Memulakan perniagaan dalam talian ialah satu pengalaman baharu yang boleh mengubah hidup anda. Walaupun perniagaan dalam talian mempunyai cabaran tersendiri, peluang yang terbuka juga amat luas. Ingat, setiap perniagaan dalam talian yang berjaya bermula dengan satu idea.
Jika anda sedang menunggu masa yang sesuai untuk bermula, data semasa menunjukkan bahawa kini masa yang sesuai. Jualan dalam talian global terus meningkat dari tahun ke tahun, didorong oleh perubahan tabiat pengguna yang semakin selesa membeli-belah secara digital.
Idea perniagaan dalam talian yang baik ialah idea yang anda minati, di samping memenuhi keperluan sebenar pasaran. Cari idea yang sudah mempunyai asas pelanggan sedia ada serta potensi untuk berkembang. Fikirkan masalah yang boleh anda selesaikan atau minat yang boleh anda kongsikan.
Berikut ialah 25 idea dan model perniagaan dalam talian yang direka untuk usahawan baharu mahupun yang berpengalaman. Lihat idea yang paling mencetuskan inspirasi anda, kemudian gunakan idea tersebut untuk memulakan perniagaan dalam talian anda sendiri.
Idea perniagaan dalam talian terbaik untuk 2026
- Bina jenama pakaian sendiri
- Mulakan perniagaan dropship
- Jual karya seni dalam talian
- Jadi penulis, pereka atau pembangun bebas
- Ajar kursus dalam talian
- Jual semula barangan terpakai
- Terbitkan buku sendiri
- Mulakan blog atau surat berita
- Jadi pembantu maya
- Jadi pencipta kandungan (pempengaruh)
- Bina aplikasi dan laman web
- Terbitkan podcast
- Jadi pemasar afiliasi
- Bangunkan perniagaan kotak langganan
- Bangunkan produk niche
- Cipta barangan buatan tangan
- Jadi pengurus media sosial
- Jual barangan di platform e-dagang
- Jadi penterjemah
- Mulakan firma perakaunan atau simpan kira
- Jadi jurulatih kecergasan dalam talian
- Jual muzik
- Mulakan perniagaan bimbingan dalam talian
- Buat kerja alih suara
- Jadi perunding iklan
1. Bina jenama pakaian sendiri
Jika anda berminat dalam fesyen dan bersedia mengurus rantaian bekalan, anda boleh memulakan perniagaan pakaian sendiri. Uprisers, jenama gaya hidup yang diasaskan oleh wanita, menunjukkan cara pakaian boleh menjadi medium untuk memberi impak. Pengasasnya, Michelle K. Hanabusa, menjalankan tinjauan komuniti setiap tahun untuk mendapatkan maklum balas tentang perkara yang perlu diperbaiki.
"Kami benar-benar mengambil berat tentang maklum balas itu dan cuba berkembang bersama komuniti kami. Kami sentiasa berpegang pada prinsip bahawa walaupun kami jenama pakaian, kami juga berkhidmat untuk komuniti kami," jelas Michelle dalam episod Shopify Masters baru-baru ini.
Mengapa mulakan jenama pakaian?
- Sebagai pereka pakaian, anda mencipta produk yang digunakan orang setiap hari.
- Sebaik sahaja anda membangunkan kedai Shopify, anda boleh mula menjual dengan segera melalui aplikasi cetak atas permintaan.
Cari perkhidmatan cetak atas permintaan yang popular seperti Printful di Shopify App Store, kemudian fokus pada pakaian pilihan anda seperti kemeja-T. Aplikasi cetak atas permintaan boleh menghubungkan anda dengan pengeluar pakaian serta mengurus pembungkusan dan penghantaran kepada pelanggan.
2. Mulakan perniagaan dropship
Pernah terfikir yang anda perlukan gudang penuh inventori untuk menjalankan perniagaan sendiri? Fikir semula. Perniagaan dropship ialah cara terbaik untuk memulakan perniagaan dengan bajet terhad. Anda boleh terus menjual produk daripada pembekal yang mengurus penyimpanan dan penghantaran.
Dengan Shopify, mudah untuk memulakan perniagaan dropship tanpa perlu pening mengurus inventori dan pemenuhan pesanan. Pemborong dropship menghantar pesanan terus kepada pelanggan anda, jadi anda boleh fokus membina jenama. Kedai yang menggunakan Shopify Collective untuk mencari produk dropship boleh memperoleh margin keuntungan bermula serendah 20%. Hal ini bermakna jika anda menjual produk bernilai RM100, anda berjaya mendapatkan RM20.
"Sebab anda memulakan syarikat dropship adalah kerana anda tidak mempunyai modal awal yang besar. Jadi, anda perlu belajar sendiri perkara yang diperlukan dan bukannya mengupah orang lain untuk melakukannya," kata Selom Agbitor, pengasas bersama Mad Rabbit, merujuk kepada usaha perniagaan terdahulunya.
Mengapa pilih perniagaan dropship?
- Tidak perlu berbelanja untuk inventori atau menyimpan produk di lokasi fizikal.
- Pemilihan, pembungkusan dan penghantaran diuruskan oleh pembekal pihak ketiga.
- Tanpa gudang, anda boleh menjalankan perniagaan dari mana-mana sahaja.
Ketahui kisah seorang usahawan yang bermula daripada menonton video dropship di YouTube sehingga berjaya menjana pendapatan $3 juta (sekitar RM12.42 juta).
3. Jual karya seni dalam talian
Sama ada anda pelukis, jurugambar atau pemuzik, anda boleh menjadikan karya terkini anda sebagai sumber pendapatan melalui laman e-dagang yang direka dengan menarik.
Pendapatan berbeza-beza. Data daripada Starter Story menunjukkan purata pendapatan artis yang berjaya ialah $26,000 (sekitar RM107,640) sebulan, dengan margin keuntungan sehingga 50% untuk perniagaan seni.
Anda boleh menjual pelbagai jenis karya seni dalam talian. Botanica Paper Co. ialah jenama alat tulis yang dimulakan oleh ilustrator dan pereka Oana Befort. Beroperasi dari Council Bluffs, Iowa (dan menjual ke seluruh dunia secara dalam talian), Oana menjual kad ucapan, jurnal, kalendar dan banyak lagi.

Jika anda pelukis atau jurugambar, anda boleh menjual karya seni sebagai cetakan, kanvas dan poster berbingkai, selain menggunakan perkhidmatan cetak atas permintaan untuk menghantar terus kepada pelanggan. Anda boleh menjadikan karya seni sesuatu yang boleh dibawa pulang dan menghiasi ruang kediaman pelanggan. Anda juga boleh menjual karya anda sebagai muat turun digital.
Mengapa jual karya seni?
- Anda menjadi sebahagian daripada kehidupan orang lain apabila karya anda menghiasi rumah pelanggan.
- Anda mencipta platform untuk mempamerkan karya melalui kedai dalam talian.
- Peluang untuk menjadikan minat sebagai sumber pendapatan dan melakukan perkara yang anda suka untuk menyara kehidupan.
Perlukan inspirasi? Ketahui cara artis Sarah Andersen beralih daripada komik tular kepada francais kreatif.
4. Jadi penulis, pereka atau pembangun bebas
Jika anda penulis, pereka grafik atau pembangun, anda boleh memanfaatkan kemahiran sedia ada untuk memulakan perniagaan berkos rendah. Sebagai pekerja bebas, anda boleh bekerja dengan pelbagai syarikat dan mengambil projek pelbagai skala.
Untuk mencari syarikat yang memerlukan kemahiran anda, cuba pasaran kerja bebas seperti Upwork dan Fiverr. Di Upwork, contohnya, pembangun perisian mengenakan bayaran antara $20 hingga $150 sejam (sekitar RM83 hingga RM621 sejam), manakala pembangun berpengalaman boleh memperoleh pendapatan lebih tinggi.

Untuk mengurus operasi kerja bebas, sediakan laman web menggunakan aplikasi tempahan janji temu yang tersedia di Shopify App Store supaya pelanggan boleh membuat tempahan atau menjadualkan temu janji. Anda juga boleh membina laman web portfolio di Shopify dengan pelan Basic bermula pada $29 sebulan (sekitar RM120 sebulan) yang dibilkan secara tahunan.
Mengapa kerja bebas?
- Apabila bekerja secara bebas, anda memilih projek yang ingin diusahakan serta menetapkan jadual dan tempat kerja sendiri.
- Dibayar untuk melakukan sesuatu yang anda mahir memberikan satu kepuasan sama ada sebagai kerjaya baharu atau kerja sampingan.
- Jika anda baharu dalam penulisan, reka bentuk atau pembangunan, kerja bebas boleh membantu membina portfolio dan memperoleh pengalaman daripada pelbagai industri. Anda mungkin menemukan kemahiran atau minat yang tidak dijangka.
Jika kerja bebas kedengaran seperti idea perniagaan dalam talian yang sesuai dengan gaya hidup anda, berikut beberapa artikel yang boleh membantu anda memanfaatkan masa dengan lebih baik:
- 21 Cara Bekerja dari Rumah (+ 9 Tip Produktiviti)
- Apa Itu Perniagaan Gaya Hidup dan Cara Memulakan Perniagaan Ini
- 24 Aplikasi Produktiviti Terbaik
5. Ajar kursus dalam talian
Walaupun memerlukan usaha pada peringkat awal, mencipta siri tutorial video yang bernilai tinggi merupakan satu idea perniagaan dalam talian yang boleh menjana pendapatan pasif apabila orang terus mendaftar kursus anda. Kursus kejuruteraan prompt AI adalah antara yang paling popular, meningkat 195% pada 2025 menurut Coursera. Namun begitu, anda boleh mengajar apa-apa sahaja subjek yang anda kuasai.
Untuk mencipta kursus dalam talian pertama, mulakan dengan memilih topik yang anda cukup mahir untuk ajar dari asas. Topik ini boleh merangkumi pengeluaran muzik, pemasaran media sosial, pembangunan web dan pelbagai lagi.
Pendapatan yang diperoleh berbeza-beza mengikut jenis kursus, permintaan pasaran, dan platform. Berikut ialah beberapa platform kursus dalam talian yang popular:
- Udemy. Platform ini menggunakan model perkongsian hasil. Pencipta kursus menerima 37% daripada jualan di platform dan sehingga 97% untuk jualan langsung melalui pautan rujukan atau kupon pengajar.
- OpenLearning. Platform pembelajaran dalam talian yang turut digunakan oleh institusi pendidikan dan organisasi di Malaysia untuk menawarkan kursus kepada pelajar dan peserta.
- e-LATiH. Platform pembelajaran dalam talian yang dibangunkan oleh kerajaan Malaysia untuk menyediakan pelbagai kursus peningkatan kemahiran secara digital.
- Teachable. Pelan Starter berharga $29 sebulan (sekitar RM120) untuk langganan tahunan dan yuran transaksi 7.5% bagi setiap jualan.
- Thinkific. Pelan Basic bermula pada $36 sebulan (sekitar RM149), dibayar secara tahunan.
- Kajabi. Pelan bermula pada $71 sebulan (sekitar RM294) dan merangkumi alat pemasaran serta jualan.
Mengapa ajar kursus dalam talian?
- Usaha awal anda boleh membuahkan hasil jangka panjang. Selepas kursus diterbitkan, anda boleh terus menjana pendapatan pasif sambil menarik pelajar baharu secara berterusan.
- Anda sudah mempunyai pengetahuan. Langkah seterusnya ialah berkongsi. Fokus pada topik yang anda kuasai sama ada membina aplikasi iOS, merancang bajet bulanan atau menjalankan kempen iklan Facebook.
- Mengajar kemahiran baharu bukan sahaja membuka peluang pendapatan, tetapi juga memberi kepuasan apabila anda membantu orang lain berkembang.
6. Jual semula barangan terpakai
Jika anda gemar singgah ke kedai barangan terpakai dan mencari tawaran menarik, menjual semula barangan terpakai secara dalam talian boleh menjadi satu idea perniagaan dalam talian yang menarik.
Pelanggan anda mungkin ingin membeli barangan unik, tetapi tidak mahu menyelongkar timbunan pakaian lama atau aksesori terpakai untuk mencarinya. Manfaatkan peluang ini dengan menjadi kurator yang dipercayai—individu yang mencari dan memilih barangan vintaj berkualiti untuk orang lain.
Anda boleh menjual barangan ini di platform popular seperti Mudah.my dan Carousel atau membina kedai dalam talian sendiri untuk menjual terus tanpa pihak ketiga mengambil sebahagian daripada jualan anda. Sebagai contoh, REFASH membina perniagaan fesyen terpakai di Malaysia dengan menjual pakaian daripada pelbagai jenama melalui kedai fizikal dan platform e-dagang. Di peringkat antarabangsa, Beyond Retro turut terkenal sebagai penjual barangan terpakai dan vintaj dalam talian yang mengendalikan kedai fizikal serta platform e-dagang sendiri.

Mengapa jual barangan terpakai?
- Manfaatkan minat anda terhadap kedai barangan terpakai untuk menjana pendapatan.
- Margin keuntungan boleh menjadi sangat tinggi. Contohnya, topi bola yang anda jumpa pada harga RM5 boleh dijual semula sebagai topi vintaj pada harga RM100 dengan pembeli yang tepat.
- Anda juga menawarkan sesuatu yang unik. Koleksi vintaj anda tidak akan ditemukan di tempat lain atau oleh penjual lain.
Pastikan produk anda menarik perhatian. Gunakan panduan ini untuk menghasilkan foto produk yang lebih profesional:
- Fotografi Produk Sempurna: Cipta Persediaan yang Ideal
- Cara Mengambil Fotografi Pakaian untuk Kedai Dalam Talian Anda
7. Terbitkan buku sendiri
Jika anda pernah terfikir untuk menerbitkan buku sendiri suatu hari nanti, anda tidak bersendirian. Dengan kemunculan penerbitan dalam talian, matlamat ini kini lebih mudah dicapai berbanding sebelum ini.
Tidak kira sama ada novel fiksyen sains, panduan pemasaran atau buku bergambar kanak-kanak, kini terdapat banyak pilihan untuk menerbitkan karya anda secara sendiri antaranya menerbitkan tulisan anda sebagai e-buku menggunakan aplikasi Digital Downloads atau melalui perkhidmatan cetakan atas permintaan.

Pendapatan juga boleh menjadi lumayan. Syarikat perkhidmatan penerbitan Reedsy menganggarkan bahawa purata kos penerbitan sendiri sebuah buku ialah antara $2,940 hingga $5,560 (sekitar RM12,180 hingga RM23,030). Alliance of Independent Authors meninjau lebih 2,000 penulis terbitan sendiri dan mendapati purata pendapatan penulis ialah $82,607 setahun (sekitar RM341,900 setahun). Di Malaysia, penulis yang ingin menerbitkan buku secara kendiri boleh menggunakan platform seperti Amazon Kindle Direct Publishing (KDP) atau Notion Press untuk menerbitkan dan mengedarkan karya kepada pembaca dalam talian.
Untuk menjual e-buku melalui kedai dalam talian, pasang aplikasi Digital Downloads dan anda boleh terus menyenaraikan fail digital sebagai produk. Selepas dibeli, e-buku akan dihantar kepada pelanggan melalui e-mel atau pautan muat turun terus.
Jika anda memilih untuk menjual salinan fizikal buku, anda hanya perlu membuat pesanan setiap kali buku terjual. Pihak penyedia akan mencetak buku secara tersuai serta mengurus penyimpanan dan proses pemenuhan.
Mengapa terbitkan buku?
- Penerbitan sendiri ialah cara terpantas untuk memasarkan buku anda kepada pembaca tanpa perlu melalui proses panjang menjual manuskrip kepada syarikat penerbitan.
- Pencetakan, penyimpanan dan penghantaran diuruskan oleh perkhidmatan seperti Blurb (platform penerbitan buku atas permintaan).
- Anda juga boleh menyenaraikan buku di pasaran seperti Amazon dan memanfaatkan asas pelanggan pembaca yang sedia ada.
🍜 Kisah kejayaan: Perjalanan seorang chef YouTube menjadi penulis buku
Usahawan bersiri dan chef vegan otodidak Wil Yeung membina perniagaan beliau melalui strategi kandungan di YouTube. Kini beliau menjual resipi dalam bentuk buku, e-buku dan kursus dalam talian.
8. Mulakan blog atau surat berita
Blog telah berkembang jauh sejak mula diperkenalkan. Dahulunya sekadar jurnal maya, blog kini menjadi alat pemasaran dan penjanaan pendapatan. Penulis kini boleh mengehos blog di laman web sendiri atau mencipta surat berita e-mel melalui platform seperti Substack.
Kos boleh mencecah sehingga $300 (sekitar RM1,240) pada tahun pertama, bergantung pada platform dan alat yang digunakan. Mengehos blog sendiri sedikit berbeza. Contohnya, nama domain biasanya berharga kira-kira $15 setahun (sekitar RM62), manakala tema boleh dikenakan bayaran sekali sekitar $50 (sekitar RM207) jika anda memilih tema premium.
Sebarang pemalam atau alat tambahan mempunyai yuran bulanan tersendiri. Pada peringkat awal, anda biasanya akan menulis kandungan blog sendiri, jadi tidak perlu membayar untuk penciptaan kandungan.
Sama ada anda menjana wang melalui langganan, siaran tajaan, iklan pihak ketiga atau penjualan produk, blog ialah idea perniagaan dalam talian yang boleh dijalankan dari rumah. Perbincangan di Reddit menunjukkan bahawa blogger boleh memperoleh sekitar $1,000 hingga $3,000 sebulan (sekitar RM4,140 hingga RM12,420) pada peringkat awal.
Kunci kejayaan sesebuah blog ialah membina audiens yang setia dan aktif. Apabila anda bermula dengan pendekatan yang mengutamakan audiens, anda akan membina komuniti yang mempercayai anda. Apabila kepercayaan terbina, peluang penjanaan pendapatan akan menyusul.
Begitulah cara Mr. Money Mustache memulakan blog kewangan peribadi yang popular. Sesuatu yang bermula sebagai perkongsian peribadi berkembang menjadi perniagaan berjaya yang mendapat liputan media nasional.

Mengapa mulakan blog?
- Blog mempunyai potensi pertumbuhan yang besar. Anda boleh berkembang kepada pemasaran afiliasi, e-dagang, kursus dan pelbagai usaha perniagaan dalam talian lain.
- Blog ialah pelaburan jangka panjang. Walaupun hasil tidak serta-merta, anda boleh membina asas pembaca yang setia.
- Blog membantu anda mengasah kemahiran menulis yang penting dalam perniagaan dan komunikasi. Gunakan alat seperti Grammarly atau Hemingway untuk meningkatkan kualiti penulisan anda.
Untuk maklumat lanjut tentang cara bermula, lihat artikel berikut:
- 15 Contoh Blog untuk Membantu Anda Memulakan Blog Berjaya
- 4 Templat Catatan Blog E-dagang untuk Membina Trafik Kedai Anda
9. Jadi pembantu maya
Adakah anda seorang yang sangat teratur dan suka bekerja di belakang tabir? Jika ya, anda mungkin sesuai untuk memulakan perniagaan sebagai pembantu maya (VA).
VA bekerja secara jarak jauh, menggunakan telefon dan internet untuk membantu usahawan, perniagaan dan eksekutif mengurus urusan peribadi serta profesional mereka. Berbeza dengan pembantu tradisional yang bekerja di pejabat, VA bekerja dari jauh, selalunya dari rumah.
Pendapatan sebagai VA bergantung pada cara anda beroperasi tetapi kos permulaannya agak rendah. Contohnya, anda boleh mendaftar akaun Upwork secara percuma dan membida projek di platform tersebut. Jika anda memilih untuk membina laman web sendiri, anda perlu membayar akaun e-mel profesional (Google Workspace sekitar $10 sebulan atau RM41) serta kos pengehosan web (sekitar $2 hingga $10 sebulan atau RM8 hingga RM41 untuk pelan pengehosan berkongsi). Jika anda mengenakan bayaran $20 sejam (sekitar RM83 sejam), anda hanya perlu bekerja kira-kira dua jam yang boleh dibilkan untuk menampung kos bulanan asas sebelum mengambil kira yuran lain.
Mengapa jadi VA?
- Bekerja dengan pelanggan ideal anda. Anda akan mengenal pasti jenis pelanggan dan tugas yang paling sesuai dengan anda. Anda boleh mengembangkan perniagaan berdasarkan keutamaan tersebut.
- Berinteraksi dengan orang dari seluruh dunia. Anda hanya perlukan sambungan internet untuk bekerja dan berpeluang bekerjasama dengan pelanggan antarabangsa.
- Kembangkan perniagaan menjadi rangkaian VA. Jika terlalu sibuk atau ingin berkembang, anda boleh mengambil dan melatih VA lain untuk bekerja di bawah anda dan meningkatkan pendapatan.
10. Jadi pencipta kandungan (pempengaruh)
Pemasaran pempengaruh (influencer) ialah industri bernilai $22 bilion (sekitar RM91.1 bilion) menurut Statista, dengan banyak peluang perniagaan yang boleh diterokai.
Anda mungkin mengaitkan pempengaruh dengan selebriti tetapi terdapat pasaran yang kukuh untuk pempengaruh mikro (micro-influencer) iaitu mereka yang mempunyai pengikut lebih kecil tetapi tetap aktif dan terlibat. Hal ini bermakna anda tidak memerlukan jutaan pengikut untuk menjana wang di Instagram dan TikTok.
Tidak memerlukan sebarang kos untuk membuka atau mengendalikan akaun pempengaruh. Contohnya, afiliasi TikTok Shop boleh disertai secara percuma oleh pencipta yang memenuhi syarat kelayakan. Dengan sekurang-kurangnya 1,000 pengikut, anda boleh mula menjual produk melalui video pendek dan memperoleh komisen.
Potensi pendapatan berbeza-beza. Laporan terbaharu daripada Collabstr mendapati bahawa purata harga bagi setiap kolaborasi pencipta ialah sekitar $200 (sekitar RM828) merentas platform, dengan YouTube mencatat purata tertinggi pada $418 (sekitar RM1,730). Bergantung pada bilangan kolaborasi setiap bulan, anda mungkin boleh memperoleh sekitar $2,000 sebulan (sekitar RM8,280) dengan akaun 10,000 pengikut melalui gabungan jualan afiliasi dan kerjasama jenama.
Mengapa jadi pempengaruh?
- Peluang untuk memahami pemasaran secara praktikal. Pengalaman ini sangat bernilai jika anda mahu membina kerjaya atau menjana pendapatan sampingan.
- Anda akan mengenali pelbagai jenama baharu dan menarik. Anda mungkin terdedah kepada produk yang tidak akan anda kenali tanpa kerjasama tersebut. Anda juga boleh menerima produk percuma untuk ulasan.
- Anda boleh membina jenama peribadi sebagai pencipta kandungan. Walaupun bermula kecil, anda boleh berkembang jika aktif berinteraksi dengan audiens dan konsisten menghasilkan kandungan.
Berikut ialah tip dan kisah inspirasi untuk memulakan langkah anda sebagai pencipta kandungan:
- Cara Menjana Wang di TikTok: 9 Strategi Berkesan
- Cara Menjana Wang di YouTube: 9 Strategi Paling Popular
11. Bina aplikasi dan laman web
Jika anda celik teknologi, kuasai kemahiran pengekodan dan mula membangunkan aplikasi atau laman web. Sama ada aplikasi mudah alih, aplikasi Shopify atau laman web, anda boleh menghasilkan produk digital untuk dijual atau menawarkan perkhidmatan pembangunan kepada pelanggan.
Perniagaan mikro-SaaS iaitu perniagaan perisian berskala kecil yang boleh diuruskan sendiri kini semakin mendapat perhatian. Model perniagaan ini memberikan tumpuan kepada pembangunan alat untuk memenuhi keperluan kumpulan pengguna tertentu.
Contohnya, anda boleh membangunkan tema kedai Shopify tersuai dan menjual tema tersebut kepada peniaga yang mahukan penyelesaian DIY yang lebih mampu milik untuk membina laman web mereka. Anda juga boleh bekerjasama secara langsung dengan pelanggan untuk membangunkan laman web dan aplikasi yang disesuaikan dengan keperluan mereka. Anda juga boleh bekerjasama secara langsung dengan pelanggan untuk membangunkan laman web dan aplikasi yang disesuaikan dengan keperluan mereka.
Kos untuk memulakan perniagaan SaaS bergantung pada jenis produk yang ingin dibangunkan serta tahap kemahiran pengaturcaraan yang anda miliki. Banyak gedung aplikasi turut menawarkan pelbagai insentif kepada pembangun. Sebagai contoh, Shopify membenarkan pembangun yang memenuhi syarat kelayakan menyimpan 100% hasil daripada jualan pertama sehingga AS$1 juta (sekitar RM4.14 juta) di gedung aplikasi. Apabila berjaya menarik pelanggan yang sesuai, alat digital seperti ini mampu menjana pendapatan lima angka setiap bulan. Malah, ada pengasas solo yang mengendalikan aplikasi berskala kecil dan memperoleh pendapatan sebanyak AS$4,000 (sekitar RM16,560), AS$10,000 (sekitar RM41,400), malah AS$40,000 sebulan (sekitar RM165,600).
Mengapa bina aplikasi dan laman web?
- Apabila semakin ramai pengguna beralih kepada e-dagang dan hiburan dalam talian, permintaan terhadap kemahiran membangunkan aplikasi dan laman web dijangka terus meningkat.
- Membangunkan laman web dan aplikasi boleh menjadi kerjaya yang sangat menguntungkan. Pembangun atau pereka web bebas yang berpengalaman boleh mengenakan bayaran antara AS$50 hingga lebih AS$100 sejam (sekitar RM207 sehingga melebihi RM414 sejam). Bergantung pada skop projek, sebuah laman web yang siap boleh menjana pendapatan sehingga beberapa ribu dolar (sekitar ribuan sehingga puluhan ribu ringgit).
12. Terbitkan podcast
Setiap hari, jutaan pendengar menikmati podcast melalui platform seperti Spotify, Apple Podcasts, Pocket Casts dan Stitcher. Podcast atau audio siar ialah salah satu idea perniagaan dari rumah yang menawarkan pelbagai cara untuk menjana pendapatan, sama seperti blog.
Berikut ialah item yang anda perlukan untuk memulakan podcast:
- Mikrofon berkualiti tinggi
- Perisian rakaman audio
- Perisian rakaman panggilan
Pelbagai sumber menganggarkan kos untuk memulakan podcast boleh mencecah sehingga ribuan dolar (sekitar ribuan sehingga puluhan ribu ringgit). Perbelanjaan terbesar yang tidak wajar dijimatkan ialah mikrofon. Mikrofon berkualiti seperti ATR2100x-USB (AS$79, sekitar RM327) atau Shure MV7 (AS$269, sekitar RM1,114) mampu meningkatkan pengalaman mendengar, sekali gus membantu anda menarik lebih ramai pendengar dan menjana pendapatan.
Anda boleh menjana pendapatan daripada podcast melalui iklan, tajaan jenama, pemasaran afiliasi dan jualan barangan. Menurut Libsyn Ads, tajaan podcast berharga antara AS$12 hingga AS$40 (sekitar RM50 sehingga RM166) bagi setiap 1,000 pendengar. Descript menyatakan jualan barangan memperoleh margin bersih sekitar 9%, manakala program afiliasi biasanya menawarkan komisen antara 5% hingga 30%.
Jadi, di mana anda boleh menjual barangan tersebut? Melalui laman web podcast anda sendiri seperti yang dilakukan oleh podcast popular Crime Junkie menerusi kedai Shopify mereka.

Untuk mempromosikan podcast anda, pertimbangkan untuk menjemput tokoh terkenal sebagai tetamu dalam rancangan anda. Galakkan pendengar meninggalkan ulasan dan berkongsi podcast anda dengan rakan serta keluarga.
Mengapa mulakan podcast?
- Podcast terus berkembang popular. Tinjauan terkini menunjukkan semakin ramai pendengar di seluruh dunia memilih podcast sebagai sumber hiburan dan maklumat.
- Podcast yang berjaya boleh membuka pelbagai peluang. Anda boleh menukar episod kepada catatan blog, mendapatkan penaja dan pengiklan, serta melibatkan diri dalam komuniti yang anda minati.
- Ramai podcaster turut menerbitkan kandungan di YouTube. Anda boleh merakam video semasa menghasilkan episod dan menyiarkan kandungan tersebut di YouTube. Cara ini membuka aliran pendapatan tambahan serta menjangkau audiens yang lebih luas.
Dapatkan inspirasi untuk podcast anda sendiri melalui podcast perniagaan terbaik untuk usahawan.
13. Jadi pemasar afiliasi
Pemasaran afiliasi ialah apabila anda mengesyorkan produk atau perkhidmatan dengan berkongsi pautan di blog, media sosial, senarai e-mel, laman web atau saluran lain. Anda memperoleh komisen setiap kali seseorang membuat pembelian melalui pautan atau kod rujukan unik anda.
Cari program afiliasi yang sesuai dengan minat, jenama peribadi dan audiens sasaran anda. Selain Amazon yang mempunyai program afiliasi sendiri, anda juga boleh menyemak Program Afiliasi Shopify. Kebanyakan program afiliasi percuma untuk disertai, dengan purata pendapatan antara $58,900 hingga $107,000 setahun (sekitar RM243,600 sehingga RM443,000 setahun).
Selepas mendaftar, mulakan perkongsian. Cipta siaran media sosial, artikel blog, e-mel dan kandungan lain yang menonjolkan produk atau perkhidmatan yang anda promosikan. Elakkan terlalu banyak promosi secara berlebihan kerana boleh membuatkan audiens berasa terganggu atau kurang yakin.
Mengapa buat pemasaran afiliasi?
- Anda sedang memanfaatkan naluri semula jadi untuk membantu orang lain. Anda mungkin sudah memberitahu rakan tentang produk dan perkhidmatan yang anda gunakan. Kini anda boleh memperoleh pendapatan daripada aktiviti ini.
- Pemasaran afiliasi juga merupakan sumber pendapatan pasif yang menarik. Anda terus menjana wang apabila pautan afiliasi anda menghasilkan jualan, walaupun sudah lama anda menyiarkan pautan tersebut.
14. Bangunkan perniagaan kotak langganan
Kotak langganan ialah pakej bertema yang mengandungi pelbagai produk. Konsep ini wujud dalam hampir semua industri daripada kit penyediaan makanan dan snek artisan sehinggalah produk kecergasan dan solekan. Anda boleh menghasilkan kotak langganan mengikut pelbagai tema pilihan anda.
Berdasarkan data daripada perniagaan sebenar, Starter Story mendapati bahawa purata perniagaan kotak langganan menjana sekitar $1.17 juta (sekitar RM4.84 juta) setahun. Kos permulaan berbeza-beza dan boleh bermula sekitar $500 hingga $5,000 (sekitar RM2,070 sehingga RM20,700) untuk pelancaran ringkas termasuk produk awal, pembungkusan dan alat sokongan. Anda juga boleh menggunakan kalkulator harga kotak langganan Cratejoy untuk membantu menentukan harga dan kos.
Bokksu, ialah contoh perniagaan kotak langganan dari Jepun yang menghimpunkan pelbagai snek tradisional dan menghantar produk kepada pelanggan setiap bulan. Di Malaysia, model perniagaan ini turut digunakan oleh Boxsome yang menawarkan langganan kotak snek bulanan dengan pilihan snek dari seluruh dunia dan penghantaran terus kepada pelanggan.

Apabila anda mengendalikan kotak langganan, anda bekerjasama dengan jenama dan artisan untuk mendapatkan serta menggabungkan produk mereka dalam bentuk pakej. Lazimnya, pelanggan menikmati elemen kejutan dalam setiap kotak, walaupun sesetengah model seperti kit penyediaan makanan membolehkan pelanggan memilih kandungan mereka sendiri.
Mengapa bangunkan perniagaan kotak langganan?
- Model perniagaan bermusim yang fleksibel. Kotak langganan sering dibeli sebagai hadiah, jadi perniagaan ini sesuai jika anda hanya mahu menjalankan perniagaan pada tempoh tertentu dalam setahun.
- Industri yang semakin berkembang. Jualan e-dagang berasaskan langganan dijangka melebihi $2.7 trilion (sekitar RM11.18 trilion) secara global pada 2025.
- Anda tidak perlu mencipta produk sendiri. Sebaliknya, anda boleh menggunakan produk sedia ada dan menggabungkannya dalam pakej yang menarik.
15. Bangunkan produk niche
Jika anda mengenal pasti peluang dalam niche tertentu, anda boleh mencipta produk khusus untuk memenuhi keperluan pasaran. Produk niche menyasarkan audiens yang unik yang mungkin tidak dilayan oleh tawaran pasaran umum.
Produk niche boleh berdasarkan industri, demografi, tahap harga, geografi, nilai, atribut produk dan banyak lagi. Contohnya, BlendJet memanfaatkan niche berdasarkan atribut produk dan keperluan audiens. Pengasas syarikat, Ryan Pamplin, yang sedang pulih daripada kecederaan mendapati pengisar tradisional terlalu besar dan tidak praktikal untuk minuman kesihatannya setiap hari.

Beliau membangunkan BlendJet, pengisar mudah alih yang direka untuk pengguna yang mementingkan kesihatan serta mengutamakan kemudahan dan kemudahalihan berbanding kuasa pengisar dapur biasa. Produk ini menjadi sangat popular.
"Menjelang akhir 2018, kami mempunyai lebih 100,000 pelanggan di 100 negara," kata Ryan. "Menjelang akhir 2019, lebih sejuta. Menjelang akhir 2020 berjuta-juta, dan pada kemuncak 2022, kami berjaya menjual satu unit di BlendJet.com atau melalui kedai runcit utama pada setiap satu setengah saat."
Pemilik haiwan peliharaan ialah satu lagi contoh niche yang luas. Anda boleh menyasarkan subset pemilik haiwan peliharaan dengan memfokuskan haiwan peliharaan yang lebih unik seperti chinchilla atau bearded dragon.
Kos bergantung pada cara anda membangunkan produk:
- Dengan cetak atas permintaan (POD), kebanyakan platform adalah percuma dan anda hanya membayar setiap unit apabila pesanan dibuat. Jadi, kos awal ialah sifar.
- Memulakan perniagaan dengan produk label sendiri boleh menelan kos antara $4,650 hingga $115,500 (sekitar RM19,250 hingga RM478,700). Julat ini wujud kerana produk yang lebih kompleks seperti penjagaan kulit mungkin memerlukan peralatan dan modal kerja yang lebih besar.
Margin kasar yang baik untuk produk terus kepada pengguna (DTC) ialah antara 40% hingga 60%, menurut penanda aras 2025 daripada TrueProfit. Produk bermargin tinggi boleh mencapai keuntungan antara 45% hingga 200%.
Mengapa bangunkan produk niche?
- Produk niche unik dan berpotensi menjadi tular. Kejayaan awal mungkin cukup untuk menarik liputan media tanpa bajet besar.
- Memilih pelanggan sasaran yang spesifik memudahkan pemasaran dan penyampaian mesej yang berkesan. Daripada menyasarkan khalayak yang luas dan pelbagai, anda boleh fokus kepada kumpulan yang lebih kecil yang berkongsi banyak ciri yang sama.
16. Cipta barangan buatan tangan
Jika anda mahir dalam kerja tangan, menjual produk buatan tangan boleh menjadi idea perniagaan dalam talian yang hebat. Sama ada anda membuat barang kemas, bingkai gambar atau perabot, anda boleh menjana pendapatan daripada kemahiran kraf dengan menjual produk tersebut dalam talian. Menjual barangan buatan tangan juga boleh menjadi idea perniagaan yang sesuai untuk kanak-kanak.
Kos permulaan untuk perniagaan barangan buatan tangan berbeza-beza.
Pada peringkat rendah, perbelanjaan utama mungkin hanya bahan mentah dan beberapa yuran penyenaraian. Pada peringkat lebih tinggi, anda perlu memperuntukkan bajet untuk produk seperti barang kemas tersuai atau projek kerja kayu yang memerlukan bahan mentah mahal, alat khusus dan inventori awal.
Staghead Designs, contohnya, ialah tukang emas dari Amerika Syarikat yang menghasilkan cincin pertunangan dan cincin perkahwinan secara buatan tangan menggunakan bahan seperti tanduk, kayu, kayu tong wiski dan logam alternatif. Pelanggan boleh membeli produk siap atau bekerjasama untuk menghasilkan reka bentuk tersuai melalui laman web tersebut. Di Malaysia, jenama seperti Temple & Grace turut menawarkan konsep yang sama dengan menghasilkan cincin pertunangan dan cincin perkahwinan tersuai secara buatan tangan.
@stagheaddesigns apa yang anda akan pilih untuk cincin anda?
#barangkemasunik #barangkemaslelaki #cincinperkahwinan #barangkemastempahan #cincinperkahwinanlelaki ♬ Sailor Song slowed - scriptdk
Bureau of Labor Statistics menyatakan gaji median untuk artis kraf dan seni halus ialah $56,260 (sekitar RM232,900) tetapi jumlah ini berbeza-beza bergantung pada produk yang dijual dan skala perniagaan. Walaupun anda boleh menggunakan platform seperti Carousell atau Mudah.my untuk menjual barangan anda, mengendalikan kedai dalam talian sendiri memberikan anda lebih kawalan serta memudahkan pengurusan dan pemenuhan pesanan.
Mengapa jual barangan buatan tangan?
- Anda boleh menentukan sendiri tahap komitmen dan perkembangan perniagaan. Sama ada mahu berkembang besar atau kekal kecil, semuanya bergantung pada anda.
- Cipta mengikut jadual anda. Buat barangan buatan tangan pada masa lapang atau ketika rehat daripada kerja utama.
- Jadikan minat sebagai sumber pendapatan. Cara ini membolehkan anda menggabungkan keseronokan dengan peluang menjana pendapatan. Jika anda memang sudah membuat barangan buatan tangan sebagai hobi, langkah ini boleh menjadi perkembangan semula jadi ke arah perniagaan.
Bersedia untuk mencari tempat baharu bagi hasil kraf tangan anda? Mulakan di sini:
17. Jadi pengurus media sosial
Mengurus dan mengembangkan akaun media sosial secara berkesan ialah satu kemahiran yang bernilai. Jika anda mempunyai kemahiran ini, anda boleh mempertimbangkan untuk menjadi pengurus media sosial atau perunding untuk jenama.
Anda akan bertanggungjawab mengekalkan kehadiran media sosial syarikat, membangunkan strategi pemasaran sosial serta mengurus kempen dan tugas berkaitan seperti komunikasi dengan pelanggan atau e-mel pemasaran. Permintaan terhadap perkhidmatan ini dijangka kekal tinggi, dengan pekerjaan dalam bidang media sosial berkembang sekitar 6% sehingga 2034, sejajar dengan keutamaan jenama untuk memperkukuh kehadiran digital.
Anda boleh bermula sebagai pengurus media sosial dengan kos kurang daripada $100 (sekitar RM414) kerana perbelanjaan utama hanyalah alat asas seperti akaun Calendly percuma dan Google Workspace. Calendly sesuai digunakan untuk penjadualan mesyuarat dengan pelanggan secara dalam talian, manakala Google Workspace pula digunakan untuk e-mel profesional dan pengurusan kerja. Kos permulaan yang rendah ini lebih menarik apabila dibandingkan dengan purata gaji peranan ini iaitu sekitar $62,460 setahun (sekitar RM258,500 setahun).
Mulakan dengan membina pengikut di saluran media sosial anda sendiri sebagai bukti sosial untuk menarik pelanggan. Seterusnya, sediakan laman web perniagaan dan sistem pembayaran. Apabila pengalaman bertambah, anda boleh menawarkan perkhidmatan yang lebih luas seperti pertumbuhan akaun, jangkauan audiens atau pengurusan kerjasama jenama.
Mengapa mulakan perniagaan pengurusan media sosial?
- Perniagaan berasaskan perkhidmatan ini mempunyai halangan kemasukan yang rendah dan mudah untuk bermula.
- Anda boleh menjadi bos sendiri dan menentukan potensi pendapatan anda. Semakin banyak pengalaman dan hasil yang anda tunjukkan, semakin tinggi kadar bayaran yang boleh dikenakan.
- Jika anda pengguna media sosial yang aktif, anda boleh menukar aktiviti harian kepada sumber pendapatan.
Bersedia untuk memulakan perniagaan pengurusan media sosial anda sendiri? Tingkatkan pengetahuan anda melalui sumber berikut:
18. Jual barangan di platform e-dagang
Platform penjual seperti eBay, Etsy atau Facebook Marketplace memudahkan proses penyenaraian produk, pengumpulan maklumat pelanggan dan penerimaan pembayaran.
Platform besar ini sudah mempunyai trafik sedia ada. Sebagai penjual, anda hanya perlu menyusun strategi penyenaraian serta memantau prestasi jualan supaya usaha boleh dioptimumkan. Semua ini boleh dilakukan dari rumah.
Anda boleh mula menjual di platform seperti eBay atau Etsy dengan kos hampir sifar kerana anda biasanya hanya membayar yuran kecil seperti yuran penyenaraian 20¢ (sekitar RM0.83) Etsy selepas sesuatu item terjual. Seperti model perniagaan dropship, model ini berisiko rendah kerana anda hanya membayar apabila jualan berlaku, dengan purata pendapatan sekitar $69,000 (sekitar RM285,900) setahun bagi penjual semula yang berjaya.
Untuk memperoleh keuntungan, anda perlu menjual pada harga lebih tinggi daripada harga belian. Strategi ini boleh melibatkan pembelian secara pukal dan menjual semula pada harga per unit yang lebih tinggi.
Selain itu, anda juga boleh menyasarkan jualan garaj dan kedai barangan terpakai untuk mencari item yang mempunyai nilai jualan semula yang baik. Anda juga boleh menggunakan platform ini untuk menjual barangan tidak digunakan di rumah. Keuntungan hanya diperoleh jika item dijual pada harga lebih tinggi daripada harga belian tetapi anda masih boleh menjana pendapatan tambahan sambil mengosongkan ruang di rumah.
Mengapa jual di platform e-dagang?
- Kos permulaan rendah tanpa memerlukan pelaburan awal yang besar.
- Anda mendapat akses kepada kumpulan trafik yang mungkin sukar dicapai melalui platform lain.
- Kemahiran jualan dalam talian yang anda bina boleh digunakan untuk perniagaan lain pada masa hadapan.
19. Jadi penterjemah
Industri penterjemahan sedang berkembang pesat dan saiz pasaran telah berganda dalam tempoh sedekad yang lalu. Anda boleh memasarkan perkhidmatan anda di platform penterjemahan seperti Gengo, di pasaran kerja bebas seperti Upwork atau di laman web sendiri.
Bagi mereka yang mempunyai kemahiran, perniagaan penterjemahan boleh dimulakan tanpa kos tinggi kerana anda boleh menyertai platform pelanggan secara percuma. Kaedah ini membuka peluang untuk memasuki bidang profesional dengan gaji median tahunan sekitar $59,440 (sekitar RM246,100).
Sebagai penterjemah, anda boleh menggunakan kemahiran untuk menterjemah kandungan, mesyuarat, resume, buku atau persidangan dalam talian. Apabila kemahiran semakin berkembang, anda boleh mengenakan bayaran mengikut jam atau projek. Tidak kira model harga yang digunakan, perniagaan penterjemahan boleh menjadi fleksibel dan menguntungkan selepas anda memperoleh beberapa pelanggan pertama.
Mengapa mulakan perniagaan penterjemahan?
- Penterjemahan ialah perniagaan berkos rendah yang tidak memerlukan pengurusan iklan atau pengendalian inventori.
- Jika anda fasih dalam bahasa yang kurang biasa digunakan, anda boleh membina niche yang menjadikan anda pilihan utama bagi kumpulan pelanggan tertentu.
- Anda juga boleh menggunakan tugasan penterjemahan untuk membina portfolio bagi projek yang lebih besar, seperti menterjemah keseluruhan buku.
20. Mulakan firma perakaunan atau simpan kira
Jika anda mempunyai latar belakang dalam kewangan, anda boleh memanfaatkan permintaan pasaran yang stabil untuk perakaunan dan simpan kira. Anda boleh bekerja secara bebas dengan menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan yang ingin menyumber luar fungsi ini.
Kelayakan untuk kerja ini bergantung pada latihan dan pengalaman. Penyimpan kira yang merekod transaksi perniagaan secara rutin boleh belajar sendiri menggunakan perisian seperti QuickBooks untuk memastikan lejar sentiasa tepat. Akauntan pula menyediakan laporan yang mungkin dikemukakan kepada pihak cukai dan pelabur. Kebanyakan syarikat biasanya memerlukan akauntan awam bertauliah (CPA) untuk tugasan tersebut.
Memulakan firma perakaunan atau simpan kira sendiri memerlukan kos permulaan yang rendah, dengan perbelanjaan utama terdiri daripada langganan perisian. Contohnya, QuickBooks berharga sekitar $9 hingga $38 (sekitar RM37 sehingga RM157) sebulan, bergantung pada pelan yang dipilih. Selain itu, pendaftaran perniagaan melalui SSM untuk Enterprise atau Sdn Bhd biasanya melibatkan kos yang lebih rendah berbanding struktur syarikat di negara lain, bergantung pada jenis entiti yang dipilih. Pelaburan ini sangat kecil jika dibandingkan dengan purata gaji dalam bidang ini iaitu sekitar $50,573 (sekitar RM209,400) setahun untuk penyimpan kira dan lebih tinggi bagi akauntan berkelayakan profesional.
Dengan latihan yang mencukupi, anda boleh memulakan perniagaan perakaunan atau simpan kira melalui gabungan pengiklanan, rujukan pelanggan dan usaha berterusan. Anda boleh menyenaraikan perkhidmatan di platform seperti Upwork, membina laman web sendiri atau menggunakan kedua-dua platform ini. Apabila mula memperoleh pelanggan dan memberikan perkhidmatan berkualiti, rujukan pelanggan akan berkembang secara semula jadi.
Mengapa mulakan perniagaan perakaunan atau simpan kira?
- Perniagaan sentiasa memerlukan penyimpan kira dan akauntan yang boleh dipercayai untuk membantu mengurus kewangan, menyediakan dokumen cukai dan menyokong keperluan pelabur.
- Walaupun penyediaan cukai kebanyakannya bermusim (kebanyakan akauntan cukai sibuk dari Januari hingga April), kerja simpan kira dan pengurusan kewangan korporat tetap berterusan sepanjang tahun.
- Perniagaan berasaskan perkhidmatan seperti ini berkembang melalui hubungan jangka panjang dan pelanggan berulang yang mengurangkan kebergantungan pada kempen pemasaran digital.
21. Jadi jurulatih kecergasan dalam talian
Seperti kebanyakan industri berasaskan perkhidmatan lain, latihan kecergasan kini telah beralih kepada platform dalam talian. Jurulatih popular seperti Kayla Itsines menjana pendapatan besar melalui keahlian, aplikasi kecergasan dan e-buku.
Jika anda mempunyai pengalaman dalam latihan kecergasan, menawarkan perkhidmatan ini secara dalam talian boleh menjadi pilihan yang sesuai. Halangan utama untuk menjadi jurulatih kecergasan dalam talian ialah mendapatkan pensijilan iaitu pelaburan sekali yang boleh menelan kos antara $599 (sekitar RM2,480) untuk peperiksaan sahaja hingga $2,999 (sekitar RM12,420) untuk kursus CPT penuh. Kebanyakan laman web gaji melaporkan pendapatan sekitar $60,000 (sekitar RM248,400) setahun, manakala jurulatih dalam komuniti dalam talian seperti Reddit melaporkan pendapatan enam angka melalui latihan secara digital.
Sebahagian besar latihan kecergasan dalam talian melibatkan kandungan video, sama ada secara langsung atau rakaman. Elemen lain dalam perniagaan ini termasuk panduan senaman, buku resipi dan forum komuniti untuk ahli berkongsi tip dan pengalaman. Semua ini boleh dihoskan di laman web latihan kecergasan anda.

Semasa anda bermula, jangan lupa memanfaatkan media sosial kerana industri kecergasan sangat bergantung pada visual. Kehadiran di platform seperti Instagram dan TikTok boleh membantu membina audiens dan menarik pelanggan.
Mengapa mulakan perniagaan jurulatih kecergasan dalam talian?
- Terdapat permintaan yang stabil untuk latihan kecergasan. Industri gim dan pusat kesihatan global terus berkembang dari tahun ke tahun.
- Ramai orang kini terbuka kepada latihan dalam talian. Video senaman telah lama wujud tetapi internet menjadikan kandungan sebegini lebih interaktif dan mudah diakses, sekali gus menjadikan model ini lebih diterima oleh pelanggan.
- Anda juga boleh menghasilkan kandungan yang kekal relevan seperti kursus, pelan kecergasan atau buku resipi yang boleh terus menjana pendapatan dalam jangka panjang.
22. Jual muzik
Jika anda mampu menulis dan menghasilkan muzik dari rumah, anda boleh menjual karya anda melalui laman web pelesenan yang menghubungkan komposer dengan pelanggan yang mencari muzik.
Salah satu contoh ialah The Drum Broker, perniagaan sampel dram dalam talian terbesar di dunia. Antara pasaran muzik dalam talian lain termasuk PremiumBeat dan Epidemic Sound.
Kos untuk memulakan perniagaan muzik boleh menjadi hampir sifar jika anda sudah mempunyai alat muzik dan peralatan. Anda hanya perlu membayar alat pengedaran seperti DistroKid yang berharga serendah $24.99 (sekitar RM103) setahun. Purata pendapatan pemuzik sekitar $81,600 (sekitar RM338,000) setahun tetapi jumlah ini mungkin lebih tinggi bergantung pada jumlah penstriman dan jualan langsung.
Mengapa cipta dan jual muzik?
- Pelanggan komersial secara aktif mencari muzik untuk digunakan dalam iklan dan kandungan mereka.
- Berbeza dengan sektor lain dalam industri muzik, anda tidak memerlukan kenalan peribadi untuk menembusi pasaran muzik dalam talian.
- Menjual muzik dalam talian juga boleh mengukuhkan portfolio anda dan meningkatkan peluang untuk projek yang lebih besar seperti menggubah muzik untuk filem.
23. Mulakan perniagaan bimbingan dalam talian
Jurulatih kehidupan membantu membimbing pelanggan melalui pelbagai peringkat penting dalam kehidupan termasuk kerjaya, hubungan dan pencapaian peribadi. Untuk berjaya sebagai jurulatih dalam talian, penting untuk membina niche yang jelas. Anda juga perlu menyampaikan dengan tepat kepakaran yang ditawarkan serta hasil yang boleh dijangkakan pelanggan daripada sesi bimbingan anda.
Ramai jurulatih bermula dengan kos hampir sifar. Anda boleh menjalankan kempen pemasaran melalui LinkedIn, Instagram dan TikTok tanpa kos tambahan kecuali jika anda menaik taraf ke LinkedIn Premium. Zoom dan Google Meet juga menawarkan pelan percuma untuk sesi panggilan. Anda mungkin hanya perlu membayar akaun Google Workspace untuk mendapatkan alamat e-mel profesional dan pengurusan kerja iaitu sekitar $7 (sekitar RM29) sebulan.
Secara purata, jurulatih dalam talian memperoleh kira-kira $65,000 (sekitar RM269,100) setahun tetapi pendapatan boleh meningkat melalui penjualan bengkel berkumpulan, produk digital dan pelanggan korporat dengan kadar lebih tinggi.
Salah satu cara untuk menembusi bidang ini adalah dengan membina kehadiran di media sosial. Jurulatih seperti Simone Seol menggunakan Instagram untuk menjangkau pelanggan berpotensi. Apabila asas pelanggan terbina, lebih banyak peluang boleh datang melalui rujukan dari mulut ke mulut sama ada daripada pelanggan atau rakan jurulatih.
Mengapa mulakan perniagaan bimbingan dalam talian?
- Bimbingan dalam talian menawarkan potensi pendapatan yang tinggi jika anda mempunyai kemahiran interpersonal yang kuat dan mampu membantu pelanggan mencapai matlamat mereka.
- Anda tidak memerlukan lesen atau ijazah khusus untuk bermula. Anda boleh menawarkan bimbingan dalam mana-mana bidang yang anda cukup berpengetahuan untuk mengenakan bayaran.
- Pelanggan yang berpuas hati biasanya kekal setia dan sering membawa lebih banyak rujukan yang membantu mengembangkan perniagaan secara organik.
24. Buat kerja alih suara
Ramai artis alih suara merakam audio profesional dari rumah sendiri. Anda boleh mengikuti langkah yang sama dengan mempelajari asas perisian rakaman serta melabur dalam peralatan seperti mikrofon kondenser, antara muka audio digital, komputer dan perisian rakaman.
Anda juga memerlukan ruang yang sesuai untuk mengurangkan bunyi bising. Almari pakaian boleh digunakan sebagai ruang rakaman kerana ia membantu menyerap bunyi luar dan anda juga boleh menambah panel kalis bunyi pada dinding jika perlu. Anda juga boleh mempertimbangkan keahlian Voices Premium untuk mendapatkan peluang kerja dan akses kepada lebih banyak tugasan. Secara purata, pelakon suara boleh memperoleh sekitar $100,000 (sekitar RM414,000) setahun.
Artis alih suara merakam pelbagai jenis kandungan seperti buku audio, iklan, webinar, panduan kursus dan lakonan suara. Untuk mula mendapatkan tugasan, anda boleh merakam demo reel, menyediakan laman web portfolio dan membina kehadiran di media sosial untuk menarik pelanggan. Anda juga boleh mendapatkan peluang uji bakat melalui platform seperti Voice Guild Malaysia atau StarNow.
Mengapa mulakan perniagaan alih suara?
- Kerja alih suara membolehkan anda menjadikan suara sebagai sumber pendapatan.
- Bidang ini juga menawarkan pelbagai peluang daripada narasi buku hingga lakonan suara untuk pelbagai jenis kandungan digital.
25. Jadi perunding iklan
Iklan wujud di mana-mana dan di sebalik kebanyakan iklan tersebut terdapat perunding yang membantu perniagaan meningkatkan keberkesanan kempen mereka. Sebahagian besar kerja ini kini boleh dilakukan secara dalam talian seperti yang dilakukan oleh perunding iklan berjaya seperti Monica Louie.
Untuk bermula, pilih jenis iklan yang ingin anda fokuskan sama ada iklan PPC di Google, iklan Instagram, Facebook, TikTok atau iklan paparan. Selepas itu, mulakan pemasaran perkhidmatan anda melalui laman web profesional. Anda juga boleh mempromosikan perkhidmatan di platform rangkaian profesional seperti LinkedIn.
Menjadi perunding iklan mempunyai kos permulaan yang rendah. Anda boleh mendapatkan pensijilan percuma melalui Google Ads dan mengikuti kursus Meta Blueprint tanpa bayaran. Satu-satunya kos utama mungkin membina laman web dan menjalankan beberapa kempen iklan sendiri untuk menunjukkan kepakaran anda kepada bakal pelanggan. Secara purata, perunding iklan memperoleh sekitar $80,000 (sekitar RM331,000) setahun dan boleh mencecah $118,000 (sekitar RM489,000) atau lebih bergantung pada pengalaman.
Untuk berjaya dalam bidang ini, anda perlu mempunyai latar belakang atau pengalaman dengan contoh kajian kes yang boleh ditunjukkan kepada pelanggan berpotensi. Jika anda masih baharu, anda boleh bekerja dengan perunding berpengalaman terlebih dahulu bagi membina kemahiran sebelum memulakan perniagaan sendiri.
Mengapa mulakan perniagaan perundingan iklan?
- Perunding iklan akan sentiasa diperlukan selagi pengiklanan wujud.
- Bidang ini sesuai jika anda mahir berkomunikasi dan memahami asas strategi pemasaran.
- Anda juga boleh bekerja dengan pelbagai pelanggan pada masa yang sama, sambil membina rangkaian profesional anda secara berterusan.
Cara memulakan perniagaan dalam talian dalam 6 langkah
- Sahkan idea anda dengan penyelidikan
- Bangunkan produk atau perkhidmatan anda
- Sediakan kewangan perniagaan anda
- Cari vendor dan pembekal
- Bina laman web perniagaan anda
- Pasarkan perniagaan anda
Setelah anda memilih idea perniagaan dalam talian, langkah seterusnya ialah melakukan penilaian dan mula merealisasikan idea anda. Berikut 6 langkah untuk memulakan perniagaan dalam talian yang perlu anda ketahui:
1. Sahkan idea anda dengan penyelidikan
Mungkin kedengaran tegas, tetapi hakikatnya tidak semua idea yang kelihatan bagus mempunyai pasaran.
Sebelum melaburkan masa dan tenaga untuk memulakan perniagaan, buat penilaian terlebih dahulu sama ada idea tersebut benar-benar boleh dilaksanakan dan mempunyai minat pembeli berpotensi. Anda boleh mendapatkan khidmat agensi untuk menjalankan penyelidikan pasaran. Jika bajet terhad, anda juga boleh melakukannya sendiri. Sumber berikut boleh membantu anda bermula:
- Apa Itu Permintaan Pasaran dan Cara Mengira
- Cara Menggunakan Pemasaran Niche untuk Membina Perniagaan Anda dari Asas
Selepas kajian pasaran dilakukan, sediakan rancangan perniagaan untuk memperjelas idea anda. Rancangan ini membantu anda kekal teratur dan fokus semasa melalui pasang surut memulakan perniagaan baharu.
2. Bangunkan produk atau perkhidmatan anda
Selepas idea disahkan, tiba masa untuk menjadikan idea anda satu kenyataan. Sama ada produk atau perkhidmatan, anda perlu mengembangkannya menjadi realiti. Cari pengeluar untuk produk anda, sediakan pakej perkhidmatan atau tulis buku dan pilih kaedah penerbitan sendiri.
Jika anda memilih perniagaan dropship, produk sudah tersedia. Tugas anda ialah memilih produk yang diminati atau yang sedang mempunyai permintaan tinggi.
3. Sediakan kewangan perniagaan anda
Soalan seperti "bagaimana cara membuka akaun bank perniagaan?" sering timbul dalam kalangan usahawan baharu. Selepas mendaftar perniagaan dengan pihak berkuasa tempatan, anda biasanya akan menerima nombor cukai dan maklumat yang diperlukan untuk membuka akaun bank perniagaan.
Apabila perniagaan berkembang, anda mungkin memerlukan pembiayaan tambahan untuk produk baharu atau pemasaran. Akaun bank perniagaan membantu mengurus aliran tunai serta memudahkan penjejakan pendapatan dan perbelanjaan.
Akaun bank juga membantu dalam penyediaan cukai kerana semua transaksi berkaitan perniagaan berada pada satu tempat. Apabila kewangan perniagaan menjadi lebih kompleks, mengupah akauntan profesional atau pakar cukai boleh menjadi pilihan yang wajar.
Ingin memudahkan pengurusan kewangan perniagaan? Gunakan akaun perniagaan daripada bank tempatan atau penyelesaian pembayaran digital yang membolehkan anda mengurus aliran tunai, menerima pembayaran dan memantau transaksi dengan lebih mudah.
4. Cari rakan kongsi, vendor dan pembekal
Perniagaan dalam talian berasaskan produk biasanya memerlukan rangkaian hubungan perniagaan seperti pengeluar, dropship atau penyedia logistik pihak ketiga. Apabila mengenal pasti perkongsian yang ingin dilakukan, bandingkan beberapa pilihan sebelum membuat keputusan untuk memastikan anda mendapat penyelesaian terbaik.
Jika anda tidak mahu mengurus inventori, Shopify menawarkan penyelesaian seperti Shopify Collective yang membolehkan anda mendapatkan produk daripada jenama yang disahkan dan menghantar pesanan terus kepada pelanggan tanpa perlu menyimpan stok.
Sesetengah idea perniagaan dalam talian lain juga memerlukan hubungan atau kontraktor tambahan. Contohnya, penulis buku mungkin perlu mendapatkan editor profesional atau pereka kulit buku.
5. Bina laman web perniagaan anda
Untuk memulakan perniagaan dalam talian, anda memerlukan laman web. Untuk menerima pembayaran, anda juga perlu menyepadukan sistem pemprosesan pembayaran.
Mulakan dengan memilih nama perniagaan. Jika perlu, gunakan penjana nama perniagaan untuk mendapatkan idea. Anda memerlukan nama untuk mula membina laman web anda.
Selepas itu, pilih nama domain dan semak ketersediaan domain tersebut. Domain biasanya berharga kurang daripada $20 setahun (sekitar RM83) setahun bergantung pada jenis domain dan promosi. Seterusnya, bina laman web menggunakan platform seperti Shopify untuk mula menerima pembayaran daripada pelanggan.
Berikut ialah beberapa sumber lain untuk membantu anda bermula dengan laman e-dagang anda:
6. Pasarkan perniagaan anda
Mendapatkan pelanggan pertama ialah pencapaian besar bagi mana-mana pemilik perniagaan kecil baharu. Setelah kedai anda siap, langkah seterusnya ialah mula memperkenalkan perniagaan anda kepada pasaran. Namun, mencari pelanggan baharu dan menghasilkan promosi yang meyakinkan memerlukan masa dan usaha.
Terdapat pelbagai saluran yang boleh digunakan seperti pemasaran e-mel, pemasaran mudah alih dan lain-lain. Namun begitu, sukar untuk menentukan strategi terbaik bagi mengembangkan perniagaan dalam talian anda. Mudah untuk tersilap langkah dan melaburkan masa serta wang pada taktik yang kurang berkesan.
Berikut ialah beberapa sumber untuk membantu anda memasarkan perniagaan anda:
- Cara Mencipta Strategi Pemasaran Media Sosial (+ Templat)
- Cara Memasarkan Produk: 12 Strategi Terbukti untuk 2026
Mulakan perniagaan dalam talian anda hari ini
Jika anda sudah lama mempertimbangkan untuk memulakan perniagaan dalam talian, inilah masanya untuk merealisasikan idea anda. Anda tidak perlu memberikan komitmen sepenuh masa dari awal. Mulakan secara kecil-kecilan sebagai kerja sampingan, kemudian kembangkan perniagaan mengikut kemampuan. Jika anda lebih selesa mengekalkan skala kecil, itu juga memadai. Keistimewaan perniagaan dalam talian ialah anda bebas memilih hala tuju yang paling sesuai dengan matlamat dan gaya hidup anda.
Sama ada penjual baharu atau peruncit global, Shopify sesuai untuk semua. Lihat pelan dan harga.
Soalan lazim idea perniagaan dalam talian
Apakah perniagaan dalam talian paling menguntungkan pada 2026?
Perniagaan paling menguntungkan biasanya melibatkan produk digital bermargin tinggi, pendapatan berulang atau kemahiran dengan permintaan tinggi. Model perniagaan seperti mengajar kursus dalam talian atau menerbitkan e-buku boleh menjadi sangat menguntungkan kerana anda hanya perlu mencipta produk sekali kemudian menjual produk tersebut berulang kali. Perkhidmatan berasaskan kemahiran seperti perunding iklan atau pengurus media sosial juga antara yang paling menguntungkan kerana kos operasi yang rendah dan permintaan pasaran yang tinggi.
Berapakah kos untuk memulakan perniagaan dalam talian?
Kos untuk memulakan perniagaan dalam talian berbeza-beza daripada AS$0 sehingga lebih AS$5,000 (sekitar RM20,700), bergantung pada model perniagaan. Perniagaan berasaskan perkhidmatan seperti kerja bebas atau pemasaran afiliasi boleh dimulakan secara percuma menggunakan platform sedia ada kerana produk anda ialah masa atau kemahiran anda. Model ringan aset seperti dropship boleh menelan kos sekitar AS$100 hingga AS$500 (sekitar RM414 sehingga RM2,070) untuk laman web dan aplikasi, manakala perniagaan berasaskan produk yang memerlukan inventori boleh mencecah AS$5,000 (sekitar RM20,700) atau lebih bagi kos pembuatan dan bahan.
Bagaimana cara menjana idea perniagaan dalam talian?
- Cipta papan sumbang saran dan senaraikan semua idea anda
- Kembali semula kemudian dan perhalusi senarai tersebut
- Dapatkan maklum balas daripada rakan atau keluarga
- Tinjau pelanggan sedia ada untuk idea baharu
- Semak trend carian menggunakan Google Trends
Apakah perniagaan dalam talian terbaik untuk bermula?
- Perniagaan dropship
- Jenama pakaian
- Jualan karya seni
- Kotak langganan
- Jualan barangan buatan tangan
- Pemasaran afiliasi
- Blog
- Perkhidmatan perundingan
Apakah perniagaan dalam talian terbaik untuk dimulakan dari rumah?
- Kedai e-dagang
- Jual beli produk dalam talian
- Mengajar kursus dalam talian
- Penulisan bebas
- Perkhidmatan dalam talian
- Produk buatan sendiri
- Saluran YouTube
- Blog
Apakah beberapa idea perniagaan perkhidmatan dalam talian?
- Reka bentuk grafik
- Penulisan bebas
- Pembangunan WordPress
- Pembinaan tema Shopify
- Pembangunan aplikasi
- Reka bentuk laman web
- Penulisan iklan (copywriting)
- Perundingan pengoptimuman enjin carian (SEO)
Bagaimana cara memulakan perniagaan kecil dalam talian?
- Kenal pasti jurang dalam pasaran niche dan isi keperluan tersebut
- Bangunkan produk atau perkhidmatan anda
- Bina laman web perniagaan
- Pasarkan perniagaan di media sosial seperti Instagram, Facebook dan LinkedIn
- Optimumkan laman web untuk SEO
- Bina kepakaran dalam industri anda
- Berikan perkhidmatan pelanggan yang baik
- Cipta pelbagai sumber pendapatan
Adakah saya perlu mendaftarkan perniagaan dengan SSM untuk menjual dalam talian?
Anda digalakkan mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum mula menjual dalam talian. Pendaftaran perniagaan dapat meningkatkan kredibiliti perniagaan, memudahkan urusan pembukaan akaun bank perniagaan, permohonan pembiayaan serta pengurusan cukai.

