TikTok melancarkan Program Ganjaran Pencipta (Creator Rewards Program) pada 2024 bagi menggantikan Dana Pencipta TikTok (TikTok Creator Fund). Program ini memberi ganjaran kewangan kepada pencipta yang layak kerana menghasilkan video asli berkualiti tinggi. Namun, program terbina dalam TikTok hanyalah satu daripada pelbagai cara buat duit di TikTok.
Selain itu, anda juga boleh buat duit melalui kerjasama dengan jenama. Menurut laporan 2026 daripada platform pemasaran influencer Collabstr, perniagaan membayar pencipta TikTok secara purata $186 bagi setiap projek. Malah, ramai pencipta TikTok terkenal tidak lagi bergantung pada kerjasama dengan jenama semata-mata. Sebaliknya, mereka turut melancarkan perniagaan sendiri, seperti Alix Earle yang mengasaskan Reale Actives.
Dalam artikel ini, anda akan mempelajari cara buat duit di TikTok, termasuk pelbagai strategi untuk bermula serta tip daripada pencipta popular.
9 cara buat duit di TikTok
Terdapat pelbagai cara buat duit di platform media sosial ini, sama ada melalui program yang ditawarkan oleh TikTok atau peluang di luar platform.
1. Kumpul tip
Anda boleh mengumpul tip di TikTok, sama seperti menggunakan balang tip dalam kehidupan sebenar. Penonton yang menyukai video anda boleh menunjukkan penghargaan dengan memberi tip, sama ada dalam jumlah kecil atau besar mengikut kemampuan masing-masing.
TikTok menyediakan ciri Tip terbina dalam yang membolehkan anda menerima bayaran melalui pemproses pembayaran Stripe. Untuk melayakkan diri, anda perlu berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, mempunyai 100,000 pengikut, akaun yang berada dalam kedudukan baik serta akaun Stripe.
Anda boleh memohon sebaik sahaja memenuhi syarat kelayakan tersebut. TikTok tidak mengambil sebarang bahagian daripada tip yang diterima, tetapi yuran pemprosesan masih dikenakan.
Jika anda belum memenuhi syarat kelayakan, anda masih boleh menerima tip dengan berkongsi maklumat pembayaran (seperti nama pengguna Venmo) dalam kapsyen video. Selain itu, jika anda mempunyai 1,000 pengikut atau lebih, anda boleh menambah pautan boleh klik pada bio TikTok untuk memudahkan penonton mengakses akaun pembayaran anda. Kaedah ini juga membolehkan anda menggunakan platform pemberian tip lain, seperti Buy Me a Coffee dan Ko-fi.
2. Sertai Program Ganjaran Pencipta
TikTok membayar pengguna yang menyertai Program Ganjaran Pencipta kerana menghasilkan video asli yang berdurasi melebihi satu minit. Untuk melayakkan diri, anda perlu berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, mempunyai akaun peribadi yang berada dalam kedudukan baik, mempunyai 10,000 pengikut atau lebih, serta memperoleh sekurang-kurangnya 100,000 tontonan video dalam tempoh 30 hari yang lalu.
Program ini hanya terbuka kepada pencipta kandungan yang menetap di AS, UK, Jerman, Jepun, Perancis, Mexico, Korea Selatan dan Brazil.
Tiada jumlah pendapatan tetap yang boleh anda peroleh melalui program ganjaran ini. Ada pencipta kandungan yang hanya memperoleh beberapa sen, manakala ada juga yang menjana ribuan dolar setiap bulan.
Ganjaran asas anda (yang dikira oleh TikTok berdasarkan tontonan yang layak) serta ganjaran tambahan (yang dipengaruhi oleh kadar pengekalan, nilai carian, tempoh tontonan dan kadar penyelesaian video) menentukan hasil per mille (RPM), iaitu hasil bagi setiap 1,000 tontonan yang layak.
TikTok akan memaklumkan apabila anda layak menyertai program ini. Anda juga boleh menyemak status kelayakan dengan membuka TikTok Studio pada halaman profil. Di bahagian pengewangan, pilih Program Ganjaran Pencipta untuk memohon atau menyemak sama ada anda layak.
3. Peroleh komisen melalui program afiliasi TikTok Shop
Melalui program pemasaran afiliasi, anda mempromosikan produk di blog, akaun media sosial dan platform digital lain menggunakan pautan penjejakan unik. Jika produk dibeli melalui pautan tersebut, anda akan menerima komisen. Program afiliasi TikTok Shop berfungsi dengan cara yang sama, tetapi keseluruhan proses berlaku dalam TikTok.
Untuk melayakkan diri, anda perlu mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 pengikut. Selepas itu, anda boleh memohon untuk menyertai TikTok Shop.
Selepas permohonan diluluskan, anda boleh menambah produk ke dalam TikTok Pameran (Showcase), iaitu ruang pameran produk pada profil anda yang boleh memaparkan sehingga 2,000 produk. Pilih produk daripada TikTok Pasaran Produk (TikTok Product Marketplace), tambah produk yang pernah anda beli melalui troli beli-belah, atau terima jemputan daripada jenama. Minta sampel daripada penjual atau perniagaan supaya anda dapat berkongsi pengalaman sebenar tentang produk yang dipromosikan.
Promosikan produk melalui video, semasa siaran langsung dan pada halaman profil anda. Platform ini turut memaparkan teks secara automatik untuk memaklumkan bahawa pencipta menerima komisen.
Sebagai contoh, halaman profil pencipta @rachelle.xox memaparkan ikon Pameran. Apabila anda membuka TikTok Pameran tersebut, anda akan melihat notis pendedahan bahawa pencipta menerima komisen.
Rachelle turut mempromosikan produk melalui TikTok Live. Dalam satu siaran langsung, beliau memperkenalkan jurnal Daily Ritmo sambil menerangkan ciri jurnal tersebut kepada penonton. Semasa beliau membincangkan produk tersebut, pautan boleh klik dipaparkan di sudut kanan skrin untuk menggalakkan penonton membuat pembelian.
TikTok mencadangkan kadar komisen bagi setiap produk. Walau bagaimanapun, kadar komisen ditentukan oleh perniagaan.
Jika anda tidak memenuhi syarat untuk memohon program afiliasi terbina dalam TikTok Shop, anda masih boleh menggunakan TikTok untuk pemasaran afiliasi. Namun, anda tidak boleh mencipta Pameran. Anda boleh menghubungi jenama kegemaran anda secara terus untuk mengetahui sama ada jenama tersebut mempunyai program afiliasi atau menyertai rangkaian afiliasi. Kemudian, promosikan produk afiliasi dengan berkongsi kod dalam kapsyen video atau menggunakan alat pautan dalam bio.
4. Terima ganjaran siaran langsung
Pengguna yang mempunyai 1,000 pengikut dan berumur sekurang-kurangnya 18 tahun boleh membuat siaran langsung di TikTok Live serta menerima ganjaran secara masa nyata.
Terdapat pelbagai komuniti aktif di TikTok Live, jadi anda boleh berinteraksi dengan penonton yang sememangnya aktif di platform tersebut. Menurut Statista, pada suku kedua 2025, pengguna di seluruh dunia menonton lebih daripada lima bilion jam kandungan dalam kategori Sembang dan Fesyen.
Terdapat dua pilihan pengewangan dalam platform yang khusus untuk TikTok Live:
Hadiah siaran langsung
Pencipta kandungan boleh buat duit melalui TikTok Live dengan menerima hadiah Live. Penonton membeli syiling (setiap satu bernilai kira-kira RM0.05), kemudian menggunakan syiling tersebut untuk membeli hadiah maya, seperti ikon bunga mawar berharga satu syiling dan ikon jet peribadi berharga 4,888 syiling.
Hadiah tersebut dipaparkan sebagai berlian dalam akaun anda dan boleh ditukarkan kepada duit. Walau bagaimanapun, TikTok mengambil sebahagian daripada nilai hadiah yang diterima.
Satu kajian oleh FXC Intelligence, sebuah syarikat teknologi maklumat yang menjejaki pembayaran rentas sempadan, menganggarkan bahawa pada 2023, TikTok mengambil 77% daripada nilai hadiah yang dihantar kepada pencipta kandungan di Eropah. Bagi Malaysia, TikTok Malaysia Socioeconomic Impact Report 2025, menunjukkan hampir 35% pencipta kandungan yang dikaji bekerja sebagai pencipta kandungan sepenuh masa, manakala 45% memperoleh pendapatan melebihi kadar gaji minimum Malaysia.
Untuk menerima hadiah semasa siaran langsung, ketik tetapan pada skrin Live dan aktifkan tetapan Hadiah Live.
Ganjaran Live berskala
Ganjaran Live berskala ialah program berasaskan prestasi yang menentukan ganjaran pencipta berdasarkan tahap populariti (dikira berdasarkan jumlah berlian yang diterima) serta peratusan ganjaran yang layak diterima.
Peratusan ganjaran boleh mencecah 53% bergantung pada sama ada pencipta berjaya menyelesaikan misi mingguan dan misi bagi setiap siaran langsung. Misi ini termasuk tempoh siaran langsung, bilangan pengikut baharu yang unik serta tahap penglibatan kandungan.
5. Tawarkan langganan
Langganan membolehkan anda menukar penonton kepada penyokong jangka panjang. TikTok menyediakan ciri Langganan terbina dalam yang membolehkan peminat membayar yuran bulanan untuk menikmati pelbagai manfaat, seperti lencana, siaran langsung eksklusif untuk pelanggan dan akses eksklusif kepada video.
Scott Davis, seorang medium psikik yang mengendalikan siri paranormal Phantom Forensics bersama Dalen Spatt, menawarkan langganan melalui akaun TikTok beliau, @scottythemedium. Terdapat tiga peringkat langganan (Scottys Fans, Supporters dan Platinum Supporters). Setiap peringkat menawarkan pelekat, video eksklusif untuk pelanggan dan ruang eksklusif untuk pelanggan.
Untuk menggunakan ciri langganan TikTok, anda mesti berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, serta mempunyai 10,000 pengikut dan 100,000 tontonan video dalam bulan kalendar yang lalu. TikTok menilai kelayakan pencipta setiap bulan.
Untuk bermula, buka profil anda dan ketik ikon menu tiga garis mendatar di penjuru kanan. Pilih TikTok Studio. Di bahagian Pengewangan, pilih Langganan. Di situ, anda boleh menyemak status kelayakan atau menyertai program tersebut.
Selepas menyertai program ini, anda boleh menetapkan harga langganan antara $2.99 (kira-kira RM12.55 hingga $99.99 (kira-kira RM419.95) sebulan.
Jika anda tidak memenuhi syarat kelayakan, anda masih boleh mempromosikan langganan melalui platform luaran, seperti Patreon atau Substack, kepada pengikut TikTok anda.
6. Promosikan perniagaan anda di TikTok Shop
Jika anda mahukan lebih kawalan terhadap cara buat duit di TikTok, pertimbangkan untuk memulakan perniagaan dan menjual produk melalui TikTok Shop. Di Malaysia, perdagangan sosial semakin berkembang pesat. Menurut Statista, perdagangan sosial menyumbang kira-kira 5.5% daripada keseluruhan pasaran e-dagang Malaysia pada 2023 dan dijangka terus berkembang menjelang 2028.
TikTok Shop juga merupakan antara platform perdagangan sosial yang paling popular di Malaysia. Menurut tinjauan Rakuten Insight yang diterbitkan oleh Statista pada 2025, TikTok ialah platform media sosial yang paling kerap digunakan oleh rakyat Malaysia berusia 25 tahun ke atas untuk membuat pembelian melalui perdagangan sosial.
Untuk mula menjual produk di TikTok Shop, bina laman web anda terlebih dahulu. Pelan Shopify starter, yang berharga $5 (kira-kira RM21) sebulan, membolehkan anda berkongsi produk di platform media sosial. Gunakan aplikasi TikTok untuk Shopify bagi mengurus pesanan dan inventori TikTok Shop melalui pentadbir Shopify.
Untuk menyambungkan TikTok Shop dengan kedai Shopify anda, ikut langkah berikut:
- Dalam pentadbir Shopify, klik Tetapan, kemudian pilih Saluran Jualan.
- Klik Shopify App Store, cari TikTok dan tambah saluran tersebut.
- Pada halaman Persediaan TikTok Shop, klik Sambung di bahagian TikTok Shop, kemudian log masuk.
- Anda akan digesa untuk Sambung ke Shopify. Semak Terma Perkhidmatan Peniaga TikTok Shop. Klik Sambung.
- Pergi ke bahagian Maklumat Kedai dan klik Pengesahan.
- Dalam kotak dialog Muat Naik Dokumen, isi maklumat yang diperlukan. Klik Seterusnya, kemudian Selesaikan Persediaan.
Jika anda mahu melancarkan perniagaan dengan cepat tanpa perlu mendapatkan stok atau menghasilkan produk sendiri, cuba cetak atas permintaan atau perniagaan dropship:
Cetak atas permintaan
Cetak atas permintaan tidak memerlukan anda membeli stok terlebih dahulu. Sebaliknya, anda hanya perlu mereka bentuk produk, manakala pembekal akan menghasilkan produk tersebut apabila pelanggan membuat pesanan.
Jika anda membina laman web menggunakan Shopify, anda boleh menyepadukan laman web anda dengan pelbagai syarikat cetak atas permintaan serta mengurus produk dan reka bentuk terus melalui pentadbir Shopify.
Apabila kedai anda sedia beroperasi, gunakan penyepaduan TikTok untuk Shopify untuk menyambungkan laman web anda dengan TikTok Shop.
Perniagaan dropship
Perniagaan dropship membolehkan anda menjual produk tanpa menyimpan stok. Anda mendapatkan produk daripada pembekal perniagaan dropship, kemudian pembekal akan menghantar produk terus kepada pelanggan apabila pesanan dibuat melalui laman web anda.
Jika anda mempunyai kedai Shopify, terdapat beberapa pilihan, seperti mencari pembekal perniagaan dropship di Shopify App Store. Anda juga boleh menggunakan Shopify Collective, yang menghubungkan anda dengan perniagaan yang menggunakan Shopify. Apabila anda membuat jualan, perniagaan tersebut akan menghantar produk terus kepada pelanggan anda. Berikut ialah cara untuk bermula dengan Shopify Collective:
1. Pergi ke halaman Shopify Collective dan klik Mulakan di bahagian atas. Anda akan diminta memilih sama ada ingin menyertai sebagai peruncit atau pembekal. Klik Dapatkan Aplikasi Peruncit.
2. Log masuk ke akaun anda dan pilih laman web yang ingin dipasang dengan Shopify Collective.
3. Shopify Collective akan dipaparkan dalam senarai aplikasi anda. Selepas itu, anda boleh mula mencari produk dan pembekal untuk ditambahkan ke laman web anda.
7. Jual produk semasa siaran langsung
Siaran langsung mampu meningkatkan jualan. Menurut tinjauan Rakuten Insight yang diterbitkan oleh Statista, ramai pengguna di Malaysia pernah membeli produk melalui siaran beli-belah secara langsung, menunjukkan bahawa format ini semakin mendapat sambutan dalam kalangan pengguna tempatan.
Bagi Dasha Derkach, TikTok telah mengubah cara Enchanted Scrunch buat duit. Beliau melihat peningkatan jualan selepas mengalihkan usaha pemasaran daripada Instagram ke TikTok.
“TikTok telah meningkatkan jualan kami dengan ketara,” kata Dasha. “Sebelum menggunakan TikTok, kami hanya menerima kira-kira dua pesanan seminggu. Selepas mula menggunakan TikTok, jumlah tersebut meningkat kepada kira-kira 100 pesanan seminggu. Kini kami juga mengadakan TikTok Live hampir setiap hari dan menerima hampir 500 pesanan seminggu.”
Untuk membuat siaran langsung, anda memerlukan 1,000 pengikut. Jika anda menggunakan TikTok Shop atau Pameran TikTok (Showcase), anda boleh memautkan produk terus ke siaran langsung.
8. Bekerjasama dengan jenama di TikTok One
Menurut Laporan Penanda Aras Pemasaran Pempengaruh 2026 oleh Influencer Marketing Hub, 31% perniagaan dijangka menggunakan TikTok untuk bekerjasama dengan pempengaruh pada 2026. Angka ini lebih dua kali ganda berbanding Instagram, yang berada di tempat kedua dengan 15%.
TikTok One menghubungkan pencipta dengan perniagaan supaya mereka boleh bekerjasama menghasilkan iklan. Untuk menyertai TikTok One, anda mesti berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, mempunyai akaun dalam kedudukan baik, mempunyai sekurang-kurangnya 10,000 pengikut, serta 1,000 tontonan siaran dan tiga siaran baharu dalam tempoh 30 hari yang lalu.
Pencipta boleh menetapkan kadar bayaran yang diharapkan, pilihan jenama dan memuat naik portfolio untuk membantu jenama mencari pencipta yang sesuai.
Mereka juga boleh mencari peluang, seperti Misi Jenama (Branded Missions), untuk bekerjasama dengan perniagaan. Melalui Misi Jenama, syarikat mengajak pencipta menghasilkan kandungan janaan pengguna. Apabila pencipta memuat naik video, jenama akan mempromosikan video yang menunjukkan prestasi organik yang baik. Selepas kempen berakhir, pencipta akan dibayar berdasarkan penyertaan dan bilangan tontonan video berbayar. Perniagaan akan menyatakan terma pembayaran dalam ringkasan Misi Jenama.
Berikut ialah cara mencari Misi Berjenama:
- Pada halaman Temui di TikTok Creator Marketplace
- Dalam peti masuk anda
- Pautan yang dikongsi ke Misi Berjenama
Pencipta yang membuat iklan bagi pihak jenama perlu mendedahkan kerjasama tersebut. Sebagai contoh, dalam satu video, pencipta Kat Clark membuka kotak dan memasang sofa yang dihantar oleh Belffin. Di bahagian bawah skrin, label “Perkongsian berbayar” dipaparkan.
9. Cipta kesan
Kesan ialah penapis atau ciri interaktif yang boleh anda tambah pada video. Sebagai contoh, kesan “I’m Single Because” menggesa pengguna untuk mula merakam video, kemudian memaparkan tiga sebab mereka masih bujang.
Program Effect House membolehkan anda buat duit dengan mencipta kesan. Untuk melayakkan diri, anda perlu berumur sekurang-kurangnya 18 tahun, menetap di negara yang layak serta menjadi pencipta yang memperoleh lencana emas, platinum atau berlian. Untuk memperoleh lencana tersebut, anda perlu memenuhi syarat berikut:
- Emas: Lencana ini memerlukan anda menerbitkan lima kesan dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga kesan yang digunakan dalam 1,000 video.
- Platinum: Untuk memperoleh status platinum, anda perlu menerbitkan 10 kesan dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga kesan yang digunakan dalam 100,000 video.
- Berlian: Untuk memperoleh lencana berlian, anda perlu menerbitkan 20 kesan dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga kesan yang digunakan dalam 1,000,000 video.
Terdapat beberapa cara berbeza untuk buat duit melalui program Effect House:
Ganjaran Pencipta Kesan
Untuk menyertai program Ganjaran Pencipta, anda perlu menjadi pencipta yang memperoleh lencana emas. Pencipta dibayar berdasarkan bilangan video awam yang menggunakan kesan dalam tempoh 30 hari pertama selepas diterbitkan. Bayaran maksimum bagi setiap kesan ialah $14,000 dan jumlah maksimum yang boleh diterima oleh seorang pencipta setiap bulan ialah $50,000.
Cabaran
Cabaran ialah pertandingan yang dianjurkan oleh Effect House. Setiap cabaran mempunyai tema tertentu, seperti musim perayaan. Matlamat cabaran ini adalah untuk mencipta kesan yang berkualiti tinggi, asli, kreatif dan bersesuaian dengan tema. Pencipta yang menyertai cabaran berpeluang memperoleh hadiah wang tunai, cenderamata dan lencana eksklusif.
Kesan berjenama
Menurut TikTok, semakin banyak jenama berminat menggunakan kesan dalam kempen pemasaran mereka. Ini membuka peluang kepada pencipta untuk menghasilkan kesan berjenama, yang boleh dibeli oleh syarikat melalui TikTok for Business.
Tip TikTok untuk dijadikan inspirasi
- Jangan takut kelihatan “cringe”
- Tunjukkan diri anda yang sebenar
- Hasilkan kandungan dengan tujuan yang jelas
Berikut ialah beberapa tip daripada pakar untuk membantu anda memanfaatkan TikTok sepenuhnya.
Jangan takut kelihatan “cringe”
Anda tidak perlu mencari niche dari awal. Tori Dunlap, yang membantu orang ramai meningkatkan literasi kewangan menerusi Her First $100K, menjelaskan bahawa proses tersebut mungkin mengambil masa. Beliau sendiri hanya menemukan niche selepas tiga tahun menghasilkan kandungan.
Sepanjang tempoh itu, beliau menghasilkan kandungan yang mungkin dianggap “cringe”, tetapi pengalaman tersebut membantu beliau memahami jenis kandungan yang benar-benar berkesan. “Proses ini mungkin tidak kelihatan menarik, tetapi saya memang perlu melalui semua pengalaman tersebut untuk memahami pendekatan yang benar-benar berkesan,” kata Tori dalam satu episod Shopify Masters. “Jika anda takut dianggap “cringe” atau bimbang kerana belum mempunyai semua jawapan sekarang, jangan biarkan perkara itu menghalang anda daripada bermula. Tidak menjadi masalah jika anda belum mempunyai semua jawapan sekarang. Anda akan belajar sepanjang perjalanan.”
Tunjukkan diri anda yang sebenar
Menjadi diri sendiri dapat membantu anda berhubung dengan individu yang mempunyai minat dan nilai yang sama. Charlotte Palermino, pengasas bersama jenama penjagaan kulit Dieux dan pencipta kandungan TikTok dengan hampir 500,000 pengikut, menggunakan platform tersebut untuk berkongsi topik yang benar-benar menarik minat beliau, seperti pelindung matahari, tarif dan AI.
“Jika anda rasa boleh bercakap tentang sesuatu selama 10 minit, rakam video tentang topik tersebut, kemudian cuba ringkaskan kepada dua minit,” kata Charlotte dalam Shopify Masters.
Dieux adalah antara jenama terawal menggunakan TikTok Shop. Jenama tersebut memperoleh 15 juta tontonan bagi video boleh beli (Shoppable Video). Sebahagian daripada video tersebut menampilkan Charlotte memperkenalkan produk Dieux.
Hasilkan kandungan dengan tujuan yang jelas
Anda tidak perlu memuat naik kandungan setiap hari untuk menarik perhatian khalayak. Menurut laporan Dash Social 2026, memuat naik kandungan kurang daripada enam kali seminggu menghasilkan kadar penglibatan di For You Page (FYP) yang lebih tinggi berbanding memuat naik kandungan dengan lebih kerap. Di TikTok, kadar penglibatan adalah 63% lebih tinggi bagi pencipta yang memuat naik kandungan dengan lebih jarang.
Soalan lazim tentang cara buat duit di TikTok
Bolehkah saya buat duit di TikTok?
Anda boleh buat duit di TikTok melalui gabungan alat di dalam dan di luar TikTok. Antara pilihan termasuk menawarkan langganan melalui TikTok dan menjual produk di TikTok Shop.
Bagaimanakah pencipta buat duit di TikTok?
Pencipta TikTok yang paling berjaya buat duit melalui gabungan beberapa sumber, termasuk tajaan, jualan produk dan penerimaan tip.
Adakah anda dibayar untuk memuat naik video di TikTok?
TikTok tidak membayar pencipta secara langsung untuk menghasilkan dan memuat naik video. Sebaliknya, TikTok menyediakan Program Ganjaran Pencipta TikTok. Jumlah bayaran bergantung pada faktor seperti bilangan tontonan video, kadar penglibatan dan keaslian pengguna yang berinteraksi dengan siaran.
Bagaimanakah saya menerima bayaran melalui akaun TikTok?
Cara anda menerima bayaran bergantung pada kaedah pengewangan yang dipilih. Biasanya, bayaran dibuat melalui aplikasi yang digunakan untuk pengewangan, sama ada platform pemberian tip, Program Ganjaran Pencipta TikTok, platform pendanaan ramai atau platform kedai dalam talian (jika anda menjual barangan berjenama atau produk sendiri kepada peminat).
Berapakah jumlah pengikut TikTok diperlukan untuk menerima bayaran?
Bilangan pengikut TikTok yang diperlukan untuk buat duit berbeza mengikut kaedah pengewangan. Untuk menyertai Program Ganjaran Pencipta, anda memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 pengikut, manakala membuat siaran langsung di TikTok hanya memerlukan 1,000 pengikut. Terdapat juga beberapa peluang yang tidak memerlukan bilangan pengikut, seperti menjual barangan berjenama melalui TikTok Shop.

