Sesetengah pekerja profesional menjual perkhidmatan mereka sebagai perunding; ada pula yang bekerja bebas untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan utama.
Walau apa-apa pun haluan yang anda pilih, sama ada sebagai kerjaya sepenuh masa atau pekerjaan sampingan, anda boleh membuat duit di Fiverr.
Fiverr ialah pasaran kerja bebas yang menghubungkan pekerja bebas dengan bakal pelanggan. Tugasan merangkumi lebih daripada 700 kategori berbeza, termasuk reka bentuk grafik, muzik dan audio, pengaturcaraan dan teknologi serta pemasaran digital. Senaraikan tugasan Fiverr dalam salah satu kategori ini supaya anda mudah ditemui apabila pelanggan mencari perkhidmatan yang anda tawarkan.
Sama ada anda seorang ibu atau bapa yang mengurus rumah tangga, seorang pelajar kolej atau sedang mencari cara membuat duit dalam masa sejam, peluang sentiasa ada untuk anda. Panduan ini berkongsi idea untuk membuat duit di Fiverr berserta panduan untuk meningkatkan pendapatan dan kesilapan yang perlu dielakkan.
Apa itu Fiverr?
Fiverr ialah pasaran dalam talian yang menghubungkan pekerja bebas dengan perniagaan yang memerlukan perkhidmatan mereka. Pekerja bebas Fiverr menyenaraikan kemahiran atau perkhidmatan yang boleh ditawarkan oleh mereka. Pembeli melihat kategori-kategori ini untuk mencari perkhidmatan yang diperlukan.
Kategori di Fiverr termasuk:
- Grafik dan reka bentuk
- Pemasaran digital dan pemasaran media sosial
- Penulisan dan penterjemahan
- Video dan animasi
- Kemasukan data
- Muzik dan audio
- Pengaturcaraan dan teknologi
- Perniagaan
- Fotografi
Fiverr telah berkembang pesat menjadi sebuah platform terkemuka yang membantu pekerja bebas menjana wang dalam talian dan membantu perniagaan memperoleh pelanggan di seluruh dunia. Platform ini bermula pada tahun 2010 dengan misi untuk mengubah cara orang bekerjasama. Pada tahun 2025, syarikat ini mencatatkan pendapatan sebanyak $430.9 juta (kira-kira RM1.75 bilion), meningkat 10.1% berbanding tahun sebelumnya.
Fiverr turut mengendalikan Fiverr Pro—versi premium pasaran ini yang menawarkan senarai pekerja bebas terpilih kepada pembeli. Sesiapa sahaja boleh memohon untuk menjadi pekerja bebas Fiverr Pro. Selain peluang disyorkan oleh Fiverr, peringkat percuma ini memberi anda:
- Lencana pro pada profil Fiverr anda
- Akses kepada katalog Pro
- Sehingga lima pengesahan daripada pelanggan di luar Fiverr
- Komuniti eksklusif pekerja bebas Pro yang lain
- Perlindungan pelanggan tambahan jika pelanggan membatalkan pesanan dalam tempoh 14 hari
Cara bermula di Fiverr
Untuk mula bekerja bebas di Fiverr, buka akaun percuma dan cipta profil. Sesuaikan nama paparan anda, muat naik foto profil dan perkenalkan diri anda kepada bakal pelanggan melalui penerangan ringkas.
Semua penjual mesti mengesahkan akaun mereka sebelum menyenaraikan perkhidmatan di Fiverr.
Setelah selesai, cipta tugasan Fiverr (senarai bagi perkhidmatan anda). Fiverr menggunakan tahap kerja bebas untuk mengehadkan bilangan tugasan yang boleh disiarkan. Pekerja bebas bertaraf tinggi boleh mencipta 30 senarai, manakala penjual baharu terhad kepada empat senarai sahaja.
Untuk mencipta tugasan Fiverr, anda perlu menyediakan:
- Tajuk. Fiverr secara automatik memulakan tajuk dengan “Saya akan …” Isi ruang kosong dengan perkhidmatan yang anda tawarkan. Contohnya, jika anda menjual pakej reka bentuk logo, tajuk tugasan Fiverr anda mungkin begini, “Saya akan menghasilkan logo profesional untuk perniagaan penjagaan kesihatan anda.” Sertakan kategori dan jenis perkhidmatan.
- Skop dan harga. Fiverr menggalakkan pekerja bebas menghasilkan pakej asas, standard dan premium. Contohnya, jika anda seorang pereka grafik, pakej asas anda mungkin merangkumi satu reka bentuk dan satu pusingan semakan, manakala pakej standard merangkumi perundingan melalui persidangan video, satu reka bentuk dan dua pusingan semakan.
- Penerangan tugasan dan Soalan Lazim. Terangkan perkhidmatan anda menggunakan kurang daripada 1,200 aksara dan sertakan sehingga 10 Soalan Lazim untuk menjawab pertanyaan daripada bakal pelanggan dengan lebih awal.
- Keperluan. Jelaskan perkara yang anda perlukan daripada pembeli untuk menyiapkan kerja anda. Contohnya, seorang penulis kandungan mungkin memerlukan panduan gaya jenama. Menurut Fiverr, maklumat ini membantu mengelakkan salah faham dan menjimatkan masa anda.
- Galeri. Muat naik sekurang-kurangnya satu imej pada tugasan Fiverr anda. Imej ini boleh menjadi sampel hasil kerja anda—seperti galeri laman web yang anda reka jika anda menjual perkhidmatan reka bentuk atau karusel video yang anda sunting jika anda menawarkan perkhidmatan penyuntingan video.
Cara membuat duit di Fiverr
- Menjadi pembantu maya
- Menawarkan perkhidmatan penulisan iklan
- Menyediakan perkhidmatan reka bentuk laman web
- Bekerja sebagai penterjemah
- Menjadi artis alih suara
- Mencipta muzik
- Mereka bentuk logo
- Menulis artikel blog
Berikut ialah cara penjual Fiverr boleh membuat duit di platform ini:
1. Menjadi pembantu maya
Pembantu maya (VA) menawarkan sokongan pentadbiran kepada pemilik perniagaan lain. Tugasan ini mungkin merangkumi penjadualan mesyuarat, penghantaran e-mel dan pelaksanaan tugas pentadbiran lain supaya pelanggan anda dapat menumpukan perhatian pada bahagian perniagaan yang lain.
Untuk bermula, cipta tugasan VA di Fiverr dan tonjolkan pengalaman pentadbiran anda. Contohnya, jika anda pernah mengurus lawatan kerja untuk majikan anda, sertakan perkara ini dalam senarai perkhidmatan anda.
Pertimbangkan untuk memilih niche—contohnya, menjadi VA pakar untuk firma guaman atau VA yang mahir dalam platform Notion. Cara ini membolehkan anda menonjol berbanding VA umum di pasaran kerja bebas Fiverr.
Potensi pendapatan: Data Fiverr pada tahun 2026 menunjukkan purata VA yang menggunakan platform kerja bebas ini mengenakan kadar upah antara $47 (kira-kira RM191) hingga $60 (kira-kira RM244) sejam. Kadar upah bagi projek pada harga tetap pula adalah dalam lingkungan $28 (kira-kira RM114) hingga $91 (kira-kira RM370).
2. Menawarkan perkhidmatan penulisan iklan
Perniagaan mengupah penulis iklan untuk menulis e-mel, iklan digital, halaman pendaratan laman web, skrip komersial dan teks promosi. Industri ini sedang berkembang pesat: Laporan daripada Mordor Intelligence mendapati bahawa pasaran penulisan iklan akan mencapai $45.24 bilion (kira-kira RM184.03 bilion) menjelang tahun 2031.
Cipta tugasan penulisan iklan dan mulakan dengan sampel penulisan untuk mempamerkan kemahiran anda. Jika anda belum mempunyai hasil kerja daripada pelanggan, tulis sampel untuk jenama rekaan atau tulis semula halaman utama untuk jenama sebenar bagi menunjukkan penambahbaikan yang ingin anda syorkan. Muat naik sampel ini sebagai dokumen PDF portfolio terus pada tugasan Fiverr anda.
Potensi pendapatan: Laporan AWAI pada tahun 2025 mendapati bahawa kadar purata bagi penulisan iklan SEO dan CRO untuk halaman utama adalah dalam lingkungan $1,500 (kira-kira RM6,100) hingga $3,000 (kira-kira RM12,200).
3. Menyediakan perkhidmatan reka bentuk laman web
Pereka laman web membina dan mereka gaya laman web. Anda akan bertanggungjawab terhadap susun atur, tipografi, warna dan pengalaman pengguna bagi laman web pelanggan.
Seperti penulisan iklan, ini merupakan satu kemahiran yang boleh digunakan dalam hampir setiap industri dan perniagaan. Pembeli yang mahukan laman web yang melangkaui templat sedia ada sanggup membayar harga yang tinggi untuk pembangun laman web yang berbakat.
Laman web dikodkan dalam bahasa pengaturcaraan seperti JavaScript, Python atau PHP, atau dibina dalam sistem pengurusan kandungan (CMS) seperti WordPress atau AEM. Sertakan bahasa pengaturcaraan dan sistem CMS yang paling anda kuasai dalam senarai tugasan Fiverr anda.
Potensi pendapatan: Data daripada Clutch pada tahun 2026 menunjukkan bahawa pereka laman web mengenakan kadar upah antara $100 (kira-kira RM407) hingga $149 (kira-kira RM606) sejam.
4. Bekerja sebagai penterjemah
Jana pendapatan daripada bahasa yang anda kuasai di Fiverr dengan menawarkan perkhidmatan transkripsi bebas. Tugas anda adalah untuk mengambil teks daripada bahasa ibunda pelanggan dan menyesuaikan teks tersebut untuk rantau lain.
Cipta tugasan bagi setiap pasangan bahasa yang anda kendalikan berbanding hanya menggunakan satu senarai yang merangkumi semua bahasa. Jika anda mempunyai kelayakan rasmi (ijazah dalam bidang linguistik, pensijilan daripada badan profesional seperti ITBM atau pengalaman profesional dalam bidang pengkhususan), sertakan maklumat ini pada profil Fiverr anda.
Untuk mempercepat aliran kerja anda, gunakan alat AI generatif untuk menterjemah teks bagi pihak anda. Semak ketepatan hasil terjemahan sebelum menghantar teks terjemahan anda kepada pelanggan.
Potensi pendapatan: Penterjemah profesional mengenakan kadar upah antara 15¢ (kira-kira RM0.61) hingga 30¢ (kira-kira RM1.22) bagi setiap perkataan.
5. Menjadi artis alih suara
Sebagai artis alih suara, anda boleh menjadi suara bagi watak kartun yang menyeronokkan, watak permainan video atau pengulas bagi iklan komersial. Jika anda mempunyai pengalaman sebagai penyanyi, juruhebah radio atau pengaudio siar, cara menjana pendapatan sampingan begini boleh menjadi haluan baharu untuk mengukuhkan lagi kedudukan kewangan anda.
Anda memerlukan beberapa peralatan asas untuk menjana wang melalui perniagaan sampingan Fiverr ini, termasuk mikrofon, bilik rakaman senyap dan peranti untuk merakam bunyi. Gunakan alat audio AI seperti Descript atau VEED untuk membuang bunyi latar semasa proses pascaproduksi.
Rakam satu demo suara yang merangkumi dua atau tiga gaya penyampaian—perbualan, korporat dan bertenaga—kemudian gunakan demo tersebut sebagai sampel tugasan Fiverr anda.
Potensi pendapatan: Kadar purata bagi seorang artis alih suara ialah $38.42 (kira-kira RM156.28) sejam.
6. Mencipta muzik
Daripada dendang iklan komersial hingga karya gubahan, pemuzik boleh menjana wang di Fiverr dengan menyenaraikan perkhidmatan mereka. Pasaran Fiverr mempunyai kategori untuk penerbitan muzik, gubahan dan penghasilan rentak.
Susun tugasan anda pada satu kegunaan khusus, seperti “muzik latar untuk video YouTube” atau “dendang 30 saat untuk iklan.” Bakal pembeli mungkin mencari kata kunci ekor panjang ini di Fiverr—memasukkan kata kunci begini dalam senarai perkhidmatan anda dapat meningkatkan peluang untuk muncul dalam carian tersebut.
Potensi pendapatan: Kadar purata sejam bagi seorang penerbit muzik ialah $29.68 (kira-kira RM120.73).
7. Mereka bentuk logo
Jika anda sudah bekerja sebagai pereka grafik dalam kerjaya sepenuh masa atau mempunyai pengalaman menggunakan alat reka bentuk AI seperti Adobe dan Figma, mencipta logo di Fiverr boleh menjadi satu cara untuk anda menjana lebih banyak wang.
Untuk bermula, bina portfolio logo yang telah anda reka—walaupun ini bermakna anda perlu mereka bentuk logo untuk jenama rekaan atau mengubah suai logo sedia ada untuk jenama sebenar. Cara ini menunjukkan kreativiti dan kemahiran reka bentuk anda kepada bakal pelanggan.
Lengkapkan senarai perkhidmatan logo anda dengan perkhidmatan reka bentuk grafik yang lain. Contohnya, anda boleh menawarkan reka bentuk grafik media sosial atau reka bentuk pembungkusan produk bersama-sama perkhidmatan logo untuk memberikan nilai tambah kepada pelanggan.
“Jika anda ingin menjual sesuatu, anda benar-benar perlu mula memikirkan tentang pelanggan,” kata Dustin Lee, bekas pereka bebas dan pengasas RetroSupply, dalam wawancara bersama Shopify Masters. “Anda tidak boleh hanya memikirkan tentang integriti artistik sendiri.”
Potensi pendapatan: Data Fiverr menunjukkan bahawa pereka logo kreatif mengenakan kadar upah sekurang-kurangnya $75 (kira-kira RM305).
8. Menulis artikel blog
Perniagaan menggunakan blog untuk berkongsi perkembangan terkini syarikat, maklumat mengenai produk dan perkhidmatan serta mendidik pelanggan mereka.
Jika anda mempunyai pendidikan rasmi dalam penulisan kandungan atau sudah pun bekerja sebagai penulis kandungan, tawarkan perkhidmatan penulisan blog di Fiverr. Cipta tugasan dan pautkan pada sampel penulisan yang telah diterbitkan, seperti blog peribadi, artikel Medium atau artikel tetamu.
Kajian Orbit Media pada tahun 2025 mendapati bahawa 63% pemasar kandungan menghadapi kesukaran untuk menarik pelawat daripada carian. Bantu pelanggan Fiverr mengatasi cabaran ini dengan mempelajari cara mengoptimumkan kandungan blog anda untuk SEO.
Potensi pendapatan: Data daripada AWAI pada tahun 2025 mendapati bahawa penulis bebas mengenakan kadar upah antara $250 (kira-kira RM1,000) hingga $800 (kira-kira RM3,300) bagi setiap artikel blog.
Panduan membuat duit di Fiverr
Berikut ialah cara mengembangkan perniagaan sampingan anda di Fiverr:
- Tunjukkan hasil kerja anda. Cipta portfolio Fiverr untuk mempamerkan pengalaman, hasil kerja terdahulu dan kemahiran anda.
- Optimumkan profil Fiverr anda. Gunakan alat penyelidikan kata kunci Fiverr untuk mencari istilah yang dicari oleh pelanggan ideal anda, kemudian masukkan istilah tersebut dalam profil, tajuk tugasan dan penerangan anda. Tambah imej berkualiti tinggi, sampel hasil kerja dan tag yang berkaitan.
- Tetapkan harga yang kompetitif. Lihat tugasan serupa untuk menetapkan harga yang kompetitif dan nilai tawaran mereka untuk melihat jika terdapat sebarang perkhidmatan tambahan yang boleh anda jual untuk tampil lebih menyerlah.
- Minta ulasan. Selepas anda memperoleh beberapa pelanggan pertama, minta lebih banyak ulasan untuk membina kredibiliti anda.
- Berkomunikasi dengan jelas. Berikan perkembangan terkini sepanjang proses kerja anda berjalan. Balas sebarang pertanyaan pelanggan dengan pantas dan ajukan soalan sebagai balasan. Pastikan anda benar-benar faham perkara yang dikehendaki oleh pelanggan. Pembantu peribadi dikuasakan AI di Fiverr boleh membantu.
Kelebihan dan kekurangan membuat duit di Fiverr
Kelebihan membuat duit di Fiverr termasuk:
- Mudah untuk bermula. Anda boleh mencipta akaun dan menyenaraikan perkhidmatan secara percuma di Fiverr.
- Akses kepada pelanggan. Fiverr mempunyai lebih 3.1 juta pembeli aktif setakat bulan Disember 2025. Menyenaraikan perkhidmatan anda di pasaran ini memberi anda peluang untuk mendapatkan perhatian pembeli tersebut.
- Pembeli berbelanja besar. Laporan yang sama mendapati bahawa pembeli Fiverr membelanjakan secara purata sebanyak $342 (kira-kira RM1,391) setahun—meningkat daripada $302 (kira-kira RM1,228) pada tahun sebelumnya.
- Program afiliasi. Tambah pendapatan anda dengan menjadi ahli afiliasi Fiverr. Fiverr memberikan komisen antara 25% hingga 100% untuk pesanan pertama pelanggan, diikuti perkongsian pendapatan sebanyak 10% bagi sebarang pesanan Fiverr lain yang dibuat oleh pelanggan dalam tempoh 12 bulan pertama.
Cabaran bekerja bebas di Fiverr termasuk:
- Yuran Fiverr. Fiverr mengenakan komisen sebanyak 20% bagi setiap tugasan yang anda siapkan. Contohnya, jika anda mengenakan kadar upah sebanyak $200 (kira-kira RM800) untuk satu perkhidmatan, anda hanya akan menerima $160 (kira-kira RM650) selepas Fiverr menolak yuran.
- Persaingan yang sengit. Fiverr ialah platform percuma untuk disertai oleh sesiapa sahaja, ini bermakna persaingan boleh menjadi sangat sengit. Sebagai gambaran: terdapat lebih daripada 230,000 senarai tugasan dalam kategori reka bentuk logo.
- Eksklusiviti platform. Fiverr melarang pekerja bebas membawa pelanggan yang mereka temukan di platform ini keluar dari Fiverr—semua pembayaran mesti diproses melalui pasaran ini.
Atasi halangan terhadap pendapatan Fiverr anda dengan mencari pelanggan anda sendiri. Layari papan kerja bebas, hubungi rangkaian kenalan anda dan tawarkan perkhidmatan terus kepada jenama untuk mendapatkan pekerjaan di luar Fiverr.
Soalan Lazim membuat duit di Fiverr
Bagaimana pemula membuat duit di Fiverr?
Untuk membuat duit di Fiverr sebagai pemula:
- Cipta akaun Fiverr, sediakan tugasan anda dan tawarkan hasil kerja anda kepada khalayak global Fiverr.
- Selepas menerima pesanan, sahkan keperluan pelanggan dan serahkan projek mengikut tarikh akhir.
- Setelah anda menyerahkan hasil kerja akhir kepada pelanggan dan menerima bayaran, anda boleh mengeluarkan dana daripada akaun Fiverr anda.
Adakah Fiverr cara yang baik untuk membuat duit?
Tugasan Fiverr menawarkan cara yang fleksibel untuk membuat duit secara dalam talian, membolehkan pekerja bebas menetapkan harga sendiri dan memilih pekerjaan yang paling sesuai untuk mereka. Jumlah wang yang anda peroleh bergantung pada cara anda memasarkan diri, pengalaman dan kemahiran anda, kadar upah anda serta kualiti hasil kerja anda.
Apa yang boleh anda jual di Fiverr?
Fiverr direka untuk pekerja bebas menawarkan perkhidmatan mereka. Anda boleh menjual kemahiran sebagai penulis, pereka, pentadbir perniagaan atau jurugambar. Tugasan Fiverr merangkumi ilustrasi, lagu asal, e-mel, blog dan suntingan video.
Berapa banyak wang yang boleh anda peroleh di Fiverr?
Tiada jumlah wang yang tetap yang boleh anda peroleh di Fiverr—pendapatan dipengaruhi oleh penetapan harga anda dan pekerjaan yang anda pilih. Sebagai gambaran, data Fiverr menunjukkan bahawa VA bebas boleh memperoleh antara $47 (kira-kira RM191) hingga $60 (kira-kira RM244) sejam, manakala pereka jenama mengenakan bayaran sekurang-kurangnya $75 (kira-kira RM305) bagi setiap projek.

