Membina kedai dalam talian memerlukan perancangan, tetapi dengan alat yang betul, proses tersebut menjadi lebih mudah untuk diurus. Sama ada anda seorang peruncit berpengalaman atau ingin mendapatkan jualan pertama, membina kedai dalam talian dapat membantu anda menjangkau lebih ramai pelanggan dan mewujudkan ruang khusus untuk jenama anda di Internet.
Panduan ini menerangkan cara membina kedai yang menarik pelanggan dan mengukuhkan jenama anda.
Untuk memulakan kedai dalam talian dengan Shopify hari ini, mulakan percubaan percuma dan ikuti panduan ini.
Cara memulakan kedai dalam talian
1. Kenal pasti khalayak sasaran
Khalayak sasaran ialah kumpulan orang yang paling berkemungkinan membeli produk anda.
Mengetahui dengan tepat siapa pelanggan anda akan membantu anda membuat setiap keputusan semasa membina kedai dalam talian. Maklumat ini membantu anda mencari pelanggan di tempat yang betul, menghasilkan kandungan yang relevan dan mereka bentuk pengalaman yang mendorong pelawat menjadi pembeli.
Anda boleh menyasarkan khalayak yang berbeza daripada segi ciri dan saiz. Namun, terdapat tiga kategori utama yang perlu dipertimbangkan:
- Demografi: Umur, jantina, pekerjaan, pendidikan, pendapatan dan ciri-ciri lain khalayak anda.
- Lokasi: Kawasan tempat tinggal khalayak anda.
- Minat: Hobi, kepercayaan, gaya hidup dan ciri psikografi lain khalayak anda.
Himpunkan maklumat tentang khalayak anda ke dalam persona pembeli. Profil pelanggan ideal yang dibangunkan berdasarkan penyelidikan ini membantu anda memastikan khalayak sasaran sentiasa diambil kira semasa mereka bentuk halaman web, menulis penerangan produk dan menghasilkan iklan.
Cara mencari khalayak untuk kedai anda: Kenal pasti niche anda
Sebagai kedai dalam talian baharu, anda mungkin perlu bersaing dengan jenama yang sudah mantap untuk menarik perhatian pelanggan. Salah satu cara untuk membezakan kedai anda daripada persaingan ialah dengan memenuhi keperluan niche tertentu.
Pasaran niche ialah segmen khalayak yang mempunyai keperluan khusus. Contohnya, kasut lari ialah niche dalam pasaran kasut secara umum. Kasut lari denai pula merupakan niche yang lebih khusus untuk pelanggan yang memerlukan jenis kasut lari tertentu.
Niche boleh menjadi semakin khusus apabila keperluan pelanggan semakin jelas. Contohnya, niche kasut lari denai boleh diperincikan lagi kepada kasut lari denai kalis air untuk kegunaan pada musim hujan.
Jika anda merancang untuk memulakan kedai dalam talian dalam industri yang sudah tepu, pertimbangkan untuk "memperincikan niche" anda sehingga anda menemui khalayak yang menjadikan kedai anda pilihan utama untuk mendapatkan produk tersebut.
2. Cari produk untuk dijual
Mencari produk yang tepat untuk dijual adalah salah satu keputusan paling penting pada peringkat awal pelancaran kedai dalam talian anda. Jika anda sudah mengenal pasti khalayak sasaran, anda sudah selangkah ke hadapan. Internet, bersama rangkaian sosial dan profesional anda, boleh membantu anda menemukan idea produk.
Pilih beberapa strategi berikut untuk membantu anda mengenal pasti produk yang mempunyai permintaan:
- Berinteraksi dengan peminat dan penggemar sesuatu hobi untuk memahami cabaran mereka serta produk terkini yang menarik perhatian mereka.
- Manfaatkan minat dan kegemaran peribadi anda untuk memahami produk yang menarik perhatian khalayak niche yang mempunyai minat yang sama.
- Pantau trend produk untuk meramal dan menyediakan stok barangan popular seterusnya.
- Analisis produk yang laris di pasaran utama untuk memahami corak permintaan pelanggan.
Setelah anda mempunyai idea tentang jenis produk yang ingin dijual, langkah seterusnya ialah mendapatkan sumber produk tersebut. Berikut ialah beberapa kaedah penyumberan produk yang biasa:
- Hasilkan produk sendiri: Jika anda mempunyai kemahiran seperti kerja kayu atau ilustrasi, anda mungkin boleh menghasilkan produk buatan tangan.
- Beli produk daripada pemborong: Membeli inventori daripada pemborong memberi anda kawalan ke atas stok dan memastikan bekalan produk yang stabil.
- Hasilkan produk melalui pengilang: Bekerjasama dengan pengilang untuk menghasilkan barangan asli atau produk label persendirian.
- Dapatkan produk daripada rangkaian pembekal: Platform seperti Shopify Collective membolehkan kedai yang layak berhubung dengan pembekal dan menambah produk ke kedai mereka.
- Cetak produk atas permintaan: Cetak atas permintaan ialah kaedah menyesuaikan produk menggunakan reka bentuk anda. Perkhidmatan cetak atas permintaan menguruskan pengeluaran dan penghantaran.
Cara mencari sumber produk untuk kedai anda: Cuba perniagaan dropship
Membeli dan menyimpan inventori hanyalah satu cara untuk menguruskan produk anda. Pilihan lain termasuk perniagaan dropship, iaitu model peruncitan di mana pembekal produk membungkus dan menghantar pesanan bagi pihak anda.
Dengan perniagaan dropship, anda boleh menjual pelbagai jenis barangan di kedai anda tanpa perlu membeli atau menyimpan stok. Setelah menerima pesanan, anda hanya perlu menghantar butiran pesanan kepada pembekal untuk diproses dan dihantar kepada pelanggan.
3. Pilih platform e-dagang
Platform e-dagang ialah tempat anda membina dan menguruskan kedai dalam talian. Di sinilah anda mengurus laman web, menambah produk baharu dan memproses pesanan pelanggan.
Platform e-dagang yang popular termasuk:
- Shopify
- Wix
- WooCommerce
- BigCommerce
Bandingkan platform e-dagang untuk mencari perisian yang sesuai untuk anda.
Kebanyakan platform e-dagang dilengkapi dengan pembina kedai yang membolehkan anda mencipta kedai dalam talian berjenama lengkap dengan halaman produk, troli beli-belah dan halaman pembayaran. Pembina kedai biasanya menawarkan antara muka seret dan lepas yang memudahkan anda menyesuaikan laman web tanpa perlu menulis sebarang kod.
Semasa membandingkan pembina kedai, pertimbangkan ciri-ciri berikut:
- Kemudahan penggunaan: Pilih pembina kedai yang mudah digunakan dan intuitif supaya anda boleh membina kedai dengan yakin.
- Pilihan reka bentuk: Cari pelbagai tema percuma dan premium yang direka khusus untuk industri atau niche anda.
- Bantuan AI: Ciri seperti AI Shopify boleh membantu menghasilkan kandungan, menyediakan analisis dan mengurus kedai dengan lebih mudah.
- Fleksibiliti untuk berkembang: Pastikan terdapat pilihan untuk pengekodan tersuai dan reka bentuk lanjutan pada masa hadapan.
- Percubaan percuma: Gunakan percubaan percuma untuk mencuba pembina kedai sebelum membuat komitmen.
Cara memilih platform e-dagang yang sesuai: Pertimbangkan lebih daripada rupa kedai dalam talian
Pembina kedai hanyalah salah satu ciri dalam platform e-dagang. Bergantung pada perisian yang anda pilih, anda juga boleh menguruskan tugas lain, seperti:
- Mengendalikan pengehosan laman web anda
- Menganalisis data kedai dan tingkah laku pelanggan
- Mengurus penghantaran pesanan
- Menjalankan kempen pemasaran
- Menjual di kedai fizikal
Pertimbangkan semua ciri ini semasa memilih platform e-dagang, walaupun anda belum memerlukan ciri tersebut sekarang. Memilih platform yang mampu menyokong pertumbuhan perniagaan anda dapat mengurangkan keperluan untuk berpindah ke platform lain pada masa hadapan.
Ketahui lanjut tentang alat dan ciri e-dagang yang disertakan dengan langganan Shopify.
4. Reka bentuk jenama anda
Untuk memberikan kedai anda penampilan yang konsisten dan profesional, anda perlu memberi perhatian kepada penjenamaan. Penjenamaan bukan sekadar logo atau skema warna, tetapi juga tentang membina identiti jenama yang jelas melalui imej dan kandungan anda.
Cara membina jenama kedai: Misi, nama, logo dan foto
Sediakan aset jenama berikut untuk kedai dalam talian anda:
Nilai dan misi jenama
Tentukan perkara yang menjadi asas jenama anda—tujuan penubuhan jenama, keunikan yang membezakan jenama anda daripada pesaing dan janji yang anda tawarkan kepada pelanggan. Nilai jenama ini akan mempengaruhi penampilan dan pengalaman kedai anda, termasuk pilihan reka bentuk, warna serta cara jenama anda berkomunikasi dengan pelanggan.
Nama kedai
Sama ada anda menggunakan nama sendiri, nama yang menarik perhatian atau penerangan ringkas tentang produk yang dijual, nama kedai sering menjadi titik sentuhan pertama antara pelanggan dan jenama anda. Jika anda memerlukan inspirasi, cuba penjana nama domain percuma ini untuk mendapatkan cadangan nama yang selari dengan jenama anda serta menyemak sama ada nama tersebut tersedia sebagai alamat domain.
Logo
Logo ialah simbol visual yang mewakili jenama anda dan digunakan di pelbagai tempat, daripada kedai dalam talian hingga paparan produk di kedai peruncit lain.
Foto gaya hidup dan produk
Foto membantu menyerlahkan ciri dan kualiti produk anda. Pada masa yang sama, foto juga membantu pelanggan membayangkan bagaimana produk tersebut sesuai dengan gaya hidup mereka. Gunakan foto gaya hidup untuk membantu pelanggan membayangkan penggunaan produk dalam kehidupan harian mereka.
Mulakan dengan kamera telefon pintar, pencahayaan yang baik dan susunan penggambaran yang konsisten. Untuk hasil yang lebih profesional, gunakan AI untuk mengedit foto dengan melaraskan latar belakang, pencahayaan dan memastikan penampilan imej kekal konsisten.
5. Daftarkan perniagaan anda

Bergantung pada lokasi anda, produk yang dijual dan cara anda mengendalikan perniagaan, anda mungkin perlu mendaftarkan kedai anda dengan pihak berkuasa kerajaan atau badan industri yang berkaitan.
Sebelum memulakan urusan pendaftaran, tentukan jenis pendaftaran yang mungkin diperlukan untuk perniagaan anda. Semak dengan pihak berkuasa tempatan tentang permit atau lesen yang diperlukan untuk menjual produk. Keperluan permit dan lesen berbeza mengikut jenis aktiviti perniagaan, lokasi dan peraturan kerajaan.
Pendaftaran lain yang mungkin diperlukan termasuk:
- Nombor pengenalan cukai untuk tujuan pembayaran cukai
- Tanda dagangan untuk melindungi nama perniagaan atau produk
- Status pengecualian cukai bagi organisasi bukan untung
Rancangan perniagaan yang jelas dapat membantu anda mengenal pasti keperluan yang mungkin terpakai kepada perniagaan anda.
Cara mendaftar: Pilih struktur perniagaan
Tidak semua perniagaan memerlukan struktur perniagaan formal. Namun, memahami pilihan yang tersedia dapat membantu anda memilih struktur yang paling sesuai untuk kedai dalam talian anda:
- Pemilikan tunggal: Pilihan paling mudah dan sesuai untuk individu yang menjalankan perniagaan sendiri. Tiada pemisahan antara aset peribadi dan aset perniagaan, menjadikan urusan percukaian lebih mudah tetapi pada masa yang sama meningkatkan risiko peribadi.
- Perkongsian: Dua atau lebih individu bergabung untuk menjalankan perniagaan dengan menyumbang sumber seperti modal, harta atau kemahiran. Mereka turut berkongsi keuntungan dan tanggungjawab berdasarkan perjanjian yang dipersetujui bersama.
- Sdn Bhd (syarikat sendirian berhad): Struktur ini membantu melindungi aset peribadi dengan memisahkan aset peribadi secara sah daripada hutang dan liabiliti perniagaan.
- Syarikat Berhad (Bhd): Struktur ini sesuai untuk perniagaan yang bercadang untuk disenaraikan di bursa saham atau mendapatkan pembiayaan yang besar daripada pihak luar. Penubuhan syarikat Bhd lebih kompleks dan memerlukan kos yang lebih tinggi.
6. Bina kedai anda
Setelah mengenal pasti khalayak sasaran, memilih produk dan membina jenama, tiba masanya untuk menghimpunkan semua elemen tersebut dalam kedai dalam talian anda.
Cara membina kedai: Maklumat asas, produk dan halaman penting
Ikuti langkah berikut untuk membina laman web e-dagang yang membolehkan pelanggan melayari dan membeli produk dengan mudah:
Sediakan maklumat asas kedai
Mulakan dengan maklumat asas. Lengkapkan maklumat penting kedai seperti yang diminta oleh platform e-dagang yang digunakan. Berikut ialah perkara yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu:
- Alamat domain: Jika belum mempunyai domain, beli domain yang sepadan dengan nama kedai dan sambungkan domain tersebut kepada platform e-dagang anda.
- Templat atau tema: Jika pembina kedai menyediakan templat sedia ada, pilih tema yang sepadan dengan reka bentuk pilihan anda. Pertimbangkan ciri seperti kesan tatal paralaks atau kotak paparan.
- Navigasi: Cipta menu yang memudahkan pelanggan mengakses halaman penting. Anda juga boleh menambah pautan tambahan pada bar sisi atau bahagian bawah halaman. Jika kedai anda mempunyai banyak halaman, pertimbangkan untuk menambah fungsi carian.
- Logo: Paparkan logo pada bahagian penting kedai dan jangan lupa mengemaskinikan favicon (ikon kecil laman web).
- Elemen reka bentuk: Warna dan tipografi membantu menyerlahkan identiti jenama. Laraskan elemen ini dalam tetapan tema agar selari dengan garis panduan jenama. Gunakan kontras untuk menyerlahkan butang dan hadkan penggunaan fon kepada dua atau tiga jenis sahaja di seluruh laman web.
Tambah produk pertama anda
Cari bahagian "Tambah produk" pada platform e-dagang anda untuk memasukkan maklumat, kandungan dan aset berkaitan dengan produk yang ingin dijual.
Penerangan produk
Tajuk produk perlu jelas dan mudah difahami supaya pelanggan serta enjin carian dapat mengenal pasti produk anda dengan mudah.
Penerangan produk memberi peluang untuk berkomunikasi secara langsung dengan khalayak sasaran menggunakan gaya bahasa yang sesuai dengan mereka. Gunakan ruang ini untuk menjelaskan bagaimana produk anda dapat memenuhi keperluan atau menyelesaikan masalah pelanggan. Semasa menulis penerangan produk, pertimbangkan perkara berikut:
- Kenali khalayak sasaran anda, termasuk bahasa dan tahap pengetahuan mereka.
- Serlahkan ciri utama produk menggunakan ikon, ilustrasi atau senarai dengan tanda peluru.
- Jangkakan soalan yang mungkin ditanya oleh pelanggan dan sediakan maklumat yang membantu mereka membuat keputusan pembelian.
Foto dan media
Muat naik foto produk berkualiti tinggi dengan gaya dan nisbah aspek yang konsisten. Anda juga boleh menambah video, animasi atau model 3D untuk memberikan gambaran yang lebih jelas tentang produk.
Gunakan imej untuk membantu pelanggan membayangkan penggunaan produk dalam kehidupan harian mereka. Selain foto yang memaparkan butiran produk, tambahkan juga foto gaya hidup yang menunjukkan produk digunakan dalam situasi sebenar.
Dalam contoh di atas, ReFramed menggunakan foto produk dengan latar belakang ringkas untuk menyerlahkan setiap butiran tanpa gangguan. Di bahagian bawah halaman, pelanggan juga dapat melihat foto gaya hidup yang membantu mereka membayangkan bagaimana rangka katil jenama ini sesuai digunakan dalam ruang kediaman mereka:
Bagi kategori produk yang memerlukan lebih banyak paparan visual, seperti pakaian atau barang kemas, gunakan beberapa foto dari sudut berbeza untuk menunjukkan butiran produk dengan lebih jelas.
Maklumat produk
Seterusnya, tetapkan harga produk yang akan dipaparkan di kedai anda. Semasa menetapkan harga, ambil kira kos, nilai produk pada pandangan pelanggan serta harga yang ditawarkan oleh pesaing. Dari semasa ke semasa, semak dan sesuaikan strategi penetapan harga berdasarkan data dan maklum balas pelanggan.
Selain harga, tambahkan maklumat lain yang memudahkan anda dan pelanggan mencari serta mengurus produk dalam katalog:
- Penerangan produk (bahan, ukuran dan proses pembuatan)
- Kategori produk (contohnya baju dan seluar lelaki)
- Pilihan produk (kuantiti, warna dan saiz)
- Maklumat inventori seperti unit penyimpanan stok (SKU) dan kod bar
- Tetapan cukai
- Tag dan koleksi produk untuk menyusun produk mengikut khalayak tertentu atau kempen jualan
Cipta halaman penting
Selain halaman produk, kedai anda juga memerlukan kandungan maklumat untuk membina kepercayaan, berkongsi kisah jenama, menjawab soalan lazim dan membantu pelanggan menghubungi anda.
Sebelum melancarkan kedai, sediakan halaman berikut:
- Halaman utama: Reka bentuk halaman utama anda supaya pelawat kali pertama dapat memahami produk yang dijual dengan cepat, sambil memudahkan pelanggan sedia ada meneruskan pembelian. Pastikan halaman ini dipaparkan dengan baik pada peranti mudah alih.
- Halaman hubungi: Halaman Hubungi perlu memudahkan pelanggan mendapatkan bantuan melalui maklumat hubungan, borang pertanyaan dan pilihan seperti sembang langsung.
- Halaman tentang kami: Gunakan halaman Tentang Kami untuk membina hubungan yang lebih rapat dengan pelanggan. Sertakan video pengenalan, imej yang menunjukkan proses atau rantaian bekalan produk, serta pautan ke liputan media yang berkaitan.
- Halaman polisi: Halaman ini menerangkan dasar pemulangan, penghantaran dan privasi. Polisi yang jelas membantu pelanggan membuat pembelian dengan lebih yakin serta melindungi anda sekiranya timbul sebarang pertikaian dengan pelanggan.
- Halaman Soalan Lazim: Halaman Soalan Lazim menyediakan jawapan pantas kepada soalan yang sering ditanya oleh pelanggan. Anda juga boleh memasukkan maklumat tersebut ke dalam halaman produk atau polisi jika sesuai.
7. Sediakan pembayaran dan penghantaran

Untuk membolehkan pelanggan membuat pembelian, anda perlu menyediakan kaedah pembayaran dan tetapan pembayaran di kedai anda.
Bandingkan beberapa penyedia perkhidmatan pembayaran untuk mencari pilihan yang menawarkan ciri serta kadar yuran yang sesuai dengan keperluan perniagaan dan lokasi anda. Antara perkara yang perlu dipertimbangkan semasa memilih penyedia:
- Kaedah pembayaran: Benarkan pelanggan membuat pembayaran menggunakan kad kredit, PayPal, Apple Pay, Shop Pay dan pilihan lain yang berkaitan.
- Sokongan berbilang mata wang: Paparkan harga secara automatik dalam mata wang tempatan pelanggan.
- Yuran transaksi: Pilih penyedia yang menawarkan kadar yuran yang sesuai dengan model perniagaan anda.
- Ciri keselamatan: Pilih penyedia yang menyokong lapisan keselamatan tambahan seperti pengesahan CVV atau poskod bagi membantu mengesahkan transaksi.
Cara memproses pesanan: Pembayaran, cukai, penghantaran dan saluran jualan
Sediakan proses pembayaran yang sesuai
Kebanyakan platform e-dagang menyediakan halaman pembayaran terbina dalam yang boleh disesuaikan mengikut penjenamaan dan pilihan pembayaran yang ditawarkan, termasuk pembelian satu klik dan pelan bayaran ansuran.
Anda boleh menyesuaikan proses pembayaran di kedai dengan mengubah suai paparan dan pilihan tersebut:
- Pembayaran pantas: Aktifkan Shop Pay untuk mempercepatkan proses pembayaran.
- Bayar secara ansuran: Tawarkan pilihan bayaran ansuran bagi produk yang lebih mahal supaya pelanggan dapat membuat pembayaran dengan lebih mudah.
- Akaun pelanggan: Benarkan pelanggan mendaftar akaun untuk menyimpan maklumat mereka dan memudahkan pembelian pada masa hadapan.
- Maklumat yang perlu diisi semasa pembayaran: Tentukan maklumat yang perlu diberikan oleh pelanggan sebelum pesanan dapat disahkan.
- Kod promosi dan kad hadiah: Benarkan pelanggan menggunakan kod promosi dan kad hadiah semasa pembayaran.
- Cadangan produk berkaitan: Cadangkan produk tambahan yang berkaitan semasa pembayaran apabila produk tersebut dapat menambah nilai kepada pesanan pelanggan.
Sebagai contoh, halaman pembayaran ban.do membolehkan pelanggan meneruskan pembayaran sebagai tetamu atau mendaftar akaun sebelum membuat pembelian bagi memudahkan pembelian pada masa hadapan:
Salah satu amalan terbaik dalam proses pembayaran ialah menyediakan sistem untuk mengurangkan pengabaian troli. Situasi ini berlaku apabila pelanggan menambah produk ke troli tetapi meninggalkan laman web sebelum menyelesaikan pembelian.
Platform seperti Shopify membolehkan anda menghantar e-mel peringatan bagi mengurangkan pengabaian troli dan menggalakkan pelanggan kembali ke kedai dan melengkapkan pembelian.
Sediakan cukai
Sebagai pemilik perniagaan yang menjual barangan atau perkhidmatan, anda mungkin perlu mengutip cukai jualan. Namun, pengecualian mungkin diberikan bagi produk digital di sesetengah kawasan atau kepada perniagaan kecil yang belum mencapai had hasil tertentu.
Pastikan tetapan cukai di kedai anda disediakan dengan betul keran kadar cukai mungkin berbeza mengikut kawasan atau lokasi pelanggan. Jika anda tidak pasti tentang keperluan cukai yang terpakai kepada perniagaan anda, dapatkan nasihat daripada pakar cukai.
Tawarkan pilihan penghantaran
Semasa proses pembayaran, pelanggan juga akan memilih kaedah penghantaran dan pilihan pemenuhan pesanan.
Rancang strategi penghantaran yang mengambil kira berat dan saiz produk, kos pembungkusan, lokasi penghantaran utama serta pilihan penghantaran yang ingin ditawarkan kepada pelanggan.
Pertimbangkan untuk menawarkan penghantaran percuma sebagai galakan kepada pelanggan. Anda boleh menawarkan kemudahan ini bagi produk terpilih, pesanan yang mencapai nilai minimum atau pelanggan di kawasan tertentu.
Jika kebanyakan produk yang dijual mempunyai saiz dan berat yang hampir sama, kadar penghantaran tetap boleh membantu mengurangkan kos penghantaran. Jika platform e-dagang anda menyokong ciri tersebut, anda juga boleh mengenakan kadar penghantaran berdasarkan caj sebenar syarikat penghantaran.
Anda juga boleh menawarkan pilihan pengambilan sendiri sebagai alternatif yang lebih mudah kepada pelanggan yang berada berhampiran.
Tawarkan lebih banyak cara untuk pelanggan membeli
Menjual melalui saluran jualan selain kedai dalam talian membantu anda menjangkau lebih ramai pelanggan yang berminat dengan produk anda. Setelah kedai dilancarkan, anda boleh menambah saluran berikut dengan mudah:
- Media sosial: Jual produk melalui Facebook, Instagram, TikTok dan platform media sosial lain yang sering digunakan oleh pelanggan.
- Pasaran: Ramai pengguna mula mencari produk di pasaran seperti Amazon dan Etsy. Untuk menjangkau pelanggan ini, segerakkan inventori anda dengan penyenaraian produk di pasaran tersebut.
- Google: Jalankan kempen Google Shopping dan senaraikan produk anda dalam tab Shopping pada hasil carian Google.
8. Lancarkan kedai anda

Kedai dalam talian anda kini sedia untuk dilancarkan! Untuk membolehkan orang ramai mengakses laman web tersebut, tukar status kedai kepada awam atau alih keluar perlindungan kata laluan yang digunakan semasa proses pembangunan.
Walaupun kedai dalam talian anda mungkin belum sempurna, jangan tunggu sehingga semuanya sempurna sebelum mula menjual. Lancarkan kedai lebih awal, walaupun kepada kumpulan pelanggan yang terhad, untuk mengumpulkan maklum balas daripada pengunjung laman web anda. Maklum balas daripada pelanggan dan penggunaan sebenar membantu anda mengenal pasti perkara yang perlu ditambah baik, termasuk navigasi dan proses pembayaran.
Mulai peringkat ini, anda akan menambah baik reka bentuk, melaraskan tetapan dan memperkemaskan strategi pemasaran berdasarkan interaksi pelanggan serta data sebenar.
Sebelum melancarkan kedai, pastikan semua perkara dalam senarai semak e-dagang ini telah disemak dan diselesaikan.
9. Pasarkan produk dan jenama anda
Kini tiba masanya untuk memperkenalkan kedai anda kepada lebih ramai pelanggan dan mula menarik pembeli.
Setiap perniagaan mempunyai pendekatan pemasaran yang berbeza. Pilih gabungan kandungan kreatif dan kempen pemasaran yang sesuai dengan jenama serta khalayak sasaran anda.
Manfaatkan pemasaran media sosial
Pemasaran media sosial bukan bermaksud anda perlu aktif di setiap platform. Sebaliknya, fokus pada usaha platform yang paling aktif digunakan oleh khalayak sasaran anda dan yang membolehkan anda yang membolehkan anda memberi impak yang lebih besar. Sebagai contoh, jika anda ingin menarik golongan pembeli yang lebih muda, TikTok mungkin antara platform yang sesuai untuk diuji.
Gunakan format kandungan yang sesuai untuk setiap platform, seperti demonstrasi produk, video pendek, perkongsian di sebalik tabir atau sesi soal jawab secara siaran langsung.
Tingkatkan pengoptimuman enjin carian (SEO)
Ramai pelanggan menggunakan Google untuk mencari kedai, membaca ulasan produk atau membandingkan pilihan yang tersedia. Pemasaran SEO membantu meningkatkan peluang bakal pelanggan menemui kedai anda apabila mereka membuat carian dalam talian.
Contohnya, video YouTube MADE Everyday di atas muncul dalam hasil carian Google dan YouTube apabila pengguna mencari topik seperti "cara membuat kuilt". Pendedahan ini membantu menarik bakal pelanggan yang berpotensi membeli produk yang berkaitan.
Gunakan alat penyelidikan kata kunci percuma untuk mencari kata kunci yang sesuai digunakan dalam kandungan pemasaran. Tumpukan pada kata kunci yang mempunyai jumlah carian yang tinggi dan berkaitan dengan produk anda.
Berkomunikasi dengan pembeli melalui e-mel
Pemasaran e-mel membantu anda terus berhubung dengan pelanggan dan pelawat kedai. Sediakan aliran e-mel untuk berinteraksi dengan pelanggan sepanjang perjalanan pembelian, daripada siri e-mel alu-aluan hingga peringatan pengabaian troli dan susulan selepas pembelian.
Gunakan aliran e-mel untuk situasi tertentu, seperti menghantar e-mel alu-aluan, peringatan pengabaian pembayaran atau susulan selepas pembelian.
10. Optimumkan kedai anda

Membina kedai dalam talian ialah proses yang berterusan. Apabila pelanggan mula melawat kedai anda dan berinteraksi dengan kandungan, anda akan lebih mudah mengenal pasti perkara yang menarik perhatian pelanggan serta aspek yang memerlukan penambahbaikan.
Semak data analitik secara berkala untuk memahami corak trafik, prestasi jualan, tingkah laku pelanggan dan maklum balas yang diterima.
Cari maklumat berguna daripada data kedai anda, termasuk:
- Trafik laman web: Ketahui dari mana pelawat datang, sama ada melalui carian Google, kiriman media sosial atau iklan. Gunakan maklumat ini untuk menyesuaikan kandungan kedai dan mengoptimumkan usaha pemasaran.
- Jualan produk: Pantau produk yang laris dan produk yang kurang mendapat sambutan. Gunakan maklumat ini untuk membuat keputusan berkaitan inventori, strategi promosi dan pembangunan produk.
- Tingkah laku pengguna: Analisis cara pelawat berinteraksi dengan kedai anda, termasuk halaman yang kerap dilawati dan kandungan yang paling menarik perhatian. Kenal pasti peluang untuk menambah baik pengalaman pengguna berdasarkan perkara yang sudah dikesan.
- Maklum balas pelanggan: Kumpulkan dan semak maklum balas secara berkala. Gunakan maklum balas tersebut untuk memahami perkara yang dihargai oleh pelanggan dan mengenal pasti aspek yang boleh dipertingkatkan.
Gunakan data interaksi pengguna untuk menambah baik kandungan dan meningkatkan kadar penukaran, sekali gus menggalakkan lebih ramai pelawat membuat pembeli.
Mengapakah anda perlu memulakan kedai dalam talian pada tahun 2026?
Jualan e-dagang terus berkembang, tetapi masa yang sesuai untuk melancarkan kedai bergantung pada produk, sasaran khalayak, bajet dan strategi pemasaran kedai anda.
Berikut ialah beberapa manfaat memulakan kedai dalam talian:
- Kos permulaan yang lebih rendah: Mulakan perniagaan dalam talian dengan modal yang lebih rendah berbanding membuka kedai fizikal. Pilihan ini sesuai untuk usahawan yang mengendalikan perniagaan sendiri dan mereka yang menjalankan perniagaan sampingan.
- Pasaran yang terus berkembang: Menurut unjuran Statista bagi tahun 2026, e-dagang dijangka menyumbang 22.6% daripada jumlah jualan runcit global menjelang 2027.
- Alat yang lebih canggih: Gunakan platform e-dagang moden untuk mengurus pelbagai aspek teknikal secara automatik dan memberi lebih tumpuan kepada produk, pelanggan serta perkembangan perniagaan.
- Model perniagaan yang fleksibel: Pilih model perniagaan yang sesuai, daripada perniagaan dropship hingga cetak atas permintaan, tanpa perlu menyimpan stok sendiri.
- Kebebasan untuk berniaga dari mana-mana sahaja: Urus dan pantau perniagaan dari mana-mana sahaja selagi mempunyai sambungan Internet.
Sama ada anda ingin membina perniagaan sepenuh masa atau menjana pendapatan tambahan, kedai dalam talian memberi anda kebebasan untuk menjual mengikut cara yang sesuai dengan matlamat anda.
Berapakah kos sebenar untuk memulakan kedai dalam talian pada 2026?
Membuka kedai dalam talian tidak memerlukan modal sebesar membuka kedai fizikal, tetapi anda tetap perlu mengambil kira kos tertentu. Secara purata, kos untuk memulakan kedai dalam talian baharu ialah kira-kira $29 sebulan (kira-kira RM118 sebulan). Jumlah ini bergantung pada pelaburan dalam pemasaran, ciri kedai dan perkhidmatan reka bentuk yang digunakan.
Kos permulaan utama
| Perbelanjaan | Bajet | Standard | Premium |
|---|---|---|---|
| Platform e-dagang | $5/bulan (kira-kira RM21) (Shopify Starter) | $29/bulan (kira-kira RM119) (Shopify Basic) | $79/bulan (kira-kira RM324) (Shopify Grow) |
| Nama domain | Percuma dengan pelan tahunan | $14–$20/tahun (kira-kira RM57-RM82) | $50–$100/tahun (kira-kira RM205-RM410) (domain premium) |
| Tema laman web | Tema AI percuma | Tema AI percuma | $1,000+ (kira-kira RM4,100+) (reka bentuk tersuai) |
| Fotografi produk | DIY dengan telefon pintar | DIY dengan AI | $500+ (kira-kira RM2,050+) (sesi foto profesional) |
| Inventori awal | $0 (perniagaan dropship) | $0–$2,000 (kira-kira RM0-RM8,200) | $5,000+ (kira-kira RM20,500+) |
| Aplikasi dan sambungan | $0–$50/bulan (kira-kira RM0-RM205) | $0–$100/bulan (kira-kira RM0-RM410) | $100–$250/bulan (kira-kira RM410-RM1,025) |
| Pemasaran | $0 (organik sahaja) | $0–$500/bulan (kira-kira RM0-RM2,050) | $1,000+/bulan (kira-kira RM4,100+) |
| Pendaftaran perniagaan | $0 (perniagaan pemilik tunggal) | $50–$100 (kira-kira RM205-RM1,230) (yuran pemfailan Sdn Bhd berbeza mengikut negeri) | $500+ (kira-kira RM2,050+) (Bhd) |
Cara mengurangkan kos permulaan
- Mulakan dengan perniagaan dropship atau cetak atas permintaan: Gunakan aplikasi yang membantu anda mencari produk untuk dijual tanpa perlu menyimpan stok terlebih dahulu.
- Gunakan tema percuma dan hasilkan foto produk sendiri: Pembina kedai AI Shopify dan tema profesional percuma membolehkan anda membina jenama tanpa kos yang tinggi.
- Tumpukan pada pemasaran organik: Bina kehadiran jenama di media sosial dan optimumkan kedai anda untuk enjin carian sebelum melabur dalam pengiklanan berbayar.
- Laburkan semula keuntungan: Mulakan secara keci-kecilan dan gunakan keuntungan awal untuk mengembangkan perniagaan.
Dengan memahami kos yang terlibat sejak awal, anda boleh menyediakan bajet yang realistik dan mengelakkan perbelanjaan tidak dijangka yang boleh menjejaskan perkembangan perniagaan anda.
Kesilapan biasa yang perlu dielakkan semasa memulakan kedai dalam talian
Belajar daripada kesilapan orang lain dapat membantu anda menjimatkan masa, wang dan mengelakkan kekecewaan semasa memulakan kedai dalam talian. Berikut ialah beberapa kesilapan yang paling kerap berlaku dan perlu dielakkan:
Memulakan perniagaan tanpa mengesahkan permintaan pasaran
Jangan meluangkan masa berbulan-bulan membina kedai yang sempurna untuk produk yang tidak mendapat sambutan. Gunakan strategi pengesahan produk untuk menguji idea anda terlebih dahulu.
Memilih niche yang terlalu tepu
Bersaing secara langsung dengan banyak kedai yang menawarkan produk yang serupa bukanlah sesuatu yang mudah. Cari keunikan atau pasaran niche yang kurang diterokai supaya perniagaan anda lebih menonjol.
Mengabaikan pengoptimuman mudah alih
Kira-kira 53% trafik web datang daripada peranti mudah alih. Jika kedai anda sukar digunakan pada telefon pintar, pelanggan mungkin meninggalkan laman web sebelum membuat pembelian.
Menyediakan polisi penghantaran yang tidak jelas
Kos tambahan yang dipaparkan semasa pembayaran merupakan antara punca utama pengabaian troli. Nyatakan kos penghantaran dan tempoh penghantaran dengan jelas sejak awal.
Mengabaikan keperluan undang-undang
Ramai pemilik kedai baharu terlepas pandang aspek seperti pendaftaran perniagaan, kewajipan cukai dan peraturan industri. Selidik keperluan undang-undang yang berkaitan dengan perniagaan anda sebelum melancarkan kedai.
Mengharapkan kejayaan segera
Membina kedai dalam talian yang menguntungkan memerlukan masa. Menurut perbincangan komuniti, antara kesilapan yang paling kerap dilakukan ialah mengharapkan hasil yang segera. Tumpukan pada usaha pada penambahbaikan yang konsisten sepanjang beberapa bulan dan tahun.
Belajar daripada pengalaman lalu dan gunakan pengajaran tersebut untuk mengenal pasti langkah yang lebih berkesan.
Mulakan kedai dalam talian yang berjaya hari ini
Masa terbaik untuk memulakan kedai dalam talian anda ialah semalam. Masa kedua terbaik ialah sekarang.
Sama ada anda menghasilkan produk buatan tangan, mencipta produk digital yang boleh dimuat turun, menawarkan koleksi produk daripada pelbagai jenama lain atau menghasilkan barangan berjenama sendiri, platform e-dagang moden memudahkan anda mula menjual dalam talian.
Teruskan belajar, sesuaikan strategi dan kembang perniagaan sambil berinteraksi dengan pelanggan serta memahami keperluan mereka.
Daripada penjual kali pertama hingga peruncit global, Shopify menyediakan penyelesaian untuk pelbagai jenis perniagaan. Lihat pelan dan harga.
Soalan Lazim: Cara memulakan kedai dalam talian
Apakah kesilapan yang perlu dielakkan semasa memulakan kedai dalam talian?
Elakkan kesilapan biasa seperti memilih pasaran niche yang tidak sesuai, mengabaikan pengalaman pengguna yang konsisten, mengurangkan fokus pada perkhidmatan pelanggan dan tidak mengoptimumkan kedai untuk peranti mudah alih. Sediakan juga strategi pemasaran yang jelas, termasuk pengoptimuman enjin carian (SEO) dan pemasaran media sosial, untuk menarik pelanggan.
Bolehkah saya memulakan kedai dalam talian tanpa modal?
Anda boleh bermula dengan pelaburan minimum menggunakan percubaan percuma dan pilihan kos rendah. Namun, kebanyakan kedai dalam talian yang berjaya biasanya memerlukan sedikit modal awal. Sediakan bajet untuk yuran platform $5 hingga $30 (kira-kira RM21 hingga RM122) sebulan, nama domain $10 hingga $20 (kira-kira RM41 hingga RM82) setahun serta kos inventori atau yuran perniagaan dropship. Ramai usahawan bermula dengan kurang daripada $100 (kira-kira RM406) dan melaburkan semula keuntungan awal untuk mengembangkan perniagaan.
Berapakah kos untuk memulakan kedai dalam talian?
Kos bergantung pada beberapa faktor. Sekurang-kurangnya, anda perlu menyediakan bajet untuk pelan e-dagang, pengehosan web dan yuran transaksi. Sesetengah pelan bermula serendah $5 sebulan (kira-kira RM21). Ambil kira juga kos lain seperti pengiklanan berbayar, inventori dan perbelanjaan overhed seperti internet, elektrik dan sewa.
Bagaimanakah cara memulakan kedai dalam talian sendiri?
Pilih produk atau perkhidmatan yang ingin dijual. Seterusnya, bina kedai dalam talian menggunakan platform e-dagang dengan menambah elemen penjenamaan, produk dan halaman penting. Lancarkan kedai dan jalankan kempen pemasaran untuk menarik pelanggan.
Berapakah lama masa yang diperlukan untuk mula menjana pendapatan melalui kedai dalam talian?
Kebanyakan kedai dalam talian baharu mengambil masa antara tiga hingga enam bulan untuk mencapai keuntungan. Namun, tempoh ini berbeza mengikut pasaran niche, strategi pemasaran dan model perniagaan anda. Ada pemilik kedai yang memperoleh jualan pertama dalam beberapa hari selepas pelancaran, manakala ada yang memerlukan lebih banyak masa untuk membina momentum.
Bagaimanakah cara membina kedai dalam talian tanpa inventori?
Gunakan model perniagaan seperti perniagaan dropship dan cetak atas permintaan. Melalui kaedah ini, pihak ketiga mendapatkan atau menghasilkan produk bagi pihak anda dan menghantar pesanan terus kepada pelanggan selepas anda menerima tempahan.
Apakah yang diperlukan untuk menjalankan kedai dalam talian?
Anda tidak memerlukan kemahiran pengekodan untuk memulakan kedai dalam talian. Gunakan platform e-dagang seperti Shopify untuk membina dan menguruskan kedai, menerima pesanan dan pembayaran serta mengendalikan inventori dan penghantaran.
Adakah saya memerlukan lesen perniagaan untuk menjual dalam talian?
Keperluan bergantung pada lokasi serta jenis produk atau perkhidmatan yang dijual. Ramai penjual dalam talian berskala kecil memulakan perniagaan sebagai pemilik tunggal tanpa pendaftaran rasmi. Namun, apabila perniagaan berkembang, anda mungkin perlu mendapatkan lesen atau permit perniagaan serta mendaftar untuk tujuan cukai. Semak keperluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan anda dan pertimbangkan untuk mendapatkan nasihat daripada peguam perniagaan atau akauntan. Untuk maklumat lanjut, rujuk panduan kami tentang cara mendapatkan lesen perniagaan.

