Terdapat ratusan platform untuk menjual barangan secara dalam talian. Sesetengah laman jualan dalam talian memfokuskan niche tertentu, seperti permainan video atau produk teknologi. Pasaran lain pula membolehkan peruncit menjual pelbagai jenis produk, daripada pakaian dan perabot hinggalah pelbagai barangan lain.
Menjual melalui pasaran dalam talian menawarkan pelbagai manfaat. Namun, anda perlu mempertimbangkan faktor seperti yuran jualan sebelum memilih platform yang sesuai untuk menyenaraikan produk.
Panduan ini merangkumi 20 laman jualan dalam talian yang popular, berserta tip untuk membantu anda menentukan masa yang sesuai untuk menjual melalui pasaran atau membina kedai dalam talian sendiri.
Menjual barangan di kedai dalam talian sendiri
Jika anda tidak pasti cara untuk bermula, menjual barangan melalui kedai dalam talian membolehkan anda mengekalkan lebih banyak keuntungan berbanding menjual di pasaran. Anda juga tidak perlu membayar yuran bagi setiap penyenaraian atau mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh platform lain.
Dengan mengendalikan kedai e-dagang sendiri, anda tidak dikenakan yuran penyenaraian untuk setiap jualan dan bebas mengurus perniagaan mengikut cara sendiri.
Shopify memudahkan anda membina kedai dalam talian sendiri. Pilih lebih daripada 200 templat, sediakan sistem pembayaran dan manfaatkan alat terbina dalam seperti sijil SSL serta label penghantaran.
Gunakan Shopify untuk menjual melalui laman web sendiri, merentas pasaran seperti Amazon dan eBay, serta di media sosial.
Bina kedai anda dan mula menjual hari ini.
Pasaran dalam talian dan laman jualan lelong popular
eBay
eBay ialah antara pasaran dalam talian terbesar. Platform ini menawarkan pangkalan pembeli yang luas serta memudahkan anda menghubungkan eBay dengan kedai dalam talian. eBay menempatkan lebih dua bilion penyenaraian dan mempunyai 135 juta pembeli aktif di seluruh dunia.
Anda boleh menjual pelbagai jenis produk di eBay, daripada barangan harian seperti kasut dan jam tangan hinggalah barangan unik seperti bantal beraroma bertih jagung, botol berisi udara dan kerusi berbentuk tangan gergasi vintaj dari era 1970-an. Dengan pangkalan pembeli yang besar dan aktif, eBay juga boleh dijadikan saluran jualan tambahan untuk kedai dalam talian anda.
Yuran eBay
Jika anda bercadang untuk menjual di eBay, pertimbangkan yuran yang dikenakan oleh platform ini. Kebanyakan penjual persendirian kini tidak lagi dikenakan yuran penyenaraian. Namun, eBay mengenakan yuran nilai akhir sebanyak 3% bagi jualan sehingga $15,000 (kira-kira RM63,000) setiap barangan dan 0.5% bagi jumlah melebihi nilai tersebut.
Di UK, eBay memansuhkan yuran transaksi untuk penjual individu bagi kebanyakan kategori pada tahun 2024, kecuali bagi kategori tertentu seperti kenderaan.
Carousell
Carousell ialah pasaran dalam talian yang popular di Malaysia dan menjadi pilihan ramai untuk urusan jual beli barangan baharu serta terpakai.
Carousell membolehkan pengguna menjual pelbagai jenis produk, daripada kasut sukan, pakaian, telefon pintar dan perabot hinggalah barangan koleksi. Sebagai contoh, anda boleh menjual model Nike Air Max terkini atau rantai leher buatan tangan dan tetap berpeluang menarik pembeli yang berminat. Pembeli boleh membeli produk pada harga tetap atau mengemukakan tawaran melalui platform ini.
Yuran Carousell
Di Malaysia, Carousell mengenakan yuran platform sebanyak 5% bagi setiap jualan yang berjaya melalui butang Beli dalam kategori Kecantikan & Penjagaan Diri. Yuran ini ditolak secara automatik daripada hasil jualan sebelum baki dikreditkan ke baki akaun Carousell penjual. Penjual yang melanggan pakej Carousell Sales Assisted dikecualikan daripada yuran platform ini.
Lelong.my
Lelong.my ialah pasaran dalam talian di Malaysia yang menawarkan pelbagai kategori produk. Dengan menjual di Lelong.my, anda boleh menjangkau pembeli yang mencari pelbagai jenis barangan, termasuk elektronik, fesyen, kelengkapan rumah dan barangan koleksi.
Yuran Lelong.my
Pendaftaran akaun dan penyertaan dalam bidaan di Lelong.my adalah percuma. Penjual dikenakan yuran bagi penyenaraian produk dan perkhidmatan tertentu. Kadar yuran bergantung pada jenis perkhidmatan yang digunakan dan boleh berubah dari semasa ke semasa.
Etsy
Etsy ialah laman jualan untuk barangan buatan tangan dan vintaj. Pada tahun 2015, Etsy mula membenarkan penjual menawarkan barangan yang dihasilkan oleh pengeluar berdasarkan reka bentuk mereka sendiri, namun hanya untuk akaun terpilih di pasaran ini. Kini, Etsy mempunyai lebih 86.5 juta pembeli aktif.
Yuran Etsy
Etsy mengenakan yuran penyenaraian sebanyak $0.20 (kira-kira RM0.84) bagi setiap barangan yang dijual. Penyenaraian akan tamat tempoh selepas empat bulan. Jika barangan masih belum terjual dan anda memperbaharui penyenaraian, anda akan dikenakan yuran tambahan sebanyak $0.20 (kira-kira RM0.84).
Bagi setiap jualan, Etsy mengenakan yuran transaksi sebanyak 6.5% daripada harga yang dipaparkan serta caj penghantaran dan pembungkusan hadiah yang dikenakan kepada pembeli.
Temukan alternatif Etsy yang paling popular.
Mudah.my
Mudah.my ialah pasaran dalam talian di Malaysia yang menawarkan pelbagai kategori produk, termasuk hiasan rumah dan perabot. Bergantung pada kategori produk dan perkhidmatan yang digunakan, penjual mungkin dikenakan yuran penyenaraian dan yuran bagi perkhidmatan tertentu.
Yuran Mudah.my
Pengguna akaun persendirian boleh menyiarkan iklan secara percuma, tertakluk pada kategori dan had penyenaraian yang ditetapkan. Bagi penjual PRO Niaga, kadar yuran penyenaraian dan perkhidmatan premium berbeza mengikut kategori produk dan jenis kedai.
Refash
Refash ialah laman jual beli dalam talian yang menawarkan pakaian, aksesori dan barangan fesyen terpakai daripada pelbagai jenama. Penjual boleh menjangkau pembeli yang mencari barangan fesyen terpakai melalui platform ini.
Yuran Refash
Seperti yang dinyatakan dalam Soalan Lazim, nilai bayaran kepada penjual ditentukan berdasarkan jenama, keadaan, reka bentuk dan jenis barangan yang diterima.
Amazon
Seiring dengan pertumbuhan jualan e-dagang global, Amazon kekal sebagai laman jualan dalam talian terbesar. Penjual bebas menyumbang lebih 60% daripada jumlah jualan di kedai Amazon, manakala lebih 75,000 penjual mencatatkan jualan melebihi $1 juta pada tahun 2025.
Yuran Amazon
Kos untuk menjual di Amazon bergantung pada pelan yang dipilih, kategori produk, strategi pemenuhan serta faktor lain. Sekurang-kurangnya, anda perlu membayar $39.99 (kira-kira RM167.95) sebulan untuk pelan Professional Seller.
Laman web untuk jualan tempatan
Jika anda ingin menjual barangan dalam talian di Malaysia, berikut ialah laman web dan aplikasi yang popular untuk jualan tempatan:
Facebook Marketplace
Facebook Marketplace ialah laman jualan dalam talian daripada Meta yang membolehkan individu membeli, menjual dan mencari pelbagai barangan melalui Facebook.
Marketplace mempunyai komuniti pengguna yang besar dengan jumlah penyenaraian yang tinggi. Menurut Meta, lebih 3.5 juta penyenaraian baharu disiarkan setiap hari di Amerika Syarikat dan Kanada pada tahun 2026. Penyenaraian adalah percuma dan Meta tidak mengenakan sebarang yuran. Namun, anda perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan untuk menjual di platform ini.
Meta turut bekerjasama dengan platform seperti Shopify bagi membolehkan peniaga menyenaraikan produk serta menjangkau lebih ramai pelanggan baharu.
Yuran Facebook Marketplace
Jualan tempatan yang menggunakan kaedah pengambilan sendiri tidak dikenakan sebarang yuran di Facebook Marketplace.
Shopee
Shopee ialah antara platform jualan dalam talian yang paling popular di Malaysia. Platform ini membolehkan individu dan perniagaan menjual pelbagai jenis produk kepada pelanggan di seluruh negara.
Shopee menggalakkan pengguna menggunakan Jaminan Shopee serta mematuhi panduan keselamatan yang disediakan bagi membantu melindungi urus niaga dalam talian.
Lazada
Lazada ialah platform e-dagang yang menghubungkan penjual dengan pembeli di seluruh Malaysia. Platform ini membolehkan individu dan perniagaan menjual pelbagai jenis produk merentas pelbagai kategori.
Lazada turut menyediakan platform untuk menjual barangan dalam talian. Anda perlu mempunyai akaun Lazada untuk mula menjual serta mematuhi Terma dan Syarat yang ditetapkan ketika menjalankan urus niaga melalui platform ini.
TikTok Shop
TikTok Shop ialah platform e-dagang yang membolehkan penjual mempromosikan dan menjual produk melalui video pendek, siaran langsung dan halaman kedai. Pembeli pula boleh mencari serta membeli produk secara terus melalui kandungan yang dipaparkan dalam aplikasi.
PG Mall
PG Mall membolehkan pengguna meneroka pelbagai kategori produk, termasuk elektronik, kelengkapan rumah, fesyen, barangan runcit dan produk penjagaan diri. Pembeli boleh membeli produk secara terus melalui platform, manakala penjual boleh mengurus penyenaraian dan pesanan melalui akaun masing-masing.
PG Mall menyediakan Perkhidmatan Perlindungan Pembayaran untuk membantu mewujudkan persekitaran urus niaga yang selamat. Pembayaran kepada penjual akan dilepaskan selepas syarat penghantaran dan penerimaan pesanan dipenuhi.
Laman jualan dalam talian global terbaik
Berikut ialah antara laman terbaik untuk menjual barangan dalam talian kepada pelanggan di seluruh dunia:
AliExpress
Ditubuhkan pada tahun 2010, AliExpress merupakan pasaran e-dagang rentas sempadan milik Alibaba. Pengguna platform ini boleh menjual kepada individu atau perniagaan, sama ada dengan mengeluarkan produk sendiri atau menggunakan model perniagaan dropship AliExpress untuk kedai dalam talian mereka.
Anda dikenakan komisen tetap berdasarkan peratusan daripada jumlah harga jualan. Kadar komisen ini berbeza mengikut kategori, namun biasanya antara 5% hingga 8%.
Taobao
Taobao ialah laman jualan dalam talian yang ditubuhkan pada tahun 2003 dan telah berkembang menjadi pasaran dalam talian terbesar di dunia berdasarkan nilai dagangan kasar.
Alibaba.com
Alibaba.com ialah platform e-dagang global yang menghubungkan pembekal dan pengilang dengan pembeli dari seluruh dunia. Platform ini membolehkan perniagaan mendapatkan produk secara borong merentas pelbagai kategori daripada pembekal di seluruh dunia.
Temu
Temu ialah platform e-dagang global yang menawarkan pelbagai kategori produk pada harga yang kompetitif. Platform ini menghubungkan penjual dengan pembeli di pelbagai negara serta menyediakan pelbagai kategori produk, termasuk fesyen, elektronik, kelengkapan rumah, produk kecantikan dan banyak lagi.
DHgate
DHgate ialah platform e-dagang global yang menghubungkan pembekal dengan pembeli dari seluruh dunia. Platform ini membolehkan pembekal menawarkan pelbagai jenis produk merentas pelbagai kategori, termasuk elektronik, fesyen, barangan rumah, produk kecantikan dan banyak lagi.
Soalan lazim tentang laman jualan
Bagaimanakah saya boleh mula menjual dalam talian?
- Gunakan platform e-dagang untuk membina kedai dalam talian sendiri.
- Daftar sebagai penjual di platform jualan dalam talian seperti Shopee, Lazada atau TikTok Shop.
- Jual produk melalui platform media sosial seperti Facebook dan Instagram.
- Mulakan perniagaan dropship.
- Jual barangan terpakai melalui platform jualan semula seperti Carousell atau Mudah.my.
Apakah laman web terbaik untuk menjual barangan dalam talian?
- Kedai dalam talian sendiri
- Shopee
- Carousell
- Lazada
- Facebook Marketplace
- Mudah.my
- TikTok Shop
Di manakah saya boleh menjual barangan dalam talian secara percuma?
- Facebook Marketplace
- Mudah.my
- Carousell
Apakah laman terbaik untuk menjual barangan secara tempatan?
- Facebook Marketplace
- Carousell
- Mudah.my
- Lelong.my
- Shopee
- Lazada
- TikTok Shop
Apakah laman terbaik untuk menjual produk ke pasaran antarabangsa?
Bagi jualan ke pasaran antarabangsa, pertimbangkan platform berikut:
- Alibaba.com: Hubungkan pembekal dan pembeli dari pelbagai negara untuk jualan secara borong
- AliExpress: Jangkau pelanggan antarabangsa melalui platform e-dagang global
- DHgate: Jual pelbagai jenis produk kepada pembeli dari seluruh dunia melalui platform e-dagang global
- Kedai Dalam Talian Sendiri: Gunakan Shopify Markets untuk menjual dalam pelbagai mata wang dan bahasa
Apabila menjual ke pasaran antarabangsa, pertimbangkan faktor seperti penukaran mata wang, kos penghantaran dan peraturan tempatan. Membina jenama yang kukuh juga dapat membantu anda bersaing di peringkat global.
Patutkah saya menjual barangan di pasaran atau melalui kedai dalam talian sendiri?
Jawapan ringkas: gunakan kedua-dua pilihan. Walaupun pasaran memberi akses segera kepada pembeli, kedai dalam talian sendiri memberi anda kawalan yang lebih besar terhadap penjenamaan dan hubungan dengan pelanggan.
Kelebihan menjual di pasaran- Trafik sedia ada: Jangkau berjuta-juta bakal pelanggan sejak hari pertama
- Kepercayaan dan kredibiliti: Pembeli lebih yakin untuk membeli melalui platform yang sudah dikenali
- Kos permulaan lebih rendah: Mulakan jualan dengan cepat tanpa memerlukan pelaburan awal yang besar
- Kawalan jenama: Miliki kawalan penuh terhadap identiti jenama dan pengalaman pelanggan
- Data pelanggan: Miliki data pelanggan dan bina hubungan secara langsung dengan mereka
- Margin keuntungan lebih tinggi: Tiada yuran pasaran yang mengurangkan keuntungan bagi setiap jualan
- Fleksibiliti: Sesuaikan ciri, harga dan promosi mengikut keperluan tanpa sekatan
Pertimbangkan untuk bermula di pasaran bagi menguji sambutan terhadap produk dan menjana jualan awal. Pada masa yang sama, bina kedai dalam talian sendiri sebagai asas untuk mengembangkan perniagaan dalam jangka panjang.

