mula menjual produk. Cipta penyenaraian baharu untuk setiap produk yang anda jual di pasaran ini, sama ada barangan vintaj, barangan buatan tangan atau bekalan seni dan kraf.
Semasa anda mengisi penyenaraian produk, lebih banyak pilihan akan dipaparkan untuk menambahkan butiran produk. Antaranya:
- Cara dan masa produk dibuat
- Kategori produk
- Jenis penyenaraian
- Sama ada produk fizikal atau digital
Faktor paling penting bagi setiap penyenaraian Etsy ialah imej produk kerana pembeli dalam talian membuat keputusan berdasarkan perkara yang dilihat. Mereka tidak boleh menyentuh, menghidu atau melihat produk secara bersemuka, jadi keputusan untuk membeli produk Etsy anda banyak bergantung pada fotografi produk yang berkualiti.
Anda boleh menambah sehingga 20 imej berkualiti tinggi dan satu video bagi setiap penyenaraian. Gunakan ruang video untuk tutorial ringkas yang menunjukkan cara produk anda digunakan. Setiap produk perlu cukup menarik untuk menonjol dalam kalangan produk yang ditawarkan penjual lain di pasaran ini.
Gunakan imej yang jelas dan beresolusi tinggi untuk mempamerkan produk anda dari pelbagai sudut. Jika anda menjual muat turun digital, gunakan contoh visual berkualiti tinggi untuk membantu pelanggan membayangkan rupa produk pada peranti mereka.
Etsy mengesyorkan penggunaan foto yang sekurang-kurangnya 2,000 piksel lebar dan tinggi. Foto pertama dalam penyenaraian mesti sekurang-kurangnya 635 piksel lebar. Jika tidak, penyenaraian anda mungkin muncul lebih rendah dalam hasil carian.
Satu lagi bahagian penting dalam penyenaraian produk anda ialah penerangan. Penerangan produk yang berkesan menggunakan bahasa yang biasa digunakan oleh pelanggan anda serta menerangkan butiran produk yang berkaitan. Penerangan ini juga mengandungi kata kunci utama yang digunakan pelanggan untuk mencari produk anda.
Pertimbangkan istilah yang mungkin digunakan pelanggan semasa mencari produk anda, kemudian gunakan istilah tersebut dalam tag dan atribut anda.
Tetapkan harga produk anda di bawah bahagian Inventori dan Harga. Masukkan harga, kuantiti yang tersedia dan nombor unit penyimpanan stok (SKU), jika digunakan. Anda juga boleh menambah variasi, seperti saiz atau warna yang berbeza.
Akhir sekali, tambahkan maklumat penghantaran dan pemulangan yang diperlukan oleh pelanggan. Nyatakan lokasi penghantaran produk dan purata masa pemprosesan, iaitu tempoh yang diperlukan untuk memilih, membungkus dan menghantar produk selepas pelanggan membuat pesanan.
Pilih sama ada anda mahu menawarkan penghantaran kadar rata atau pilihan naik taraf penghantaran. Jika anda menghantar produk kepada pelanggan antarabangsa, tambahkan nombor tarif untuk tujuan kastam.
Dalam akaun penjual Etsy, anda boleh menyediakan beberapa profil penghantaran yang boleh digunakan pada penyenaraian akan datang dengan harga dan kelajuan penghantaran yang berbeza.
Cuba muat naik beberapa penyenaraian produk apabila anda membuka kedai Etsy. Pastikan anda membuat pratonton semua penyenaraian sebelum diterbitkan supaya pelanggan tidak menemui sebarang kesilapan apabila mengunjungi kedai anda.
Anda boleh menyunting penyenaraian atau menambah produk baharu pada bila-bila masa melalui papan pemuka Shop Manager.
4. Pilih cara menerima bayaran
Setelah semua penyenaraian lengkap, anda boleh meneruskan ke halaman seterusnya untuk memilih kaedah pembayaran.
Pilih sama ada anda merupakan penjual individu atau perniagaan yang diperbadankan. Kemudian, masukkan maklumat peribadi, termasuk nama dan alamat. Akhir sekali, masukkan butiran akaun bank untuk menerima hasil jualan daripada Etsy.
5. Sediakan maklumat pengebilan
Etsy mengenakan pelbagai yuran untuk menyenaraikan dan menjual produk. Setelah memasukkan butiran pembayaran, anda perlu memilih kaedah pengebilan. Kaedah ini digunakan untuk membayar yuran bagi menerbitkan penyenaraian dan membuka kedai anda. Anda boleh memilih kad kredit atau kad debit, atau mana-mana kaedah pembayaran lain yang tersedia di negara anda.
6. Sesuaikan kedai Etsy anda
Untuk melengkapkan proses membuka kedai Etsy, sesuaikan halaman kedai baharu yang akan dilihat pelanggan apabila mengunjungi profil kedai anda.
Cipta kedai dalam talian yang menarik dengan menambah kandungan dan maklumat asas, seperti:
- Profil dan sepanduk kedai. Tonjolkan foto diri, produk atau logo perniagaan anda di kedai Etsy. Gunakan dimensi yang konsisten dan imej beresolusi tinggi yang mencerminkan jenama anda secara visual. Sebagai contoh, kedai Etsy ObjectLover memaparkan foto profil tersuai, sepanduk kedai dan sepanduk barangan pilihan yang menjadikan keseluruhan paparan kedai lebih tersusun dan menarik.
- Bio. Perkenalkan diri anda sebagai pengurus kedai dan tampilkan diri anda sebagai individu di sebalik kedai. Beri keyakinan kepada bakal pelanggan bahawa ada orang sebenar di sebalik skrin.
- Penerangan kedai. Terangkan produk yang anda jual, sebab anda menjual produk tersebut serta kisah di sebalik penubuhan kedai anda. Kongsi sedikit tentang diri dan latar belakang anda dengan pelanggan baharu, serta jelaskan perkara yang menjadikan produk anda istimewa.
- Dasar kedai: Dasar penghantaran, pilihan pembayaran, privasi serta pertukaran dan pemulangan amat penting. Pastikan syarat pembelian dari kedai anda jelas. Nyatakan masa pemprosesan, iaitu tempoh sebelum produk dihantar, kaedah pembayaran yang diterima, tempoh pemulangan dan prosedur pertukaran. Dasar yang jelas membantu mengelakkan kekeliruan pelanggan dan mengurangkan pertikaian.
Cara Etsy berfungsi untuk penjual
Etsy ialah pasaran dalam talian yang menghubungkan pemilik kedai dengan pembeli yang mencari produk unik, buatan tangan dan vintaj. Berikut ialah cara Etsy berfungsi untuk penjual:
Etsy menyediakan trafik dan infrastruktur platform, manakala penjual menguruskan penciptaan produk, penyenaraian dan pemenuhan pesanan. Apabila pelanggan mencari produk, algoritma Etsy memadankan istilah carian dengan penyenaraian dan memaparkan hasil yang berkaitan.
Penjual membayar yuran untuk menyenaraikan produk dan melengkapkan jualan. Penyenaraian biasanya diperbaharui setiap empat bulan dengan bayaran $0.20 (kira-kira RM0.85), manakala Etsy mengendalikan transaksi, pemprosesan pembayaran dan penyelenggaraan sistem. Etsy juga mengendalikan urusan dengan pelanggan.
| Tanggungjawab penjual | Perkara yang diuruskan oleh Etsy |
|---|---|
| Mencipta, mereka bentuk atau mendapatkan produk | Infrastruktur pasaran dan pengurusan komuniti Etsy |
| Menerbitkan penyenaraian dengan foto berkualiti tinggi dan penerangan terperinci, serta menentukan harga dan pilihan penghantaran | Pemprosesan pembayaran |
| Memproses pesanan dan menghantar produk kepada pelanggan | Menyediakan alat untuk penjual melalui papan pemuka Shop Manager |
| Mengendalikan pertanyaan, komunikasi dan pertikaian pelanggan | Memasarkan jenama Etsy dan meningkatkan trafik ke platform |
| Mengurus inventori dan dasar kedai | Menyediakan sokongan penjual dan menguatkuasakan dasar |
Papan pemuka Shop Manager Etsy ialah pusat pengurusan yang digunakan penjual untuk mencipta dan menyunting penyenaraian, melihat pesanan, menjejak analitik jualan, berkomunikasi dengan pelanggan, menguruskan profil penghantaran serta memantau metrik prestasi kedai.
Kos berjualan di Etsy
Etsy mengenakan yuran penjual untuk menyediakan kedai, menyenaraikan produk dan membuat jualan melalui pasaran Etsy. Secara umum, anda mungkin perlu membayar sehingga 25% daripada hasil jualan kepada Etsy.
Berikut ialah yuran penjual Etsy utama yang perlu dipertimbangkan:
Yuran penyediaan kedai Etsy
Bergantung pada masa anda menubuhkan kedai dan lokasi anda, anda mungkin perlu membayar yuran penyediaan sekali sahaja.
Yuran penyenaraian
Yuran penyenaraian ialah yuran Etsy yang paling lazim. Penjual membayar $0.20 (kira-kira RM0.85) bagi setiap penyenaraian baharu yang dimuat naik ke kedai, sama ada penyenaraian tersebut menghasilkan jualan atau tidak.
Secara lalai, pasaran Etsy memaparkan penyenaraian selama empat bulan atau sehingga produk terjual. Jika anda memilih pembaharuan automatik, anda akan dikenakan bayaran $0.20 (kira-kira RM0.85) lagi selepas tempoh empat bulan tamat.
Yuran transaksi
Jika anda menjual produk di Etsy, anda akan membayar yuran transaksi sebanyak 6.5% kepada Etsy untuk memudahkan jualan. Yuran ini dikira berdasarkan jumlah harga jualan, termasuk caj untuk penghantaran dan pembalut hadiah.
Penjual di sesetengah negara mungkin juga perlu membayar yuran operasi kawal selia bagi setiap penyenaraian. Yuran ini tidak dikenakan kepada penjual di Malaysia.
Yuran pemprosesan pembayaran
Etsy Payments ialah ciri yang membolehkan pelanggan membuat pembayaran menggunakan kad kredit, PayPal, Apple Pay, Google Pay dan Klarna. Apabila anda mengaktifkan Etsy Payments, anda akan dikenakan yuran pemprosesan pembayaran yang berbeza mengikut negara.
Di Malaysia, yuran pemprosesan pembayaran untuk Etsy Payments ialah 4.5% daripada jumlah jualan, ditambah yuran tetap sebanyak RM2 bagi setiap pesanan.
Yuran penukaran mata wang
Penjual memilih mata wang kedai semasa menyediakan akaun. Jika mata wang kedai berbeza daripada mata wang akaun pembayaran anda, Etsy mengenakan yuran penukaran mata wang sebanyak 2.5% daripada jumlah jualan. Yuran ini ditolak daripada jumlah jualan sebelum dana dimasukkan ke dalam akaun Etsy Payments anda.
Yuran Offsite Ads
Walaupun penyenaraian produk yang dioptimumkan boleh membantu menarik bakal pelanggan melalui enjin carian Etsy, pasaran ini juga menawarkan pilihan pengiklanan.
Anda boleh memilih untuk menyertai Offsite Ads bagi memaparkan produk anda melalui saluran pemasaran dan pengiklanan Etsy. Anda juga boleh mengiklankan produk melalui iklan Etsy di Facebook, Google dan rangkaian iklan paparan tanpa perlu mempunyai akaun pengiklanan pada platform tersebut.
Etsy mengenakan yuran kepada penjual bagi pesanan yang terhasil melalui Offsite Ads. Jika kedai anda memperoleh kurang daripada $10,000 (kira-kira RM42,000) melalui Etsy dalam tempoh 365 hari berturut-turut, anda akan dikenakan yuran sebanyak 15% daripada jumlah pesanan. Jika kedai anda memperoleh $10,000 (kira-kira RM42,000) atau lebih, kadar yuran ialah 12%. Yuran Offsite Ads tidak akan melebihi $100 (kira-kira RM420) bagi setiap pesanan.
Kos penghantaran Etsy
Penjual di lokasi yang menerima Etsy Payments atau PayPal boleh membeli label penghantaran melalui pasaran ini dan kos akan ditolak daripada akaun penjual. Kadar berbeza mengikut syarikat penghantaran, lokasi asal, destinasi dan saiz setiap bungkusan. Yuran tambahan dikenakan untuk pengesahan tandatangan dan insurans.
Etsy Plus
Penjual Etsy boleh memilih untuk menyertai Etsy Plus, iaitu langganan $10 (kira-kira RM42) sebulan yang menawarkan ciri tambahan.
Penjual Etsy Plus menerima 15 kredit penyenaraian dan kredit $5 (kira-kira RM21) untuk iklan Etsy.
Mereka juga mendapat:
- Pilihan kedai yang boleh disesuaikan
- Diskaun untuk nama domain tersuai
- Keupayaan menghantar e-mel kepada pembeli apabila produk tersedia semula
Produk untuk dijual di Etsy
Etsy menawarkan peluang dalam pelbagai niche, jadi penting untuk mengenal pasti niche yang sesuai dengan perniagaan anda. Sama ada anda mencari kategori produk yang stabil sepanjang tahun atau mahu mengikuti trend besar seterusnya, berikut ialah beberapa niche yang boleh dipertimbangkan:
Kategori utama yang kekal popular
Kategori berikut merupakan antara kategori yang sentiasa menunjukkan prestasi baik di Etsy:
- Barang kemas dan aksesori peribadi. Rantai leher diperibadikan, cincin dengan batu kelahiran, subang, rantai kunci, dompet dan gelang sentiasa mendapat permintaan.
- Hiasan rumah dan kelengkapan kediaman. Perabot, hiasan dinding, ruang penyimpanan dan kelengkapan rumah menjadi pilihan utama untuk hadiah dan projek mengubah suai rumah.
- Bekalan dan alat kraf. Pembeli gemar akan pilihan gentian, batu permata dan barangan kertas untuk projek kraf yang tersedia di Etsy.
- Bekalan parti dan hiasan perkahwinan. Permintaan terhadap kad jemputan, papan tanda dan cenderahati sentiasa ada untuk pelbagai acara dan majlis.
- Muat turun digital dan bahan boleh cetak. Muat turun digital menjana jualan yang konsisten dengan margin keuntungan yang tinggi kerana produk boleh dihantar serta-merta tanpa kos inventori. Antara produk yang paling laris termasuk kad jemputan perkahwinan, buku perancang, hiasan dinding dan bahan boleh cetak tersuai yang boleh dimuat turun dan dicetak oleh pelanggan di rumah.
Trend yang semakin popular
Niche yang sedang menjadi trend ini menawarkan peluang untuk menembusi pasaran baharu di Etsy. Berikut ialah kategori utama berdasarkan laporan trend musim bunga dan musim panas 2025 Etsy:
- Literary girl. "Trend sastera kini kembali popular," menurut laporan tersebut. Carian untuk kotak buku misteri meningkat lebih dua kali ganda, manakala carian untuk alat pengecap timbul buku diperibadikan meningkat lebih 30%.
- Messy coquette. Menurut Etsy, carian untuk reben coquette meningkat lebih 500%, manakala jualan kemeja-T serta baju sejuk dengan reben meningkat lebih dua kali ganda.
- Island luxe. Carian untuk rantai buah-buahan melonjak hampir 500%, manakala carian untuk beg rafia meningkat lebih empat kali ganda, menurut laporan trend tersebut.
- Galactic metallic. Tonjolkan jenama anda dengan barangan berinspirasikan kosmik. Carian barang kemas zodiak meningkat 400%, manakala carian untuk cawan kristal meningkat lebih 700%, menurut data laporan trend.
- Châteaucore. Menurut Etsy, "Hiasan kotej gaya perancis" adalah antara istilah carian teratas, dengan peningkatan lebih 26,000%.
- Maritime living. Gaya pesisir pantai semakin popular. Carian untuk beg berbentuk cangkerang meningkat lebih dua kali ganda, manakala carian untuk barangan bertemakan sardin meningkat lebih 75%.
Pemantauan dasar
Pada Jun 2025, Etsy mengetatkan Piawaian Kreativiti untuk membanteras penjualan barangan tidak asli. Etsy menetapkan bahawa semua penyenaraian mesti mencerminkan "sentuhan manusia" bagi menyokong misi Etsy untuk mengekalkan unsur manusia dalam perdagangan.
Etsy melarang keras penjualan semula barangan komersial generik. Untuk layak dijual, produk mesti tergolong dalam salah satu daripada empat kategori:
- Produk fizikal yang dibuat oleh penjual
- Reka bentuk asli yang dicipta oleh penjual
- Barangan vintaj atau barangan terpilih yang dipilih sendiri oleh penjual
- Bekalan kraf yang diperoleh oleh penjual
Sebagai contoh, untuk menyenaraikan produk cetakan 3D atau produk potongan laser dalam kategori ini, produk tersebut mesti berdasarkan reka bentuk asli penjual. Di bawah piawaian baharu ini, mencetak fail komersial atau menggunakan model yang tidak direka sendiri oleh penjual tidak lagi memenuhi syarat untuk dikategorikan sebagai "dibuat oleh penjual".
Cara berjualan di Etsy dengan Shopify
Menyepadukan Shopify dengan kedai Etsy memudahkan pengurusan inventori. Anda boleh menghubungkan Shopify dengan semua saluran dan platform yang anda gunakan untuk berjualan. Gunakan aplikasi penyepaduan untuk menyegerakkan inventori dan penyenaraian produk secara automatik, tanpa memerlukan kemahiran teknikal.
Aplikasi penyepaduan Shopify berfungsi sebagai penghubung antara Etsy dan Shopify, dengan mengekalkan senarai inventori induk dan memastikan maklumat pada kedua-dua kedai kekal tepat selepas jualan atau perubahan pada penyenaraian produk.
Untuk menghubungkan Shopify dengan kedai Etsy anda, pastikan anda sudah mempunyai produk yang disenaraikan di Etsy. Kemudian, di Shopify, pasang aplikasi Marketplace Connect atau aplikasi pihak ketiga lain yang direka untuk tujuan ini.
Berikut ialah beberapa aplikasi popular yang boleh menghubungkan kedai Shopify dan kedai Etsy:
- Shopify Marketplace Connect
- Etsy Integration by QuickSync
- Etsy Integration - DPL
- Etsy Integration - CedCommerce
Lihat semua aplikasi penyepaduan Etsy yang tersedia di Shopify App Store.
Bergantung pada aplikasi yang anda pilih, ciri tambahan mungkin termasuk:
- Kemas kini produk, imej, SKU, kod bar, harga dan butiran penyenaraian lain
- Pemenuhan pesanan Etsy terus melalui Shopify
- Penciptaan penyenaraian Shopify secara automatik berdasarkan penyenaraian Etsy
- Penyelarasan tawaran dan diskaun
- Pemindahan data kedai apabila berpindah platform
Perhatian: Aplikasi pihak ketiga mungkin mengenakan yuran tambahan.
Tip untuk meningkatkan kejayaan berjualan di Etsy
Berikut ialah beberapa strategi berjualan yang boleh anda gunakan untuk membantu mengembangkan perniagaan Etsy anda.
Bina jenama yang kukuh
Jenama visual yang kukuh membantu anda menonjol dalam hasil carian Etsy. Tanggapan pertama penting, tetapi anda tidak perlu berbelanja besar untuk mendapatkan reka bentuk profesional. Logo ringkas dan warna jenama yang konsisten sudah memadai. Anda boleh menggunakan pembuat logo percuma Shopify dan alat templat seperti Canva untuk mencipta aset visual yang mencerminkan jenama anda.
Optimumkan kedai anda
Algoritma Etsy memadankan istilah carian popular dengan produk yang dipaparkan dalam hasil carian.
Penggunaan kata kunci yang berkaitan dalam tajuk dan penerangan produk membantu Etsy memahami produk yang anda jual dan menentukan masa yang sesuai untuk memaparkan produk dalam hasil carian. Semakin tinggi kedudukan produk dalam hasil carian, semakin besar kemungkinan pembeli melihat produk dan mempertimbangkan untuk membuat pembelian.
"Saya menghadiri beberapa bengkel Etsy dan banyak perbincangan berkisar tentang kata kunci," kata Tamara Mayne, pengasas Brooklyn Candle Studio, dalam satu episod Shopify Masters. "Mereka mengajar cara mengoptimumkan kata kunci supaya produk mudah ditemukan dan memastikan kedai kelihatan boleh dipercayai."
Berikut ialah beberapa cara untuk memastikan pengoptimuman enjin carian (SEO) kedai Etsy anda berada pada tahap yang baik:
- Gunakan semua tag yang tersedia. Anda boleh menggunakan sehingga 13 tag bagi setiap penyenaraian. Gunakan semua tag tersebut dan sertakan frasa yang terdiri daripada beberapa perkataan yang tidak termasuk dalam kategori, seperti "hadiah untuk ibu yang baru bersalin" atau "seni dinding zodiak."
- Gunakan atribut yang tepat. Lengkapkan butiran produk dengan tepat dan terperinci supaya produk anda muncul dalam carian yang ditapis.
- Patuhi had 140 aksara. Letakkan frasa yang paling penting bagi pembeli pada bahagian awal.
- Gunakan imej utama berbentuk segi empat sama dengan nisbah 1:1. Format ini kelihatan lebih profesional dalam grid carian dan mengekalkan orientasi yang konsisten bagi kesemua 10 ruang foto yang tersedia.
- Balas dengan pantas dan hantar pesanan tepat pada masa. Respons pantas dan penghantaran tepat pada masa membantu meningkatkan keterlihatan dan kadar penukaran, selain menghasilkan ulasan yang lebih baik. Ulasan yang baik juga memberi isyarat kepada Etsy bahawa kedai anda boleh dipercayai.
- Lengkapkan halaman Tentang Saya. Semakin banyak maklumat yang anda berikan tentang jenama menggunakan kata kunci yang berkaitan, semakin mudah Etsy memadankan produk anda dengan pelanggan yang sesuai.
Promosikan kedai anda
Logiknya mudah: Semakin ramai orang melihat produk anda, semakin banyak peluang untuk membuat jualan. Terdapat pelbagai cara untuk memperkenalkan kedai anda kepada lebih ramai orang.
Berikut ialah beberapa idea yang boleh anda cuba:
- Kongsi di media sosial. Gunakan platform seperti TikTok, Instagram dan Facebook untuk mempamerkan produk serta berinteraksi dengan bakal pelanggan.
- Bekerjasama dengan pempengaruh. Bekerjasama dengan penulis blog dan pencipta kandungan dalam niche anda untuk menjangkau khalayak yang lebih luas dan mempromosikan produk anda.
- Gunakan alat pemasaran Etsy. Daftar untuk penyenaraian dipromosikan atau Etsy Ads bagi meningkatkan keterlihatan produk anda.
Gunakan pelbagai saluran jualan
Untuk meluaskan jangkauan, pertimbangkan untuk menambah saluran jualan alternatif Etsy. Pasaran khusus untuk produk kraf, laman pembiayaan orang ramai dan platform e-dagang boleh memberi lebih banyak peluang untuk anda berhubung dengan pelanggan.
Berikut ialah beberapa platform jualan yang boleh dipertimbangkan selain Etsy:
Shopify
Shopify ialah platform perdagangan yang membantu anda menjual secara dalam talian dan secara bersemuka. Dengan Shopify, anda boleh menyediakan laman web e-dagang, menjual melalui media sosial dan melayan pelanggan di pasar, acara jualan sementara serta kedai runcit menggunakan peranti tempat jualan.
Anda juga boleh berjualan di Etsy, Amazon, dan pasaran lain dengan mudah melalui kedai Shopify, sambil menguruskan semua pesanan dan inventori dari satu tempat. Jika anda mempunyai kedai Shopify, anda juga boleh mendapatkan produk daripada jenama Shopify yang disahkan untuk melengkapi barangan buatan tangan anda.
Artisans Cooperative
Artisans Cooperative ialah pasaran untuk produk buatan tangan. Seperti Etsy, platform ini menawarkan pengalaman berasaskan komuniti yang mengalu-alukan semua golongan dan menyokong penggiat kraf yang menghasilkan produk asli. Penyenaraian yang memenuhi syarat turut menerima lencana "buatan tangan disahkan".
Ko-fi
Ko-fi menawarkan gabungan unik antara pembiayaan orang ramai dan jualan langsung yang disesuaikan untuk golongan kreatif dan penggiat kraf. Melalui Ko-fi, anda boleh menjual produk kraf secara langsung, menerima sumbangan dan membina komuniti keahlian untuk menawarkan kandungan eksklusif kepada penyokong.
Amazon Handmade
Dilancarkan pada 2015, Amazon Handmade menyediakan platform untuk perniagaan kecil yang menghasilkan barangan buatan tangan. Menjadi sebahagian daripada ekosistem Amazon yang luas membolehkan produk mencapai lebih ramai pelanggan.
Dapatkan lencana Star Seller
Lencana Star Seller di Etsy menunjukkan bahawa anda memenuhi piawaian perkhidmatan pelanggan pada tahap tertinggi. Lencana ini menunjukkan kepada pembeli bahawa anda mementingkan pengalaman pelanggan dan perniagaan anda.
Penjual yang memperoleh lencana ini berpeluang mendapat lebih banyak trafik dan jualan berbanding penjual lain yang menawarkan produk serupa tetapi tidak mempunyai lencana Star Seller.
Untuk mendapatkan lencana Star Seller:
- Balas mesej pertama daripada pelanggan dalam tempoh 24 jam.
- Kekalkan purata penilaian sekurang-kurangnya 4.8.
- Hantar pesanan mengikut masa yang ditetapkan menggunakan penjejakan atau label penghantaran daripada Etsy.
- Lengkapkan sekurang-kurangnya lima jualan dengan jumlah nilai $300 (kira-kira RM1,260) dan pastikan kedai telah dibuka sekurang-kurangnya 90 hari.
Tawarkan harga yang kompetitif
Menetapkan harga produk di Etsy boleh menjadi mencabar. Kebanyakan produk dibuat secara manual dan memerlukan banyak masa serta usaha. Untuk memastikan kadar penukaran yang baik, harga produk perlu mengambil kira kos pengeluaran dan harga pasaran semasa.
Jika pesaing menjual produk yang sama pada separuh harga, pembeli mungkin mempersoalkan sebab mereka perlu membayar lebih untuk produk anda.
Harga yang kompetitif bukan bermaksud anda perlu menawarkan harga paling rendah. Strategi ini boleh menjejaskan keuntungan, terutamanya jika kos menghasilkan produk tinggi. Lagipun, anda mahu memperoleh keuntungan yang baik.
Ikuti tip berikut untuk menetapkan harga produk secara kompetitif:
- Kaji harga pesaing. Lihat harga yang ditawarkan oleh jenama e-dagang lain untuk produk yang serupa serta nilai tambahan yang turut ditawarkan, seperti penghantaran percuma atau diskaun.
- Kurangkan harga sebanyak satu sen. Jika kebanyakan jenama menjual produk yang sama pada RM30, anda boleh menetapkan harga RM29.99 untuk menonjol daripada pesaing. Strategi penetapan harga yang popular ini membuatkan harga kelihatan lebih murah walaupun perbezaan harga hanya satu sen.
- Tambahkan nilai melalui cara lain. Jika anda tidak dapat menawarkan harga serendah pesaing, pertimbangkan cara lain untuk memberikan nilai tambahan. Nilai tambah boleh termasuk penghantaran percuma, pembungkusan tersuai, hadiah percuma bagi setiap pembelian atau kod diskaun untuk pelanggan yang membuat pembelian semula.
Dalam contoh ini, hasil carian untuk "terompah kayu" merangkumi beratus-ratus hasil. Anda boleh menonjol seperti kedai di sebelah kiri dengan menawarkan diskaun, penghantaran percuma dan maklumat tentang stok terhad.
Galakkan ulasan dan maklum balas
Ulasan di Etsy membantu membezakan penyenaraian anda dengan menyediakan bukti sosial dan kata kunci tambahan. Semakin banyak ulasan yang anda terima, semakin yakin pelanggan baharu untuk membeli produk anda.
Galakkan pelanggan berkongsi ulasan, maklum balas dan foto produk yang dibeli. Etsy turut memaparkan foto tersebut pada halaman produk. Anda boleh meminta ulasan melalui e-mel selepas pelanggan membuat pembelian dan menawarkan kod diskaun untuk pembelian seterusnya sebagai galakan.
Halde Craft, yang berjualan di Etsy dan laman web sendiri, telah merasai manfaat daripada ulasan yang positif. Jenama seramik ini mempunyai beratus-ratus ulasan daripada pelanggan yang berpuas hati. Kebanyakan ulasan turut disertakan foto produk, sekali gus meningkatkan bukti sosial dan keyakinan pembeli.
Berikan khidmat pelanggan yang cemerlang
Pelanggan lebih berkemungkinan membuat pembelian semula jika mereka mendapat pengalaman yang baik dengan perniagaan dalam talian anda. Mereka juga mungkin mengesyorkan kedai anda kepada rakan, keluarga dan pengikut. Pendekatan Etsy yang lebih peribadi memberi ruang untuk pengalaman berjualan yang lebih unik.
Berikut ialah beberapa cara untuk memberikan khidmat pelanggan yang cemerlang:
- Balas pertanyaan dan maklum balas dengan pantas.
- Gunakan pembungkusan tersuai.
- Sertakan nota terima kasih tulisan tangan dalam setiap pesanan.
- Lanjutkan tempoh pemulangan supaya pembeli lebih yakin untuk membuat pembelian.
- Berikan pelanggan sedia ada kod diskaun untuk pembelian seterusnya.
- Balas ulasan di Etsy dan ucapkan terima kasih kepada pelanggan kerana berkongsi pengalaman.
- Maklumkan pelanggan lebih awal jika berlaku kelewatan penghantaran.
Mula berjualan di Etsy
Seperti Shopify, Etsy ialah platform popular untuk menjual produk buatan tangan. Sama ada anda menghasilkan rantai leher yang rumit, haiwan yang dikait atau perabot yang dikitar semula, Etsy menyediakan pasaran untuk produk anda.
Pada suku ketiga 2025, Etsy melaporkan 5.5 juta penjual aktif. Angka ini hampir 11% lebih rendah berbanding tahun terdahulu, tetapi bilangan penjual masih meningkat berbanding suku tahun terdahulu.
Persaingan wujud dalam setiap kategori. Untuk mengendalikan kedai yang berjaya, anda perlu menjual produk berkualiti, menetapkan harga secara strategik, menggunakan foto produk yang menarik dan memberikan perkhidmatan pelanggan yang konsisten.
Soalan lazim tentang cara berjualan di Etsy
Berapakah kos untuk berjualan di Etsy?
Sesetengah penjual perlu membayar yuran penyediaan sekali sahaja untuk membuka kedai Etsy. Setiap penyenaraian di Etsy dikenakan bayaran sebanyak $0.20 (kira-kira RM0.85), manakala setiap jualan dikenakan yuran transaksi sebanyak 6.5%. Jualan antarabangsa mungkin dikenakan yuran tambahan, termasuk yuran penukaran mata wang. Bagi penjual di Malaysia, yuran pemprosesan Etsy Payments ialah 4.5% daripada jumlah jualan, ditambah RM2 bagi setiap pesanan.
Apakah yang boleh dijual di Etsy?
Pemilik perniagaan kecil boleh menjual pelbagai produk popular di Etsy, termasuk:
- Produk buatan tangan
- Barangan vintaj
- Kraf dan bekalan kraf
- Produk cetak atas permintaan
- Produk digital
- Bahan boleh cetak
Berapakah yuran transaksi Etsy?
Yuran transaksi Etsy ialah 6.5% daripada jumlah nilai transaksi, termasuk kos penghantaran yang dikenakan kepada pelanggan. Yuran ini dikenakan pada setiap jualan yang dibuat di pasaran ini.
Adakah berjualan di Etsy berbaloi?
Etsy boleh menjadi platform yang berbaloi untuk menjual produk buatan tangan, barangan vintaj dan jenis bekalan kraf tertentu. Penjual boleh menjangkau bakal pelanggan, mengurus jualan dan berkomunikasi dengan pembeli. Namun, persaingan di Etsy juga sengit dan berjualan di platform ini memerlukan bayaran yuran penyenaraian serta komisen bagi setiap jualan. Kejayaan kedai Etsy bergantung pada beberapa faktor, termasuk kualiti produk, strategi penetapan harga dan usaha pemasaran.
Bolehkah menjana pendapatan dengan berjualan di Etsy?
Anda boleh menjana pendapatan dengan berjualan di Etsy jika mempunyai produk yang unik dan berkualiti tinggi, strategi pemasaran yang berkesan serta perkhidmatan pelanggan yang baik. Etsy menyediakan platform untuk menjangkau bakal pembeli, manakala penjual boleh menetapkan harga sendiri dan mengawal margin keuntungan. Persaingan di Etsy boleh menjadi sengit dan usaha untuk menonjol daripada pesaing mungkin memerlukan masa dan usaha.

