Dengan lebih daripada 2.6 bilion pelawat laman web setiap bulan dan hampir USD717 bilion jualan bersih pada 2025, Amazon merupakan pasaran dalam talian terbesar di dunia serta platform yang membolehkan perniagaan menjangkau pelanggan di seluruh dunia.
Memandangkan Amazon menguasai pasaran e-dagang global, perniagaan daripada pelbagai saiz perlu memahami cara menjual di platform ini.
Bagi perniagaan kecil, Amazon memberikan peluang untuk memasarkan produk kepada jutaan pembeli yang sudah bersedia untuk membuat pembelian. Bagi jenama yang sudah berkembang, Amazon pula membuka peluang untuk meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa dan memanfaatkan tahap kepercayaan tinggi yang dimiliki pelanggan terhadap platform tersebut.
Proses untuk bermula juga agak mudah. Selepas mencipta akaun Seller Central, anda akan mendapat akses kepada pelbagai alat Amazon untuk menyenaraikan produk, mengurus pesanan, menjalankan iklan dan memantau prestasi.
Namun, sebelum memulakan jualan, penting untuk memahami cara menjual di Amazon berfungsi serta strategi yang diperlukan untuk menyerlah dalam pasaran yang sangat kompetitif ini.
Adakah menjual di Amazon sesuai untuk anda?
Rangkaian pelanggan Amazon yang luas menjadikan platform ini saluran jualan yang menarik untuk banyak perniagaan kecil.
"Amazon ialah saluran jualan yang besar kerana begitu ramai orang membeli-belah di platform tersebut," kata Lindsay Windham, pengasas bersama Distil Union, dalam temu bual Shopify Masters. "Kami mula sedar, 'Saya sendiri membeli tisu tandas dan banyak barangan lain di Amazon. Mungkin kami patut menjual di Amazon juga'."
Platform Amazon wajar dipertimbangkan jika:
- Anda menjual produk dalam kategori pengguna yang popular (contohnya barang kemas, buku atau elektronik)
- Anda menawarkan produk standard yang tidak memerlukan pengubahsuaian
- Produk anda ringan dan mudah dihantar
- Margin keuntungan anda mencukupi untuk menampung yuran jualan Amazon
- Anda boleh bersaing dari segi harga dan kelajuan penghantaran, bukan hanya bergantung pada identiti jenama
Namun begitu, menjual di Amazon juga mempunyai cabaran dan bukan pilihan terbaik untuk setiap usahawan.
Amazon mungkin kurang sesuai jika perniagaan anda banyak bergantung pada hubungan rapat dengan pelanggan, menawarkan pembungkusan tersuai atau mempunyai margin keuntungan yang rendah. Platform ini mengenakan komisen bagi setiap jualan dan menetapkan had tertentu terhadap jenis produk yang boleh dijual.
💡Tip: Jika Amazon bukan saluran yang sesuai untuk anda atau anda mahu menggabungkan kelebihan menjual di kedua-dua platform, bina laman web Shopify anda sendiri.
Cara menjual di Amazon untuk pemula
- Jalankan kajian pasaran
- Pilih strategi jualan
- Fahami Featured Offer (Buy Box)
- Sediakan rancangan perniagaan
- Daftar akaun penjual Amazon anda
- Tambah produk pertama anda
1. Jalankan kajian pasaran
Gunakan kajian pasaran dan analisis pesaing untuk menentukan produk yang sesuai dijual di Amazon. Cari produk yang sedang mendapat permintaan, menawarkan margin keuntungan yang baik dan mempunyai tahap persaingan yang tidak terlalu tinggi.
Berikut ialah beberapa cara untuk menilai landskap pasaran semasa di Amazon bagi menentukan kategori produk yang perlu diutamakan:
Semak senarai produk terlaris Amazon
Halaman Produk Terlaris Amazon ialah tempat yang sesuai untuk mendapatkan idea produk berdasarkan barangan yang sedang laris dijual di platform tersebut.
Walaupun sesuatu produk mengambil masa untuk tersenarai sebagai produk terlaris Amazon kerana kedudukan ini ditentukan berdasarkan jumlah jualan, halaman ini dapat memberikan gambaran tentang produk yang sedang mendapat sambutan dalam kalangan pengguna. Bolehkah anda menawarkan versi produk yang popular yang memenuhi keperluan niche tertentu atau keperluan pelanggan yang masih belum dipenuhi?

Gunakan alat kajian kata kunci
Jungle Scout ialah alat kajian kata kunci Amazon yang popular dan boleh membantu anda mengecilkan pilihan produk yang berpotensi untuk dijual. Jumlah carian bagi sesuatu produk dapat membantu anda mengukur minat pengguna dan membuat keputusan berdasarkan data.
Gunakan Product Opportunity Explorer Amazon
Product Opportunity Explorer yang tersedia dalam Amazon Seller Central mengelompokkan produk dalam niche yang sama berdasarkan produk yang pelanggan lihat atau beli selepas membuat carian di Amazon. Anda boleh menilai permintaan dengan meneliti jumlah carian, tingkah laku pelanggan, maklumat harga serta ulasan pelanggan bagi setiap produk.
Baca ulasan Amazon
Apabila pelanggan memberikan ulasan, mereka mungkin secara tidak sengaja mendedahkan jurang dalam pasaran. Analisis ulasan produk di Amazon untuk memahami perkara yang disukai dan tidak disukai pelanggan tentang jenama atau produk tertentu. Anda juga mungkin dapat mengenal pasti masalah yang sering dihadapi pelanggan dengan produk pesaing, sekali gus membolehkan anda menawarkan penyelesaian melalui produk anda sendiri.
Semak sekatan produk
Selepas menentukan produk yang ingin dijual, semak senarai sekatan produk Amazon untuk memastikan anda mematuhi syarat yang ditetapkan.
Produk seperti alkohol, karya seni, peralatan pengawasan dan elektronik kitar semula termasuk dalam kategori produk yang tidak dibenarkan. Produk lain seperti kosmetik, makanan dan minuman serta pakaian kanak-kanak pula perlu melalui proses kelulusan terlebih dahulu sebelum boleh dijual.
💡Tip: Rujuk maklumat kategori produk di Amazon Seller Central sebelum menyediakan akaun penjual anda.
2. Pilih strategi jualan
Bergantung pada jenis produk yang anda jual dan modal yang tersedia, anda mungkin memilih satu atau beberapa strategi berikut untuk menjual di Amazon:
- Arbitraj runcit. Jika anda membeli produk pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran dan menjual produk ini semula pada harga lebih tinggi untuk mendapatkan keuntungan daripada perbezaan harga, strategi ini dikenali sebagai arbitraj runcit. Penjual Amazon boleh mencari produk yang ditawarkan pada harga diskaun atau jualan pelepasan stok di peruncit, kemudian menjual semula di Amazon pada harga yang lebih tinggi.
- Pelabelan putih (white labeling). Produk generik yang ditambahkan dengan nama jenama atau logo anda dikenali sebagai produk label putih. Anda tidak memerlukan pengalaman dalam pembuatan atau reka bentuk produk untuk menjual produk label putih. Fokus utama ialah mendapatkan produk berkualiti dan membina penjenamaan yang menarik.
- Pelabelan persendirian (private labeling). Produk label persendirian dihasilkan oleh pengilang pihak ketiga mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh peruncit. Peruncit kemudian memasarkan dan menjual produk tersebut menggunakan jenama sendiri. Anda boleh mencari produk label persendirian melalui platform seperti Alibaba, Made-in-China.com dan direktori pembekal antarabangsa yang lain.
- Dropship. Apabila menjalankan dropship di Amazon, anda tidak perlu menyimpan inventori sendiri. Apabila pelanggan membuat pembelian, pesanan akan dihantar kepada pembekal pihak ketiga yang akan menguruskan pemprosesan dan penghantaran produk. Anda boleh mencari pembekal dropship melalui aplikasi Shopify seperti DSers untuk mendapatkan produk daripada pembekal AliExpress atau Syncee untuk sumber produk global. Banyak aplikasi dropship turut menawarkan pelan percuma untuk membantu anda bermula.
💡Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pembekal dan strategi dropship, baca panduan lengkap dropship kami.
3. Fahami Featured Offer (Buy Box)
Amazon Featured Offer (dahulunya dikenali sebagai Buy Box) ialah pilihan pembelian utama yang dipaparkan pada halaman produk Amazon. Di bahagian ini, pelanggan boleh terus menambah produk ke troli atau membuat pembelian melalui butang Beli Sekarang.

Jika beberapa penjual menawarkan produk yang sama, Amazon akan memaparkan semua tawaran tersebut dalam satu halaman produk. Algoritma Amazon kemudian menentukan tawaran penjual yang akan dipaparkan sebagai Featured Offer berdasarkan beberapa faktor utama:
- Harga (tetapi bukan harga terendah sahaja). Harga yang kompetitif memang penting tetapi Amazon tidak semestinya memilih penjual dengan harga paling murah. Sebaliknya, platform ini mengutamakan nilai keseluruhan yang ditawarkan kepada pelanggan.
- Kaedah pemenuhan pesanan. Penjual yang menggunakan Fulfillment by Amazon (FBA) atau Seller Fulfilled Prime biasanya mempunyai kelebihan kerana pilihan ini membantu memastikan proses penghantaran lebih pantas dan boleh dipercayai.
- Prestasi penjual. Faktor seperti kadar pesanan bermasalah yang rendah, penghantaran tepat pada masa dan khidmat pelanggan yang baik boleh meningkatkan peluang untuk dipaparkan pada Featured Offer.
- Ketersediaan stok. Sukar untuk dipaparkan pada Featured Offer jika stok sering tidak tersedia atau sukar diuruskan secara konsisten.
4. Sediakan rancangan perniagaan
Sediakan rancangan perniagaan strategik yang merangkumi perkara penting untuk membina perniagaan yang berjaya. Antara perkara yang perlu dirancang termasuk:
- Menyenaraikan produk yang ingin dijual
- Menentukan harga produk
- Menyusun strategi pemasaran
- Mengenal pasti model perniagaan e-dagang
- Menyediakan pelan pengurusan inventori
5. Daftar akaun penjual Amazon anda
Untuk membuka akaun penjual Amazon, anda perlu memilih pelan jualan yang sesuai: individu atau profesional. Pilihan ini bergantung pada anggaran jumlah jualan anda.
- Pelan jualan individu. Jika anda menjual kurang daripada 40 produk sebulan, pelan ini mungkin lebih sesuai. Pelan bayar mengikut penggunaan ini memberikan akses kepada alat asas untuk menyenaraikan produk dan mengurus pesanan. Penjual individu dikenakan yuran sebanyak kira-kira USD0.99 (sekitar RM4) bagi setiap produk yang berjaya dijual.
- Pelan jualan profesional. Apabila jumlah jualan meningkat, pelan individu boleh menjadi lebih mahal berbanding pelan profesional. Pelan langganan bulanan sebanyak USD39.99 (sekitar RM163) ini menawarkan pelbagai alat dan manfaat untuk penjual, termasuk program jualan global, laporan perniagaan lanjutan dan peluang untuk mendapatkan Featured Offer Amazon.

Setelah memilih pelan jualan, anda boleh mula menyediakan akaun penjual Amazon baharu. Sediakan maklumat berikut dan masukkan butiran tersebut pada halaman pendaftaran Seller Central:
- Alamat e-mel perniagaan
- Nombor akaun bank dan maklumat bank yang diperlukan
- Kad kredit yang aktif
- Dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan kerajaan
- Maklumat cukai
- Nombor telefon

Sebaik sahaja akaun penjual Amazon anda diluluskan, anda boleh mula menambah produk dan menjual di Amazon.
6. Tambah produk pertama anda
Terdapat dua cara untuk menambahkan produk pada Amazon: satu untuk produk sedia ada yang telah dijual di platform tersebut dan satu lagi untuk produk baharu.
Cara menambahkan produk yang sudah tersedia di Amazon:
Ikuti langkah ini untuk produk yang sudah mempunyai Amazon Standard Identification Number (ASIN). Amazon akan menggabungkan penyenaraian anda dengan halaman butiran produk sedia ada yang turut digunakan oleh penjual lain untuk produk yang sama.
Sebagai contoh, anda menjual cawan perjalanan yang dibeli pada harga borong dan produk yang sama sudah mempunyai penyenaraian di Amazon:
- Salin ASIN pada bahagian "Product details" pada penyenaraian sedia ada.
- Akses "Seller Central", klik "Catalog" dan pilih "Add Products". Bar carian akan dipaparkan dan anda boleh memasukkan ASIN tersebut. Halaman produk berkenaan akan dipaparkan. Gunakan menu lungsur untuk memilih keadaan produk anda (contohnya, "New", "Used - Like New", "Used - Very Good" dan sebagainya).
- Klik "Sell this product", tetapkan harga jualan, pilih kaedah pemenuhan pesanan (FBM atau FBA) dan ikut arahan seterusnya. Anda boleh memasukkan SKU untuk produk tersebut, kemudian klik butang "Save and finish". Penyenaraian anda boleh dilihat pada halaman "Manage inventory" dalam akaun Seller Central.
Cara menyenaraikan produk yang belum tersedia di Amazon:
Berikut ialah proses untuk menyenaraikan produk yang belum pernah dijual di Amazon, contohnya koleksi produk sendiri seperti kasut clog platform kulit:
- Pada papan pemuka "Seller Central", klik "Add a product", kemudian pilih "I'm adding a product not sold on Amazon."
- Pilih kategori produk daripada senarai yang tersedia, kemudian masukkan semua maklumat produk yang diperlukan (contohnya tajuk, harga, butiran produk, foto dan pilihan pemenuhan pesanan).
- Klik "Save and finish" untuk menghantar produk bagi proses kelulusan. Selepas diluluskan, Amazon akan memberikan ASIN dan menyenaraikan produk tersebut untuk dijual. Anda boleh mengakses penyenaraian melalui halaman "Manage inventory".
Selepas halaman butiran produk anda tersedia, pembeli boleh menemukan produk tersebut melalui carian di Amazon. Jika produk anda menarik dan strategi pemasaran anda berkesan, pesanan boleh mula diterima.
Amazon FBA vs. FBM: Memilih kaedah pemenuhan yang sesuai
Sebagai penjual, anda mempunyai dua pilihan pemenuhan semasa menjual di Amazon: Fulfilled by Merchant dan Fulfillment by Amazon.
Apa itu Fulfilled by Merchant (FBM)?
Dengan model Fulfilled by Merchant (FBM), anda mengurus sendiri proses pemenuhan pesanan termasuk penghantaran, pemulangan dan perkhidmatan pelanggan. Kaedah ini sesuai untuk produk tempahan khas atau produk yang memerlukan masa pemprosesan lebih panjang.
Mengurus pemenuhan pesanan sendiri bermakna anda boleh menikmati yuran yang lebih rendah dan mempunyai lebih banyak kawalan terhadap operasi. Oleh sebab anda mengendalikan proses ini sendiri, lebih mudah untuk menyelaraskan operasi merentas pelbagai platform (Amazon, Shopify, Etsy dan lain-lain) tanpa bergantung pada rangkaian gudang Amazon.
Namun, kaedah ini turut mempunyai beberapa cabaran. Anda perlu mengurus semua aspek termasuk inventori, pembungkusan, penghantaran, perkhidmatan pelanggan dan pemulangan. Tambahan pula, pelanggan Amazon sudah biasa dengan penghantaran yang pantas. Jika anda tidak dapat menawarkan pengalaman penghantaran yang setanding dengan penjual FBA, produk anda mungkin kurang mendapat perhatian pembeli.
Apa itu Fulfillment by Amazon (FBA)?
Dengan FBA, anda menghantar inventori produk ke Pusat Pemenuhan Amazon (gudang Amazon) dan Amazon akan menguruskan proses penyimpanan, penghantaran serta pemulangan pelanggan bagi pihak anda.
Anda masih mengurus tahap inventori dan perlu membayar yuran penyimpanan untuk produk tersebut, selain yuran pemenuhan bagi setiap unit yang terjual. Perlu diingat bahawa anda masih memiliki inventori tersebut sehingga pelanggan menerima produk.
Dengan model ini, Amazon akan memproses pembayaran daripada pelanggan sebelum menyalurkan hasil jualan kepada anda. Anda juga mendapat akses kepada pasukan perkhidmatan pelanggan Amazon yang menguruskan pertanyaan, pemulangan dan bayaran balik.
Dengan menggunakan FBA, anda mempunyai peluang lebih tinggi untuk mendapatkan Featured Offer. Selain itu, pelanggan lebih yakin untuk membeli kerana pesanan FBA disokong oleh standard perkhidmatan pelanggan Amazon, sekali gus membantu melancarkan proses pembelian dan meningkatkan jualan. Anda juga boleh mengurus jumlah pesanan yang lebih tinggi tanpa perlu membina pasukan logistik atau sokongan sendiri.
"Jika anda serius tentang Amazon, hantar produk ke gudang mereka dan biarkan mereka mengurus penghantaran melalui Prime," kata Nate Justiss, pengasas bersama Distil Union, dalam temu bual Shopify Masters.
Namun, yuran FBA boleh meningkat dari semasa ke semasa dan anda perlu melepaskan sebahagian kawalan terhadap proses pemenuhan. Walaupun Amazon menguruskan pemulangan, keputusan tersebut tidak semestinya memihak kepada penjual. Polisi Amazon yang mengutamakan pelanggan kadangkala boleh menyebabkan kadar pemulangan yang tinggi atau tuntutan berkaitan inventori yang hilang.
Perbandingan antara FBA vs. FBM
Jika anda masih belum pasti pilihan yang sesuai, berikut ialah perbandingan antara dua kaedah pemenuhan Amazon:
| Perbezaan | Fulfillment by Amazon (FBA) | Fulfilled by Merchant (FBM) |
|---|---|---|
| Tanggungjawab pemenuhan | Dikendalikan oleh Amazon. | Dikendalikan oleh anda sebagai penjual. |
| Lencana Prime | Ya | Tidak, kecuali anda layak untuk Seller-Fulfilled Prime. |
| Featured Offer (Buy Box) | Mempunyai kelebihan kerana Amazon mengutamakan penjual FBA yang menawarkan penghantaran pantas dan boleh dipercayai. | Mungkin lebih sukar bersaing dengan penjual FBA dari segi kelajuan penghantaran yang merupakan salah satu faktor dalam algoritma Featured Offer. |
| Kebolehskalaan | Membolehkan anda mengendalikan jumlah pesanan yang lebih tinggi tanpa perlu membina pasukan logistik atau sokongan sendiri. | Anda bertanggungjawab mengurus semua aspek, termasuk inventori, pembungkusan, penghantaran, perkhidmatan pelanggan dan pemulangan. |
| Yuran | Yuran penyimpanan bulanan dan jangka panjang serta kos pemenuhan boleh menjejaskan keuntungan, terutamanya bagi produk besar atau yang lambat terjual. Yuran lain seperti yuran rujukan dan yuran penutupan juga mungkin dikenakan. | Tiada yuran penyimpanan inventori atau pemenuhan Amazon tetapi yuran lain seperti yuran rujukan dan yuran penutupan mungkin dikenakan. |
| Kawalan | Amazon menguruskan pembungkusan dan pengalaman penghantaran pelanggan. | Anda mempunyai kawalan terhadap pembungkusan, rakan penghantaran dan kelajuan penghantaran. Anda juga boleh mengembangkan operasi ke saluran jualan lain menggunakan gudang sendiri. |
| Risiko inventori | Jika produk tidak terjual, anda masih perlu membayar yuran penyimpanan inventori. | Lebih fleksibel kerana anda boleh menjual inventori melalui saluran lain jika produk kurang mendapat sambutan di Amazon. |
| Pemulangan | Dikendalikan oleh Amazon. | Dikendalikan sendiri oleh penjual. |
Memahami Amazon Seller Central
Amazon Seller Central ialah papan pemuka tempat anda mengurus penyenaraian produk, memantau jualan, menyemak metrik prestasi serta mengendalikan pelbagai aktiviti seperti kempen pengiklanan dan mesej pelanggan.
Sekilas pandang, antara muka ini mungkin kelihatan rumit dengan pelbagai tab dan laporan yang tersedia. Namun, selepas anda biasa menggunakan ciri ini, Seller Central boleh menjadi alat yang berguna. Platform ini memberikan gambaran terkini tentang prestasi jualan anda, membantu mengenal pasti isu sebelum menjadi lebih serius dan menyokong anda membuat keputusan berasaskan data berkaitan harga, promosi dan inventori.
Berikut ialah cara menggunakan papan pemuka Amazon Seller Central:
Mengurus inventori dan pesanan
Memastikan stok sentiasa mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan merupakan aspek penting untuk menjual di Amazon.
Pada Seller Central, anda boleh:
- Tambah dan kemas kini penyenaraian. Cipta halaman produk baharu atau kemas kini halaman sedia ada dengan penerangan, imej atau harga terkini.
- Jejak tahap stok. Pantau inventori secara masa nyata supaya anda boleh menambah stok pada masa yang sesuai dan mengelakkan kehabisan stok yang boleh menjejaskan jualan.
- Ramalkan permintaan. Gunakan laporan inventori Amazon untuk memahami trend jualan dan merancang kitaran pengisian semula stok.
- Urus pesanan. Lihat pesanan masuk, status penghantaran dan butiran pelanggan dalam Seller Central, tidak kira sama ada anda menggunakan FBA atau FBM untuk memenuhi pesanan.
Kesihatan akaun dan metrik prestasi
Amazon menetapkan standard tinggi untuk penjual pada platform ini. Melalui Seller Central, anda boleh memantau sama ada prestasi akaun anda memenuhi standard yang ditetapkan.
Papan pemuka Kesihatan Akaun menjejak metrik prestasi utama seperti:
- Kadar masalah pesanan. Mengukur isu seperti maklum balas negatif, tuntutan Jaminan A-to-Z dan caj balik.
- Kadar penghantaran lewat. Menunjukkan peratusan pesanan yang dihantar selepas tarikh penghantaran yang dijanjikan.
- Kadar pembatalan. Menunjukkan jumlah pesanan yang dibatalkan oleh penjual sebelum proses pemenuhan selesai.
Prestasi yang baik secara konsisten boleh membantu anda mendapatkan Featured Offer dan mengekalkan reputasi yang baik sebagai penjual Amazon. Jika metrik prestasi jatuh di bawah tahap yang ditetapkan, Amazon mungkin mengambil tindakan seperti menyekat penyenaraian produk atau menggantung akaun anda.
Cara menghasilkan penyenaraian produk yang berkesan di Amazon
- Tulis tajuk produk dengan kata kunci yang tepat
- Muat naik imej produk yang jelas
- Tulis penerangan produk yang menyeluruh
- Sertakan varian produk
- Optimumkan untuk algoritma carian Amazon
Halaman butiran produk ialah bahagian paling penting dalam penyenaraian Amazon anda kerana di sinilah pelanggan membuat keputusan untuk membeli. Maklumat yang dipaparkan pada halaman ini membantu pelanggan menentukan sama ada produk anda memenuhi keperluan mereka. Jenama lilin Neom yang turut menjual produk melalui laman web berasaskan Shopify merupakan contoh yang baik dengan halaman produk yang lengkap dan berkesan.

1. Tulis tajuk produk dengan kata kunci yang tepat
Tajuk produk Amazon anda perlu menarik perhatian pembeli dan meyakinkan mereka bahawa mereka telah menemukan produk yang dicari. Tajuk produk yang mengandungi kata kunci yang tepat boleh membantu meningkatkan kadar klikan (CTR) dalam hasil carian serta kedudukan SEO produk dalam carian Amazon.
Tajuk produk Amazon mempunyai had 200 aksara tetapi Amazon Seller Central mengesyorkan agar tajuk dikekalkan di bawah 80 aksara. Tajuk produk yang ringkas lebih mudah dibaca pada peranti mudah alih kerana tajuk yang panjang biasanya akan dipendekkan akibat saiz skrin yang lebih kecil. Memandangkan lebih daripada 50% trafik Amazon datang daripada peranti mudah alih, penting untuk memastikan tajuk produk dioptimumkan untuk paparan mudah alih.
Setiap perkataan dalam tajuk produk anda boleh muncul dalam hasil carian, jadi pastikan anda memasukkan maklumat penting. Sebagai contoh, Neom menggunakan nama jenama, barisan produk (lilin wangi), gaya (tiga sumbu) serta ciri produk (wangian neroli, mimosa dan lemon).

2. Muat naik imej produk yang jelas
Foto utama anda perlu menunjukkan produk dengan jelas. Foto tambahan boleh memaparkan produk dari sudut berbeza dan, jika berkaitan, menyertakan imej gaya hidup.
Anda juga boleh menambahkan video untuk memberikan gambaran yang lebih menyeluruh kepada pembeli. Gunakan imej berkualiti tinggi supaya pembeli boleh membesarkan imej untuk melihat butiran kecil produk anda.
Sebagai contoh, Neom menggunakan ilustrasi seperti di bawah untuk menunjukkan saiz lilinnya berbanding saiz tangan:

3. Tulis penerangan produk yang menyeluruh
Penerangan produk menerangkan spesifikasi dan manfaat produk anda. Sebagai contoh, Neom menggunakan simbol tanda peluru untuk menyerlahkan maklumat utama yang dicari pembeli seperti bahan, nota wangian dan arahan penggunaan.
💡Tip: Gunakan Enhanced Branded Content untuk menambahkan elemen tambahan seperti carta perbandingan, imej berkualiti tinggi dan video resolusi tinggi pada penyenaraian produk Amazon anda.

4. Sertakan varian produk
Variasi produk membolehkan anda memaparkan produk yang sama dalam pelbagai saiz, warna dan gaya dengan lebih mudah. Walaupun setiap versi produk mempunyai ASIN dan halaman butiran sendiri, memaparkan varian produk membolehkan pelanggan bertukar antara pilihan dengan cepat.
5. Optimumkan untuk algoritma carian Amazon
Seperti Google, Amazon menggunakan algoritma carian (dikenali sebagai A9). Sistem ini menentukan produk yang dipaparkan serta susunan produk apabila pembeli memasukkan kata kunci dalam bar carian.
Matlamat utama A9 adalah untuk menghubungkan pembeli dengan produk yang paling berkemungkinan memenuhi keperluan mereka. Sebagai penjual, tugas anda adalah untuk meyakinkan Amazon bahawa penyenaraian produk anda relevan dan boleh dipercayai.
Berikut ialah faktor utama yang mempengaruhi SEO Amazon:
- Kata kunci dan kerelevanan. A9 menilai tajuk, simbol tanda peluru dan kata kunci bahagian belakang (backend) dengan teliti. Pastikan anda menggunakan istilah yang benar-benar dicari oleh pelanggan.
- Prestasi jualan. Amazon menggunakan sejarah jualan sebagai petunjuk minat pembeli, jadi produk yang laris cenderung mendapat kedudukan lebih tinggi dalam hasil carian.
- Harga dan daya saing. Harga yang kompetitif meningkatkan peluang produk anda mendapat kedudukan lebih tinggi dan memenangi Featured Offer.
- Kaedah pemenuhan. Produk FBA atau yang layak untuk Prime sering mendapat lebih banyak pendedahan kerana Amazon tahu produk tersebut memenuhi jangkaan pelanggan dari segi kelajuan dan kebolehpercayaan.
- Isyarat pengalaman pelanggan. Ulasan, penilaian dan kadar pemulangan yang rendah menunjukkan kepada A9 bahawa produk anda memberikan pengalaman seperti yang dijanjikan.
"Jangan takut untuk bereksperimen," nasihat David Shoap, pengasas bersama Sarah's Treats and Treasures, dalam episod Shopify Masters. "Berikan masa selama satu atau dua bulan sebelum anda berasa kecewa atau membuat sebarang perubahan kerana kebanyakan masa Amazon dipacu oleh enjin carian."
"Orang ramai boleh pergi terus ke Amazon dan membuat carian tetapi kebanyakan masa mereka berada di Google dan berfikir, ‘Oh, Amazon ada produk ini...’ Namun, jika anda tidak memberikan penyenaraian anda masa yang mencukupi untuk ditemukan oleh enjin carian tersebut, anda tidak akan mendapat gambaran sebenar tentang prestasi produk anda."
Kos menjual di Amazon
Apabila mula menjual di Amazon, terdapat beberapa yuran lazim yang perlu anda ketahui kerana yuran ini boleh mempengaruhi pulangan pelaburan (ROI) jualan anda di platform tersebut.
Senarai berikut merangkumi yuran yang paling lazim dikenakan:
- Yuran rujukan. Amazon mengenakan kadar komisen yang berbeza-beza mengikut kategori produk. Purata yuran rujukan ialah 15% dengan kadar antara 8% hingga 45%. Sesetengah kategori turut mengenakan yuran rujukan minimum bagi setiap unit atau kadar berperingkat yang berubah mengikut harga produk.
- Yuran penutupan. Yuran sekitar USD1.80 (atau kira-kira RM7.30) dikenakan bagi setiap unit produk dalam kategori media yang dijual seperti buku, DVD, muzik, perisian, permainan video dan aksesori berkaitan.
- Yuran FBA. Jika anda menggunakan Fulfillment by Amazon (FBA), anda perlu membayar yuran yang meliputi proses mengambil, membungkus dan menghantar pesanan serta perkhidmatan pelanggan. Jumlah yuran bergantung pada kategori, saiz dan berat produk. Harga bermula daripada beberapa dolar AS (kira-kira RM10 ke atas).
- Yuran tambahan Amazon. Amazon turut mengenakan yuran penyimpanan bagi stok yang disimpan di pusat pemenuhan Amazon. Yuran yang lebih tinggi dikenakan untuk stok yang disimpan melebihi 181 hari. Anda juga mungkin dikenakan yuran jika Amazon memulangkan stok yang tidak terjual kepada anda, melupuskan stok tersebut atau menjual stok itu pada harga diskaun.
💡Untuk mengetahui semua yuran yang mungkin dikenakan, rujuk panduan yuran menjual di Amazon.
Tip untuk menjual produk anda di Amazon
- Galakkan ulasan produk
- Jalankan iklan produk tajaan
- Manfaatkan promosi
- Manfaatkan kelebihan Brand Registry
- Jana trafik luaran
- Tetapkan harga yang sesuai
Amazon memberikan perniagaan e-dagang peluang unik untuk menjangkau lebih ramai pelanggan sambil meningkatkan kesedaran terhadap jenama anda. Berikut ialah beberapa tip penting untuk membantu anda berjaya:
1. Galakkan ulasan produk
Ulasan Amazon boleh menjadi faktor penentu apabila pelanggan membuat pembelian walaupun harga produk anda lebih tinggi berbanding produk pesaing.
Walau bagaimanapun, Amazon melindungi data pelanggan. Garis panduan Amazon menyatakan bahawa penjual tidak boleh menghubungi pembeli untuk tujuan pemasaran atau promosi. Oleh sebab itu, menjual di Amazon lebih berkesan apabila digabungkan dengan pengurusan kedai dalam talian sendiri.
Terdapat beberapa cara kreatif yang boleh dipertimbangkan:
- Cipta nota pembungkusan dengan kod QR yang boleh diimbas pelanggan untuk meninggalkan ulasan (bagi pesanan yang anda uruskan sendiri).
- Masukkan kod QR untuk ulasan ke dalam reka bentuk pembungkusan produk.
2. Jalankan iklan produk tajaan
Amazon mempunyai platform pengiklanan yang menyeluruh untuk membantu anda memasarkan produk kepada pelanggan Amazon.
Amazon Sponsored Product ialah model iklan PPC (bayar per klik) yang membolehkan anda mempromosikan produk Amazon anda. Iklan pada desktop boleh dipaparkan pada bahagian atas, bersebelahan atau bahagian bawah hasil carian untuk kata kunci berkaitan, serta pada halaman butiran produk.

Beberapa perkara yang perlu diingat semasa menjalankan iklan PPC Amazon:
- Mulakan dengan penyasaran automatik. Dengan cara ini, Amazon menggunakan algoritma carian untuk mengenal pasti dan mencadangkan pelbagai kata kunci berpotensi secara automatik. Anda boleh bermula dengan menetapkan bidaan lalai yang sama untuk semua kata kunci tetapi matlamat akhir anda ialah mengumpulkan data prestasi bagi setiap kata kunci dan memfokuskan pada kata kunci yang memberikan hasil terbaik.
- Analisis kempen penyasaran automatik anda. Lakukan langkah ini selepas memperoleh data prestasi kata kunci selama beberapa minggu supaya anda boleh beralih kepada kempen manual. Dengan kempen manual, anda boleh memberikan tumpuan kepada kata kunci yang paling relevan serta melaraskan bidaan mengikut kata kunci tersebut.
- Teruskan menguji dan menambah baik kempen manual berdasarkan kata kunci dan bidaan. Jumlah bidaan yang berbeza-beza boleh menghasilkan kedudukan iklan dan keputusan yang berbeza. Oleh sebab itu, teruskan menguji sehingga anda menemukan strategi yang paling sesuai untuk perniagaan anda.
- Gunakan data yang diperoleh untuk mengoptimumkan halaman butiran produk. Apabila anda memperhalus strategi PPC, anda akan lebih memahami kata kunci yang relevan dengan produk anda. Tambahkan kata kunci tersebut pada halaman butiran produk untuk menarik lebih banyak trafik organik tanpa perlu membayar iklan.
3. Manfaatkan promosi
Dengan menggunakan promosi Amazon, anda boleh meningkatkan jualan dan memperkenalkan jenama kepada lebih ramai pelanggan.
Salah satu jenis promosi yang popular pada platform Amazon ialah Lightning Deals. Promosi ini merupakan jualan kilat yang dipaparkan pada halaman Amazon Deals yang merupakan salah satu halaman yang paling banyak dikunjungi di Amazon.
Lightning Deals merangkumi pelbagai kategori termasuk kesihatan dan penjagaan diri, rumah dan dapur, elektronik pengguna, fesyen, barangan runcit dan banyak lagi.
Sebagai penjual, promosi Lightning Deals di Amazon boleh:
- Memudahkan pelanggan menemukan produk terutamanya semasa musim perayaan dan acara besar seperti Prime Day Amazon, kempen 11.11 atau jualan akhir tahun
- Mendapatkan lebih banyak ulasan dalam talian apabila produk anda dilihat oleh lebih ramai pelanggan dan mencatat lebih banyak jualan
- Meningkatkan kadar penukaran selepas promosi tamat; jumlah jualan unit yang lebih tinggi boleh membantu meningkatkan kedudukan produk dalam halaman hasil enjin carian
- Memberikan peluang kepada pelanggan baharu untuk mencuba produk anda pada harga lebih rendah dan menggalakkan mereka membuat pembelian pada masa akan datang

4. Manfaatkan kelebihan Brand Registry
Brand Registry ialah program yang direka untuk memberikan pemilik jenama lebih kawalan dan perlindungan terhadap penyenaraian produk mereka di Amazon. Melalui program ini, anda mendapat akses kepada pelbagai alat analisis dan pengiklanan serta pilihan kandungan premium.
Secara keseluruhannya, Brand Registry membantu untuk melindungi jenama anda. Anda akan mendapat perlindungan lebih kukuh terhadap penyenaraian produk palsu dan jualan semula tanpa kebenaran, selain akses kepada alat pemantauan yang boleh mengesan kemungkinan penyalahgunaan jenama atau pelanggaran hak cipta.
Manfaat tambahan termasuk:
- Kandungan jenama yang dipertingkat. Tambahkan penerangan produk yang lebih terperinci, carta perbandingan dan imej gaya hidup pada penyenaraian produk anda.
- Analitik jenama. Akses data istilah carian pelanggan, analisis corak pembelian bersama serta metrik pembelian berulang.
- Iklan jenama tajaan. Cipta iklan yang memaparkan logo jenama dan beberapa produk anda.
- Kedai Amazon. Bina kedai berjenama tersuai di Amazon yang memberikan pengalaman seperti laman web sendiri.
- Kawalan penyenaraian yang lebih baik. Pastikan maklumat produk seperti tajuk, imej dan penerangan kekal konsisten serta tepat.
"Kami berusaha keras untuk mengawal jenama kami di Amazon dan memastikan hanya kami yang menjual produk tersebut," kata Nate Justiss, pengasas bersama Distil Union, dalam temu bual Shopify Masters. "Hal ini membantu melindungi pemborong kami kerana kami dapat mengekalkan harga runcit pada tahap yang sepatutnya, sekali gus menjaga kepentingan pemborong serta rakan niaga lain yang menjual produk kami."
Untuk memohon Brand Registry, anda memerlukan nama jenama dan logo yang dipaparkan pada pembungkusan produk. Anda juga perlu mempunyai tanda dagangan yang sedang diproses atau telah didaftarkan dengan pihak berkuasa tanda dagangan di negara berkaitan. Di Malaysia, pendaftaran tanda dagangan boleh dibuat melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
5. Jana trafik luaran
Banyak jenama menggunakan saluran pemasaran luaran untuk mengarahkan pelanggan ke kedai dalam talian mereka sendiri. Walaupun iklan sering digunakan untuk menarik trafik ke kedai dalam talian sendiri, kaedah yang sama juga boleh digunakan untuk mempromosikan penyenaraian produk anda di Amazon.
Jika anda bekerjasama dengan blogger dan pempengaruh, anda boleh menjangkau lebih ramai pelanggan melalui program seperti Amazon Associates dan Amazon Influencers serta platform pemasaran pempengaruh seperti Involve Asia.
Selain itu, anda boleh mencipta kod diskaun untuk dikongsi di media sosial dan menggalakkan pelanggan membeli produk anda melalui Amazon.
6. Tetapkan harga yang sesuai
Menentukan strategi harga yang sesuai untuk produk anda amat penting dalam pasaran Amazon kerana anda perlu bersaing dengan penjual lain pada platform tersebut.
Perlu diingat, jika produk yang anda jual turut ditawarkan oleh penjual lain, algoritma Featured Offer akan menilai keseluruhan tawaran yang tersedia sebelum memilih tawaran penjual yang akan dipaparkan kepada pelanggan.
Berikut ialah beberapa perkara penting yang perlu dipertimbangkan apabila menetapkan harga produk di Amazon:
Dasar Harga Adil Amazon Marketplace
Menurut Dasar Harga Adil Amazon Marketplace, anda tidak boleh menetapkan harga yang "menjejaskan kepercayaan pelanggan." Elakkan risiko akaun digantung dengan memastikan harga produk anda ditetapkan secara munasabah.
Amazon memberikan beberapa contoh amalan penetapan harga yang boleh menimbulkan kebimbangan, termasuk:
- Mengenakan kos penghantaran yang terlalu tinggi
- Menetapkan harga produk jauh lebih tinggi berbanding harga terkini yang ditawarkan dalam atau luar Amazon
- Menjual pakej yang mengandungi beberapa unit pada harga seunit yang lebih tinggi berbanding jika unit tersebut dijual secara berasingan
Automatikkan penetapan harga
Alat Automate Pricing Amazon pada Seller Central memudahkan penetapan semula harga secara automatik. Gunakan alat ini untuk menetapkan parameter harga dan menentukan cara harga produk diselaraskan secara automatik supaya kekal kompetitif.
Pertimbangkan Subscribe & Save
Jika anda menjual produk yang sering dibeli semula oleh pelanggan, pertimbangkan untuk menggunakan ciri Subscribe & Save. Model langganan terbina dalam Amazon ini membolehkan pelanggan menerima pesanan bulanan dengan diskaun kecil, selain membantu perniagaan anda memperoleh hasil yang lebih konsisten.
💡Perhatian: Anda memerlukan akaun yang mempunyai rekod baik serta wakil yang ditugaskan dalam program Brand Registry untuk menggunakan Amazon Subscribe & Save.
Cara menjual di Amazon tanpa menyimpan stok
Tidak semua penjual mahu berurusan dengan menyimpan kotak, mengurus tahap stok, atau membayar yuran gudang. Berita baik, anda tidak perlu berbuat demikian. Amazon menawarkan beberapa program yang membolehkan anda menjangkau jutaan pelanggan tanpa perlu mengurus stok sendiri. Berikut ialah beberapa pilihan yang boleh anda pertimbangkan.
Program Amazon Associates
Program Amazon Associates ialah platform pemasaran afiliasi Amazon. Selain daripada menjual produk secara terus, anda boleh menjana komisen dengan mempromosikan produk yang disenaraikan di Amazon.
Anda hanya perlu mengesyorkan produk (melalui blog, media sosial, e-mel atau saluran YouTube anda), menyertakan pautan afiliasi unik dan menerima peratusan kecil bagi setiap pembelian yang dibuat.
Ini merupakan cara mudah untuk menjana pendapatan daripada pengikut atau pembaca anda. Komisen produk biasanya tidak begitu tinggi (bergantung pada kategori dan lazimnya antara 1% hingga 10%) tetapi anda juga boleh menerima bayaran tetap apabila rujukan anda mendaftar untuk percubaan percuma atau membeli perkhidmatan Amazon seperti Audible, Amazon Prime dan Prime Video. Komisen boleh terkumpul dengan cepat apabila anda konsisten dan mempunyai pengikut yang tepat serta aktif.
💡Tip: Fokus pada penciptaan kandungan yang membantu menyelesaikan masalah atau menjawab soalan pengguna ("fon kepala tanpa wayar terbaik bawah RM100" atau "cara menyediakan ruang pejabat di rumah") dan masukkan cadangan produk secara semula jadi.

Kindle Direct Publishing
Kindle Direct Publishing (KDP) membolehkan anda menerbitkan sendiri e-buku dan buku bercetak yang boleh disenaraikan terus pada pasaran Amazon, tempat jutaan pembaca boleh menemukan karya anda.
Tiada kos permulaan diperlukan, anda mengekalkan hak penerbitan terhadap karya anda dan boleh memperoleh royalti (sehingga 70% untuk e-buku dan 60% untuk buku fizikal bergantung pada harga dan wilayah). Selain menerbitkan buku biasa, ramai usahawan menggunakan KDP untuk menjual produk kandungan ringkas hingga sederhana seperti perancang, buku log dan buku mewarna.
💡Tip: Selain menyasarkan novel terlaris, fikirkan idea khusus seperti "perancang hidangan untuk ibu bapa yang sibuk" atau "penjejak kecergasan untuk pemula". Padankan idea yang berguna dan memenuhi keperluan tertentu dengan penyelidikan kata kunci yang tepat.
Merch on Demand
Perkhidmatan cetak atas permintaan Merch on Demand (dahulunya dikenali sebagai Merch by Amazon) membolehkan anda menjual reka bentuk tersuai pada baju-T, hoodie, beg tote dan pakaian lain tanpa perlu menyimpan stok. Anda hanya perlu memuat naik reka bentuk, menetapkan harga dan Amazon akan menguruskan proses pencetakan, penghantaran serta khidmat pelanggan bagi setiap pesanan. Anda akan menerima royalti untuk setiap jualan.
💡Tip: Fokus pada kumpulan sasaran khusus dan tema yang kekal relevan seperti "baju jururawat lucu" atau "slogan mesra alam", berbanding cuba menarik perhatian semua orang. Muat naik pelbagai variasi reka bentuk, uji pilihan yang mendapat sambutan dan terus perbaiki pendekatan anda
Perniagaan dropship
Model perniagaan dropship membolehkan anda menjual produk tanpa perlu menyimpan stok. Anda akan bekerjasama dengan pembekal dropship yang menghantar produk terus kepada pelanggan selepas mereka membuat pesanan di Amazon.
Amazon membenarkan model perniagaan dropship tetapi tertakluk pada dasar yang ketat. Anda perlu memastikan bahawa anda ialah pihak yang bertanggungjawab terhadap jualan tersebut. Apabila pelanggan menerima pembungkusan atau resit, nama jenama anda perlu dipaparkan dan bukannya nama pembekal.
💡Tip: Layari Shopify App Store untuk mencari platform dropship yang membolehkan anda mendapatkan produk untuk dijual.
Kembangkan kedai Shopify anda dengan menjual di Amazon
Sekilas pandang, Amazon mungkin kelihatan seperti pesaing kepada perniagaan e-dagang anda kerana memiliki pasaran global yang besar. Namun begitu, Amazon juga boleh membantu anda meningkatkan hasil jualan dalam talian jika dimanfaatkan sebagai saluran jualan. Sekiranya digunakan dengan strategi yang betul, mempelajari cara menjual di Amazon sememangnya berbaloi bagi pemilik kedai Shopify.
Kedai Shopify anda ialah pusat perniagaan anda, manakala pasaran global Amazon memberikan peluang untuk anda menjangkau lebih ramai pelanggan. Dengan strategi yang tepat, kesediaan untuk bereksperimen dan usaha yang konsisten, anda boleh membina perniagaan yang berjaya di Amazon.
Soalan Lazim Tentang Cara Menjual di Amazon
Adakah menjual barangan di Amazon percuma?
Tidak. Setiap jualan di Amazon dikenakan yuran rujukan yang berbeza mengikut kategori produk iaitu antara 8% hingga 45%, dengan purata sekitar 15%. Selain itu, penjual boleh memilih antara pelan Individu (USD0.99 atau kira-kira RM4 bagi setiap item yang dijual) atau pelan Profesional (USD 39.99/bulan atau kira-kira RM163 sebulan). Penjual yang menggunakan FBA juga perlu membayar yuran penyimpanan dan pemenuhan pesanan.
Berapakah kos untuk mula menjual di Amazon?
Pelan Individu tidak mengenakan yuran bulanan. Penjual hanya perlu membayar USD0.99 atau kira-kira RM4 bagi setiap unit yang dijual, menjadikan pelan ini pilihan sesuai untuk mereka yang baru ingin bermula. Pelan Profesional pula berharga USD 39.99 sebulan (kira-kira RM163 sebulan) dan menawarkan akses kepada alat lanjutan, program jualan global serta kelayakan untuk Featured Offer. Semasa mengira jumlah kos permulaan, anda juga perlu mengambil kira kos mendapatkan produk, penghantaran dan sebarang yuran FBA.
Apakah perbezaan antara FBA dengan FBM?
Perbezaan utama antara FBA dan FBM ialah pihak yang menguruskan proses pemenuhan pesanan. Dengan FBA, penjual menghantar stok ke pusat pemenuhan Amazon, kemudian Amazon akan menguruskan proses memilih, membungkus dan menghantar pesanan serta mengendalikan pemulangan pelanggan. Dengan FBM, penjual menguruskan sendiri setiap langkah termasuk penyimpanan stok, pembungkusan, penghantaran dan khidmat pelanggan. Kaedah ini memberikan lebih banyak kawalan kepada penjual tetapi memerlukan lebih banyak kerja pengurusan.
Adakah saya perlu mendaftarkan perniagaan untuk menjual di Amazon?
Tidak. Anda tidak perlu mempunyai perniagaan berdaftar secara rasmi untuk membuka akaun penjual Amazon. Individu juga boleh mendaftar sebagai pemilik tunggal. Anda hanya perlu menyediakan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan kerajaan, maklumat akaun bank, kad kredit, nombor telefon dan maklumat cukai. Walaupun pendaftaran perniagaan bukan syarat wajib, langkah mendaftarkan perniagaan secara rasmi boleh memberikan perlindungan tambahan dan memudahkan pengurusan perniagaan apabila perniagaan semakin berkembang. Selain itu, penjual di Malaysia perlu memastikan pematuhan terhadap keperluan cukai yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) bagi pendapatan yang diperoleh daripada aktiviti jualan dalam talian.
Apakah barangan yang paling laris dijual di Amazon?
Antara kategori yang sering mencatat prestasi baik termasuk mainan dan permainan, barangan elektronik, buku, pakaian dan kasut, barang kemas serta permainan video. Produk yang sesuai untuk setiap penjual bergantung pada keseimbangan antara jumlah carian yang tinggi, tahap persaingan yang boleh diurus dan margin keuntungan yang mencukupi untuk menampung yuran rujukan serta kos pemenuhan Amazon.
Bolehkah saya menjual di Amazon tanpa menyimpan stok?
Ya, terdapat beberapa model perniagaan yang membolehkan penjual menjana pendapatan di Amazon tanpa menyimpan stok fizikal. Model perniagaan dropship membolehkan pembekal pihak ketiga menghantar produk terus kepada pelanggan selepas pesanan dibuat. Merch on Demand pula menguruskan proses pencetakan dan penghantaran untuk pakaian dengan reka bentuk tersuai. Program Amazon Associates membayar komisen kepada pengguna yang berjaya merujuk pembeli kepada penyenaraian produk sedia ada melalui pautan afiliasi.

