Jika anda pernah membeli sesuatu yang disyorkan oleh seorang pempengaruh dalam talian, kemungkinan besar anda sedang menyaksikan pemasaran afiliasi beroperasi. Menerusi bentuk pemasaran dalam talian ini, pencipta kandungan membina kerjasama dengan jenama untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan jenama tersebut. Sebagai balasan, mereka memperoleh komisen bagi setiap jualan yang berjaya.
Pemasaran afiliasi merupakan perniagaan berskala besar: Jenama yang menggunakan pemasaran afiliasi menyaksikan kira-kira 15% hingga 20% daripada jumlah jualan keseluruhan disumbangkan oleh saluran ini, menjana sebanyak USD113 bilion dalam jumlah jualan e-dagang.
Persoalan sebenarnya ialah: Bolehkah anda secara realistik memulakan pemasaran afiliasi dengan RM0? Jawapannya, ya. Walaupun ramai pempengaruh mengesyorkan kursus yang mahal atau iklan berbayar, rakan afiliasi yang paling menguntungkan meraih pendapatan dalam talian hanya dengan bermodalkan akaun media sosial percuma dan telefon pintar.
Berikut ialah panduan langkah demi langkah untuk usahawan yang berhasrat melancarkan perniagaan pemasaran afiliasi tanpa modal.
Bagaimanakah pemasaran afiliasi berfungsi?
Pembayaran program pemasaran afiliasi adalah berbeza-beza. Sesetengah program membayar komisen, ada yang menawarkan bonus tetap dan sesetengah yang lain menyediakan produk atau perkhidmatan percuma. Contoh program pemasaran afiliasi termasuk Program Afiliasi Shopify dan Amazon Affiliates.
Dengan masa dan usaha yang gigih, pemasaran afiliasi yang berjaya boleh mengubah perniagaan sampingan anda menjadi usaha niaga yang menguntungkan. Semua perkara yang dinyatakan di bawah boleh dilakukan tanpa mengeluarkan modal. Setiap alat yang disebut mempunyai pelan percuma, jadi anda boleh membina perniagaan dalam talian mengikut bajet anda.
Ingin buat duit sebagai pemasar afiliasi? Berikut ialah kadar komisen dan butiran pembayaran bagi program afiliasi terbaik.
Trend dalam pembayaran dan program afiliasi
Pemasaran afiliasi ialah industri yang semakin berkembang, mencatatkan jualan e-dagang berjumlah USD113 bilion, iaitu kira-kira 9.4% daripada semua jualan e-dagang AS pada tahun 2024.
Trend utama yang memacu pelaburan ini termasuk:
- Peluang yang lebih besar. Kandungan yang ditaja merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan pencipta kandungan di AS, iaitu sebanyak USD1.1 bilion pada tahun 2024, menurut eMarketer. Namun begitu, hasil afiliasi semakin meningkat, berkembang hampir dua kali ganda antara tahun 2021 hingga 2024. Saiz pasaran yang lebih besar bermakna lebih banyak peluang untuk pencipta kandungan.
- Model perniagaan baharu. Menurut data daripada 2025 Sales Index Partnerize, kadar komisen berubah naik 6.8% pada Januari 2025, lonjakan sebanyak 10% berbanding tahun sebelumnya. Sebagai rakan afiliasi, anda boleh meraih lebih banyak pendapatan dengan mempromosikan unit simpanan stok ( SKU) khusus atau menghalakan trafik ke promosi pelanggan baharu, sebagai contoh. Model pembayaran afiliasi baharu—termasuk bayar setiap klik (PPC), bayar setiap petunjuk (PPL) dan bayar setiap jualan (PPS)—turut memberikan cara memperoleh pendapatan yang lebih fleksibel.
- Penerbit kini mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih besar. CJ Affiliate mendapati bahawa 85% penerbit menyatakan bahawa komisen yang lebih tinggi adalah amat penting, memberikan tekanan kepada jenama apabila 57% pengiklan meningkatkan bajet 2025 mereka. Jika anda menyasarkan niche berniat tinggi, rundinglah kadar komisen. Jenama kini mempunyai bajet yang lebih besar, tetapi hanya untuk rakan kongsi yang mampu membuktikan peningkatan jualan secara nyata.
Namun begitu, ada satu trend yang memberi kesan negatif kepada industri ini: teknologi penjejakan kuki. Pelayar dan peraturan pematuhan data menjadi lebih ketat, dan anda kini memerlukan kebenaran jelas daripada pelanggan untuk menjejak tingkah laku mereka. Tidak semua sanggup memberikan persetujuan tersebut.
Disebabkan hal ini, kita menyaksikan peningkatan kod diskaun afiliasi. Langkah ini memberikan khalayak anda insentif tambahan untuk membeli, sekali gus memudahkan jenama mengenal pasti jualan yang terhasil daripada setiap pencipta kandungan.
Cara memulakan pemasaran afiliasi tanpa modal
- Cari niche
- Pilih program afiliasi
- Pilih sumber trafik percuma
- Cipta kandungan untuk membina kepercayaan
- Kembangkan khalayak
- Halakan trafik ke pautan afiliasi
- Berinteraksi dengan khalayak anda
- Jejak hasil anda
Menjadi pemasar afiliasi dengan bajet yang terhad mungkin kelihatan seperti usaha yang besar. Berikut ialah lapan langkah untuk membantu anda bermula.
1. Cari niche
Cara terbaik untuk berjaya dalam pemasaran afiliasi ialah dengan memilih niche atau topik yang bakal menjadikan anda pakar yang dipercayai.
Niche amat bernilai apabila anda baru memulakan pemasaran afiliasi kerana orang ramai mungkin sukar menganggap anda sebagai pakar yang boleh dipercayai jika anda mempromosikan pelbagai jenis produk secara rawak. Pemasaran niche juga membantu dalam pengoptimuman enjin carian (SEO) di media sosial dan laman web pemasaran afiliasi anda, sekiranya anda memilih untuk membina satu laman web.
Beberapa niche afiliasi yang popular termasuk:
- Teknologi: pengehosan web, VPN, permainan video, perisian
- Hobi: pengembaraan, fotografi, bermain golf, aktiviti luar
- Kewangan: Bitcoin, kewangan peribadi, kad kredit, pelaburan
- Kesihatan: kecergasan, pemakanan, makanan vegan, penurunan berat badan, yoga, kesejahteraan seksual
- Gaya hidup: kemewahan, syarikat penerbangan, fesyen, barang kemas
- Rumah: produk bayi, haiwan peliharaan, tumbuhan, keselamatan
- Alternatif: kemajuan diri sendiri, makanan tambahan, akupunktur dan meditasi, ubat-ubatan herba
Mulakan dengan niche yang mempunyai peluang tinggi untuk mengaut keuntungan. Sebagai contoh, penyelidikan Shopify mendapati bahawa program berkaitan perniagaan mempunyai kadar komisen antara yang paling tinggi, manakala pakaian, buku dan media pula antara yang paling rendah:
Namun begitu, ini bukanlah satu-satunya pilihan anda, dan sesetengah niche berfungsi lebih baik berbanding yang lain mengikut platform tertentu.
Ingat bahawa pemasaran afiliasi bukanlah skim cepat kaya. Anda perlu mempunyai sekurang-kurangnya sedikit minat peribadi terhadap niche anda untuk terus bersemangat.
Bagi mengecilkan pilihan anda, ajukan soalan ini:
- Adakah anda berminat untuk tahu lebih mendalam tentang niche anda? Sentiasa mengikuti perkembangan trend dan berita industri terkini dalam bidang anda memastikan anda kekal relevan dengan khalayak.
- Adakah anda sudah mempunyai pengalaman atau latihan dalam bidang khusus? Jika anda sudah berpengetahuan tentang sesuatu subjek, anda boleh memendekkan lengkung pembelajaran.
- Bolehkah kandungan dicipta tanpa pelaburan awal? Sesetengah niche, seperti teknologi atau pengembaraan, boleh melibatkan banyak kos permulaan untuk penciptaan kandungan jika anda belum memiliki peralatan yang diperlukan untuk bermula.
- Adakah niche ini menguntungkan? Jika niche anda terlalu luas, anda akan berdepan dengan persaingan yang sengit. Jika terlalu sempit pula, anda mungkin sukar mencari khalayak.
Tip modal sifar: Cari kata kunci relevan dengan alat percuma (Google Trends, cadangan carian TikTok) untuk mengesahkan idea tanpa perisian SEO berbayar.
2. Pilih program afiliasi
Selepas memilih niche, anda perlu memutuskan program afiliasi yang hendak disertai. Pilih laman afiliasi atau produk afiliasi yang selari dengan minat anda.
Sebagai contoh, pendidik kecergasan dan gaya hidup vegan Derek Simnett ialah pemasar afiliasi bagi makanan tambahan protein berasaskan tumbuhan. Memilih untuk bekerjasama dengan jenama yang selari dengan matlamat dan kandungannya bermakna Derek boleh menjana pendapatan afiliasi dengan mempromosikan produk yang benar-benar beliau percaya.
Terdapat dua cara untuk mencari program afiliasi yang sesuai dalam niche anda: secara langsung dan menerusi pasaran.
Jika anda sudah mengenali jenama dalam niche anda yang menawarkan program pemasaran afiliasi, anda boleh menghubungi pihak jenama tersebut dan mendaftar (program afiliasi biasanya percuma untuk disertai). Pilihan lain adalah dengan menyertai pasaran program afiliasi atau rangkaian afiliasi yang anda boleh melayari beribu-ribu program dan memilih yang paling sesuai untuk anda.
Rangkaian afiliasi menawarkan kepada pemasar baharu akses percuma dan mudah kepada beribu-ribu program afiliasi bereputasi tinggi yang boleh anda sertai serta-merta.
Antaranya termasuk:
Ingatlah untuk mempertimbangkan kadar komisen dan kadar pendapatan setiap klik (EPC) sebelum membuat pilihan. Program pemasaran afiliasi yang relevan mungkin mempunyai kadar komisen yang rendah tetapi EPC tinggi, yang bermaksud program tersebut masih berbaloi untuk disertai.
Mencari cara untuk meningkatkan pendapatan dengan jualan lebih sedikit? Terokai program afiliasi bernilai tinggi.
Tip modal sifar: Guna Google Search Operators untuk mencari program tersembunyi tanpa perlu membayar untuk direktori. Cari “[niche anda] + [program afiliasi]” atau “[niche anda] + [jadi rakan kongsi]”. Anda juga boleh memasang sambungan pelayar SimilarWeb percuma untuk mengintip pesaing dalam niche anda dan melihat dengan tepat rangkaian afiliasi yang mereka halakan trafik.
3. Pilih sumber trafik percuma
Kini tiba masanya untuk mula memikirkan sumber trafik bagi usaha pemasaran afiliasi anda.
Terdapat banyak platform percuma untuk pemasar afiliasi yang boleh dipertimbangkan ketika hendak bermula, termasuk Instagram, TikTok dan YouTube. Anda boleh mencipta akaun secara percuma pada platform ini dan mula mencipta kandungan dengan segera.
Anda tidak perlu menjadi blogger dengan laman web khusus untuk memulakan pemasaran afiliasi dengan bajet yang terhad. Pautan afiliasi boleh dikongsi menerusi halaman pautan pada bio, penerangan video YouTube dan kapsyen media sosial. Anda juga boleh menjana pendapatan afiliasi menerusi laman web berasaskan forum seperti Reddit dan Quora.
Walaupun begitu, laman web mungkin membantu apabila anda merancang untuk mengembangkan perniagaan afiliasi—anda boleh menggunakan strategi SEO pada laman web anda supaya muncul apabila orang ramai membuat carian frasa berkaitan produk yang anda promosikan.
Berikut ialah beberapa kelebihan dan kekurangan setiap saluran trafik percuma:
- Kelebihan: Platform media sosial terbesar di dunia. Anda boleh menjangkau khalayak yang luas untuk produk afiliasi anda, dan memanfaatkan komuniti menerusi Kumpulan Facebook.
- Kekurangan: Kurang menarik minat khalayak lebih muda. Jangkauan organik yang lemah.
- Kelebihan: Sangat berorientasikan visual, sangat sesuai untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan afiliasi. Penekanan yang kuat pada kandungan video seperti Reels dan Stories.
- Kekurangan: Jangkauan organik yang lebih rendah untuk siaran suapan. Anda juga memerlukan alat pautan pada bio untuk berkongsi pautan afiliasi di Instagram, kerana anda tidak boleh menyertakan pautan luar dalam kapsyen siaran.
YouTube
- Kelebihan: Sangat baik untuk pengoptimuman enjin carian (SEO). Khalayak global melebihi 2.7 bilion orang sebulan. Kandungan juga mempunyai jangka hayat lebih panjang berbanding siaran di platform lain.
- Kekurangan: Persaingan yang sengit dalam kebanyakan niche. Video perlu kelihatan profesional dan berkualiti tinggi untuk menarik pengunjung baharu mahupun pengunjung sedia ada serta memastikan penglibatan mereka cukup aktif untuk mengklik pautan afiliasi.
TikTok
- Kelebihan: Klip video pendek yang tidak memerlukan gaya dan kualiti “profesional”. Kandungan lebih peribadi dan pengalaman yang tulen. Trend biasanya bermula di TikTok, dan ada potensi untuk menjadi tular walaupun tanpa pengikut.
- Kekurangan: Pautan dalam ruang penerangan tidak boleh diklik. Pautan afiliasi anda perlu diletakkan pada halaman pautan bio.
- Kelebihan: Jangkauan organik yang sangat bagus untuk pemasar afiliasi. Platform mantap untuk golongan profesional, dan kurang dibanjiri dengan afiliasi berbanding platform lain.
- Kekurangan: Kebanyakannya untuk khalayak perniagaan-ke-perniagaan (B2B); tidak sesuai untuk produk pengguna, gaya hidup atau barangan fesyen.
Anda tidak memerlukan pengikut yang ramai untuk buat duit dengan pemasaran afiliasi—anda hanya perlu menjangkau khalayak yang tepat.
“Manfaatkan media sosial sebanyak mungkin, kerana itu merupakan platform yang sangat bermanfaat dan tidak perlu mengeluarkan wang—hanya memerlukan masa anda, iaitu sesuatu yang perlu anda laburkan dalam perniagaan, dan menyiarkan kandungan di media sosial dengan sangat kerap benar-benar membantu,” kata Angelina Ly, pengasas Fireflyslime, dalam satu temu bual Shopify Masters.
Tip modal sifar: Jimat masa berjam-jam bagi kerja manual dengan menggunakan Buffer atau Metricool. Kedua-duanya menawarkan pelan percuma selamanya yang membolehkan anda menjadualkan siaran untuk TikTok, Instagram dan YouTube Shorts lebih awal.
4. Hasilkan kandungan untuk membina kepercayaan
Tanpa mengira platform yang anda pilih untuk digunakan, anda perlu menghasilkan kandungan afiliasi yang mampu memupuk kepercayaan dengan khalayak sasaran anda.
Secara purata, seseorang menghabiskan masa selama dua jam 24 minit setiap hari di media sosial. Apakah yang membuatkan kita kekal dalam talian lebih daripada dua jam sehari? Kandungan yang hebat. Inilah strategi terbaik bagi seorang pemasar afiliasi.
Seperti yang dijelaskan oleh pemilik The Greenspring Home, Kelly Marohl, menghasilkan kandungan terbaik bermakna tidak mementingkan diri sendiri.
“Fokus untuk menerbitkan kandungan berkualiti tinggi yang mengajar sesuatu kepada khalayak anda,” kata Kelly. “Sentiasa berikan nilai kepada mereka. Jangan fokuskan kandungan anda pada diri sendiri.
“Anda pasti teruja untuk mula memperoleh jualan afiliasi dan mendapat tawaran kerjasama jenama, tetapi sebelum anda boleh berbuat demikian, binalah khalayak yang mempunyai tahap penglibatan yang aktif terlebih dahulu. Langkah itu akan membuahkan pulangan yang berlipat ganda di kemudian hari!”
Membina pustaka kandungan mengambil masa yang lama, jadi buat perancangan lebih awal dan hasilkan kalendar atau strategi kandungan pemasaran afiliasi yang selari dengan matlamat anda. Kalendar anda boleh merangkumi garis panduan tentang jenis kandungan yang akan anda terbitkan pada mana-mana hari yang ditetapkan, seperti:
- Tutorial
- Sesi Soal Jawab
- Ulasan produk
- Artikel panduan
- Tip dan helah
“Menawarkan perkhidmatan sebelum menjual—kalau boleh, saya nak menatu ayat itu di dahi saya, itulah moto perniagaan terbesar saya,” kata Tori Dunlap, pengasas dan CEO Her First 100K, dalam satu sesi temu bual Shopify Masters. “Anda boleh lihat ini dalam hantaran kami; anda pasti akan belajar sesuatu; anda pasti akan mendapat sesuatu manfaat; anda akan berfikir dengan cara berbeza; anda akan tahu cara mengurus dengan lebih baik atau menyimpan atau melaburkan wang anda.”
Semasa membangunkan strategi kandungan anda, ingatlah untuk mempertimbangkan strategi kata kunci—terutamanya untuk SEO YouTube. Kandungan berkualiti tinggi sekalipun boleh tenggelam dalam lambakan maklumat jika anda tidak mengoptimumkan kandungan anda untuk hasil carian. Cari saluran pesaing anda dan lihat video mereka yang paling popular. Buat penyelidikan kata kunci ke atas tajuk, penerangan dan tanda pagar (hashtag) video.
Tip modal sifar: Guna Canva Magic Design (versi percuma) dan penyunting mudah alih CapCut untuk menghasilkan video tanpa sebarang kos perisian.
Kod Kandungan MCMC
Kod Kandungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengekalkan keadilan dan kejujuran dalam pengiklanan serta perlu dipatuhi. Kod ini memastikan tuntutan yang dibuat dalam iklan adalah benar, tidak mengelirukan, dan disokong dengan bukti. Ini termasuk sokongan daripada pempengaruh atau selebriti, yang MCMC menuntut pendedahan yang jelas bagi sebarang kandungan berbayar atau hubungan afiliasi.
Kod Kandungan MCMC menuntut agar hubungan berbayar dinyatakan dengan jelas dan diletakkan bersebelahan dengan mana-mana pautan berbayar. Frasa seperti “pautan afiliasi” sahaja tidak lagi memadai. Guna bahasa yang jelas seperti “Pautan berbayar” atau “#Iklan” tepat di sebelah pautan afiliasi. Letakkan di bahagian atas dalam siaran blog, penerangan video dan halaman pautan pada bio.
Akta Pasaran Digital EU
Sejak Mei 2023, Akta Pasaran Digital EU mewajibkan pihak “pengawal maklumat” (Google, Meta, Amazon, Apple, ByteDance, Microsoft) untuk mendapatkan persetujuan yang jelas secara pilihan masuk sebelum menggabungkan data merentasi perkhidmatan mereka sendiri untuk tujuan pengiklanan. Jika pengguna menolak, platform terlibat masih perlu menawarkan pengalaman perkhidmatan yang setara.
Walaupun akta ini ialah peraturan EU, namun akta tersebut turut mempengaruhi cara platform global beroperasi di Malaysia.
5. Kembangkan khalayak
Semasa anda mencipta kandungan pada platform pilihan anda, anda juga harus membina senarai e-mel atau senarai SMS anda sendiri.
Anda memiliki senarai kenalan anda
Semua platform utama mengalami kadang kala mengalami gangguan teknikal, tetapi jika anda menyelenggara senarai e-mel anda sendiri, anda sentiasa boleh menghubungi khalayak anda pada bila-bila masa.
Untuk memanfaatkan pautan afiliasi
Sesetengah platform, seperti program afiliasi Amazon, tidak membenarkan pautan afiliasi dimasukkan secara terus di dalam e-mel. Namun begitu, anda boleh menghala trafik e-mel ke kandungan yang mengandungi pautan afiliasi unik.
Menggunakan senarai e-mel anda ialah cara yang bagus untuk memberikan nilai tambahan kepada khalayak anda, dan terdapat banyak penyedia perisian pemasaran e-mel yang menawarkan pelan percuma—termasuk Shopify Messaging, Mailchimp dan MailerLite.
Antara idea untuk membantu anda bermula dengan kandungan bagi senarai e-mel anda termasuk:
- Laporan atau berita industri
- Pautan ke siaran blog baharu
- Kompilasi atau ringkasan temu bual
- Siaran langsung TikTok
- Di sebalik tabir kehidupan atau perniagaan anda
- Tawaran promosi (sekali-sekala)
- Muat turun digital percuma
Setelah anda membina kepercayaan dengan khalayak, anda boleh mula mempromosikan program afiliasi bernilai tinggi. Program afiliasi ini menawarkan peluang untuk memperoleh sehingga lima angka bagi setiap jualan. Anda selalunya perlu mempunyai niche dan pengaruh yang mantap untuk menggalakkan orang ramai membeli produk yang lebih mahal.
Walaupun begitu, 68% jenama melaporkan telah mengadakan kerjasama dengan pempengaruh niche sepanjang tahun lalu kerana mereka menawarkan akses kepada khalayak yang mempunyai tahap penglibatan sangat tinggi.
“Mereka sering menjadi nadi kepada hubungan yang autentik,” kata Shingly Lee, naib presiden pemasaran di Guru, sebuah syarikat minuman tenaga semula jadi. “Mereka membawa tahap kepercayaan, penglibatan dan sifat mudah dihubungi bersama khalayak, serta kredibiliti yang sukar ditandingi oleh suara pempengaruh makro dan arus perdana.”
Tip modal sifar: Elakkan perisian e-mel yang mahal. Shopify Messaging dan Kit (dahulunya ConvertKit) menawarkan pilihan percuma yang membolehkan anda menghantar e-mel siaran dengan RM0. Ini memberikan landasan yang mencukupi untuk menjana RM1,000 pertama anda dalam bentuk komisen sebelum anda membayar sebarang yuran bulanan.
6. Halakan trafik ke pautan anda
Kini setelah anda membina kepercayaan dengan khalayak anda, tibalah masanya untuk mula menghalakan trafik ke pautan afiliasi anda. Inilah langkah apabila usaha anda mula membuahkan hasil, tetapi memerlukan keseimbangan yang teliti antara promosi dan mengekalkan kepercayaan khalayak anda.
Mulakan dengan memasukkan pautan afiliasi anda secara semula jadi ke dalam kandungan anda. Ini boleh dilakukan menerusi:
- Ulasan produk
- Tutorial
- Senarai “terbaik”
- Artikel perbandingan
Sebagai contoh, jika anda dalam niche kecergasan, anda boleh menghasilkan video yang mempamerkan rutin senaman anda, menyebut peralatan yang anda gunakan dan memberi pautan peralatan tersebut dalam perihalan produk.
Ingatlah untuk menggunakan seruan tindakan (CTA) yang jelas bagi menggalakkan khalayak anda mengklik pautan anda. Ini boleh jadi semudah “Ketahui lebih lanjut” atau sehinggalah tawaran menarik seperti “Dapatkan diskaun eksklusif 10% menerusi pautan saya.”
Tip modal sifar: Taplink ialah pembina pautan pada bio percuma yang menukarkan satu URL tunggal yang dibenarkan di Instagram, TikTok atau YouTube menjadi halaman pendaratan mini yang dioptimumkan untuk mudah alih. Menggunakan penyunting seret-dan-lepas, anda boleh menambah pautan afiliasi, imej, klip video, borang dan juga butang pembayaran.
7. Berinteraksi dengan khalayak anda
Tip terakhir untuk mengembangkan perniagaan pemasaran afiliasi anda ialah berinteraksi dengan khalayak.
Mewujudkan perbualan bukan sahaja membantu pengikut berasa didengari, malah memberikan kelebihan kepada anda menerusi algoritma media sosial. Apabila orang ramai berinteraksi dengan kandungan anda, mereka memberi isyarat kepada algoritma carian bahawa kandungan itu berbaloi untuk dikongsi dengan pengguna lain.
Sebagai contoh, apabila anda membalas komen pada video TikTok anda, komen tersebut akan mempunyai lencana khas berlabel “Pencipta” untuk membezakan komen anda berbanding komen yang lain.
Contoh ini menunjukkan pempengaruh dan pemasar afiliasi Lauren Loveless membalas komen daripada peminat untuk membantu mereka membeli produk yang disyorkannya daripada Rare Beauty. Lauren mempunyai berbilang pautan afiliasi pada halaman pautan pada bio yang dipautkan pada akaun TikTok beliau. Apabila beliau menyiarkan kandungan yang menghala ke pautan ini, beliau aktif berinteraksi di ruang komen.
Membalas komen khalayak anda juga membolehkan anda mengetahui perkara yang mereka harapkan daripada kandungan akan datang—satu situasi yang saling menguntungkan.
Tip modal sifar: Terlepas pandang komen bermakna anda terlepas peluang menjana wang. Gunakan Meta Business Suite percuma untuk mengurus semua komen dan mesej langsung (DM) Instagram serta Facebook anda dalam satu peti masuk.
8. Jejak hasil anda
Menjejak hasil ialah langkah penting yang sering diabaikan kebanyakan pemula. Tanpa penjejakan yang betul, anda seolah-olah beroperasi dalam gelap dan terlepas peluang menjana pendapatan.
Fahami penyedia analitik yang disediakan oleh program afiliasi anda. Alat ini lazimnya merangkumi metrik afiliasi seperti:
- Klik
- Kadar klik lalu
- Penukaran
- Pendapatan setiap klik (EPC)
- Jumlah pendapatan
Menyemak angka-angka ini dengan kerap boleh memberikan anda gambaran jelas tentang produk yang mendapat sambutan baik dan produk yang mungkin memerlukan pendekatan berbeza. Untuk mendapatkan pandangan lebih mendalam, tambahkan parameter UTM dalam pautan anda. Anda akan dapat memahami produk yang laris dan jenis kandungan atau platform yang memacu jualan tersebut.
Jangan lupa untuk memantau prestasi kandungan anda merentasi pelbagai platform. Penglibatan tinggi sering berkait dengan kepercayaan khalayak, yang seterusnya membuka ruang kepada lebih banyak penukaran jualan di kemudian hari.
Tip modal sifar: Jangan sesekali menampal pautan afiliasi mentah. Gunakan Bitly (versi percuma) untuk memendekkan pautan anda. Bukan sahaja ini kelihatan lebih kemas dan boleh dipercayai oleh pengguna, malah turut memberikan anda papan pemuka percuma untuk menjejak dengan tepat jumlah klik yang anda peroleh dalam sehari, jadi anda tahu kandungan yang benar-benar berkesan.
Alat pemasaran afiliasi AI
Jika anda ingin menceburi pemasaran digital, anda perlu tahu tentang alat perniagaan AI. Susunan alat yang baik boleh membantu anda mencipta kempen, menjejak hasil, dan memperoleh lebih banyak jualan afiliasi. Berikut ialah pilihan terbaik.
1. Shopify Sidekick
Satu alat AI untuk dagangan yang lengkap terbina secara terus di dalam panel pentadbir Shopify. Shopify Sidekick membantu anda menulis perihalan produk, e-mel, siaran blog dan juga membalas pertanyaan pelanggan di laman web anda.
Sidekick juga berfungsi sebagai penganalisis perbualan peribadi anda. Anda hanya perlu bertanya, “Jualan saya merosot 5% bulan lepas, apakah yang menyebabkan penurunan itu?” dan Sidekick akan mengimbas pesanan, trafik pesanan dan data produk untuk mencari jawapan. Sidekick juga boleh mencadangkan langkah seterusnya supaya anda dapat meningkatkan penukaran dan jualan.
2. Affilimate
Platform analitik dikuasakan AI Affilimate menunjukkan dengan tepat pautan, butang dan kotak produk dalam setiap artikel yang memacu penukaran jualan. Platform ini menukar maklumat tersebut menjadi peta haba, laporan segmen dan makluman kemas kini, supaya afiliasi boleh mengubah suai kedudukan pautan, menukar peruncit atau berunding untuk mendapatkan kadar komisen yang lebih tinggi bagi meningkatkan hasil pendapatan.
3. Canva Magic Design
Guna alat reka bentuk AI Canva untuk mencipta reka bentuk berjenama dalam beberapa saat sahaja. Beritahu Canva perkara yang anda mahu lihat, seperti video TikTok yang menarik dan mengikut trend untuk rutin kecergasan, dan Magic Design akan menghasilkan siaran media sosial untuk anda.
Bukan penyunting video yang mahir? Magic Design untuk video akan menggabungkan klip dan imej anda menjadi video pendek serta menawarkan cadangan muzik untuk menyerikan video anda.
Memanfaatkan media sosial untuk pemasaran afiliasi
Pemasar afiliasi biasa menjana pendapatan mereka sepenuhnya menerusi media sosial.
Contoh yang bagus ialah Amanda Rach Lee, seorang pencipta kandungan yang berkongsi video YouTube tentang penulisan jurnal. Saluran ini, yang kemudiannya melahirkan sebuah perniagaan alat tulis yang berkembang maju, menjana jualan afiliasi menerusi pautan produk dalam penerangan video:
Walaupun platform media sosial ialah cara yang bagus untuk anda berhubung dengan khalayak dan mempromosikan produk, tidak semua saluran media sosial mempunyai keupayaan yang sama dari segi pemasaran afiliasi.
Setiap satu mempunyai kelebihan tersendiri:
- YouTube cemerlang untuk ulasan produk secara mendalam dan tutorial.
- Instagram paling sesuai untuk produk berorientasikan visual seperti fesyen, pengembaraan dan barangan gaya hidup.
- Pinterest memacu trafik yang ketara untuk hiasan rumah, resipi dan projek buat sendiri (DIY).
- TikTok amat sesuai untuk menjangkau khalayak lebih muda dengan pameran produk yang pantas dan menarik.
- Kumpulan Facebook boleh membantu anda membina komuniti dalam talian sekitar minat tertentu.
Tip: Tumpukan tenaga anda kepada satu hingga dua platform yang khalayak sasaran anda paling aktif, dan bukannya membahagikan tumpuan anda secara keterlaluan merentas semua saluran.
Bina profil yang tulen sebelum menjual
Orang ramai memilih untuk mengikuti anda kerana nilai diri anda, bukan semata-mata kerana pautan afiliasi anda. Sebelum anda mempromosikan produk, tampilkan diri anda sebagai sumber yang boleh dipercayai dengan:
- Sentiasa berkongsi kandungan bernilai tanpa sebarang tujuan promosi
- Berinteraksi secara ikhlas menerusi ruang komen pengikut
- Menceritakan tentang kisah peribadi anda
- Membina hubungan
Apabila anda berkongsi produk afiliasi kelak, khalayak anda akan menjadi lebih terbuka kerana mereka sudah mempercayai penilaian anda.
Mengapakah pemasaran afiliasi merupakan model perniagaan yang baik?
Pemasaran afiliasi ialah model perniagaan berasaskan faedah timbal balik yang berfungsi untuk jenama dan pencipta. Kedua-dua pihak mendapat manfaat daripada kerjasama afiliasi yang berjaya, dengan jenama meningkatkan jualan dan pencipta memperoleh ganjaran berdasarkan prestasi. Itulah sebabnya pemasaran afiliasi dijangka memacu lebih daripada USD287 bilion dalam jualan e-dagang AS menjelang tahun 2028.
Menyara hidup daripada pemasaran afiliasi memang boleh dilakukan kerana ini merupakan model perniagaan yang menguntungkan. Berikut adalah sebabnya:
- Risiko rendah. Perniagaan hanya perlu membuat pembayaran apabila anda membuat rujukan yang berjaya (berbanding membayar imbuhan tetap kepada pempengaruh). Bagi pemasar afiliasi, kos perniagaan anda boleh kekal rendah (jika ada), jadi satu-satunya yang hilang ialah masa anda sekiranya tidak mencapai sasaran yang tepat.
- Saling menguntungkan untuk semua pihak. Perniagaan mendapat manfaat daripada jualan yang anda bawa masuk dan seterusnya memberi ganjaran kepada anda. Namun begitu, pelanggan juga mendapat manfaat dengan memperoleh syor yang dipercayai bagi memenuhi keperluan serta kehendak mereka.
- Anda boleh bekerja dari mana-mana sahaja di seluruh dunia. Jika anda pernah berhasrat menjalani kehidupan sebagai pengembara digital, pemasaran afiliasi membolehkan anda menjadikan mana-mana lokasi sebagai tempat kerja anda. Walaupun begitu, pastikan anda mematuhi sebarang undang-undang cukai atau buruh berkaitan pekerjaan.
- Anda boleh memperoleh pendapatan pasif. Satu idea pendapatan pasif yang membuahkan hasil ialah mencipta pustaka kandungan malar segar (evergreen) yang berkualiti. Walaupun proses ini mengambil masa, lama-kelamaan anda akan mendapati kandungan yang telah anda hasilkan masih menjana komisen afiliasi selama berbulan-bulan—malahan bertahun-tahun—secara berterusan.
Mengembangkan strategi pemasaran afiliasi anda
Setelah anda memulakan perjalanan pemasaran afiliasi, anda boleh mula merancang langkah ke fasa pertumbuhan. Proses ini tidak akan berlaku dalam sekelip mata, tetapi ada beberapa cara untuk anda meningkatkan tahap perniagaan afiliasi dengan pantas:
Pelbagaikan aliran pendapatan anda
- Bekerjasama dengan pelbagai program afiliasi pelengkap yang memberikan nilai kepada khalayak sasaran anda.
- Cari produk pada pelbagai julat harga—sesetengahnya untuk sasaran kuantiti jualan, manakala yang lain untuk komisen yang lebih tinggi.
- Pertimbangkan untuk menambah produk digital anda sendiri di samping tawaran afiliasi sedia ada.
- Terokai program komisen berulang yang menjana pendapatan pasif secara berterusan setiap bulan.
Automatikkan perkara yang boleh diautomatikkan
- Sediakan urutan e-mel yang memupuk hubungan dan mempromosikan produk afiliasi.
- Gunakan alat penjadualan untuk mengekalkan kalendar kandungan yang konsisten.
- Cipta templat untuk format kandungan yang paling kerap anda gunakan bagi mempercepat proses penghasilan.
- Sediakan sistem penjejakan yang memantau prestasi anda secara automatik.
Laburkan dalam membina platform anda sendiri
- Bangunkan laman web atau blog yang sepenuhnya anda miliki dan kawal.
- Bina senarai e-mel yang membolehkan komunikasi terus dengan khalayak anda.
- Cipta ruang komuniti tempat pengikut anda yang paling aktif boleh berhubung.
- Pertimbangkan untuk melancarkan podcast atau saluran YouTube bagi menyediakan kandungan berformat panjang yang lebih mendalam.
Uji saluran trafik baharu
- Cuba pengiklanan berbayar dengan peruntukan ujian kecil untuk melihat sejauh mana kadar penukaran jualan.
- Terokai SEO untuk membawa masuk trafik organik yang berganda dari semasa ke semasa.
- Pertimbangkan jalinan kerjasama dengan pencipta kandungan pelengkap untuk menjangkau khalayak baharu.
- Terokai platform terbaharu yang sedang meningkat naik sebelum saluran tersebut menjadi terlalu sesak.
Soalan lazim tentang cara memulakan pemasaran afiliasi tanpa modal
Apakah 5 rangkaian pemasaran afiliasi terbaik?
Lima rangkaian afiliasi terbaik pada tahun 2026 ialah:
- Affiliate Future
- AvantLink
- CJ (Commission Junction)
- ClickBank
- FlexOffers
Bagaimanakah pemasar afiliasi boleh memperoleh RM100 sehari?
Pemasar afiliasi boleh memperoleh RM100 sehari dengan mencari program afiliasi untuk mempromosikan produk dalam kandungan mereka sebagai balasan bagi mendapatkan komisen. Jika anda menyiarkan kandungan bernilai secara konsisten yang menghiburkan dan menyokong khalayak anda, anda boleh memperoleh jualan secara berterusan dalam perniagaan pemasaran afiliasi anda.
Bolehkah pemasaran afiliasi dimulakan tanpa sebarang modal?
Ya, anda boleh memulakan pemasaran afiliasi tanpa mengeluarkan sebarang modal—dan sebenarnya agak mudah. Daripada membina laman web untuk niche anda, yang boleh melibatkan kos untuk dibangunkan, anda boleh membina trafik dengan khalayak sasaran anda menerusi platform media sosial percuma atau YouTube, sebagai contoh.
Bagaimanakah produk afiliasi boleh dipromosikan secara percuma?
Anda boleh mempromosikan produk afiliasi secara percuma dengan memanfaatkan platform media sosial seperti TikTok, Instagram atau YouTube, menyertai kumpulan Facebook niche atau komuniti Reddit, menulis siaran blog di platform penerbitan percuma seperti Medium, atau membina senarai e-mel dengan alat percuma. Konsistensi dan kreativiti ialah kunci untuk menarik perhatian tanpa sebarang perbelanjaan iklan.
Program afiliasi manakah yang terbaik untuk pemula?
Ramai pemasar afiliasi bermula dengan menggunakan platform sosial seperti TikTok, Instagram atau YouTube untuk berkongsi kandungan dan pautan produk. Memiliki laman web sendiri boleh membantu membina kredibiliti, menambah baik SEO dan memberikan anda lebih kawalan ke atas khalayak serta penjenamaan anda apabila perniagaan mula berkembang kelak.

