Memulakan perniagaan boleh menjadi satu pengalaman yang mengujakan—daripada membina laman web dan memilih bakal rakan kongsi perniagaan hinggalah mengambil pekerja serta membentuk identiti jenama. Namun, apabila mengetahui nama perniagaan yang ingin digunakan sudah didaftarkan oleh pihak lain, keterujaan itu boleh terhenti serta-merta.
“Banyak perkara yang perlu dilakukan dengan betul untuk membina sesebuah jenama,” kata Sandro Roco, pengasas syarikat air berkarbonat Sanzo, dalam satu episod podcast Shopify Masters, “dan salah satu perkara penting ialah nama jenama.”
Mujurlah ada cara yang mudah dan sistematik untuk menyemak sama ada nama perniagaan yang anda pilih masih tersedia. Teruskan membaca untuk mengetahui cara semak nama perniagaan yang sudah didaftarkan dan langkah yang boleh diambil jika nama pilihan anda sudah didaftarkan, berdasarkan nasihat Sandro dan usahawan berjaya yang lain.
Apakah ciri nama perniagaan yang baik?
- Produk atau perkhidmatan yang ditawarkan
- Nilai dan etos syarikat
- Istilah khusus dalam industri
- Bunyi yang menarik
- Hubungan peribadi yang bermakna
- Pengoptimuman enjin carian
Nama perniagaan yang unik ialah nama rasmi yang digunakan oleh sesebuah perniagaan untuk beroperasi. Nama ini merupakan elemen penting dalam membina pengiktirafan jenama.
Untuk menghasilkan nama jenama, anda perlu mencari keseimbangan antara menyampaikan tujuan syarikat dan memastikan nama tersebut mudah diingati oleh bakal pelanggan. Sandro turut mencadangkan supaya anda mempertimbangkan bunyi nama itu.
“Adakah nama ini mudah disebut?” tambah Sandro. “Adakah orang suka menyebut nama ini? Adakah nama ini sesuai dengan produk yang anda jual? Semua perkara ini boleh mendorong orang untuk tertarik dengan perkara yang anda lakukan.”
Nama terbaik selalunya terhasil daripada proses penamaan yang kreatif dan mengambil inspirasi daripada pelbagai sumber.
Produk atau perkhidmatan yang ditawarkan
Jika anda mempunyai produk yang inovatif, nama yang menggambarkan kegunaan produk itu boleh membantu dalam pendidikan pelanggan.
Contohnya, Transformer Table menjual meja dapur yang boleh dibesarkan atau dikecilkan untuk memenuhi pelbagai keperluan. Nama jenama tersebut jelas menggambarkan keupayaan produk itu untuk berubah mengikut situasi yang berbeza.
Nilai dan etos syarikat
Jika syarikat anda meletakkan nilai jenama sebagai keutamaan, anda boleh menjadikan nilai tersebut sebagai titik permulaan untuk menghasilkan nama jenama yang mencerminkan nilai itu dengan jelas kepada khalayak anda.
Thousand, yang menjual topi keledar, dilancarkan selepas rakan kepada pengasas Thousand, Gloria Hwang, meninggal dunia akibat kecederaan dalam kemalangan berbasikal. Rakan Gloria tidak memakai topi keledar ketika kemalangan itu berlaku, lalu Gloria berazam untuk menyelamatkan seribu nyawa dengan meningkatkan keselamatan penggunaan topi keledar.
“Jenama kami berteraskan misi,” kata Gloria dalam satu episod Shopify Masters. “Pada mulanya, nama itu tercetus daripada persoalan, ’Bagaimana kita boleh menyelamatkan seribu nyawa?’ Kami menjejaki statistik tersebut untuk melihat sama ada kami boleh menyelamatkan seribu nyawa melalui dasar penggantian selepas kemalangan.” Syarikat itu berjaya mencapai matlamat untuk menyelamatkan 1,000 nyawa pada 2024.
Istilah khusus dalam industri
Jika anda berada dalam pasaran yang sangat kompetitif, penggunaan istilah khusus dalam industri boleh meningkatkan kredibiliti kepada jenama anda.
HexClad Cookware menggunakan istilah khusus yang berkaitan dengan industri yang diceburi. “Clad” ialah istilah yang merujuk kepada beberapa lapisan bahan yang digabungkan untuk menyaluti permukaan kuali atau periuk dan membantu mengagihkan haba secara sekata.
Bunyi yang menarik
Nama yang mempunyai bunyi menarik lebih mudah melekat dalam ingatan khalayak anda. Jika anda mahukan nama yang unik, cuba bermain dengan perkataan secara kreatif.
Sandro menyenaraikan kira-kira sedozen nama, tetapi kebanyakan nama sudah digunakan atau dirasakan kurang sesuai, jadi beliau memutuskan untuk mencuba pendekatan yang berbeza.
“Saya buat satu latihan dengan menulis semua huruf dalam nama pertama, nama tengah dan nama akhir saya, iaitu Alessandro Lorenzo Roco,” katanya. “Salah satu gabungan huruf itu menjadi Sanzo. Saya fikir, ’OK, ini mungkin menarik.’”
Hubungan peribadi yang bermakna
Jika anda memulakan jenama untuk menghasilkan sesuatu yang diperlukan oleh orang tersayang, anda boleh menjadikan hubungan tersebut sebagai inspirasi ketika menamakan perniagaan anda.
Rakan pengasas Stephanie dan Muammar Reed menamakan kedai buku mereka, MiJa Books, sempena anak sulung mereka, tetapi nama tersebut turut mempunyai makna lain. “Nama ini amat istimewa bagi kami kerana terdiri daripada huruf awal nama anak kami,” kata Stephanie dalam Shopify Masters. “[Tetapi] nama tersebut juga bermaksud ‘anak perempuan saya’ dalam bahasa Sepanyol.”
Nama tersebut sememangnya sesuai kerana pasangan Reed memutuskan untuk memulakan MiJa Books selepas menghadapi kesukaran mencari buku yang menampilkan kepelbagaian yang mencukupi untuk anak mereka.
Pengoptimuman enjin carian
Jika anda mahu memulakan perniagaan dengan strategi SEO yang kukuh, jadikan penyelidikan kata kunci sebagai sumber inspirasi untuk memilih nama perniagaan.
Zero Waste Store pada asalnya dikenali sebagai Earthy Shop. Rakan pengasas jenama yang menjual produk mampan tersebut memutuskan untuk menukar nama syarikat selepas menyedari bahawa nama domain Zero Waste Store masih tersedia dan kata kunci tersebut menerima sehingga 15,000 carian sebulan.
“Orang ramai memang mencari kata kunci tersebut,” kata rakan pengasas JJ Follano dalam Shopify Masters. “Kami baru beberapa bulan menjalankan perniagaan, dan saya berkata, ’Saya rasa ada peluang besar di sini. Mengapa kita tidak menjenamakan semula perniagaan sebagai Zero Waste Store?’”
Pertukaran nama ini akhirnya membantu jenama tersebut meningkatkan jualan. Daripada menerima beberapa ratus pesanan sebulan, syarikat itu berjaya menjana lebih daripada satu juta dolar dalam tahun pertama selepas menukar nama.
Jenis struktur perniagaan
- Pemilikan tunggal
- Perkongsian
- Syarikat Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.)
- Syarikat Berhad (Bhd.)
- Organisasi profesional berlesen
Struktur perniagaan anda menentukan cara anda mendaftarkan nama perniagaan. Nama perniagaan biasanya tertakluk kepada undang-undang negara anda.
Semak keperluan penamaan yang ditetapkan oleh negara anda untuk mengelakkan sebarang masalah. Contohnya, banyak negara mewajibkan penggunaan penetapan tertentu supaya pelanggan dapat memahami struktur dan industri entiti perniagaan anda.
Berikut ialah gambaran ringkas tentang cara struktur perniagaan yang berbeza mempengaruhi penamaan:
Pemilikan tunggal
Pemilikan tunggal ialah bentuk perniagaan yang paling ringkas dan mempunyai peraturan penamaan yang mudah. Sebagai pemilik tunggal, anda ialah satu-satunya pemilik dan pekerja perniagaan, jadi perniagaan tersebut beroperasi menggunakan nama sah anda.
Anda juga boleh menjalankan perniagaan pemilikan tunggal di bawah nama dagang atau “menjalankan perniagaan sebagai” (nama DBA). Contohnya, jika Jane Smith mahu membuka “Green Thumb Gardening Services” sebagai perniagaan pemilikan tunggal, beliau boleh mendaftarkan nama dagang tersebut sebagai DBA.
Di Malaysia, konsep yang hampir sama ialah pendaftaran perniagaan menggunakan nama dagang melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Pemilik perniagaan boleh mendaftarkan nama dagang yang berbeza daripada nama sendiri, tertakluk kepada keperluan dan kelulusan SSM.
Perkongsian
Perkongsian am, seperti pemilikan tunggal, boleh beroperasi menggunakan nama rakan kongsi pengasas atau nama dagang (DBA).
Syarikat Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.)
Syarikat Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.) ialah struktur perniagaan formal yang menawarkan perlindungan aset peribadi yang lebih baik berbanding pemilikan tunggal, tetapi tertakluk kepada lebih banyak peraturan. Nama syarikat Sdn. Bhd. lazimnya perlu unik, tidak mengandungi perkataan yang dilarang atau menyinggung dan perlu menggunakan penanda seperti “Sdn. Bhd.” atau “Sendirian Berhad” pada nama syarikat.
Syarikat Berhad (Bhd.)
Dengan struktur perniagaan Syarikat Berhad (Bhd.), syarikat merupakan entiti yang berasingan daripada pemilik syarikat. Syarikat Berhad (Bhd.) boleh mempunyai pemegang saham tanpa had tetapi tertakluk kepada cukai pendapatan korporat. Syarikat Berhad merupakan salah satu bentuk syarikat yang digunakan di Malaysia. Nama syarikat lazimnya perlu menggunakan penanda “Berhad” atau “Bhd.”.
Organisasi profesional berlesen
Hampir setiap negara mempunyai peraturan penamaan tertentu bagi perniagaan yang dimiliki atau dikendalikan oleh profesional berlesen. Di Malaysia, sesetengah profesion seperti perubatan, pergigian, perakaunan dan guaman tertakluk kepada peraturan badan profesional masing-masing. Oleh itu, nama perniagaan atau organisasi profesional perlu memenuhi syarat tertentu sebelum didaftarkan.
Contohnya, klinik perubatan dan pergigian serta firma guaman dan perakaunan perlu mematuhi keperluan penamaan dan pendaftaran yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Cara semak nama perniagaan yang sudah didaftarkan
- Cari dalam pangkalan data tanda dagangan
- Semak media sosial
- Gunakan enjin carian
- Semak pendaftar nama domain
- Semak rekod pendaftaran perniagaan
Sebelum melancarkan perniagaan, semak nama pilihan anda dengan teliti sebelum meneruskan pembangunan jenama. Berikut ialah cara semak nama perniagaan sudah didaftarkan:
1. Cari dalam pangkalan data tanda dagangan
Anda tidak semestinya perlu mendaftarkan tanda dagangan untuk nama perniagaan, tetapi elakkan menggunakan nama yang sudah didaftarkan sebagai tanda dagangan oleh pihak lain.
Sebelum jenama kecantikan Three Ships menukar nama, syarikat itu mahu menggunakan nama “Niu Body.” Rakan pengasas tidak menyedari bahawa sudah ada jenama dengan nama yang serupa.
“Kami menerima surat arahan supaya menghentikan penggunaan nama tersebut daripada mereka yang berbunyi, ’Oh, anda melanggar tanda dagangan kami,’” kata rakan pengasas Laura Thompson dalam Shopify Masters. Pada ketika itu, mereka sudah pun memutuskan untuk menjenamakan semula perniagaan.
Saman kerana pelanggaran tanda dagangan merupakan antara risiko serius yang boleh timbul apabila menggunakan nama pihak lain. Mulakan carian nama perniagaan anda dengan menyemak tanda dagangan berdaftar melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Pangkalan data tanda dagangan MyIPO membolehkan anda mencari nama yang sama atau serupa yang berpotensi menimbulkan kekeliruan di pasaran. Pastikan anda turut mencari kesalahan ejaan dan variasi nama yang lazim. Pemilik tanda dagangan berdaftar boleh mengambil tindakan terhadap penggunaan nama yang serupa walaupun nama tersebut bukan padanan tepat.
2. Semak media sosial
Walaupun nama perniagaan yang tidak berdaftar sebagai tanda dagangan tidak mendapat perlindungan tanda dagangan, perniagaan yang sudah mempunyai reputasi dan kehadiran yang kukuh mungkin masih mendapat perlindungan undang-undang tertentu. Oleh itu, anda juga perlu mengelakkan penggunaan nama yang sudah mempunyai reputasi dalam pasaran.
Cari nama yang ingin anda gunakan di semua platform media sosial utama, seperti Facebook, Instagram, X, LinkedIn, TikTok dan YouTube. Nama yang serupa di saluran popular boleh menyebabkan kekeliruan jenama dan menyukarkan pemasaran digital. Sebaik-baiknya, gunakan nama pengguna yang sama untuk setiap akaun. Penjenamaan yang konsisten merentas saluran memudahkan pelanggan menemui anda.
3. Gunakan enjin carian
Lakukan carian internet untuk nama perniagaan anda. Jangan hanya semak halaman pertama hasil carian. Cuba pelbagai gabungan kata kunci yang berkaitan dan beri perhatian kepada perniagaan dalam industri atau kawasan geografi yang sama yang menggunakan nama serupa.
4. Semak pendaftar nama domain
Walaupun anda mungkin dibenarkan menggunakan sesuatu nama daripada segi undang-undang, anda juga perlu memastikan nama domain yang sepadan masih tersedia. Nama domain yang sepadan dengan nama perniagaan amat penting untuk membina kehadiran jenama dalam talian yang kukuh. Semak ketersediaan nama domain melalui pendaftar nama domain dan alat popular seperti penjana nama domain percuma Shopify.
5. Semak rekod pendaftaran perniagaan
Di Malaysia, anda boleh menyemak maklumat perniagaan yang berdaftar melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Semakan ini membantu memastikan sama ada nama perniagaan yang ingin digunakan sudah didaftarkan oleh pihak lain.
Jika anda merancang untuk menjalankan perniagaan di lebih daripada satu negeri, pastikan anda turut menyemak keperluan pendaftaran dan lesen yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri atau tempatan yang berkaitan. Sesetengah industri dan profesion berlesen juga mungkin tertakluk kepada keperluan pendaftaran tambahan.
Tindakan jika nama perniagaan sudah didaftarkan
Jika nama perniagaan pilihan anda sudah didaftarkan, anda mempunyai dua pilihan: ubah suai nama tersebut atau beli nama tersebut daripada pemilik.
Ubah suai nama perniagaan anda
Jika nama yang anda inginkan sudah digunakan oleh perniagaan lain, fikirkan bahagian nama tersebut yang paling penting kepada anda.
Anda boleh mengubah suai pilihan nama asal dengan menambah unsur lokasi (“Johor” atau “Selangor”), memasukkan nama sendiri atau menambah awalan atau akhiran yang menerangkan perniagaan anda. Cara ini membolehkan anda membezakan perniagaan sambil mengekalkan konsep asal nama tersebut. Contohnya, jika “Urban Bloom Florists” sudah digunakan, anda boleh mengubah pilihan nama tersebut kepada “Urban Flower Co.”
Jika anda berada dalam industri yang sama dengan perniagaan tersebut, pastikan nama baharu tidak terlalu serupa. Nama yang hampir sama boleh menyebabkan kekeliruan di media sosial dan menimbulkan isu berkaitan tanda dagangan.
Heyday Canning Co., sebuah syarikat makanan dalam tin, dan Heyday, yang menawarkan rawatan muka di lebih 30 lokasi di seluruh AS, kedua-dua jenama menggunakan istilah “heyday” dalam nama jenama. Namun, kerana kedua-dua jenama beroperasi dalam industri yang berbeza, kemungkinan berlaku kekeliruan adalah sangat kecil.
Untuk mendapatkan nama baharu, gunakan penjana nama perniagaan AI Shopify, yang menghasilkan cadangan nama dan domain berdasarkan perniagaan, industri serta personaliti jenama anda.
Beli nama tersebut daripada pemilik
Jika anda benar-benar mahukan nama tertentu tetapi nama tersebut sudah digunakan, anda boleh cuba membeli nama tersebut daripada pemilik semasa. Cara ini boleh melibatkan kos yang tinggi, jadi pastikan anda mempunyai alasan yang kukuh untuk membeli nama tersebut.
Headphones.com bermula sebagai Premium Sound Canada, tetapi memutuskan untuk membeli nama domain tersebut bagi membina kredibiliti apabila beralih daripada menjual pembesar suara kepada fon kepala.
“Kami mula cuba mendapatkan persetujuan daripada syarikat fon kepala yang bagus untuk menjual produk mereka,” kata Andrew Lissimore, rakan pengasas dan CEO jenama tersebut, dalam Shopify Masters. “Saya fikir jika kami memiliki headphones.com, mereka tidak akan dapat menolak kami. Saya pergi ke domain tersebut dan mendapati domain itu tidak digunakan.”
Pada masa itu, laman web tersebut mengalih hala ke headsets.com. Andrew menggunakan WHOIS untuk mencari pemilik domain, dan pemilik tersebut bersedia menjual headphones.com. Membeli domain tersebut merupakan pelaburan yang besar, tetapi memberikan Andrew kredibiliti serta peningkatan SEO yang dicari.
Walaupun pendekatan ini boleh memberikan hasil seperti yang dialami Andrew, ingat bahawa domain yang kelihatan tidak aktif mungkin masih mempunyai rancangan atau nilai sentimental bagi pemilik. Jika anda ingin mendapatkan hak penggunaan nama tersebut, pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan peguam bagi mendokumentasikan pemindahan dengan betul dan memastikan anda memperoleh semua hak yang diperlukan, termasuk hak tanda dagangan, nama domain perniagaan dalam talian dan nama pengguna media sosial.
Soalan lazim tentang cara semak nama perniagaan yang sudah didaftarkan
Mengapakah saya perlu menyemak sama ada nama perniagaan boleh digunakan?
Sebaiknya anda menyemak sama ada nama perniagaan yang dicadangkan boleh digunakan bagi mengelakkan pembaziran masa dan sumber dalam membina identiti jenama. Nama perniagaan yang telah didaftarkan sebagai tanda dagangan juga boleh menimbulkan masalah daripada segi undang-undang.
Di manakah saya boleh menyemak sama ada nama perniagaan tersedia?
Anda boleh menyemak sama ada nama perniagaan yang ingin digunakan masih tersedia melalui pelbagai sumber, termasuk pangkalan data tanda dagangan MyIPO, platform media sosial popular, enjin carian, pendaftar nama domain dan rekod pendaftaran perniagaan SSM.
Berapakah kos untuk menyemak sama ada nama perniagaan sudah didaftarkan?
Semakan sama ada nama perniagaan sudah didaftarkan biasanya percuma. Kebanyakan alat carian asas tidak mengenakan bayaran. Jika anda memerlukan semakan yang lebih terperinci atau nasihat tentang cara mendapatkan nama yang serupa, anda boleh mendapatkan khidmat peguam yang pakar dalam undang-undang perniagaan, harta intelek atau tanda dagangan. Peguam dalam bidang ini memahami selok-belok penubuhan dan penamaan perniagaan serta mempunyai akses kepada pangkalan data dan kaedah carian khusus. Jika anda perlu menukar nama perniagaan, mereka juga boleh memberikan nasihat tentang pengubahsuaian yang sesuai supaya nama baharu masih mengekalkan ciri utama nama yang anda inginkan.
Adakah nama syarikat Sdn. Bhd. merupakan rekod awam?
Ya, maklumat syarikat Sdn. Bhd. yang berdaftar merupakan rekod awam yang boleh disemak melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

