Ada idea perniagaan yang mantap tetapi modal permulaan masih belum mencukupi? Jangan risau, perjalanan anda sebagai usahawan belum berakhir selagi belum bermula. Terdapat banyak cara untuk memulakan perniagaan dengan sedikit atau tanpa modal sama sekali.
Dalam artikel ini, anda akan menemukan lima model perniagaan yang sesuai untuk mulakan perniagaan tanpa modal yang besar serta panduan tujuh langkah untuk bermula.
5 jenis perniagaan yang boleh dimulakan tanpa modal
Sesetengah model perniagaan lebih mesra bajet berbanding yang lain. Jika anda usahawan baharu, pertimbangkan salah satu bidang berikut:
- Perniagaan dropship
- Cetak atas permintaan
- Perniagaan berasaskan perkhidmatan
- Produk digital
- Barangan buatan tangan
Perniagaan Dropship
Perniagaan Dropship ialah kaedah menjual barangan tanpa perlu membeli inventori dalam kuantiti yang banyak. Penjual yang menggunakan kaedah perniagaan dropship hanya membeli barang selepas pelanggan membuat pesanan, kemudian meminta pembekal menghantar produk terus kepada pelanggan.
Ini bermakna anda boleh menjalankan perniagaan dropship dari mana-mana sahaja, menghubungkan pembekal dan pelanggan tanpa perlu mengendalikan barangan secara fizikal. "Perkara yang menarik tentang perniagaan dropship ialah model perniagaan ini tidak menilai anda berdasarkan tempat tinggal anda," kata usahawan perniagaan dropship Kamil Sattar dalam podcast Shopify Masters.
Untuk berjaya dalam perniagaan dropship:
- Cari produk yang trending: "TikTok ialah penunjuk utama masa kini untuk mencari produk," ujar Kamil. Beliau mengesyorkan agar anda mencari kata kunci seperti "Amazon finds" dan Tiktokmademebuyit dalam aplikasi media sosial tersebut, kemudian dapatkan lima hingga 10 produk berharga murah daripada pembekal yang disahkan.
- Mulakan dengan aplikasi perniagaan dropship percuma: Cuba DSers, rakan kongsi rasmi untuk perniagaan dropship AliExpress. DSers menawarkan pelan percuma yang membolehkan anda mengurus pelbagai pembekal, memproses pesanan pukal dalam masa beberapa saat, dan menjejak penghantaran terus ke Malaysia. Terdapat juga CJ Dropshipping, aplikasi percuma yang mendapatkan produk dari China, menyimpan produk tersebut di gudang global (termasuk lokasi di Asia), dan mengendalikan pembungkusan tersuai untuk jenama anda. Aplikasi Printify yang percuma untuk dipasang dan sesuai jika anda ingin menjalankan perniagaan dropship pakaian, barangan rumah, atau aksesori rekaan tersuai tanpa menyimpan inventori. Anda juga boleh mencari dan menjual produk daripada jenama Shopify melalui Shopify Collective, rangkaian pembekal terpilih Shopify sendiri, untuk mengakses produk berkualiti dengan penghantaran yang boleh dipercayai dan margin yang lebih baik.
- Gunakan strategi pemasaran organik: Kamil mencadangkan agar anda merakam video pendek selama 30 hari yang memaparkan produk anda sebelum membuka akaun TikTok baharu untuk perniagaan.
- Mulakan dengan laman web e-dagang asas: Bina laman web pertama anda dengan percubaan percuma tiga hari Shopify, kemudian sambungkan aplikasi perniagaan dropship pilihan anda untuk mula mengimport produk.
Cetak atas permintaan
Perkhidmatan cetak atas permintaan menggunakan penjenamaan dan rekaan anda pada produk label putih seperti beg tote atau kemeja T, dan kemudian dijual berdasarkan setiap pesanan. "Anda boleh mencipta jenama fesyen sendiri dengan segera tanpa perlu memesan stok," kata Sattar.
Manfaat menggunakan syarikat cetak atas permintaan:
- Kos pendahuluan yang minimum
- Tiada perbelanjaan penyimpanan
- Uji populariti produk sebelum melabur dalam pembuatan
"Kami bermula dengan perkhidmatan cetak atas permintaan, menjadikan pelaburan operasi awal kami sifar. Pada dasarnya, kami hanyalah sebuah laman web yang pada mulanya bertujuan untuk menguji idea tersebut," kata Katheriin Liibert, pengasas bersama jenama pakaian Eropah #muhoov.
Perniagaan berasaskan perkhidmatan
Perniagaan berasaskan perkhidmatan agak murah untuk dimulakan kerana anda menjual masa dan kemahiran, bukan produk fizikal. Mulakan sebagai usahawan solo dan kembangkan dengan mengambil pekerja apabila permintaan meningkat.
"Memandangkan anda belum mempunyai modal, mulakan dengan ciri-ciri yang anda ada, contohnya, pengalaman, pengetahuan, kemahiran, dan sumber yang anda miliki," kata Kei Nishida, pemilik Japanese Green Tea Co.
Beberapa idea perniagaan berasaskan perkhidmatan yang popular termasuk:
- Penulisan bebas
- Pembantu peribadi maya
- Pemasaran media sosial
- Pembeli-belah peribadi maya
Anda juga boleh menggabungkan perkhidmatan dengan model perniagaan lain. Contohnya, tawarkan perkhidmatan susun atur almari pakaian dan jalankan kedai jualan semula dalam talian dengan barangan yang pelanggan anda tidak perlukan lagi untuk menjana pendapatan pasif.
Produk digital
Cipta dan jual produk digital dengan hanya bermodalkan sambungan Internet. Mulakan dengan topik yang popular, bangunkan kandungan yang berguna, kemudian kemaskan idea anda menjadi produk digital seperti:
- E-buku
- Kursus dalam talian
- Lembaran kerja atau templat
- Pratetap fotografi
Produk digital sangat mudah diskalakan - cipta sekali, jual berkali-kali. Gunakan aplikasi Digital Downloads untuk menjual produk digital anda secara dalam talian dengan mudah.
Barangan buatan tangan
Jadikan hobi anda sebagai punca pendapatan sampingan dengan menjual barangan buatan tangan melalui kedai dalam talian dan pasaran seperti Etsy. Walaupun model ini memerlukan lebih banyak modal permulaan berbanding pilihan lain, anda boleh mengurangkan kos dengan:
- Bermula secara kecil-kecilan: Kristen Pumphrey memulakan P.F. Candle Co. sebagai perniagaan DIY membuat lilin di apartmennya.
- Menggunakan pendanaan awam: Harry Doull mengasaskan Keap Candles bersama rakannya melalui pendanaan awam sambil bekerja sepenuh masa, dan mengembangkan jenama tersebut menjadi jenama terkenal.
- Mengitar semula bahan: Kate Sullivan dari The Sage Vintage membuat barang kemas daripada loket vintaj, manakala Suay mencipta pakaian tampal cantum daripada tekstil terbuang.
Cara memulakan perniagaan tanpa modal
Walaupun perincian mungkin berbeza mengikut jenis perniagaan yang anda pilih, langkah asas untuk memulakan usaha niaga anda tetap sama:
- Tulis rancangan perniagaan
- Cari komuniti anda
- Pilih nama perniagaan
- Cipta jenama anda
- Lancarkan laman web
- Sahkan idea anda
- Dapatkan pembiayaan untuk berkembang
1. Tulis rancangan perniagaan
Rancangan perniagaan berfungsi sebagai rangka tindakan untuk menjalankan dan mengembangkan perniagaan anda. Manfaat rancangan perniagaan termasuk:
- Menjangka cabaran yang mungkin timbul
- Menyediakan hala tuju supaya anda terus berada di landasan yang betul apabila berhadapan dengan terlalu banyak keputusan yang perlu dibuat
2. Cari komuniti anda

Berhubung dengan usahawan lain untuk mendapatkan nasihat percuma yang berharga tentang cara menjalankan perniagaan tanpa modal yang besar:
- Hadiri acara jaringan.
- Sertai persidangan secara maya dan bersemuka.
- Libatkan diri dalam kumpulan jaringan dalam talian.
- Cari mentor perniagaan.
3. Pilih nama perniagaan
Pilih nama yang menarik, mudah diingati yang belum digunakan oleh mana-mana pihak. Ingat: nama yang anda pilih akan menemani perjalanan perniagaan anda sepanjang hayat. Pastikan nama tersebut benar-benar anda sukai, dan tidak mengehadkan keupayaan anda untuk berkembang serta berubah hala tuju pada masa hadapan.
Setelah menemukan nama perniagaan yang sesuai, dapatkan aset dalam talian yang sepadan, termasuk nama domain dan nama pengguna akaun media sosial anda.
4. Cipta jenama anda

Bina jenama yang melangkaui sekadar nama atau logo:
- Tentukan nilai jenama dan pernyataan misi
- Bangunkan estetika jenama (palet warna, fon)
- Tetapkan gaya fotografi
- Bentuk suara jenama dan nada
- Gariskan amalan pengambilan pekerja
- Ceritakan kisah jenama anda
Gunakan sumber percuma seperti pembuat logo Shopify dan templat panduan jenama untuk bermula.
5. Lancarkan laman web
Laman web asas berfungsi sebagai destinasi untuk pengunjung dalam talian dan hab untuk produk serta kandungan anda. Bina laman web yang lengkap dengan ciri profesional seperti halaman produk bertema, pembayaran, dan blog, menggunakan pelan yang sesuai dengan keperluan anda. Gunakan laman web tersebut untuk mendidik bakal pelanggan tentang produk dan jenama anda.
Jika anda ingin menjual secara dalam talian tetapi tidak perlu membina kedai penuh, pelan Shopify Starter percuma selama tiga hari, kemudian hanya USD5 (kira-kira RM22.50) sebulan. Pelan ini dilengkapi dengan ciri jualan yang dipertingkatkan untuk TikTok, Instagram, dan platform media sosial lain, serta keupayaan untuk membuat jualan melalui e-mel, SMS, dan secara bersemuka.
6. Sahkan idea anda
Tiada modal permulaan yang cukup untuk mengisi gudang dengan inventori? Pertimbangkan untuk menjalankan perniagaan menggunakan model prapesanan. Menerima prapesanan membolehkan anda mengumpul bayaran pendahuluan terlebih dahulu sebelum membuat komitmen kepada pengeluaran. Strategi pelancaran ini juga sangat berkesan untuk menarik perhatian terhadap jenama baharu anda.
Remi Martins, pengasas Regirl, menguji pendekatan ini sambil bekerja sepenuh masa. Beliau mencipta halaman Instagram untuk mempamerkan idea produknya. "Saya mendapat maklum balas bahawa orang ramai berminat dengan produk tersebut dan terdapat pasaran untuk wig yang direka khas untuk pencinta rambut semula jadi," katanya.
Selepas membangunkan produknya bersama seorang pereka fesyen rambut, Remi melancarkan perniagaan melalui prapesanan. "Kami telah menjual 50 produk dalam 60 hari pertama perniagaan ini," katanya. "Akhirnya saya melabur USD1,000 (kira-kira RM4,500) dalam perniagaan ini untuk membeli inventori dan menjalankan pemasaran."
7. Dapatkan pembiayaan untuk berkembang
Ingat, perniagaan yang dimulakan tanpa modal tidak semestinya kekal kecil. Laburkan semula pendapatan anda ke dalam perniagaan anda dan perhatikan hasil yang berkembang.
Francois Mathieu, pengasas bersama syarikat teh Hojicha Co, berkongsi pendekatan jenama mereka: "Kebanyakan keuntungan kami telah dilaburkan semula dalam inventori dan pengiklanan. Kami cuba berkembang pada kadar yang sihat supaya tidak perlu bergantung pada pelaburan luar."
Apabila perniagaan anda mula berkembang, pertimbangkan pilihan pembiayaan berikut:
- Shopify Capital: Ciri pinjaman Shopify membantu kedai meningkatkan aliran tunai dan memastikan produk terlaris sentiasa tersedia.
- Pinjaman perniagaan kecil: Dapatkan jumlah yang lebih besar melalui pemberi pinjaman untuk penggajian, pembiayaan inventori, atau pemasaran.
- Pelabur modal: Pelabur malaikat atau pemodal teroka menyediakan dana sebagai pertukaran untuk ekuiti.
- Geran perniagaan kecil: Jumlah sekali gus untuk perniagaan kecil yang memenuhi kriteria tertentu, selalunya tanpa perlu pembayaran balik.
Alicia Ho memulakan perniagaan fotografi miliknya, Precious Ones Photography, tanpa sebarang modal. "Rakan dan ahli keluarga mula perasan hasil kerja saya, dan saya pun mula menerima pelanggan serta memperoleh sedikit pendapatan,” kenangnya. Apabila bersedia untuk berkembang, Alicia menemukan sebuah pertubuhan bukan untung tempatan yang menawarkan pinjaman dan biasiswa untuk usahawan muda. "Itu ialah langkah terbaik yang pernah saya ambil untuk perniagaan saya," katanya.
Soalan Lazim: Cara memulakan perniagaan tanpa modal
Apakah perniagaan paling mudah untuk dimulakan tanpa modal?
Perniagaan dropship ialah salah satu cara paling mudah untuk memulakan perniagaan tanpa modal pendahuluan. Anda hanya membayar inventori apabila pelanggan membuat pembelian, sekali gus menghapuskan yuran penggudangan dan kos pembuatan produk yang besar. Memandangkan perniagaan ini dijalankan secara dalam talian, anda boleh menjana wang dari rumah, menjadikan perniagaan dropship pilihan ideal untuk usahawan yang bermula dengan sumber yang terhad.
Apakah perniagaan yang boleh dimulakan tanpa modal?
Cetak atas permintaan ialah pilihan terbaik untuk memulakan perniagaan dengan pelaburan minimum. Cipta rekaan tersuai menggunakan alat reka bentuk grafik dalam talian yang percuma. Kemudian gunakan perkhidmatan seperti Printify untuk menerapkan rekaan anda pada produk. Anda hanya membayar kos pembuatan apabila pesanan dibuat. Idea perniagaan kos rendah lain termasuk perundingan pemasaran media sosial, penulisan bebas, dan perniagaan berasaskan perkhidmatan.
Berapakah kos untuk memulakan perniagaan?
Kos memulakan perniagaan sangat berbeza-beza, bergantung pada model yang dipilih. Sesetengah perniagaan memerlukan pelaburan pendahuluan yang besar, seperti premis runcit, manakala yang lain hanya memerlukan sambungan Internet. Melancarkan perniagaan anda tanpa modal adalah sesuatu yang sangat mungkin dilakukan, terutamanya dengan menggunakan model seperti perniagaan dropship, cetak atas permintaan, atau jualan produk digital.

