Anda tidak memerlukan ijazah tinggi atau peralatan mahal untuk mula menjana pendapatan tambahan dari rumah. Jika anda sedang mencari cara buat duit dalam talian untuk pemula, terdapat pelbagai pilihan yang boleh diterokai. Sama ada anda mahu berkongsi pandangan, menjual barangan atau memanfaatkan masa lapang, dunia digital menawarkan banyak peluang untuk menjana pendapatan secara dalam talian.
Panduan ini menghimpunkan kaedah yang telah terbukti berkesan untuk membantu anda menjana pendapatan sebenar. Walaupun bukan jalan pintas untuk menjadi kaya dalam sekelip mata, kaedah ini menawarkan cara yang realistik untuk memulakan kerja sampingan dan membina sumber pendapatan tambahan tanpa memerlukan kemahiran khusus.
Bersedia untuk berhenti sekadar memerhati kejayaan orang lain dan mula mencipta kejayaan sendiri? Teruskan membaca untuk meneroka 25 cara menjana pendapatan dalam talian yang boleh anda mulakan pada masa lapang, walaupun tanpa pengalaman.
Perkara utama:
- Pemula boleh bermula dengan tugasan mudah seperti menyertai tinjauan berbayar atau menawarkan perkhidmatan asas (contohnya sebagai pembantu maya), sebelum beralih kepada kemahiran yang menawarkan pendapatan lebih tinggi.
- Kaedah yang memberikan pulangan paling cepat biasanya menawarkan bayaran yang lebih rendah. Sebaliknya, pilihan jangka panjang seperti kerja bebas atau e-dagang berpotensi berkembang menjadi sumber pendapatan utama.
- Berwaspada dengan mana-mana "peluang pekerjaan" yang memerlukan bayaran pendahuluan atau menjanjikan pendapatan terjamin dengan usaha yang minimum.
25 cara menjana wang dalam talian untuk pemula
- Jual barangan terpakai
- Jadi pembantu maya
- Uji laman web dan aplikasi
- Sewakan barangan yang dimiliki
- Cari kerja sampingan
- Jadi pembantu/pengguna kandungan
- Lesenkan fotografi anda pada laman web foto stok
- Mulakan kerjaya sebagai pekerja bebas
- Mulakan blog atau surat berita
- Sertai tinjauan dalam talian
- Jual produk cetak atas permintaan
- Beli dan jual nama domain
- Mulakan perniagaan dropship
- Jadi tutor dalam talian
- Cipta kursus atau bengkel dalam talian
- Cuba pemasaran afiliasi
- Sewakan bilik kosong di rumah anda
- Sertai kumpulan fokus dalam talian
- Jual kraf tangan atau hasil karya seni
- Lakukan transkripsi audio dan video
- Jadi pengurus media sosial
- Cipta dan jual bahan cetak digital
- Ulas produk secara dalam talian
- Jadi pencipta kandungan jana pengguna (UGC)
- Tawarkan perkhidmatan berasaskan AI
Idea-idea ini boleh dijadikan titik permulaan untuk menjana pendapatan dalam talian. Dengan pengalaman dan usaha yang konsisten, sebahagian daripada idea ini malah berpotensi berkembang menjadi perniagaan sepenuh masa.
1. Jual barangan terpakai
Salah satu cara terpantas untuk menjana wang tambahan ialah dengan menyelongkar almari dan stor anda bagi mencari barangan bernilai yang boleh dijual dalam talian. Kemas stor dan jual apa-apa item yang tidak lagi digunakan termasuk perabot, mainan, alatan, peralatan permainan dan hiasan rumah. Platform jual beli seperti Facebook Marketplace, Carousell dan Mudah.my merupakan antara tempat yang sesuai untuk menjual barangan anda. Anda boleh menjual kepada pembeli tempatan atau menawarkan penghantaran ke lokasi lain.
Jika anda ingin menjual pakaian atau aksesori, platform seperti Carousell, Facebook Marketplace dan Shopee memudahkan anda memuat naik foto serta penerangan produk tanpa perlu membina laman web sendiri.
Jika aktiviti menjual barangan terpakai ini menarik minat anda, anda boleh mengembangkan aktiviti tersebut menjadi perniagaan jual beli semula. Anda boleh menjual pelbagai jenis barangan daripada pakaian vintaj sehingga elektronik terpakai yang telah diperbaharui, malah membuka kedai sendiri di platform seperti Shopify. Potensi pendapatan bergantung pada masa dan usaha yang dilaburkan. Bagi sesetengah penjual, aktiviti ini boleh berkembang daripada pendapatan sampingan kepada perniagaan sepenuh masa.
Paling sesuai untuk: Mereka yang ingin menjana pendapatan dalam talian dengan cepat.
Masa permulaan: Kurang daripada sejam.
Tahap usaha: Rendah.
Masa untuk bayaran pertama: Anda boleh menerima bayaran serta-merta untuk urusan ambil sendiri (COD). Bagi jualan dalam talian, masa penerimaan bayaran bergantung pada kaedah pembayaran dan platform jualan dalam talian yang digunakan.
Perkara yang perlu diketahui:
- Setiap platform mempunyai peraturan dan struktur yuran yang berbeza. Pastikan anda memahami perkara ini sebelum mendaftar.
- Jika anda berminat menjual di Facebook Marketplace, rujuk panduan berkaitan cara menjual di Facebook.
- Kebanyakan platform jualan mengenakan komisen atau yuran bagi setiap penyenaraian atau transaksi.
- Pelan Shopify Starter sesuai untuk pemula yang ingin mencuba pengalaman menjual dalam talian.
2. Jadi pembantu maya
Anda boleh menjana pendapatan dalam talian dari rumah dengan menjadi pembantu maya (VA). Sebagai VA, anda boleh menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh dunia. Tugasan biasanya merangkumi kemasukan data, penciptaan kandungan, pengurusan media sosial atau pengurusan kalendar.
Anda boleh bekerja sebagai VA secara bebas dengan menghubungi bakal pelanggan melalui e-mel dingin atau membina laman web untuk mempromosikan perkhidmatan anda. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan projek melalui platform seperti Upwork dan Fiverr.
Pasaran global untuk pembantu maya terus berkembang pesat, dengan nilai dijangka mencapai $29 bilion (kira-kira RM136.3 bilion) menjelang 2032, meningkat daripada $8.66 bilion (kira-kira RM40.7 bilion) pada 2024.
Paling sesuai untuk: Mereka yang ingin bekerja dari rumah dan menjana pendapatan dalam talian.
Masa permulaan: Beberapa jam.
Tahap usaha untuk bermula: Rendah.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada terma yang dipersetujui dengan pelanggan atau platform yang digunakan.
Perkara yang perlu diketahui:
- Sesetengah pelanggan mencari kemahiran khusus dalam VA. Senaraikan kemahiran anda dengan jelas di CV, laman web atau profil platform untuk meningkatkan peluang diterima.
- Platform seperti Upwork dan Fiverr sering menjadi tumpuan untuk mencari kerja VA, selain laman kerja bebas lain.
3. Uji laman web dan aplikasi
Syarikat penyelidikan pasaran sering mencari pengguna untuk menguji laman web, mencuba produk atau perisian seperti permainan video atau aplikasi, serta memberikan maklum balas dan ulasan. Anda boleh mencari peluang seperti ini di platform seperti UserTesting.
Paling sesuai untuk: Mereka yang berminat dengan trend dan produk digital terkini.
Masa permulaan: Beberapa minit untuk mendaftar akaun pada setiap platform.
Tahap usaha: Rendah sehingga sederhana, bergantung pada jenis tugasan.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada platform yang digunakan. Platform seperti UserTesting membayar melalui PayPal sekitar 14 hari selepas tugasan diselesaikan.
Perkara yang perlu diketahui:
- Sesetengah platform memerlukan jumlah minimum sebelum anda boleh membuat pengeluaran.
- Kebanyakan platform penyelidikan pasaran memerlukan peserta berumur 18 tahun ke atas.
4. Sewakan barangan yang dimiliki
Dengan ekonomi perkongsian yang semakin berkembang, anda tidak perlu membeli barangan seperti mesin rumput, alatan berkuasa kecil, kenderaan atau peralatan rumah jika hanya digunakan sekali-sekala. Ramai orang sebenarnya sanggup menyewa barangan yang jarang digunakan. Anda boleh menyewakan barangan anda melalui platform seperti Facebook Marketplace, Carousell atau melalui komuniti setempat seperti kumpulan WhatsApp dan Facebook Community.
Jika anda berjaya dengan model perniagaan ini, anda boleh mengembangkan perniagaan dengan memberikan tumpuan kepada niche tertentu. Contohnya, memulakan jenama pakaian, menyewakan jenis pakaian tertentu seperti gaun pengantin atau membina perniagaan penyewaan alatan.
Paling sesuai untuk: Pemilik barangan yang jarang digunakan tetapi mempunyai permintaan sewaan yang tinggi.
Masa permulaan: Sekitar 1–2 jam untuk memuat naik senarai barangan di platform pilihan.
Tahap usaha: Rendah.
Bayaran pertama: Biasanya selepas tempoh sewaan tamat, bergantung pada persetujuan antara penyewa dan pemilik. Sesetengah urusan mungkin melibatkan bayaran awal atau deposit.
Perkara yang perlu diketahui:
- Pertimbangkan perlindungan atau deposit sekiranya barangan rosak atau hilang.
- Pastikan terma sewaan jelas sebelum urusan dibuat, terutama untuk transaksi komuniti.
- Kebanyakan urusan sewaan melibatkan individu berumur 18 tahun ke atas.
5. Cari kerja sampingan
Kerja sampingan ialah cara klasik untuk mula menjana pendapatan sambil mengekalkan pekerjaan sepenuh masa. Anda boleh menjana pendapatan dalam talian dengan melakukan pelbagai tugasan seperti kemasukan data, penulisan ringkas, reka bentuk asas atau pemformatan résumé. Anda boleh mencari pelanggan melalui platform seperti Fiverr, Upwork, platform kerja bebas seperti Freelancer.com atau membina profil perkhidmatan anda sendiri untuk menarik pelanggan.
Apabila anda sudah memperoleh pengalaman dan pelanggan, anda boleh mengembangkan perkhidmatan anda dengan menawarkan servis secara terus atau membina laman e-dagang ringkas untuk menerima tempahan.
Paling sesuai untuk: Mereka yang ingin mula menjana pendapatan tambahan dengan cepat.
Masa permulaan: Kurang daripada sejam.
Tahap usaha untuk bermula: Sederhana.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada platform yang digunakan. Contohnya, sesetengah platform kerja bebas mempunyai tempoh pemprosesan sebelum anda boleh mengeluarkan bayaran.
Perkara yang perlu diketahui:
- Setiap platform mempunyai struktur yuran dan sistem pembayaran yang berbeza, jadi semak sebelum mendaftar.
- Platform seperti Upwork juga mempunyai tahap akaun tertentu yang boleh mempengaruhi peluang mendapatkan tugasan.
- Pastikan anda memilih platform yang sesuai dengan jenis perkhidmatan yang ingin ditawarkan.
6. Jadi pembantu / pengguna kandungan
Ramai pencipta kandungan dan perniagaan kini memerlukan bantuan untuk mengurus serta menjejak kandungan di media sosial. Peranan ini biasanya melibatkan carian trend terkini, mengumpulkan idea kandungan serta membantu penyediaan bahan untuk media sosial.
Jika anda aktif di media sosial dan faham trend semasa, anda boleh menawarkan perkhidmatan sebagai pembantu kandungan kepada pencipta kandungan, pempengaruh atau perniagaan kecil.
Paling sesuai untuk: Pengguna media sosial yang sentiasa mengikuti trend digital.
Masa permulaan: Beberapa jam.
Tahap usaha untuk bermula: Rendah.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada persetujuan anda dengan pelanggan.
Perkara yang perlu diketahui:
- Peranan ini masih baharu dan tidak mempunyai struktur tetap, jadi anda perlu jelas dalam menawarkan perkhidmatan.
- Anda boleh mempromosikan diri melalui platform kerja bebas atau media sosial seperti LinkedIn dan Instagram.
- Fokus pada niche tertentu (contohnya: fesyen, kecantikan, teknologi) boleh membantu anda menonjol.
7. Lesenkan fotografi anda pada laman web foto stok
Jika anda mempunyai minat dalam fotografi, salah satu cara menjana pendapatan adalah dengan melesenkan foto anda di laman foto stok seperti iStock. Anda juga boleh memuat naik imej ke platform lain untuk membina portfolio dan nama sebagai jurugambar.
Perlu diingatkan bahawa pendapatan daripada foto stok biasanya berdasarkan komisen dan anda hanya menerima sebahagian kecil daripada setiap pelesenan imej. Sebagai contoh, kadar royalti di iStock boleh bermula sekitar 15%, bergantung pada peringkat penyumbang dan jenis lesen.
Jika anda sudah membina koleksi foto yang kukuh, anda juga boleh menjual cetakan foto secara sendiri melalui platform e-dagang seperti Shopify.
Paling sesuai untuk: Mereka yang kreatif dan berminat membina pendapatan melalui fotografi atau sebagai jurugambar profesional.
Masa permulaan: Kurang daripada sejam (jika foto sudah tersedia).
Tahap usaha: Rendah.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada platform. Kebiasaannya terdapat ambang minimum sebelum pengeluaran dibenarkan dan pembayaran dibuat secara berkala selepas pelesenan.
Perkara yang perlu diketahui:
- Fahami jenis foto yang laris di platform stok (subjek, kualiti, dan keperluan teknikal).
- Pendapatan biasanya bergantung pada jumlah serta kualiti foto yang dimuat naik.
8. Mulakan kerjaya sebagai pekerja bebas
Kerja bebas ialah antara idea perniagaan untuk menjana pendapatan dari rumah paling popular dengan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan dalam talian. Antara perkhidmatan yang sering ditawarkan termasuk penulisan iklan (copywriting), reka bentuk grafik, penterjemahan, pemasaran digital dan kemasukan data. Anda boleh mencari pelanggan melalui platform seperti Upwork, Fiverr atau platform kerja bebas lain, serta membina portfolio ringkas untuk mempamerkan hasil kerja anda.
Selain menawarkan perkhidmatan, anda juga boleh mengembangkan kepakaran anda menjadi produk digital seperti panduan PDF, templat atau e-buku yang boleh dijual berulang kali untuk menjana pendapatan pasif.
Paling sesuai untuk: Mereka yang mempunyai kemahiran asas dalam bidang tertentu seperti penulisan, pembangunan laman web, penterjemahan atau kemasukan data.
Masa permulaan: Rendah (boleh bermula melalui platform kerja bebas tanpa laman web).
Tahap usaha: Sederhana.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada platform dan terma pembayaran dengan pelanggan.
Perkara yang perlu diketahui:
- Sediakan portfolio kerja dan terbitkan portfolio anda pada laman web portfolio untuk mempamerkan kemahiran anda.
- Kumpulkan testimoni atau hasil kerja untuk meningkatkan kredibiliti.
- Tetapkan harga berdasarkan tahap kemahiran dan nilai pasaran.
9. Mulakan blog atau surat berita
Blog ialah salah satu cara lama tetapi masih berkesan untuk menjana pendapatan dalam talian sama seperti yang dilakukan oleh Kevin Espiritu, pemilik blog Epic Gardening.
Dengan blog, anda boleh berkongsi pemikiran, kepakaran atau pengalaman tentang topik yang anda minati. Platform seperti Shopify misalnya membolehkan anda memulakan blog tanpa kemahiran teknikal. Kemudian, mengewangkan blog anda dengan iklan AdSense, kandungan tajaan atau dengan menjual produk dan perkhidmatan sendiri. Selepas membina pengikut, Kevin mengembangkan blog berkebun miliknya untuk menjual peralatan berkebun.
Pilihan lain ialah membuat surat berita (newsletter) melalui platform seperti Substack yang membolehkan anda mengenakan yuran langganan. Dengan model langganan, anda tidak perlu menjual iklan tetapi anda perlu mempunyai pengikut setia yang sanggup membayar yuran bulanan dan perkara ini memerlukan masa untuk dibina.
Terdapat banyak idea surat berita untuk dicuba seperti himpunan resipi, panduan hadiah, tutorial produk dan temu bual dengan individu menarik. Pertimbangkan untuk menerbitkan gabungan surat berita percuma dan berbayar atau memberikan pelanggan berbayar faedah seperti akses kepada kandungan eksklusif.
Paling sesuai untuk: Penulis atau individu yang berminat secara mendalam dengan sesuatu topik.
Masa permulaan: Beberapa jam untuk persediaan, usaha berterusan diperlukan untuk menyelenggarakan dan mengembangkan blog.
Tahap usaha: Sederhana sehingga tinggi.
Masa untuk bayaran pertama: Biasanya beberapa bulan, bergantung pada pertumbuhan trafik atau pembaca.
Perkara yang perlu diketahui:
- Menerbitkan kandungan berkualiti tinggi secara konsisten amat penting untuk mengembangkan blog. Buat jadual penerbitan dan patuhi jadual tersebut.
- Fokus pada niche tertentu berbanding topik umum untuk menarik khalayak yang setia.
- Pelajari beberapa asas pengoptimuman enjin carian (SEO), terapkan beberapa prinsip SEO dan kata kunci sasaran dalam kandungan blog anda untuk menarik lebih banyak trafik ke blog secara organik.
10. Sertai tinjauan dalam talian
Salah satu cara paling mudah untuk menjana pendapatan dalam talian bagi pemula ialah dengan menyertai tinjauan dalam talian. Terdapat pelbagai laman web dan aplikasi mudah alih yang menawarkan ganjaran kepada pengguna yang berkongsi pendapat tentang pelbagai topik termasuk tabiat membeli-belah dan pilihan terhadap produk tertentu. Maklum balas ini membantu syarikat menjalankan penyelidikan pasaran, menambah baik produk dan memahami keperluan pengguna.
Paling sesuai untuk: Mereka yang mempunyai masa lapang dan ingin menjana pendapatan tambahan secara dalam talian.
Masa permulaan: Beberapa minit.
Tahap usaha untuk bermula: Rendah.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada platform yang digunakan. Kebanyakan platform memerlukan pengguna mengumpul sejumlah mata atau kredit sebelum boleh menebus ganjaran atau mengeluarkan bayaran.
Perkara yang perlu diketahui:
- Banyak platform memberikan ganjaran dalam bentuk mata yang perlu dikumpulkan sebelum boleh ditebus.
- Mengisi tinjauan dalam talian bukan satu skim cepat kaya. Pulangan yang diterima biasanya rendah dan tidak sesuai dijadikan sumber pendapatan utama. Sebaliknya, cara ini lebih sesuai untuk menjana sedikit pendapatan tambahan pada waktu lapang.
11. Jual produk cetak atas permintaan
Melalui model cetak atas permintaan (print-on-demand atau POD), artis dan pencipta boleh menjual produk yang disesuaikan (produk label putih) dengan reka bentuk sendiri tanpa perlu menyimpan stok atau menguruskan penghantaran. Apabila pelanggan membuat pesanan melalui kedai anda, penyedia perkhidmatan POD akan mencetak reka bentuk pada produk, memproses pesanan dan menghantar barangan terus kepada pelanggan. Ini merupakan cara yang baik untuk memulakan perniagaan dalam talian dengan risiko yang rendah.
Anda juga boleh membina laman web e-dagang dan menghubungkan laman web anda kepada aplikasi POD. Menurut Raven Gibson, pengasas jenama fesyen dan aksesori Legendary Rootz, dalam episod podcast Shopify Masters, proses integrasi ini memudahkan pengurusan perniagaan.
"Saya sangat menghargai keupayaan untuk menghubungkan semua ini dalam satu sistem. Saya boleh menguji idea, menghasilkan sampel produk, dan selepas meluluskan sampel ini, semua produk boleh terus diselaraskan dengan Shopify".
Pilihan POD termasuk barangan seperti kemeja-t, cawan atau beg tote. Model perniagaan ini membolehkan anda mencipta produk tersuai dengan cepat, menjadikan perniagaan cetak atas permintaan pilihan yang berisiko rendah dan memerlukan modal yang rendah.
Pendapatan anda bergantung pada margin keuntungan. Margin ini ditentukan oleh perbezaan antara kos produk kosong yang dipilih dan harga jualan yang anda tetapkan untuk produk akhir. Contohnya, kos kemeja-t daripada pembekal POD seperti Printful bermula sekitar $9 (kira-kira RM42) dan boleh mencecah sehingga $20 (kira-kira RM94) untuk versi kapas organik. Legendary Rootz pula menjual kemeja-t grafik pada harga $35 (kira-kira RM165).
Paling sesuai untuk: Kreatif pemula yang ingin menjana wang dalam talian daripada hasil seni mereka, pempengaruh baharu yang ingin mencipta barangan peminat.
Masa permulaan: Beberapa jam untuk menyediakan platform e-dagang dan integrasi cetak atas permintaan.
Tahap usaha: Mudah untuk bermula jika anda sudah mempunyai reka bentuk untuk dimuat naik (mudah hingga sederhana untuk diselenggarakan).
Masa untuk bayaran pertama: Selepas anda menjual produk, jangkakan tempoh menunggu sekitar lima hari untuk menerima dana di kebanyakan platform.
Perkara yang perlu diketahui:
- Selepas menyediakan kedai, layari pelbagai syarikat cetak atas permintaan untuk membandingkan harga, kualiti dan senarai produk.
- Kebanyakan platform e-dagang memerlukan anda berumur sekurang-kurangnya 18 tahun.
- Keperluan berbeza-beza mengikut negara dan wilayah tetapi sesetengah produk mungkin memerlukan anda mempunyai lesen, permit atau pensijilan.
12. Beli dan jual nama domain
Pemilihan nama domain yang mudah diingati merupakan bahagian penting dalam proses penjenamaan sesebuah perniagaan. Banyak jenama baharu mencari nama domain yang sesuai untuk mewakili perniagaan mereka dan memudahkan pelanggan menemukan perniagaan mereka dalam talian.
Anda boleh mengikuti trend semasa dan membeli nama domain yang berpotensi mendapat permintaan melalui platform seperti Shopify, Namecheap, GoDaddy dan Hover. Untuk memanfaatkan peluang ini, beli nama domain pada harga yang rendah dan jual semula pada harga yang lebih tinggi.
Paling sesuai untuk: Mereka yang mempunyai modal untuk dilaburkan.
Masa permulaan: Kurang daripada sejam.
Tahap usaha: Minimum.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada masa yang diperlukan untuk mencari pembeli dan kaedah pembayaran yang digunakan.
Perkara yang perlu diketahui:
- Membeli dan menjual nama domain bukan cara untuk menjana pendapatan dengan cepat. Anda mungkin perlu menyimpan domain selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun sebelum memperoleh pulangan.
- Pastikan anda memahami undang-undang dan hak tanda dagangan sebelum membeli nama domain.
13. Mulakan perniagaan dropship
Perniagaan dropship ialah model perniagaan e-dagang berkos rendah yang membolehkan produk dihantar terus kepada pelanggan oleh pembekal atau pengilang. Cara ini merupakan salah satu cara popular untuk menjana pendapatan dalam talian bagi pemula kerana anda tidak perlu menyimpan stok atau menguruskan penghantaran. Tanggungjawab utama anda ialah menarik pelanggan dan menguruskan perkhidmatan pelanggan.
Cara paling mudah untuk bermula ialah dengan Shopify Collective, ciri penyumberan produk terbina dalam Shopify yang membolehkan anda mencari dan menjual produk daripada jenama Shopify yang disahkan tanpa perlu menyimpan inventori. Anda juga boleh menyambungkan aplikasi dropship ke kedai anda untuk mengakses pembekal dari pelbagai negara.
Semasa memilih pembekal, usahawan Kamil Sattar menasihatkan agar anda memastikan mereka mampu memproses dan menghantar pesanan dengan cekap. Tempoh penghantaran yang lebih singkat boleh membantu meningkatkan pengalaman pelanggan dan mengurangkan risiko pembatalan pesanan.
"Pastikan anda bertanya kepada pembekal ini, 'Adakah anda mempunyai stok tersebut di gudang anda?' Jika ya, masa penghantaran boleh dipendekkan sehingga 10 hari dengan serta-merta," kata Kamil dalam episod podcast Shopify Masters.
Oleh sebab model ini membolehkan anda bertindak pantas, peniaga dropship boleh mengikuti trend pasaran dan menawarkan produk yang sedang mendapat permintaan. Pantau trend produk pada media sosial dan platform e-dagang untuk mengenal pasti peluang jualan.
Paling sesuai untuk: Pemula yang ingin mencuba mengendalikan kedai e-dagang sendiri.
Masa permulaan: Beberapa jam untuk menyediakan kedai dan mencari pembekal.
Tahap usaha: Sederhana untuk bermula dan mengembangkan perniagaan, rendah untuk penyelenggaraan harian.
Masa untuk bayaran pertama: Selepas jualan pertama berjaya dibuat. Tempoh pembayaran bergantung pada platform dan kaedah pembayaran yang digunakan.
Perkara yang perlu diketahui:
- Anda boleh membina kedai Shopify dan mencuba platform tersebut secara percuma.
- Jika anda menggunakan Shopify, Shopify Collective boleh membantu anda mendapatkan produk untuk dijual tanpa perlu menyimpan inventori. Anda juga boleh meneroka aplikasi dropship yang disahkan untuk mencari pembekal dropship dengan produk berkualiti dan penghantaran yang boleh dipercayai.
- Kebanyakan platform e-dagang menetapkan had umur minimum 18 tahun untuk pengguna.
- Bergantung pada jenis produk dan lokasi perniagaan anda, sesetengah produk mungkin memerlukan lesen, permit atau pensijilan tertentu.
14. Jadi tutor dalam talian
Jika anda mempunyai pengetahuan dalam subjek seperti biologi, matematik atau bahasa, anda boleh menjana pendapatan sampingan melalui tunjuk ajar dalam talian. Melalui platform seperti TutorMe atau Fiverr, anda boleh berhubung dengan pelajar yang memerlukan bantuan dengan lebih mudah. Anda juga boleh membina laman web ringkas dan memanfaatkan media sosial serta cadangan dari kenalan untuk menarik pelajar.
Jika anda sudah berpengalaman dalam tunjuk ajar, anda juga boleh mengembangkan perkhidmatan ini dengan menawarkan kursus dalam talian sendiri melalui platform e-dagang atau laman pembelajaran.
Paling sesuai untuk: Bakal pendidik atau mereka yang ingin menimba pengalaman sebelum membangunkan kursus sendiri.
Masa permulaan: Beberapa jam untuk menyediakan akaun platform atau laman web.
Tahap usaha: Sederhana untuk bermula. Tahap usaha berterusan bergantung pada bilangan pelajar yang diambil.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada platform dan kaedah pembayaran yang digunakan. Contohnya, TutorMe membuat pembayaran dua kali sebulan kepada tutor.
Perkara yang perlu diketahui:
- Kebanyakan platform memerlukan bukti kepakaran dalam subjek yang diajar.
- Yuran transaksi mungkin dikenakan oleh platform tunjuk ajar.
- Sesetengah subjek atau platform mungkin memerlukan kelayakan seperti sijil atau diploma tertentu.
15. Cipta kursus atau bengkel dalam talian
Kongsi pengetahuan dan kemahiran anda melalui kursus atau bengkel dalam talian. Platform seperti Udemy, Teachable dan Skillshare memudahkan anda mencipta serta memasarkan kandungan pendidikan kepada khalayak global. Sama ada kursus fotografi atau pengaturcaraan, ramai orang mencari akses mudah kepada ilmu dalam pelbagai bidang.
Untuk mengembangkan potensi pendapatan, anda juga boleh menjual kursus tersebut melalui laman e-dagang sebagai produk digital yang boleh dimuat turun.
Paling sesuai untuk: Mereka yang mempunyai pengetahuan atau kemahiran khusus dalam bidang tertentu.
Masa permulaan: Beberapa jam hingga beberapa minggu, bergantung pada tempoh dan kandungan kursus.
Tahap usaha: Tinggi untuk menghasilkan kursus, rendah hingga sederhana untuk penyelenggaraan.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada platform. Biasanya dalam tempoh sebulan selepas jualan bermula. Sesetengah platform seperti Udemy memaparkan anggaran jadual pembayaran dalam laporan hasil.
Perkara yang perlu diketahui:
- Mencipta kursus berkualiti hanya sebahagian daripada proses, aspek pemasaran juga perlu dititikberatkan.
- Gunakan media sosial, pemasaran e-mel dan kerjasama dengan pencipta lain untuk meningkatkan capaian kursus anda.
16. Cuba pemasaran afiliasi

Cara pemasaran afiliasi berfungsi: Anda boleh menyertai program pemasaran afiliasi sesebuah jenama yang membolehkan anda berkongsi pautan afiliasi unik untuk mempromosikan produk pada laman web atau akaun media sosial anda. Apabila seseorang membuat pembelian melalui pautan tersebut, anda akan menerima komisen.
Membina strategi pemasaran kandungan yang kukuh berfokus pada pautan afiliasi anda boleh membantu menarik trafik, klik dan pembelian, seterusnya menjana pendapatan pasif.
Paling sesuai untuk: Sesiapa yang mempunyai khalayak dalam talian.
Masa permulaan: Beberapa jam.
Tahap usaha: Sederhana untuk bermula, sangat rendah untuk penyelenggaraan.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada program afiliasi dan terma pembayaran yang ditetapkan oleh jenama. Contohnya, sesetengah platform afiliasi membuat pembayaran secara bulanan apabila anda mencapai ambang pembayaran yang ditetapkan.
Perkara yang perlu diketahui:
- Kebanyakan program afiliasi yang bereputasi baik memerlukan anda menyatakan bahawa anda menerima komisen daripada promosi tersebut.
- Anda memerlukan laman web, blog atau akaun media sosial sendiri untuk mempromosikan produk.
17. Sewakan bilik kosong di rumah anda
Dengan menggunakan platform penyenaraian dalam talian dan laman sewaan penginapan, anda boleh mengiklankan ruang kosong di rumah untuk disewakan. Contohnya, anda boleh menyewakan bilik tidur tambahan di pangsapuri atau rumah anda atau ruang lain seperti garaj, ruang bawah tanah atau atas rumah anda (jika ada).
Bergantung pada ruang yang anda ada dan kesanggupan untuk menguruskan, anda juga boleh menyewakan ruang untuk kegunaan berulang seperti studio seni atau ruang latihan muzik.
Anda juga boleh mempertimbangkan sewaan jangka pendek melalui platform seperti Airbnb. Pasaran sewaan percutian jangka pendek global dianggarkan bernilai $149.20 bilion (kira-kira RM702 bilion) pada 2025 dan dijangka meningkat kepada $362.41 bilion (kira-kira RM1.70 trilion) menjelang 2033.
Paling sesuai untuk: Pemilik hartanah atau penyewa yang ingin menjana pendapatan tambahan atau mengurangkan kos sara hidup.
Masa permulaan: Bergantung pada keadaan ruang dan sama ada perlu dibaik pulih sebelum disewakan.
Tahap usaha untuk bermula: Sederhana, termasuk pengurusan ruang dan komunikasi dengan penyewa.
Masa untuk bayaran pertama: Biasanya pada awal tempoh sewaan. Airbnb, sebagai contoh, akan memproses bayaran selepas tetamu mendaftar masuk.
Perkara yang perlu diketahui:
- Menyewakan ruang bermakna anda bertanggungjawab sebagai tuan rumah termasuk penyelenggaraan, pembaikan dan keselamatan ruang tersebut.
- Semak kesan terhadap insurans rumah dan cukai sebelum memulakan.
- Pastikan anda mematuhi peraturan tempatan berkaitan sewaan jangka pendek seperti Airbnb.
18. Sertai kumpulan fokus dalam talian
Perniagaan menggunakan kumpulan fokus untuk mendapatkan maklum balas yang lebih mendalam tentang produk dan perkhidmatan mereka. Biasanya, sesi ini menawarkan bayaran yang lebih tinggi berbanding tinjauan biasa dan boleh disertai secara dalam talian melalui alat persidangan video seperti Zoom atau Google Meet. Platform seperti User Interviews, Respondent dan FocusGroups.org merupakan antara platform yang boleh diterokai.
Paling sesuai untuk: Mereka yang selesa berkongsi pendapat dalam sesi berkumpulan.
Masa permulaan: Beberapa minit untuk mendaftar di platform kumpulan fokus.
Tahap usaha: Rendah sehingga sederhana.
Masa untuk bayaran pertama: Biasanya dalam tempoh satu hingga dua minggu selepas sesi kumpulan fokus selesai.
Perkara yang perlu diketahui:
- Kumpulan fokus biasanya memerlukan anda mengisi tinjauan saringan awal untuk menentukan kelayakan berdasarkan profil peserta. Tinjauan ini boleh menjadi agak terperinci dan memerlukan sedikit masa untuk disiapkan.
18. Jual kraf tangan atau hasil karya seni
Walaupun barangan buatan kilang boleh didapati dengan mudah, produk buatan tangan masih mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna. Malah, pasaran kraf terus berkembang dengan pesat. Pasaran kraf tangan global dijangka mencapai $1.2 trilion (kira-kira RM5.64 trilion) pada 2035, meningkat daripada $428 bilion (kira-kira RM2.01 trilion) pada 2025.
Anda boleh menjual barangan buatan tangan melalui platform seperti Etsy atau membina kedai sendiri menggunakan Shopify. Daripada pakaian yang dikait sehingga lukisan dan barang kemas buatan tangan, terdapat banyak peluang untuk diterokai.
Genna Tatu daripada Crochet by Genna berkata anda tidak perlu menunggu hasil kerja anda sempurna sebelum mula menjual. Menurutnya, jika produk itu sudah cukup mewakili idea asal dan anda selesa untuk menawarkan produk tersebut, anda boleh terus mula menjual. Setiap produk ada pasaran tersendiri.
Genna menjual amigurumi (anak patung kait) pada harga sekitar $5 (kira-kira RM23) untuk itik mini hingga $200 (kira-kira RM940) untuk Raksasa Loch Ness bersaiz besar. Harga bergantung pada jenis dan kerumitan hasil seni, dan beliau mencadangkan untuk merujuk harga produk seumpama di Etsy sebagai panduan.
Paling sesuai untuk: Individu kreatif yang menghasilkan dan menjual kraf tangan.
Masa permulaan: Beberapa jam untuk menyediakan kedai dan menyenaraikan produk.
Tahap usaha: Sederhana.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada platform dan jualan. Di Etsy, penjual baharu biasanya menerima bayaran secara mingguan, pada hari Isnin.
Perkara yang perlu diketahui:
- Asah kemahiran fotografi anda kerana foto e-dagang berkualiti tinggi amat penting untuk menjual produk buatan tangan dalam talian.
- Penceritaan membantu anda membina hubungan dengan khalayak. Ceritakan proses kreatif anda, bahan yang digunakan dan inspirasi di sebalik sesuatu karya untuk menarik minat pembeli. Genna menggunakan YouTube untuk berhubung dengan khalayaknya.
- Pembungkusan juga memainkan peranan penting dalam pengalaman pelanggan, termasuk sentuhan kecil seperti nota tulisan tangan. Pastikan juga bungkusan selamat supaya produk anda tidak rosak semasa penghantaran.
- Pertimbangkan untuk menjual produk digital (Genna menjual pola jahitan kait) untuk menjana pendapatan pasif.
20. Transkripsi audio dan video

Di Malaysia, terdapat beberapa platform yang menawarkan kerja sambilan sebagai pentranskripsi. Platform perkhidmatan transkripsi seperti Upwork dan Fiverr atau platform kerja bebas lain boleh menjadi tempat permulaan yang baik. Sesetengah tugasan mungkin memerlukan kelajuan menaip tertentu atau tahap penguasaan bahasa yang terbukti.
Walaupun bayaran berbeza mengikut tugasan dan kelajuan menaip, secara purata anda boleh menjana sekitar $150 (kira-kira RM700) sebulan melalui kerja transkripsi audio dan video.
Paling sesuai untuk: Individu dengan kelajuan menaip yang tinggi, perhatian terhadap perincian, dan penguasaan bahasa sumber yang baik.
Masa permulaan: Lebih kurang sejam.
Tahap usaha untuk bermula: Rendah.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada platform atau pelanggan.
Perkara yang perlu diketahui:
- Kebanyakan kerja transkripsi adalah kerja gig, bayaran dibuat berdasarkan minit audio atau jam kandungan yang ditranskrip.
21. Jadi pengurus media sosial
Perniagaan daripada pelbagai saiz memerlukan bantuan untuk mengurus akaun media sosial mereka. Jika anda boleh mencipta kandungan yang menarik dan mengembangkan pengikut di media sosial, anda boleh menawarkan perkhidmatan ini kepada jenama lain. Platform seperti Fiverr dan Upwork menyediakan pelbagai peluang kerja untuk pemula.
Paling sesuai untuk: Individu yang aktif di media sosial dan memahami platform seperti Instagram, TikTok dan Facebook dengan baik.
Masa permulaan: Beberapa jam untuk menyediakan profil dan mula mendapatkan pelanggan.
Tahap usaha: Sederhana hingga tinggi.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada terma pembayaran pelanggan. Di Upwork, dana biasanya tersedia dalam tempoh lima hari (kontrak harga tetap) hingga 10 hari (kontrak per jam).
Perkara yang perlu diketahui:
- Peranan ini memerlukan anda sentiasa peka terhadap trend dan perubahan algoritma platform. Kejayaan kandungan tular (viral) dipengaruhi oleh banyak faktor, jadi kemampuan menyesuaikan diri terhadap perubahan ini boleh meningkatkan penglibatan media sosial untuk pelanggan anda.
- Kemahiran analitik sangat membantu. Fahami metrik seperti kadar penglibatan, capaian, tera dan kadar penukaran untuk menunjukkan keberkesanan strategi anda kepada pelanggan.
- Kemahiran komunikasi yang baik adalah penting untuk membina kepercayaan dan mendapatkan kontrak jangka panjang.
22. Cipta dan jual bahan cetak digital
Jika anda mempunyai bakat dalam reka bentuk, menjual bahan cetak digital boleh menjadi sumber pendapatan tambahan untuk pemula. Bahan cetak digital ialah fail digital yang boleh dimuat turun oleh pelanggan dan dicetak sendiri. Beberapa contoh termasuk perancang, templat, hiasan parti, lembaran kerja dan buku mewarna. Anda boleh menjual bahan cetak digital di platform seperti Etsy atau melalui laman web sendiri.
Paling sesuai untuk: Individu kreatif dengan kemahiran reka bentuk asas.
Masa permulaan: Beberapa jam untuk mencipta dan menyenaraikan bahan cetak digital.
Tahap usaha: Rendah hingga sederhana.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada platform dan jualan. Sesetengah platform membuat pembayaran secara bulanan.
Perkara yang perlu diketahui:
- Fokus pada niche tertentu boleh membantu meningkatkan jualan dan membezakan produk anda dalam pasaran yang berdaya saing.
- Sediakan versi boleh disesuaikan supaya pelanggan boleh mengubah mengikut keperluan mereka.
- Gunakan model kasar pada halaman produk untuk menunjukkan gambaran sebenar hasil cetakan selepas dibeli.
23. Ulas produk secara dalam talian
Tulis ulasan yang terperinci dan jujur tentang produk yang anda gunakan dan jana pendapatan dalam talian. Sesetengah platform menawarkan bayaran untuk ulasan produk, manakala ada juga yang memberikan produk percuma sebagai pertukaran kepada maklum balas anda.
Paling sesuai untuk: Mereka yang suka mencuba produk baharu dan menulis ulasan.
Masa permulaan: Beberapa minit untuk mendaftar di platform ulasan.
Tahap usaha: Rendah.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada platform, biasanya dalam beberapa minggu selepas ulasan dihantar.
Perkara yang perlu diketahui:
- Platform mengutamakan ulasan yang berkualiti, jujur dan terperinci. Maklum balas yang baik membantu meningkatkan peluang anda menerima lebih banyak tugasan.
- Setiap platform mempunyai garis panduan tertentu seperti panjang ulasan, keperluan gambar dan format penulisan. Pastikan anda mengikuti garis panduan ini supaya ulasan diterima dan diterbitkan.
24. Jadi pencipta kandungan jana pengguna (UGC)
Anda tidak perlu mempunyai pengikut yang ramai untuk menjana wang melalui media sosial. Kini, jenama membayar orang biasa untuk menghasilkan kandungan yang asli dan mudah dikaitkan atau dikenali sebagai kandungan UGC. Menurut Laporan Pemasaran Pempengaruh 2025 oleh Collabstr, bilangan pencipta UGC meningkat sebanyak 93% dari tahun ke tahun.
Sebagai pencipta UGC, tugas anda ialah menghasilkan kandungan yang memaparkan produk sesebuah jenama tetapi kelihatan seperti hantaran pengguna biasa yang tulen.
Paling sesuai untuk: Individu celik media sosial yang gemar menghasilkan kandungan video pendek.
Masa permulaan: Beberapa jam untuk membina portfolio dan profil di platform seperti TikTok dan Instagram.
Tahap usaha: Sederhana, memerlukan kreativiti dan pemikiran kritis untuk bekerjasama dengan jenama yang sesuai.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada pelanggan, biasanya dalam tempoh 7 hingga 15 hari selepas kandungan diluluskan.
Perkara yang perlu diketahui:
- Sediakan tiga hingga lima video contoh menggunakan produk yang sudah dimiliki untuk membina portfolio sebelum mendekati jenama.
- Gunakan platform seperti TikTok, Instagram untuk mencari peluang kerjasama dengan jenama.
25. Tawarkan perkhidmatan berasaskan AI
Perkembangan alat AI dalam dunia perniagaan telah mewujudkan kategori baharu kerja bebas yang sesuai untuk pemula. Anda boleh menggunakan AI untuk menawarkan perkhidmatan seperti idea kandungan media sosial, penulisan blog, reka bentuk logo dan juga panduan asas penggunaan AI kepada perniagaan.
Peranan anda ialah membimbing AI, memilih output terbaik dan menggunakan kepakaran anda untuk memperkemas produk akhir dengan sentuhan manusia supaya lebih kemas dan profesional. Ramai pelanggan sanggup membayar untuk kelajuan dan kecekapan yang ditawarkan oleh perkhidmatan berasaskan AI.
Paling sesuai untuk: Individu yang berminat dengan teknologi dan suka meneroka alat digital baharu.
Masa permulaan: Kurang daripada seminggu untuk memahami asas alat AI utama.
Tahap usaha: Rendah hingga sederhana.
Masa untuk bayaran pertama: Bergantung pada platform kerja bebas. Contohnya di Upwork atau Fiverr, bayaran biasanya boleh dikeluarkan sekitar 14 hari selepas tugasan selesai.
Perkara yang perlu diketahui:
- Pelajari cara menulis prompt yang berkesan untuk alat AI. Pelanggan tidak hanya mencari seseorang yang “menaip arahan pada AI” tetapi mereka mahukan hasil yang tersusun dan berkualiti.
- Biasakan diri dengan versi percuma atau pelan asas alat seperti ChatGPT dan Claude. Anda juga boleh meneroka alat seperti Midjourney atau Adobe Firefly untuk penjanaan imej.
Senarai semak untuk pemula
Internet dipenuhi dengan pelbagai peluang untuk menjana pendapatan tetapi tidak semuanya sah. Gunakan senarai semak ini untuk memastikan anda bermula dengan selamat:
1. Berwaspada terhadap penipuan. Kenali tanda amaran penipuan dalam talian. Jika seseorang menjanjikan pendapatan tinggi dengan kerja yang sangat sedikit atau tanpa usaha, berkemungkinan besar iklan ini tidak benar. Elakkan juga mana-mana pihak yang meminta bayaran untuk “latihan” atau untuk memulakan kerja. Jika ragu-ragu, lakukan semakan dan rujuk sumber yang dipercayai.
2. Sediakan cara untuk menerima bayaran. Buka akaun dengan sistem pembayaran yang dipercayai seperti PayPal, Wise atau Payoneer. Platform ini menyediakan kaedah selamat untuk menerima bayaran dari seluruh dunia tanpa kelewatan.
3. Fahami asas cukai. Pendapatan dalam talian biasanya dianggap sebagai pendapatan bercukai. Simpan rekod setiap pendapatan yang diterima dan semak peraturan cukai yang terpakai untuk mengelakkan sebarang isu di kemudian hari.
Cara memilih idea buat duit dalam talian yang sesuai
Dengan 25 pilihan yang ada, memilih idea yang paling sesuai untuk menjana pendapatan tambahan secara dalam talian mungkin boleh memeningkan anda. Kaedah “terbaik” tidak sama untuk semua orang kerana bergantung pada situasi masing-masing. Untuk membantu anda membuat pilihan, tanya diri anda empat soalan ini:
- Berapa banyak masa yang anda ada? Jika anda hanya mempunyai 15–20 minit sehari, kekal dengan tugasan mikro seperti mengisi tinjauan dalam talian atau menguji laman web. Jika anda mempunyai lebih banyak masa, anda boleh mencuba projek yang lebih besar seperti menjadi pembantu maya atau kerja bebas.
- Adakah anda perlukan wang sekarang atau kemudian? Jika anda perlukan wang tunai untuk bil yang perlu dibayar minggu depan, pilihan seperti menjual barangan terpakai atau melakukan kerja transkripsi lebih sesuai kerana cara ini menawarkan bayaran lebih cepat. Jika anda ingin membina pendapatan jangka panjang dan sanggup menunggu hasilnya, pilih laluan dengan potensi pertumbuhan seperti memulakan blog atau pemasaran afiliasi.
- Berapakah bajet anda? Kebanyakan idea dalam senarai ini boleh dimulakan tanpa kos tetapi ada juga yang memerlukan sedikit pelaburan seperti dropship atau pembelian nama domain. Jika bajet anda RM0, fokus pada kerja berasaskan perkhidmatan seperti penulisan, tunjuk ajar atau perundingan yang hanya memerlukan masa sebagai pelaburan utama anda.
- Apakah yang anda suka lakukan? Kemampanan ialah kunci. Jika anda tidak suka bercakap di telefon, elakkan peranan yang melibatkan khidmat pelanggan. Jika anda suka berkreatif, anda mungkin lebih sesuai dengan cetak atas permintaan atau penciptaan UGC. Anda lebih berkemungkinan berjaya jika anda benar-benar menikmati kerja tersebut.
Mula menjana wang dalam talian hari ini, pengalaman kerja tidak diperlukan
Bersedia untuk menjana wang dalam talian sebagai pemula? Anda kini mempunyai banyak idea untuk bermula. Sama ada anda berminat dengan kerja mudah seperti kemasukan data atau ingin membina kedai dalam talian, perjalanan anda bermula dengan satu langkah. Pilih satu kaedah dan mulakan hari ini — berhenti menatal, mula menjana.
Soalan lazim: Cara menjana wang dalam talian untuk pemula
Bagaimana pemula boleh mula menjana pendapatan dalam talian?
Untuk memahami cara menjana wang dalam talian bagi pemula, pertimbangkan kemahiran yang anda ada, ketersediaan masa dan seberapa cepat anda mahu mula menjana pendapatan. Anda boleh menjana wang dalam talian melalui pelbagai cara, walaupun tanpa pengalaman.
Peluang menjana wang untuk pemula termasuk:
- Menjual barangan dalam talian melalui Facebook Marketplace
- Mencari tugasan di platform kerja bebas
- Mengisi tinjauan dalam talian
- Menawarkan tunjuk ajar dalam talian atau menjual kursus dalam talian
- Kerja kemasukan data
- Menjana pendapatan melalui iklan di blog atau saluran YouTube
- Membina kedai e-dagang sendiri untuk menjual produk cetak atas permintaan
Bolehkah anda menjana RM100 sehari secara dalam talian?
Anda boleh menjana wang dalam talian melalui pelbagai cara. Peluang untuk menjana sekurang-kurangnya RM100 sehari boleh dicapai bergantung pada kaedah yang dipilih, tahap kemahiran dan jumlah masa yang anda sanggup luangkan.
Dengan usaha yang konsisten, kaedah berikut berpotensi menjana lebih daripada RM100 sehari:
- Pemasaran afiliasi
- Pendapatan iklan daripada blog atau saluran YouTube
- Kerja kemasukan data jarak jauh
- Perkhidmatan kerja bebas dan perundingan
- Penciptaan kandungan media sosial
- Perniagaan dropship
- Penciptaan dan penjualan kursus dalam talian
Bagaimana saya boleh menjana wang dalam talian dengan cepat tanpa pengalaman?
Untuk menjana wang dalam talian dengan cepat tanpa pengalaman, pertimbangkan pilihan yang memerlukan sedikit masa dan usaha permulaan seperti menyewakan barangan atau menjual barangan terpakai di platform jual beli tempatan. Peranan seperti kemasukan data, transkripsi dan pembantu maya biasanya hanya memerlukan sambungan internet dan peranti asas.

