Bayangkan anda menikmati secawan kopi pada pagi Selasa sementara kedai dalam talian menerima pesanan, pautan afiliasi menjana komisen dan pelaburan terus memberikan pulangan. Semua ini terus berjalan tanpa memerlukan perhatian anda setiap masa. Inilah antara tarikan utama pendapatan pasif. Walaupun usaha tetap diperlukan pada peringkat awal, matlamat tersebut lebih mudah dicapai daripada yang anda sangka.
Di Malaysia, pendapatan isi rumah turut merangkumi pendapatan daripada harta dan pelaburan selain pendapatan daripada pekerjaan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Walaupun pendapatan pasif mungkin belum dapat menggantikan pendapatan daripada pekerjaan tetap, pendapatan tambahan ini tetap dapat membantu mengukuhkan kedudukan kewangan. Bagi sesetengah individu, pendapatan pasif juga menjadi langkah awal ke arah kebebasan kewangan.
Pendapatan pasif boleh diperoleh melalui pelaburan, royalti, hasil sewaan dan sumber pendapatan lain tanpa memerlukan usaha secara berterusan. Pendapatan ini tidak bergantung pada pekerjaan tetap atau memerlukan pemantauan sepanjang masa. Dengan cara ini, anda mempunyai lebih banyak kebebasan dan fleksibiliti selain berpeluang mengukuhkan kedudukan kewangan.
Terokai idea pendapatan pasif yang praktikal untuk mempelbagaikan sumber pendapatan, mengukuhkan kewangan dan membina masa depan yang lebih terjamin.
Table of contents
- Apakah itu pendapatan pasif?
- Idea pendapatan pasif melalui pelaburan
- Idea pendapatan pasif melalui faedah
- Idea pendapatan pasif melalui hartanah
- Idea pendapatan pasif melalui penciptaan produk
- Idea pendapatan pasif berkaitan kenderaan
- Idea pendapatan pasif melalui pemasaran
- Idea pendapatan pasif untuk individu kreatif
- Cara memilih idea pendapatan pasif
- Cari idea pendapatan pasif yang sesuai untuk anda
- Soalan lazim tentang pendapatan pasif
Apakah itu pendapatan pasif?
Pendapatan pasif ialah pendapatan yang boleh diperoleh dengan usaha yang minimum. Antara sumber pendapatan pasif yang biasa termasuk pelaburan seperti hartanah sewaan, dividen, faedah simpanan dan penyewaan peralatan.
Selain pelaburan, pendapatan pasif juga boleh dijana melalui produk atau kandungan yang pernah anda hasilkan. Contohnya termasuk jualan produk digital seperti kursus dalam talian dalam yang telah dirakam atau komisen daripada kandungan pemasaran afiliasi seperti video YouTube.
Kebanyakan sumber pendapatan pasif memerlukan usaha pada peringkat awal untuk dibangunkan. Selepas itu, anda hanya perlu meluangkan sedikit masa untuk mengurus supaya aliran pendapatan terus menjana pulangan.
Jenis pendapatan pasif
Pendapatan pasif boleh dibahagikan kepada empat kategori:
- Pendapatan daripada pelaburan. Pendapatan pasif ini diperoleh apabila anda melaburkan wang dalam pasaran kewangan. Kebanyakan pelaburan tidak memerlukan pengurusan harian dan berpotensi berkembang dari semasa ke semasa melalui faedah, dividen atau pulangan pelaburan. Contohnya termasuk saham, bon dan simpanan.
- Pendapatan daripada hartanah. Hartanah boleh menjadi sumber pendapatan pasif dengan memanfaatkan pembiayaan daripada pihak ketiga, seperti pinjaman perumahan. Contohnya termasuk menyewakan hartanah atau bilik kepada penyewa.
- Pendapatan daripada perniagaan. Kategori ini melibatkan pembangunan produk atau perkhidmatan yang boleh menjana pendapatan dalam jangka panjang. Contohnya termasuk pembangunan aplikasi dan pemasaran afiliasi.
- Pendapatan daripada hasil kreatif. Golongan kreatif boleh menjana pendapatan pasif daripada karya yang dihasilkan. Contohnya termasuk royalti, jualan langsung dan pendapatan daripada iklan.
Idea pendapatan pasif melalui pelaburan
Berikut ialah beberapa pilihan pelaburan yang boleh membantu anda menjana pendapatan pasif dengan melaburkan dana dalam aset dan pasaran kewangan.
- Dana pelaburan
- Pelaburan dalam syarikat pemula
- Saham dividen
- Bon
- Membeli laman web
- Membeli perniagaan tempatan
1. Dana pelaburan
Melabur dalam dana ialah cara yang bijak untuk membina kekayaan dalam jangka panjang sambil mengurangkan risiko. Produk seperti dana amanah, dana indeks dan dana dagangan bursa (ETF) membolehkan anda melabur bersama pelabur lain dalam portfolio saham. Pendekatan ini membantu mengurangkan risiko kerana pelaburan diagihkan merentasi pelbagai saham, bukan tertumpu pada satu saham sahaja.
Dana indeks seperti S&P 500 menjejaki prestasi indeks pasaran, sekali gus memberikan pendedahan kepada pelbagai syarikat. Dana amanah pula diuruskan oleh pengurus dana profesional yang menentukan pilihan pelaburan. ETF pula didagangkan di bursa saham seperti saham biasa, selalunya dengan yuran yang lebih rendah.
Cara untuk bermula: Buka akaun dagangan dengan broker yang berlesen atau institusi kewangan yang berdaftar. Kaji pelbagai jenis dana untuk memahami strategi pelaburan dan prestasi setiap dana. Dapatkan nasihat daripada penasihat kewangan jika perlu.
Potensi pulangan: Dalam tempoh 20 tahun yang lalu, indeks S&P 500 mencatat purata pulangan tahunan sekitar 10%.
2. Pelaburan dalam syarikat pemula
Melabur dalam perniagaan kecil dan sederhana kini semakin mudah melalui platform pembiayaan dalam talian. Dengan modal permulaan yang rendah, anda berpeluang melabur dalam syarikat pemula yang berpotensi mencapai status unicorn.
Potensi pulangan bergantung pada prestasi syarikat dan keadaan pasaran. Namun, semua pelaburan tetap mempunyai risiko, termasuk kemungkinan kehilangan keseluruhan modal yang dilaburkan. Oleh itu, fahami tahap toleransi risiko anda dan dapatkan nasihat daripada penasihat kewangan sebelum membuat keputusan.
Sebelum melabur dalam sesebuah syarikat atau peluang pelaburan lain, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengesyorkan agar anda mempertimbangkan beberapa soalan penting tentang produk pelaburan serta pihak yang akan menerima pelaburan anda.
Cara untuk bermula: Gunakan platform pembiayaan ekuiti seperti pitchIN atau Mystartr, yang menjalankan proses penilaian terhadap syarikat sebelum peluang pelaburan dibuka kepada pelabur. Walau bagaimanapun, anda tetap perlu membuat kajian sendiri terhadap setiap peluang pelaburan sebelum keputusan.
Potensi pulangan: Pulangan daripada pelaburan dalam syarikat pemula sangat berbeza-beza. Malah, sesetengah pelaburan mungkin tidak memberikan sebarang pulangan.
3. Saham dividen
Melabur dalam saham dividen ialah cara yang biasa digunakan untuk menjana pendapatan pasif. Saham dividen ialah saham syarikat yang mengagihkan sebahagian keuntungan kepada pemegang saham, biasanya setiap suku tahun. Selain menerima dividen, anda juga berpeluang meraih keuntungan apabila harga saham meningkat.
Cara untuk bermula: Kaji dan pilih syarikat yang mempunyai rekod pembayaran dividen yang konsisten. Kemudian, buka akaun broker untuk mula membeli saham.
Potensi pulangan: Kadar hasil dividen berbeza mengikut industri. Contohnya, purata hasil dividen bagi saham sektor minyak dan kayu balak ialah 4.92%, manakala purata hasil dividen bagi saham sektor teknologi ialah 3.2%.
4. Bon
Bon ialah satu lagi pilihan pelaburan untuk menjana pendapatan pasif. Apabila anda membeli bon, anda sebenarnya meminjamkan wang kepada pihak yang menerbitkan bon sebagai balasan untuk menerima bayaran faedah.
Berbanding saham, bon biasanya mempunyai risiko yang lebih rendah serta mampu memberikan pendapatan yang lebih stabil dalam jangka panjang. Anda juga boleh mempertimbangkan dana bon yang menggabungkan pelbagai jenis bon bagi mempelbagaikan pelaburan sekali gus membantu mengurangkan risiko.
Cara untuk bermula: Kaji jenis bon yang tersedia, seperti bon perbandaran atau bon korporat. Kemudian, buka akaun broker untuk mula membeli bon.
Potensi pulangan: Bon biasanya menawarkan pulangan tahunan sekitar 2% hingga 5%.
5. Membeli laman web
Laman web daripada pelbagai bidang sering ditawarkan untuk dijual. Lebih menarik, kebanyakan laman web tersebut sudah menjana pendapatan melalui pautan afiliasi, iklan, keahlian atau jualan produk.
Membeli laman web yang sedia ada merupakan salah satu cara untuk memiliki perniagaan yang sudah mempunyai jualan dan trafik. Selepas urusan pembelian selesai, anda biasanya perlu berbincang dengan penjual tentang proses penyerahan bagi memastikan pengurusan laman web dapat diteruskan dengan lancar.
Cara untuk bermula: Layari pasaran jual beli laman web seperti Flippa untuk membandingkan pilihan serta julat harga yang ditawarkan. Apabila menemui laman web yang ingin dibeli, rancang strategi rundingan bagi mendapatkan harga yang terbaik.
Potensi pulangan: Nilai sesebuah laman web bergantung pada pelbagai faktor. Namun, secara umum, laman web biasanya dijual pada harga sekitar dua hingga tiga kali ganda keuntungan tahunan. Ini bermakna pulangan daripada pelaburan biasanya boleh diperoleh dalam beberapa tahun.
💡Ketahui lebih lanjut: Cara Mengetahui Pemilik Domain pada 2026: Carian WHOIS
6. Membeli perniagaan tempatan
Jika anda berminat untuk menjadi usahawan tetapi tidak mahu mengurus operasi harian, membeli pegangan dalam perniagaan tempatan boleh menjadi salah satu cara untuk menjana pendapatan pasif. Sama ada kafe kecil, dobi layan diri atau agensi pengiklanan tempatan, anda boleh menerima bahagian keuntungan daripada perniagaan tanpa perlu terlibat dalam pengurusan harian.
Bergantung pada jenis perniagaan, anda juga boleh memainkan peranan sebagai pemilik aktif dengan memanfaatkan kemahiran dan pengalaman anda.
Cara untuk bermula: Cari perniagaan tempatan yang ingin dijual di kawasan anda. Kemudian, lakukan semakan menyeluruh terhadap prestasi kewangan dan potensi pasaran sebelum membuat keputusan.
Potensi pulangan: Pulangan bergantung pada saiz pegangan anda dalam perniagaan, kos operasi, liabiliti serta tahap keuntungan keseluruhan perniagaan.
Idea pendapatan pasif melalui faedah
Strategi ini membolehkan anda menjana pendapatan pasif melalui faedah daripada aset yang sudah dimiliki.
7. Akaun simpanan dengan kadar faedah tinggi
Akaun simpanan dengan kadar faedah tinggi membolehkan anda menjana pendapatan pasif melalui kadar faedah yang lebih tinggi berbanding akaun simpanan biasa. Dengan menyimpan wang dalam akaun ini, anda boleh memperoleh faedah secara berterusan tanpa memerlukan usaha tambahan. Malah, sesetengah akaun simpanan dengan kadar faedah tinggi serta sijil deposit menawarkan kadar hasil peratusan tahunan (APY) melebihi 4%.
Faedah yang diperoleh akan terus bertambah apabila simpanan berkembang, sekali gus meningkatkan jumlah pulangan. Walaupun kadar pulangan mungkin lebih rendah berbanding pilihan pelaburan lain, akaun simpanan dengan kadar faedah tinggi merupakan pilihan berisiko rendah yang sesuai untuk mereka yang baru mula membina kekayaan.
Cara untuk bermula: Semak kadar faedah semasa yang ditawarkan oleh bank di kawasan anda. Selain itu, cari tawaran istimewa yang disediakan untuk pelanggan baharu.
Potensi pulangan: Akaun simpanan dengan kadar faedah tinggi biasanya menawarkan kadar faedah yang dipengaruhi oleh kadar dasar bank pusat. Contohnya, jika anda menyimpan RM10,000 dalam akaun simpanan yang menawarkan kadar faedah 4%, anda berpotensi memperoleh RM400 pada tahun pertama.
8. Pembiayaan antara rakan setara (P2P)
Ada lebihan simpanan dalam akaun bank? Anda boleh mempertimbangkan pembiayaan antara rakan setara (P2P) sebagai kerja sampingan untuk menjana pendapatan pasif. Melalui platform P2P, anda meminjamkan wang kepada individu atau perniagaan kecil.
Kadar faedah biasanya ditentukan berdasarkan profil serta sejarah kredit peminjam. Secara purata, pelaburan P2P menawarkan pulangan sekitar 6%. Semakin banyak dana yang dipinjamkan, semakin tinggi potensi aliran tunai yang boleh dijana.
Walau bagaimanapun, kadar kemungkiran pembayaran boleh meningkat, terutamanya ketika ekonomi tidak menentu. Selain itu, kebanyakan platform mengenakan yuran tahunan sekitar 1% hingga 5%, yang boleh mengurangkan jumlah pulangan. Tidak seperti akaun simpanan yang dilindungi oleh insurans deposit, pelaburan P2P juga berisiko menyebabkan anda kehilangan modal sekiranya peminjam gagal membuat bayaran.
Cara untuk bermula: Daftar melalui platform P2P seperti Funding Societies Malaysia atau Capbay yang menghubungkan peminjam dengan pelabur.
Potensi pulangan: Pelaburan P2P biasanya memperoleh purata pulangan tahunan sekitar 7% hingga 15%.
9. Staking kripto
Staking kripto bermaksud menggunakan pegangan mata wang kripto bagi membantu dalam menyokong operasi rangkaian blok rantai (blockchain). Dengan menyumbang kepada penyelenggaraan rangkaian blok rantai tersebut, anda boleh memperoleh ganjaran.
Proses staking biasanya memerlukan anda mengunci sebahagian aset kripto untuk membantu mengesahkan transaksi pada rangkaian blok rantai. Sebagai balasan, anda akan menerima ganjaran mengikut kadar yang ditetapkan oleh mata wang kripto atau platform staking. Kaedah ini semakin popular dalam ekosistem kewangan terdesentralisasi (DeFi).
Walau bagaimanapun, harga mata wang kripto sangat tidak menentu. Walaupun ganjaran staking mungkin menarik, kejatuhan nilai mata wang kripto boleh mengatasi pulangan yang diperoleh. Oleh itu, hanya lakukan staking menggunakan aset yang anda sanggup menanggung risiko tersebut serta pastikan anda memahami risiko tinggi yang berkaitan dengan kaedah pendapatan pasif ini.
Cara untuk bermula: Pilih mata wang kripto yang menyokong staking, sediakan dompet digital, kemudian pilih platform staking untuk mula memperoleh ganjaran.
Potensi pulangan: Aset kripto yang digunakan untuk staking biasanya menawarkan pulangan sekitar 3% hingga 10% setahun, bergantung pada jenis mata wang kripto dan platform yang digunakan. Kadar hasil peratusan tahunan semasa boleh disemak melalui bursa mata wang kripto seperti luno.com.
Idea pendapatan pasif melalui hartanah
Jika anda memiliki hartanah, anda boleh menjana pendapatan pasif melalui beberapa kaedah berikut.
- Hartanah sewaan
- Menyewakan ruang yang tidak digunakan
- Sewaan jangka pendek
- Menyewakan bilik
- Mesin layan diri
- Pelaburan REIT
10. Hartanah sewaan
Pelaburan hartanah merupakan antara cara yang paling popular untuk membina kekayaan serta menjana pendapatan pasif dalam jangka panjang.
Jika anda mempunyai modal yang mencukupi, anda boleh menggunakan pinjaman perumahan untuk melabur dalam pangsapuri, tanah atau projek pengubahsuaian, sekali gus berpotensi memperoleh keuntungan daripada peningkatan nilai hartanah.
Selain itu, anda juga boleh menyewakan hartanah bagi menjana pendapatan sewaan. Namun begitu, pengurusan hartanah sewa biasanya memerlukan penglibatan aktif. Jika ingin mengekalkan pendapatan secara pasif, pertimbangkan untuk melantik pengurus hartanah bagi mengurus penyewa serta kerja penyelenggaraan.
Cara untuk bermula: Semak undang-undang dan peraturan tempatan berkaitan pelaburan hartanah di kawasan anda.
Potensi pulangan: Pada 2025, pemilik hartanah sewa di Amerika Syarikat melaporkan purata pendapatan tahunan sebanyak $87,280. Walau bagaimanapun, jumlah pendapatan sebenar berbeza mengikut jenis hartanah dan lokasi.
11. Menyewakan ruang yang tidak digunakan
Ada ruang bawah tanah, garaj atau bangunan tambahan yang tidak digunakan? Anda boleh menyewakan ruang tersebut sebagai ruang simpanan atau ruang kerja.
Industri penyimpanan dijangka berkembang pada kadar 5.9% setahun sehingga 2030. Ruang tersebut boleh disewakan untuk menyimpan pelbagai jenis barangan seperti kereta, bot, kenderaan rekreasi (RV) atau stok perniagaan.
Pengusaha kraf dan usahawan sering mencari ruang untuk menjalankan aktiviti pengeluaran atau penyimpanan stok. Tique Chandler, pengasas Chandler Honey, menjana pendapatan pasif melalui ruang pengeluaran sendiri dengan dua cara. Beliau menyewakan sebahagian ruang kepada usahawan lain yang beroperasi pada waktu malam. Selain itu, ruang yang sama turut digunakan untuk menghasilkan produk madu untuk dijenamakan semula di bawah jenama lain.
"Saya telah melabur dalam ruang pengeluaran ini," kata Tique Chandler dalam Shopify Masters. "Pelanggan yang menempah produk untuk dijenamakan semula terus menggunakan perkhidmatan saya, sekali gus memberikan pendapatan yang berterusan."
Cara untuk bermula: Iklankan ruang yang ingin disewakan melalui platform iklan tempatan seperti Carousell atau Mudah.my.
Potensi pulangan: Menyewakan ruang yang tidak digunakan, seperti garaj, berpotensi menjana ratusan ringgit setiap bulan, bergantung pada lokasi dan permintaan.mesin
12. Sewaan jangka pendek
Mungkin anda belum mempunyai modal yang mencukupi untuk melabur dalam hartanah sewaan. Jika anda mempunyai bilik kosong di rumah atau merancang untuk bercuti selama tiga minggu dan tidak mahu membiarkan rumah kosong, anda boleh menyewakan ruang tersebut melalui platform seperti Airbnb.
Peraturan berkaitan sewaan jangka pendek berbeza mengikut bandar dan sering berubah. Di sesetengah kawasan, pemilik hartanah perlu mendapatkan lesen khas, mematuhi had tempoh sewaan setiap tahun atau mematuhi sekatan tertentu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. Oleh itu, semak undang-undang tempatan serta peraturan pengurusan hartanah atau persatuan penduduk sebelum menyenaraikan hartanah. Kegagalan mematuhi peraturan boleh mengakibatkan denda atau tindakan undang-undang.
Cara untuk bermula: Semak kadar sewaan jangka pendek di kawasan anda bagi mendapatkan anggaran kadar sewaan untuk setiap malam.
Potensi pulangan: Menyewakan bilik kosong atau hartanah kepada tetamu berpotensi menjana pendapatan antara ratusan hingga ribuan dolar setiap bulan. Menurut analisis Bamboo Routes, purata hasil bulanan bagi satu penyenaraian Airbnb di Malaysia ialah sekitar RM3,400 sebulan.
13. Menyewakan bilik
Jika menyewakan seluruh rumah atau garaj bukan pilihan, anda boleh mempertimbangkan untuk menyewakan bilik kosong. Pendapatan daripada sewaan bilik boleh membantu mengurangkan kos sara hidup. Bagi mengelakkan salah faham, tetapkan persetujuan yang jelas sejak awal tentang perkongsian perbelanjaan seperti bil utiliti dan barangan runcit. Selain membantu mengurangkan beban kewangan, kehadiran penyewa bilik juga boleh mewujudkan suasana hidup yang lebih selesa dan saling menyokong.
Cara untuk bermula: Iklankan bilik yang ingin disewakan melalui platform sewaan atau iklan tempatan. Kemudian, temu bual bakal penyewa bagi memastikan mereka benar-benar sesuai.
Potensi pulangan: Pendapatan daripada menyewakan bilik bergantung pada kadar sewaan di kawasan anda, dengan anggaran kurang daripada RM500 hingga melebihi RM1,500 sebulan.
14. Mesin layan diri
Mesin layan diri boleh ditemukan di pelbagai lokasi, dan setiap pembelian snek atau minuman memberi peluang kepada pemilik mesin untuk menjana pendapatan separa pasif.
Memulakan sumber pendapatan melalui mesin layan diri memerlukan pelaburan awal daripada segi masa dan modal. Anda perlu mencari lokasi yang sesuai untuk menempatkan mesin, sama ada menyewa atau membeli mesin layan diri, serta mengurus pengisian semula stok.
Cara untuk bermula: Platform seperti Shopee, Lazada dan Carousell boleh membantu anda menganggarkan kos pelaburan awal bagi membeli mesin layan diri serta menentukan jumlah mesin yang mampu dibeli mengikut bajet.
Potensi pulangan: Pendapatan daripada mesin layan diri bergantung pada hasil jualan selepas ditolak kos sewaan atau pembelian mesin, serta kos mengisi semula stok dan penyelenggaraan.
15. Pelaburan REIT
Jika anda belum mampu membeli keseluruhan bangunan pangsapuri, anda masih boleh menjana pendapatan daripada hartanah sewaan.
Dengan pelaburan minimum RM500, anda boleh melabur dalam pelbagai aset hartanah melalui amanah pelaburan hartanah (REIT). Apabila nilai pelaburan meningkat, anda juga berpeluang menjana pendapatan pasif. REIT ialah syarikat yang memiliki dan menguruskan portfolio hartanah yang menjana pendapatan. Kaedah ini membolehkan pelabur bermodal kecil melabur dalam hartanah bernilai tinggi yang sukar dimiliki secara individu.
Selain menyediakan modal permulaan, anda juga perlu meluangkan masa untuk membuat kajian sebelum melabur dalam REIT.
Cara untuk bermula: Pilih REIT yang tersenarai di Bursa Malaysia, seperti Sunway REIT.
Potensi pulangan: Amanah pelaburan hartanah biasanya menawarkan pulangan dividen sekitar 4% hingga 10% setahun. Sebagai contoh, pelaburan sebanyak RM10,000 berpotensi menjana pendapatan pasif antara RM400 hingga RM1,000 setahun.
Idea pendapatan pasif melalui penciptaan produk
Jika anda mampu menghasilkan produk untuk dijual dalam talian, anda berpeluang menjana pendapatan pasif daripada jualan yang berterusan. Berikut ialah beberapa jenis produk yang sesuai untuk menjana pendapatan pasif.
- Produk digital
- Barangan buatan tangan
- Foto stok
- Portal pekerjaan
- Aplikasi mudah alih
- Templat hamparan
- Ganjaran beli-belah
16. Produk digital
Produk digital ialah aset, alat dan media yang tidak boleh disentuh secara fizikal oleh pengguna. Ini termasuk fail yang boleh dimuat turun atau diakses secara dalam talian seperti e-buku, templat dan PDF.
Produk digital boleh menjadi sumber pendapatan pasif kerana sebahagian besar usaha dilakukan pada peringkat awal dan margin keuntungan tinggi. Anda hanya perlu menghasilkan produk digital sekali, kemudian boleh menjual produk tersebut berulang kali melalui perniagaan dalam talian anda. Tiada penyimpanan, inventori atau pengeluaran tambahan diperlukan.
Anda boleh menjual seberapa banyak produk digital yang anda mahu. Ramai pencipta meningkatkan pendapatan pasif daripada aset digital dengan menjual kit, bahan cetak, fail dan bahan lain yang boleh digunakan oleh profesional.
Kemahiran pemasaran dan SEO boleh memberi kesan besar terhadap jualan produk digital. Mencipta produk yang berkualiti sahaja tidak mencukupi. Anda perlu menarik trafik ke halaman produk melalui pengoptimuman enjin carian (SEO), promosi media sosial atau pengiklanan berbayar. Ramai penjual produk digital yang berjaya melabur masa untuk menguasai kemahiran ini.
Cara untuk bermula: Gunakan aplikasi yang membolehkan pelanggan mengakses produk digital anda.
Potensi pulangan: Berdasarkan lebih daripada 1,300 penyenaraian di platform usahawan Whop, penjual produk digital berpotensi memperoleh lebih daripada $2,000 sebulan.
💡Ketahui lebih lanjut: Panduan SEO E-dagang Terkemuka dalam Industri
17. Barangan buatan tangan
Terdapat ratusan laman web untuk menjual kraf dan produk buatan tangan yang menawarkan peluang untuk menukar kerja sampingan pada hujung minggu kepada sumber pendapatan yang tetap. Sesetengah platform memfokuskan pada niche tertentu, seperti permainan video atau barangan kraf tangan, manakala yang lain membolehkan anda menjual pelbagai produk.
Pasaran popular termasuk:
- Faire
- Amazon
- eBay
- Ruby Lane
- AliExpress
Pelaburan awal untuk menjual barangan buatan tangan melibatkan dua perkara. Anda perlu melabur dalam bahan dan masa untuk menghasilkan serta menjual barangan DIY seperti tembikar atau pakaian. Anda juga perlu membina kedai dalam talian sebagai tempat menjual produk anda.
Menjual melalui kedai sendiri mengurangkan yuran bagi setiap jualan, di samping membolehkan anda membina jenama sendiri. Manfaat membina jenama akan terus meningkat apabila anda mengembangkan khalayak dan berhubung dengan lebih ramai pelanggan. Pendekatan ini membantu meningkatkan jualan dari semasa ke semasa serta menjana pendapatan dalam talian.
Cara untuk bermula: Layari produk popular di platform jualan dalam talian bagi memahami faktor yang menjadikan barangan buatan tangan berjaya.
Potensi pulangan: Di platform barangan buatan tangan Etsy, purata penjual aktif pada tahun pertama mencatat 42 jualan sebulan. Pendapatan sebenar bergantung pada produk dan strategi penetapan harga.
💡Ketahui lebih lanjut: Cara Memulakan Kedai Dalam Talian pada 2026 (Panduan Langkah demi Langkah)
18. Foto stok
Berbeza dengan kebanyakan idea pendapatan pasif dalam senarai ini, fotografi ialah perniagaan berasaskan perkhidmatan yang biasanya membayar berdasarkan masa yang diluangkan. Secara amnya, jurugambar menjana pendapatan melalui tempahan acara dan sesi fotografi.
Selain itu, anda juga boleh menjana pendapatan pasif daripada fotografi dengan menjual foto dalam talian. Platform foto stok seperti Pexels, Shutterstock dan platform media digital lain membayar untuk foto serta video berkualiti tinggi.
Jika anda menjalankan perniagaan fotografi di Shopify, anda juga boleh menawarkan produk digital seperti cetakan atau produk cetak atas permintaan, termasuk baju dan topi, sekali gus menambah sumber pendapatan pasif.
Cara untuk bermula: Fahami keperluan imej yang ditetapkan oleh platform foto stok utama. Pertimbangkan juga niche foto stok yang ingin anda khususkan.
Potensi pulangan: Jurugambar Peter Orsel berkongsi bahawa pada tahun pertama menjual foto stok, purata hasil bagi setiap fail foto stok ialah sekitar $0.05 sebulan.
19. Portal pekerjaan
Mencipta portal pekerjaan atau platform untuk industri niche ialah cara yang baik untuk menjana pendapatan pasif sebagai usahawan dalam talian. Majikan menggunakan laman web ini untuk mengiklankan kekosongan jawatan kepada pencari kerja.
Pencari kerja boleh mencari peluang pekerjaan baharu sama ada secara dalam talian atau bersemuka. Anda boleh mengenakan bayaran kepada majikan untuk menyiarkan kekosongan jawatan di portal pekerjaan anda serta menawarkan ciri premium seperti jawatan tajaan atau akses tanpa had kepada pangkalan data calon anda.
Walaupun anda tidak mahu membangunkan portal pekerjaan dari awal, anda boleh membeli tema portal pekerjaan dan mula menjana pendapatan pasif dengan segera. Membina laman web ialah bahagian yang mudah, tetapi membina kesedaran tentang portal pekerjaan anda memerlukan usaha yang lebih besar .
Sebaik sahaja portal pekerjaan anda mula mendapat momentum dan mempunyai pelanggan tetap, sebahagian besar pendapatan boleh menjadi pendapatan pasif.
Cara untuk bermula: Lihat portal seperti JobStreet, Maukerja atau Hiredly untuk mendapatkan inspirasi.
Potensi pulangan: Kebanyakan portal pekerjaan menjana pendapatan dengan mengenakan yuran untuk menyiarkan kekosongan jawatan atau menerima permohonan.
20. Aplikasi mudah alih
Alat pengekodan AI seperti Claude Code membolehkan sesiapa yang mempunyai idea yang jelas serta kesungguhan untuk belajar membangunkan aplikasi profesional.
Untuk bermula, anda perlu memutuskan sama ada ingin membangunkan laman web atau aplikasi mudah alih. Selain menentukan konsep aplikasi, seperti niche yang ingin disasarkan dan masalah yang ingin diselesaikan, anda juga perlu memikirkan cara menjana pendapatan.
Anda boleh menjana pendapatan pasif dengan aplikasi mudah alih dengan:
- Langganan
- Iklan
- Bayar untuk memuat turun aplikasi
- Model pasaran
Cara untuk bermula: Jika anda belum pasti masalah yang ingin diselesaikan oleh aplikasi anda, berikut ialah senarai alat penyelidikan untuk membantu anda bermula.
Potensi pulangan: Aplikasi mudah alih boleh menjana pendapatan melalui pelbagai kaedah penjanaan pendapatan. Malah, aplikasi percuma juga boleh menjana pendapatan melalui iklan dan pembelian dalam aplikasi.
21. Templat hamparan
Jika anda mahir menghasilkan hamparan, kemahiran tersebut boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan pasif.
Sama ada anda menggunakan Excel atau Google Sheets, terdapat permintaan daripada pelanggan yang sanggup membayar untuk templat hamparan bagi pelbagai tujuan, seperti belanjawan, unjuran keuntungan, penjejakan tabiat atau hamparan untung rugi yang pemilik perniagaan tidak mahu sediakan dari awal.
Cara untuk bermula: Sambungkan aplikasi muat turun digital ke kedai Shopify anda supaya pelanggan boleh membeli dan memuat turun templat hamparan.
Potensi pulangan: Penjual Etsy, Emily McDermott, mendakwa telah menjana lebih daripada $200,000 dalam tempoh kurang daripada dua tahun dengan menjual templat Excel dan Google Sheets melalui platform Etsy.
22. Ganjaran beli-belah
Platform ganjaran pulangan tunai membolehkan anda menjana pendapatan pasif apabila membeli-belah dalam talian. Selepas mendaftar, hanya perlu membeli-belah untuk memperoleh ganjaran. Semakin banyak anda membeli-belah dalam talian, semakin banyak mata yang dikumpul dan semakin tinggi potensi pendapatan pasif yang boleh diperoleh.
Peringatan: Jangan melebihi bajet perbelanjaan bulanan anda semata-mata untuk mendapatkan lebih banyak ganjaran.
Cara untuk bermula: Daftar di platform ganjaran pulangan tunai seperti Shopback.
Potensi pulangan: Platform ganjaran pulangan tunai boleh memberikan pendapatan tambahan secara berterusan. Jumlah pendapatan yang diperoleh bergantung pada kekerapan pembelian dan kadar pulangan tunai yang ditawarkan.
Idea pendapatan pasif berkaitan kenderaan
Dengan menyewakan kenderaan atau ruang letak kereta kepada orang lain, anda boleh memanfaatkan aset yang dimiliki untuk menjana pendapatan pasif.
23. Sewaan kereta
Rumah bukan satu-satunya aset yang boleh disewakan untuk menjana pendapatan pasif. Anda juga boleh menyewakan kereta melalui platform seperti GoCar Share. Bakal pelanggan termasuk pelancong, pengguna yang memerlukan kereta untuk kegunaan harian, serta mereka yang ingin memandu untuk perkhidmatan e-panggilan seperti GrabCar. Jadi, daripada memandu untuk menjana pendapatan pada waktu lapang, anda boleh meluangkan masa menonton Netflix sementara kereta anda menjana pendapatan untuk anda.
Pendapatan pasif daripada sewaan kereta turut melibatkan kos yang boleh mengurangkan keuntungan. Anda memerlukan perlindungan insurans komersial atau perlindungan peribadi yang dipertingkatkan, serta menanggung kos akibat kereta yang mengalami haus dan lusuh dengan lebih cepat, pembersihan selepas setiap sewaan, pembaikan kerosakan serta risiko liabiliti. Oleh itu, buat anggaran kos dengan teliti sebelum memulakan perniagaan ini.
Cara untuk bermula: Semak senarai kenderaan yang layak di Grab Malaysia untuk mengetahui sama ada kereta anda memenuhi syarat.
Potensi pulangan: Pendapatan daripada sewaan kereta bergantung pada kadar sewaan, kos penyelenggaraan serta permintaan di kawasan anda.
24. Iklan pada kenderaan
Jika anda ingin menjana pendapatan daripada kenderaan yang dimiliki, pertimbangkan untuk memasang iklan pada kenderaan tersebut. Syarikat pengiklanan akan membayar anda untuk memaparkan iklan pada kenderaan supaya dapat dilihat oleh orang ramai semasa anda memandu di sekitar bandar. Setelah iklan dipasang, anda hanya perlu memandu seperti biasa sambil menjana pendapatan daripada aktiviti harian.
Cara untuk bermula: Daftar di platform pengiklanan kenderaan seperti Rodeo atau carching, kemudian tunggu tawaran yang sepadan dengan kawasan dan corak pemanduan anda.
Potensi pulangan: Pendapatan bergantung pada jarak pemanduan serta keluasan ruang iklan yang dipasang pada kereta. Sesetengah platform menawarkan ganjaran bulanan berdasarkan kempen pengiklanan dan tahap penyertaan pemandu.
25. Sewaan ruang letak kereta
Menyewakan ruang letak kereta yang tidak digunakan boleh menjana pendapatan pasif dengan usaha yang minimum. Dengan mengiklankan ruang letak kereta melalui platform perkongsian ruang letak kereta atau platform iklan tempatan, anda boleh menjana pendapatan daripada ruang yang tidak digunakan.
Penyewa yang mencari ruang letak kereta di lokasi yang strategik sanggup membayar yuran sewaan. Ini membolehkan anda menjana pendapatan secara berterusan tanpa memerlukan banyak usaha atau kos penyelenggaraan.
Cara untuk bermula: Terokai platform seperti ParkIt dan pasaran ruang letak kereta lain, atau iklankan ruang letak kereta melalui pasaran tempatan seperti Mudah.my
Potensi pulangan: Pendapatan daripada sewaan ruang letak kereta bergantung pada lokasi, kadar sewaan dan permintaan di kawasan anda.
Idea pendapatan pasif melalui pemasaran
Jika anda mempunyai kemahiran dalam penjenamaan, jualan atau penghasilan kandungan, anda boleh mempertimbangkan untuk memulakan kerja sampingan melalui salah satu idea pendapatan pasif berasaskan pemasaran berikut.
26. Perniagaan dropship
Perniagaan dropship ialah salah satu cara untuk menjana pendapatan pasif, walaupun anda bermula dengan modal yang kecil.
Dalam perniagaan dropship, anda membina kedai dalam talian untuk mempamerkan dan menjual produk kepada pelanggan. Apabila anda menerima pesanan, anda hanya perlu menghantar pesanan tersebut kepada pembekal dropship yang akan menghantar produk terus kepada pelanggan.
Potensi pendapatan pasif melalui dropship terhasil daripada kerjasama antara penjual dan pembekal. Pembekal dropship akan menguruskan proses pembuatan, pembungkusan serta penghantaran pesanan. Setelah kedai dalam talian mula beroperasi, hanya sedikit pengurusan harian diperlukan.
Cara untuk bermula: Gunakan Shopify untuk memulakan perniagaan dropship dan menjual produk melalui kedai dalam talian anda.
Potensi pulangan: Menurut tinjauan oleh ZipRecruiter, purata pendapatan peniaga dropship ialah sekitar $41,000 setahun. Perbincangan dalam kalangan pengguna Reddit turut menunjukkan bahawa pendapatan daripada perniagaan dropship boleh berubah dari bulan ke bulan mengikut trend pembelian pengguna.
27. Cetak atas permintaan
Jika anda seorang artis, pereka atau usahawan, cetak atas permintaan ialah cara yang sesuai untuk menjana pendapatan daripada hasil kreativiti. Model pendapatan pasif ini membolehkan anda menyesuaikan produk label putih seperti kemeja-T, poster dan beg galas, kemudian menjual produk tersebut mengikut pesanan pelanggan.
Sama seperti perniagaan dropship, penyedia perkhidmatan pihak ketiga akan menguruskan proses pengeluaran dan penghantaran. Anda hanya perlu membayar kos produk selepas menerima pesanan daripada pelanggan.
Raven Gibson, pengasas jenama fesyen Legendary Rootz, menggunakan perkhidmatan cetak atas permintaan untuk menguji idea produk baharu tanpa menanggung risiko inventori.
"Margin keuntungan anda mungkin lebih rendah, tetapi kos operasi boleh menjadi sifar atau hampir sifar," jelas beliau dalam Shopify Masters.
Model e-dagang ini membolehkan beliau menghasilkan sampel produk, mendapatkan kelulusan, kemudian menawarkan produk kepada pelanggan tanpa perlu menanggung risiko pengeluaran secara pukal.
Cara untuk bermula: Pilih syarikat cetak atas permintaan dan mula menghasilkan reka bentuk untuk disesuaikan pada produk pilihan anda.
Potensi pulangan: Penjual cetak atas permintaan yang berjaya berpotensi memperoleh antara $1,500 hingga $10,000 sebulan, menurut syarikat cetak atas permintaan popular Gelato.
28. Pempengaruh media sosial
Untuk menjadi pempengaruh media sosial, iaitu individu yang mampu mempengaruhi keputusan pembelian orang lain, anda perlu membina komuniti yang berkongsi minat terhadap topik tertentu.
Membina khalayak memerlukan usaha yang besar pada peringkat awal. Ini termasuk menghasilkan kandungan secara konsisten, berinteraksi dengan pengikut, mengikuti perubahan algoritma platform serta membalas komen. Namun, apabila anda berjaya membina komuniti pengikut yang kukuh, anda boleh menjana pendapatan lebih pasif melalui pautan afiliasi, kerjasama kandungan tajaan yang berterusan serta jualan produk atau barangan jenama sendiri secara automatik.
Cara untuk bermula: Gunakan UpPromote untuk mencari jenama yang sepadan dengan kandungan anda, kemudian jalinkan kerjasama sebagai rakan afiliasi bagi memperoleh komisen daripada setiap jualan yang berjaya.
Potensi pulangan: Secara umum, pempengaruh media sosial dianggarkan memperoleh sekitar $100 bagi setiap 10,000 orang pengikut. Walau bagaimanapun, jumlah pendapatan bergantung pada platform, jenis kandungan, kadar penglibatan serta faktor lain.
29. Pemasaran afiliasi
Pemasaran afiliasi ialah model pendapatan pasif yang melibatkan promosi produk atau perkhidmatan kepada khalayak. Anda akan memperoleh komisen setiap kali seseorang menggunakan pautan rujukan untuk membeli produk atau perkhidmatan yang anda promosikan. Kaedah ini memudahkan anda menjana pendapatan pasif.
Usahawan dalam talian memilih pemasaran afiliasi atas beberapa sebab utama:
- Mudah dilaksanakan. Anda hanya perlu memberi tumpuan kepada aktiviti pemasaran, manakala jenama rakan kongsi akan menguruskan pembangunan produk serta pemprosesan pesanan.
- Risiko yang rendah. Program afiliasi tidak mengenakan yuran penyertaan. Anda boleh mempromosikan produk sedia ada tanpa perlu mengeluarkan modal pada peringkat awal.
- Mudah dikembangkan. Anda boleh memperkenalkan lebih banyak produk kepada khalayak, manakala kandungan yang telah diterbitkan terus menjana komisen.
Pemasaran afiliasi boleh menjadi cara yang menguntungkan untuk menambah sumber pendapatan pasif kepada perniagaan anda. Setelah meluangkan masa pada peringkat awal, anda boleh menikmati pendapatan secara berterusan.
Cara untuk bermula: Sertai program afiliasi Shopify atau cari program afiliasi lain yang sepadan dengan bidang kepakaran anda. Kemudian, rujuk panduan pemasaran afiliasi untuk pemula.
Potensi pulangan: Pendapatan pemasar afiliasi bergantung pada niche yang dipilih serta kadar komisen yang dipersetujui bersama rakan kongsi. Sebagai contoh, afiliasi Shopify boleh memperoleh sehingga $150 (kira-kira RM640) bagi setiap rujukan pelan harga penuh serta setiap rujukan Point of Sale Pro yang layak.
Idea pendapatan pasif untuk individu kreatif
Akhir sekali, pertimbangkan untuk memanfaatkan kemahiran kreatif anda bagi menjana pendapatan pasif melalui penulisan, pengekodan atau penghasilan kandungan digital.
- E-buku
- Kursus dalam talian
- Penulisan blog
- Reka bentuk digital
- Royalti
- Penceritaan buku audio
- Saluran YouTube
30. E-buku
Jika anda mempunyai kepakaran atau minat yang mendalam dalam sesuatu topik, menulis e-buku boleh menjana pendapatan pasif dalam jangka panjang. Selepas proses penulisan, penyuntingan dan pemformatan selesai, anda boleh menjual e-buku melalui laman web sendiri dan di kedai buku dalam talian. Pendapatan boleh terus dijana apabila lebih ramai pembaca memuat turun e-buku tersebut, tanpa memerlukan banyak usaha selepas diterbitkan.
Cara untuk bermula: Pilih topik yang anda mahir, hasilkan e-buku, kemudian terbitkan secara dalam talian untuk dipasarkan kepada bakal pembaca.
Potensi pulangan: Menurut perkongsian seorang wartawan majalah Vice, beliau berjaya menjana beberapa dolar sehari selepas menerbitkan sebuah e-buku.
31. Kursus dalam talian
Kini, semakin mudah bagi pendidik menghasilkan kursus dalam talian. Sama ada dalam bidang pemasaran, ilustrasi atau keusahawanan, anda boleh menghasilkan kursus yang dirakam lebih awal untuk dijual kepada pelanggan tanpa banyak halangan. Memandangkan kursus dalam talian tidak memerlukan inventori atau stok fizikal, anda boleh menjual kursus yang sama berulang kali bagi menjana pendapatan pasif.
Menghasilkan kursus dalam talian memerlukan pelaburan masa pada peringkat awal. Anda perlu merancang kandungan kursus, merakam video serta menyediakan bahan yang boleh dimuat turun, seperti templat, bagi membantu pelajar mengikuti pembelajaran.
Menghasilkan kursus hanyalah langkah pertama. Pencipta kursus yang berjaya biasanya turut meluangkan banyak masa untuk memasarkan kursus. Ramai daripada mereka menganggap pemasaran sebagai usaha yang dijalankan secara berterusan bagi membantu menjana jualan kursus secara lebih pasif. Membina senarai e-mel, menganjurkan webinar, mengukuhkan kehadiran di media sosial serta menjalinkan kerjasama strategik adalah antara kaedah yang sering digunakan untuk menarik lebih ramai pelajar.
Cara untuk bermula: Hasilkan kursus mini yang mengandungi beberapa jam kandungan bagi menguji permintaan terhadap topik yang diajar. Kemudian, terokai platform kursus dalam talian seperti OpenLearning atau Courses Plus.
Potensi pulangan: Pendapatan daripada menjual kursus dalam talian bergantung pada topik, harga kursus serta strategi pemasaran yang digunakan. Ramai pencipta kursus turut meningkatkan pendapatan dengan menawarkan gabungan kursus, sesi bimbingan dan produk digital.
32. Penulisan blog
Memulakan penulisan blog mungkin mencabar, namun blog telah terbukti menjadi salah satu sumber pendapatan pasif yang berdaya tahan sejak sekian lama.
Membina blog yang berjaya memerlukan masa. Namun, jika anda menghasilkan kandungan berkualiti dan mempromosikan kandungan tersebut melalui media sosial serta e-mel, anda boleh membina khalayak yang cukup besar untuk menjana pendapatan yang lumayan.
Kebanyakan penulis blog yang berjaya bergantung pada pengoptimuman enjin carian (SEO) untuk menarik pelawat tanpa pengiklanan berbayar. Membina trafik organik melalui SEO juga memerlukan masa. Proses ini boleh mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk membina koleksi kandungan yang mendapat kedudukan baik dalam hasil carian. Walau bagaimanapun, inilah asas kepada pendapatan pasif yang mampan melalui blog.
Anda boleh menjana pendapatan pasif daripada penulisan blog dengan:
- Mempromosikan produk afiliasi
- Menghasilkan kandungan tajaan
- Menjual produk
- Menyiarkan iklan melalui Google AdSense
Anda tidak memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi untuk memulakan blog jika menggunakan sistem pengurusan kandungan. Setelah blog mula beroperasi, anda juga boleh menyertai program afiliasi yang berkaitan untuk menambah pautan afiliasi pada kandungan blog bagi menjana pendapatan.
Cara untuk bermula: Membina trafik ialah kunci utama. Semakin ramai pelawat yang mengunjungi blog anda, semakin besar potensi untuk menjana pendapatan pasif. Pelajari cara meningkatkan trafik ke blog dengan 30 strategi yang terbukti berkesan, termasuk SEO, media sosial dan pemasaran kandungan.
Potensi pulangan: Blog yang telah kukuh berpotensi menjana pendapatan melebihi $30,000 sebulan.
33. Reka bentuk digital
Pasaran reka bentuk seperti 99designs, ThemeForest atau Creative Market menawarkan peluang untuk menjana pendapatan pasif dengan menjual reka bentuk digital secara dalam talian. Sama ada anda menggunakan pembina laman web untuk menghasilkan tema laman web, logo, bahan penjenamaan, templat, ilustrasi atau fon, platform ini mempunyai pasaran sedia ada yang sentiasa mencari sumber reka bentuk.
Untuk mula menjual hasil reka bentuk di Creative Market, anda perlu menghantar permohonan dan menunggu kelulusan. Setelah diluluskan, anda akan mempunyai kedai sendiri untuk menjual hasil reka bentuk berjenama.
Cara untuk bermula: Jika anda bukan pakar reka bentuk grafik, cuba mulakan dengan alat reka bentuk intuitif seperti Canva.
Potensi pulangan: Penjual terkemuka di pasaran seperti Creative Market dilaporkan menjana pendapatan enam angka setahun melalui jualan aset digital.
34. Royalti
Pencipta masih relevan pada masa kini. Anda boleh menjana pendapatan pasif melalui hasil ciptaan yang unik. Walaupun kurang diperkatakan, kaedah ini tetap merupakan salah satu cara untuk menjana pendapatan pasif.
Langkah pertama merupakan antara cabaran terbesar. Anda perlu memastikan ciptaan yang dihasilkan benar-benar bermanfaat, bernilai komersial serta mampu menyelesaikan masalah.
Jika anda ingin menjual ciptaan secara terus, laman seperti Invention City boleh membantu anda bermula. Bergantung pada perjanjian yang dipersetujui, anda boleh menerima royalti atau bayaran berdasarkan pendapatan yang dijana daripada ciptaan tersebut selepas dipasarkan.
Cara untuk bermula: Mulakan dengan menyemak pangkalan data paten melalui MyIPO bagi memastikan idea anda belum pernah dipatenkan.
Potensi pulangan: Kadar bayaran royalti bergantung pada jenis harta intelek serta terma perjanjian yang dipersetujui. Bagi tanda dagangan dan paten, kadar bayaran royalti biasanya lebih rendah.
35. Penceritaan buku audio
Buku audio perlu dibaca dan dirakam oleh seseorang. Anda juga berpeluang menjadi pencerita buku audio. Sebaik sahaja anda menceburi industri ini, anda berpeluang menjana pendapatan pasif melalui royalti, iaitu kaedah bayaran yang biasa diterima oleh kebanyakan pencerita buku audio.
Untuk berjaya menjana pendapatan daripada buku audio, terdapat beberapa kemahiran yang perlu anda kuasai terlebih dahulu, termasuk:
- Menghadiri uji bakat
- Menguasai teknik penceritaan yang betul
- Memilih niche yang ingin diceburi
- Mempelajari kemahiran penyuntingan audio asas
Cara untuk bermula: Platform buku audio memudahkan anda mendapatkan tugasan pertama. Terokai laman seperti ACX untuk mengetahui perkara yang diperlukan bagi memulakan kerjaya dalam industri ini. Anda juga boleh mengetahui lebih lanjut tentang cara menjadi pencerita buku audio di platform seperti Audible.
Potensi pulangan: Pencerita buku audio di Audible dilaporkan memperoleh antara $10 hingga $500 bagi setiap jam rakaman yang disiapkan, bergantung pada tahap pengalaman.
36. Saluran YouTube
Belum terlambat untuk memulakan saluran YouTube. Sebanyak 2.7 bilion orang di seluruh dunia menggunakan YouTube setiap bulan. Ini membuka peluang kepada anda untuk menjangkau khalayak yang besar dan menjana pendapatan pasif. Namun begitu, anda perlu melaburkan banyak masa dan usaha pada peringkat awal, walaupun pulangan pada peringkat awal mungkin sedikit atau tiada.
Jika anda berfikiran jauh dan sanggup melaburkan usaha pada peringkat awal, saluran YouTube yang berjaya berpotensi menjana pendapatan yang tinggi. Jualan afiliasi, tajaan, kerjasama dengan jenama, serta jualan barangan boleh terus menjana pendapatan apabila kandungan, klik dan tontonan semakin bertambah. Anda juga boleh mengembangkan kandungan dengan memulakan podcast dan memperoleh lebih banyak pendapatan melalui tajaan.
Zack Honarvar, pengasas agensi pencipta digital One Day Entertainment, mengesyorkan model cetak atas permintaan untuk YouTuber yang ingin menjana pendapatan pasif. Model ini membolehkan pencipta menjana pendapatan daripada lonjakan trafik tanpa perlu menanggung beban inventori ketika trafik menurun.
"Pencipta menerbitkan video, memperoleh sejuta tontonan dalam tempoh 24 jam dengan trafik yang tinggi, kemudian tidak menjual apa-apa lagi selama satu atau dua minggu," jelas beliau dalam Shopify Masters.
Cara untuk bermula: Semasa menghasilkan video pertama, pelajari cara mengoptimumkan kandungan supaya anda dapat menjana pendapatan melalui YouTube.
Potensi pulangan: Pencipta YouTube memperoleh pendapatan daripada iklan yang dipaparkan pada video mereka. Secara purata, setiap tontonan iklan dianggarkan menjana antara $0.01 hingga $0.03, namun video yang menerima penglibatan lebih tinggi berpotensi memperoleh bayaran yang lebih tinggi.
Cara memilih idea pendapatan pasif
Memilih aliran pendapatan pasif yang sesuai dengan gaya hidup dan kemahiran dapat meningkatkan peluang anda untuk berjaya. Gunakan panduan berikut untuk menilai jumlah masa, wang dan usaha yang sanggup dilaburkan, serta potensi pulangan yang boleh diperoleh.
- Nilai kemahiran anda. Kenal pasti kemahiran dan minat yang anda miliki secara objektif. Contohnya, jika anda mahir dalam bidang fotografi, menjual foto stok secara dalam talian boleh menjadi cara yang sesuai untuk menjana pendapatan daripada kemahiran tersebut.
- Nilai sumber yang anda miliki. Semakin banyak aset yang boleh dilaburkan, semakin mudah untuk membina aliran pendapatan yang lebih pasif. Jika anda tidak mempunyai modal, manfaatkan kemahiran dan masa untuk membina modal sebelum mengembangkan aliran pendapatan.
- Tetapkan matlamat kewangan yang ingin dicapai. Matlamat tersebut mungkin sekadar untuk menampung perbelanjaan hobi atau menggantikan pendapatan daripada pekerjaan sepenuh masa. Matlamat kewangan yang ditetapkan akan mempengaruhi pilihan aliran pendapatan pasif yang sesuai untuk anda.
- Pertimbangkan komitmen masa. Sesetengah idea pendapatan pasif memerlukan lebih banyak masa untuk dimulakan, seperti membina saluran YouTube. Sebaliknya, pilihan seperti akaun simpanan berfaedah tinggi boleh dimulakan dalam beberapa minit.
- Mulakan secara kecil-kecilan. Jangan tergesa-gesa mencuba terlalu banyak idea pendapatan pasif serentak. Mulakan dengan satu idea terlebih dahulu, kemudian terokai aliran pendapatan lain apabila anda mula memperoleh hasil.
- Pantau dan buat penambahbaikan. Selepas aliran pendapatan pasif mula menjana hasil, pantau prestasi secara berkala. Gunakan data yang diperoleh untuk menambah baik strategi sedia ada atau menumpukan usaha kepada pilihan yang menawarkan potensi pulangan yang lebih tinggi.
Idea pendapatan pasif tanpa modal
Sesuai untuk pemula, idea pendapatan pasif berikut memanfaatkan kemahiran sedia ada dan masa lapang untuk membantu anda menjana pendapatan dengan sedikit atau tanpa kos permulaan:
- Perniagaan dropship: Jual produk dalam talian tanpa perlu menguruskan inventori atau penghantaran.
- Cetak atas permintaan: Jual produk tersuai yang hanya dicetak selepas menerima pesanan.
- Produk digital: Jual produk yang boleh dimuat turun seperti e-buku, muzik atau perisian.
- Reka bentuk digital: Jual reka bentuk grafik, tema laman web atau templat.
- Kursus dalam talian: Bangunkan kursus serta bahan pembelajaran untuk dijual.
- Penulisan blog: Jana pendapatan melalui iklan, pemasaran afiliasi dan kandungan tajaan.
- Pemasaran afiliasi: Peroleh komisen dengan mempromosikan produk melalui laman web atau media sosial.
- Foto stok: Jual foto kepada platform foto stok.
- Pempengaruh media sosial: Jana pendapatan dengan bekerjasama dengan jenama melalui media sosial.
- Pembangun papan kerja: Bangunkan papan kerja khusus dan kenakan bayaran kepada majikan untuk menyiarkan iklan jawatan.
- Pembangun aplikasi mudah alih: Bangunkan aplikasi mudah alih dan jana pendapatan melalui iklan atau pembelian dalam aplikasi.
- Royalti: Peroleh bayaran berterusan melalui pelesenan harta intelek.
- Penceritaan buku audio: Tawarkan perkhidmatan alih suara untuk buku audio.
- Templat hamparan: Reka bentuk dan jual templat hamparan yang boleh disesuaikan.
💡Ketahui lebih lanjut tentang cara memulakan perniagaan tanpa modal.
Idea pendapatan pasif yang memerlukan modal
Idea pendapatan pasif berikut memerlukan modal pada peringkat awal, namun berpotensi memberikan pulangan yang lebih tinggi.
Pilihan ini sesuai untuk mereka yang bersedia menggunakan modal bagi membina aliran pendapatan pasif:
- Hartanah sewaan: Beli hartanah untuk disewakan bagi menjana pendapatan bulanan.
- Pelaburan pasaran saham: Melabur dalam saham, bon atau dana amanah untuk memperoleh dividen serta potensi keuntungan modal.
- Sewaan bilik kosong: Sewakan bilik atau ruang tambahan di rumah.
- Sewaan kereta: Sewakan kenderaan kepada penyewa.
- Pinjaman antara rakan setara (P2P): Pinjamkan wang kepada individu atau perniagaan kecil untuk memperoleh faedah.
- Jual beli laman web: Beli dan jual laman web sedia ada.
- Saluran YouTube: Hasilkan kandungan video yang menjana pendapatan melalui iklan.
- Pelaburan REIT: Melabur dalam amanah pelaburan hartanah (REIT) untuk memperoleh dividen.
- Pelaburan syarikat pemula: Melabur dalam syarikat pemula bersama pelabur lain.
- Sewaan ruang yang tidak digunakan: Sewakan ruang yang tidak digunakan di hartanah anda.
- Mesin layan diri: Beli dan uruskan mesin layan diri.
- Akaun simpanan berfaedah tinggi: Simpan dana dalam akaun simpanan berfaedah tinggi untuk memperoleh faedah.
- Sewaan ruang letak kereta: Miliki dan sewakan ruang letak kereta di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.
Cari idea pendapatan pasif yang sesuai untuk anda
Masa dalam sehari sememangnya terhad. Oleh itu, mencari cara untuk menjana pendapatan dengan lebih cekap dapat memberikan anda lebih fleksibiliti dalam mengurus kewangan peribadi. Sama ada untuk bercuti, membeli barangan yang diidamkan atau mencapai matlamat lain, mempunyai beberapa aliran pendapatan pasif daripada sumber yang berbeza boleh memberikan anda lebih kebebasan dalam mengurus kewangan.
Daripada penjual kali pertama hingga peruncit global, Shopify sesuai untuk semua. Lihat pelan dan harga.
Soalan lazim tentang pendapatan pasif
Apakah implikasi cukai bagi pendapatan pasif?
Pendapatan pasif mungkin tertakluk kepada cukai bergantung pada jenis pendapatan dan peraturan cukai yang berkuat kuasa di Malaysia.
Antara perkara yang perlu dipertimbangkan termasuk:
- Sesetengah jenis pendapatan pelaburan mungkin dikenakan kadar atau layanan cukai yang berbeza, bergantung pada peraturan cukai yang berkuat kuasa.
- Perbelanjaan tertentu yang berkaitan dengan penjanaan pendapatan mungkin layak dituntut sebagai potongan cukai, bergantung pada jenis pendapatan dan peraturan cukai yang berkuat kuasa.
- Sesetengah pendapatan daripada aktiviti perniagaan mungkin layak mendapat potongan atau insentif cukai, tertakluk pada syarat yang ditetapkan oleh LHDN.
- Pendapatan royalti biasanya tertakluk kepada cukai mengikut peraturan cukai yang berkuat kuasa di Malaysia.
Peraturan cukai bagi pendapatan pasif boleh menjadi rumit dan berbeza mengikut jumlah pendapatan, jenis pendapatan pasif serta tahap penglibatan anda dalam aktiviti yang menjana pendapatan. Jika perlu, dapatkan nasihat daripada akauntan atau perunding cukai bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan LHDN serta jumlah cukai yang dibayar adalah tepat.
Sumber pendapatan pasif manakah yang terbaik?
Sumber pendapatan pasif yang terbaik bergantung pada jumlah masa dan modal yang sanggup anda laburkan. Jika modal anda terhad, menghasilkan kandungan pemasaran afiliasi atau menjalankan kedai dalam talian merupakan pilihan yang sesuai kerana memerlukan sedikit atau tanpa kos permulaan. Jika anda mempunyai modal untuk dilaburkan, hartanah sewaan atau saham dividen mungkin lebih sesuai kerana kedua-duanya berpotensi memberikan pulangan yang lebih tinggi.
Berapa banyakkah aliran pendapatan yang perlu anda miliki?
Mempunyai beberapa aliran pendapatan boleh membantu meningkatkan kestabilan kewangan. Bermula dengan satu atau dua sumber pendapatan pasif merupakan langkah yang sesuai. Apabila anda semakin yakin, anda boleh mempertimbangkan untuk menambah aliran pendapatan pasif yang lain.
Bagaimanakah saya boleh menjana RM1,000 sebulan melalui pendapatan pasif?
Untuk menjana RM1,000 sebulan melalui pendapatan pasif, anda disarankan mempelbagaikan sumber pendapatan. Anda boleh melabur dalam saham dividen, platform pinjaman antara rakan setara (P2P) atau hartanah sewaan. Pelaburan ini berpotensi menjana pendapatan secara berkala tanpa memerlukan penglibatan aktif.
Bagaimanakah saya boleh menjana RM2,000 sebulan melalui pendapatan pasif?
Untuk menjana RM2,000 sebulan melalui pendapatan pasif, bangunkan aset sendiri yang menjana pendapatan, seperti perniagaan dropship atau saluran YouTube. Pendekatan ini memberi anda lebih kawalan terhadap pendapatan yang dijana.
Apakah bentuk pendapatan pasif yang paling mudah?
Melabur dalam dana indeks atau saham dividen merupakan antara cara paling mudah untuk menjana pendapatan pasif. Pilihan ini memerlukan pengurusan yang minimum dan anda boleh bermula dengan modal yang kecil sambil menikmati manfaat faedah kompaun dalam jangka panjang.
Bagaimanakah saya boleh menjana pendapatan pasif tanpa modal?
Untuk menjana pendapatan pasif tanpa modal, anda boleh mempertimbangkan pemasaran afiliasi. Anda boleh memulakan pemasaran afiliasi tanpa mengeluarkan modal dengan mempromosikan produk melalui platform percuma seperti media sosial, blog percuma atau komuniti dalam talian. Selain itu, anda juga boleh memanfaatkan kemahiran atau pengetahuan dengan menghasilkan produk digital seperti e-buku atau kursus dalam talian, kemudian menjual produk tersebut melalui platform penerbitan sendiri. Setelah diterbitkan, produk tersebut berpotensi terus menjana pendapatan dengan sedikit usaha berterusan.

