Pemasaran afiliasi telah berkembang menjadi industri bernilai berbilion dolar yang membuka peluang kepada pencipta kandungan dan perniagaan untuk menjana pendapatan. Inilah antara cara paling mudah untuk menjana pendapatan daripada kandungan anda sambil membina kerjasama dengan jenama yang anda gemari. Dengan 62% pemasar merancang untuk meningkatkan bajet pemasaran pempengaruh pada 2026, trend ini dijangka terus berkembang.
Pemasaran afiliasi begitu menarik kerana anda boleh mula menjana pendapatan pasif daripada kandungan yang dihasilkan, manakala kebanyakan program boleh disertai secara percuma. Anda tidak memerlukan modal permulaan atau stok. Apa yang diperlukan hanyalah khalayak yang mempercayai cadangan anda. Ramai usahawan memulakan pemasaran afiliasi sebagai kerja sampingan sebelum menjadikan pemasaran afiliasi sebagai sumber pendapatan sepenuh masa.
Panduan ini menerangkan semua yang perlu anda tahu untuk bermula. Anda akan mempelajari cara mencari program afiliasi terbaik, menghasilkan kandungan yang mendorong pembelian dan mula memperoleh komisen sebagai rakan afiliasi.
Apakah itu pemasaran afiliasi?
Pemasaran afiliasi ialah cara mudah untuk menjana pendapatan dengan mengesyorkan produk yang anda yakini. Syarikat akan membayar komisen apabila seseorang membuat pembelian melalui pautan rujukan unik anda.
Begini cara pemasaran afiliasi berfungsi. Apabila anda menyertai program afiliasi, anda akan menerima pautan penjejakan yang unik. Kongsi pautan tersebut dengan khalayak melalui kandungan yang anda hasilkan. Anda akan menerima komisen bagi setiap jualan yang terhasil melalui pautan rujukan itu.
Jenama hanya membayar komisen bagi jualan yang berjaya, manakala pencipta kandungan menerima ganjaran kerana mempromosikan produk afiliasi.
Jika anda ingin memulakan pemasaran afiliasi tetapi bimbang tentang kos permulaan, ketahui cara memulakan perniagaan pemasaran afiliasi tanpa modal.
Anda boleh menyertai program afiliasi secara terus melalui syarikat, bekerjasama dengan rangkaian afiliasi yang menghubungkan anda dengan pelbagai jenama, atau menyertai program afiliasi daripada pasaran seperti Program Afiliasi Shopee. Walau apa pun pilihan anda, proses pemasaran afiliasi secara umumnya merangkumi langkah berikut:
- Promosikan produk atau jenama melalui laman web, blog, atau saluran media sosial.
- Seseorang mengklik pautan afiliasi unik yang anda kongsi.
- Pelanggan membeli produk tersebut.
- Syarikat menjejaki jualan yang terhasil melalui pautan afiliasi anda.
- Anda menerima komisen.
Sebagai contoh, pencipta kandungan Farah Deluna mempromosikan jenama seperti HijabistaHub melalui TikTok. Beliau menghasilkan video padanan pakaian sebelum berkongsi pautan kepada produk yang dipaparkan dalam bio. Apabila penonton mengklik pautan tersebut dan membuat pembelian produk HijabistaHub, beliau memperoleh komisen.
URL tersebut mungkin kelihatan seperti halaman produk biasa, tetapi mengandungi kod penjejakan khas yang membolehkan syarikat mengenal pasti jualan yang terhasil daripada pautan afiliasi pencipta kandungan tersebut.
Pemasaran afiliasi adalah salah satu daripada beberapa cara untuk menjana pendapatan melalui pemasaran berasaskan prestasi. Selain itu, anda juga mungkin menemukan iklan kos setiap klik (CPC), yang memberi bayaran setiap kali seseorang mengklik pautan iklan anda, atau program bayar setiap prospek (PPL), yang memberi ganjaran apabila individu yang dirujuk mendaftar untuk menerima surat berita atau menambah barangan ke troli.
Berapakah pendapatan yang boleh diperoleh sebagai pemasar afiliasi baharu?
Pendapatan yang boleh diperoleh oleh pemasar afiliasi bergantung pada tiga faktor:
- Saiz khalayak anda.
- Jumlah trafik yang anda hantar kepada rakan afiliasi.
- Kadar komisen yang berjaya dirundingkan.
Kadar komisen berbeza mengikut program afiliasi. Program afiliasi produk bernilai tinggi mungkin menawarkan komisen yang lebih lumayan bagi setiap jualan, tetapi jualan biasanya berlaku dengan kurang kerap. Sebaliknya, produk harian biasanya menawarkan komisen antara 5% hingga 18%, namun berpotensi menjana jualan yang lebih konsisten.
Sesetengah jenama menawarkan struktur komisen yang berbeza, seperti bayaran tetap bagi setiap jualan atau bayaran berdasarkan jumlah trafik yang berjaya dihantar tanpa mengira sama ada pembelian dilakukan. Melalui platform seperti Shopify Collabs, jenama menetapkan kadar komisen masing-masing. Ini memberi peluang kepada anda untuk merundingkan kadar komisen yang lebih tinggi apabila prestasi anda terbukti.
Apakah manfaat pemasaran afiliasi?
Pemasaran afiliasi mengurangkan banyak halangan yang sering menyukarkan seseorang memulakan perniagaan:
- Tiada kos permulaan: Anda tidak perlu membeli stok, mencari ruang penyimpanan atau menguruskan penghantaran. Hanya sertai program afiliasi, dapatkan pautan unik, kongsi pautan tersebut dengan khalayak dan anda boleh memperoleh komisen setiap kali pembelian dibuat melalui pautan tersebut. Oleh sebab risiko kewangan yang rendah, anda bebas mencuba pelbagai jenis produk untuk mengetahui produk yang paling menarik minat pengikut.
- Potensi pendapatan pasif: Setelah berjaya membina aliran trafik yang stabil dan menjalin kerjasama dengan rakan afiliasi, pautan afiliasi boleh terus membantu anda memperoleh komisen. Sebagai contoh, seseorang mungkin membaca catatan blog anda yang diterbitkan enam bulan lalu, mengklik pautan afiliasi dan anda tetap memperoleh komisen walaupun ketika sedang tidur.
Pendapatan yang diperoleh bergantung pada tahap penglibatan khalayak. Oleh itu, anda perlu menghasilkan kandungan yang bermanfaat secara konsisten untuk membina kepercayaan dan menggalakkan khalayak terus kembali mendapatkan kandungan baharu.
Cara memulakan pemasaran afiliasi
Ikuti langkah demi langkah berikut untuk membina perniagaan pemasaran afiliasi:
- Pilih niche yang sesuai
- Pilih platform yang sesuai
- Cari program afiliasi yang sesuai
- Hasilkan kandungan yang bernilai
- Bina khalayak
- Patuhi peraturan FTC
1. Pilih niche yang sesuai
Niche ialah bidang kepakaran atau topik yang membantu anda dikenali dalam sesuatu bidang. Contohnya, tip pengembaraan, penjagaan haiwan peliharaan atau penyusunan rumah. Anda boleh meneroka ratusan niche pemasaran afiliasi. Kuncinya ialah memilih niche yang memenuhi tiga kriteria berikut:
1. Pilih sesuatu yang benar-benar anda minati. Anda akan menghasilkan kandungan berkaitan topik tersebut secara konsisten. Oleh itu, pilih niche yang benar-benar anda gemari. Jika anda gemar mencuba gaya solekan baharu, niche kecantikan mungkin pilihan yang sesuai.
2. Pilih niche yang membolehkan anda menyelesaikan masalah sebenar. Pemasar afiliasi yang berjaya biasanya berkongsi kepakaran atau pengalaman yang memberi manfaat kepada khalayak. Contohnya, seorang guru yang mengulas mainan pendidikan atau individu yang mempunyai kulit sensitif dan berkongsi pengalaman menggunakan produk penjagaan kulit yang sesuai untuk kulit sensitif. Pengalaman peribadi boleh menjadi kelebihan yang membezakan kandungan anda daripada orang lain.
3. Pilih niche yang mempunyai potensi menjana pendapatan. Jangan bimbang jika niche tersebut mempunyai ramai pesaing. Hal itu sebenarnya petanda yang baik. Terdapat khalayak yang sanggup berbelanja dan jenama yang bersedia menawarkan komisen kepada rakan afiliasi.
2. Pilih platform yang sesuai
Pilih platform untuk berhubung dengan khalayak sasaran. Jika anda baru memulakan pemasaran afiliasi, berikut ialah tiga pilihan yang boleh dipertimbangkan:
Mulakan blog
Blog sangat sesuai untuk menerbitkan ulasan produk yang terperinci, tutorial dan panduan perbandingan. Anda boleh menerangkan sebab anda mengesyorkan produk tertentu serta berkongsi pengalaman sendiri untuk membina kepercayaan pembaca.
Ramai pengguna masih ragu-ragu terhadap kandungan afiliasi. Oleh itu, tunjukkan hasil kajian atau pengalaman sebenar menggunakan produk. Daripada sekadar mengatakan "produk ini hebat," terangkan cara anda menguji produk dan jelaskan masalah yang berjaya diselesaikan oleh produk tersebut.
Mulakan dengan platform blog percuma, kemudian naik taraf apabila anda mula memperoleh komisen.
Bina kehadiran media sosial
Platform seperti Instagram dan TikTok membolehkan anda mempamerkan cara produk digunakan. Contohnya, Sofea Shra (sofeashra) menghasilkan kandungan kecantikan dan memperoleh komisen dengan mempromosikan jenama seperti Timephoria. Beliau menunjukkan cara menggunakan produk serta berkongsi hasil solekan menggunakan produk tersebut, sekali gus membina kepercayaan melalui demonstrasi.
Lancarkan saluran YouTube
Kandungan video membolehkan anda mempamerkan produk dengan lebih jelas sambil membina hubungan yang lebih erat dengan penonton. Anda boleh menambah pautan afiliasi ke dalam bahagian penerangan video atau menyertai program afiliasi YouTube (kelayakan memerlukan lebih daripada 10,000 pelanggan dan keahlian dalam YouTube Partner Program).
Peniaga Shopify boleh menyegerakkan produk terus ke YouTube melalui apl Google & YouTube. Ini memudahkan pencipta kandungan menandakan produk dalam video, manakala penonton boleh membeli produk semasa menonton. Contohnya, penggiat YouTube (YouTuber) Mia Maples mempromosikan pakaian sukan PopFlex melalui program afiliasi YouTube:
Platform manakah yang patut anda pilih?
Mulakan dengan platform yang paling anda selesa gunakan. Gemar menghasilkan video pendek? Cuba TikTok atau Instagram. Lebih gemar menulis panduan yang terperinci? Blog mungkin menjadi pilihan yang sesuai.
Apabila anda memilih platform yang anda fahami dan gemari, menghasilkan kandungan yang tulen menjadi lebih mudah. Dalam pemasaran afiliasi, keaslian memainkan peranan penting. Jika khalayak tidak mempercayai cadangan anda, mereka mungkin tidak akan membuat pembelian.
3. Cari program afiliasi yang sesuai
Pilih program yang sepadan dengan minat khalayak dan menawarkan kadar komisen yang berpatutan. Berikut ialah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memilih program afiliasi:
- Reputasi jenama. Bekerjasama hanya dengan syarikat yang dipercayai oleh khalayak. Rangkaian afiliasi seperti Shopify Collabs menghubungkan anda dengan peniaga yang bereputasi dan menghargai kerjasama dengan pencipta kandungan.
- Kadar komisen yang berpatutan. Kebanyakan program menawarkan komisen sekitar 10%, namun kadar tersebut berbeza mengikut industri. Sesetengah jenama turut meningkatkan kadar komisen apabila anda berjaya menjana lebih banyak jualan.
- Tempoh kuki. Tempoh kuki ialah jangka masa seseorang perlu melengkapkan pembelian selepas mengklik pautan afiliasi anda untuk melayakkan anda menerima komisen. Sebagai contoh, Amazon dan eBay menawarkan tempoh kuki selama 24 jam, manakala sesetengah jenama menawarkan tempoh sehingga 30 hari atau lebih.
- Pendapatan setiap klik (EPC) yang tinggi. Pendapatan setiap klik (EPC) menunjukkan purata pendapatan afiliasi bagi setiap 100 klik dalam sesuatu program. Banyak rangkaian afiliasi memaparkan metrik ini untuk membantu anda memilih program yang berpotensi menjana pendapatan lebih tinggi.
Tempat mencari program afiliasi
Mulakan dengan menghubungi jenama yang sudah anda kenali dan gunakan. Jika anda benar-benar mengesyorkan produk tersebut kepada rakan atau keluarga, anda akan lebih mudah menghasilkan kandungan yang tulen.
Anda juga boleh meneroka rangkaian afiliasi yang popular seperti berikut:
- Shopify Collabs: Pencipta kandungan boleh memohon terus melalui kedai dalam talian sesuatu jenama. Seterusnya, peniaga akan menjemput pemohon yang berjaya menyertai platform. Setiap jenama menetapkan kadar komisen dan tempoh kuki masing-masing.
- Amazon Associates: Peroleh komisen dengan mempromosikan produk Amazon. Kadar komisen bermula daripada 1% bagi kategori seperti barangan runcit, permainan video dan produk kesihatan, sehingga 10% bagi kategori seperti kecantikan mewah dan Amazon Explore. Tempoh kuki ialah 24 jam.
- Program Afiliasi Shopee: Program ini membolehkan pencipta kandungan memperoleh komisen dengan mempromosikan produk yang dijual di Shopee. Kadar komisen dan tempoh kuki bergantung pada kempen atau penjual yang mengambil bahagian.
- eBay Partner Network: Pasaran ini menawarkan komisen sehingga 4% dengan tempoh kuki 24 jam.
4. Hasilkan kandungan yang bernilai
Pengguna menghabiskan lebih daripada enam jam sehari di internet, tetapi itu tidak bermakna mereka akan terus memberi perhatian kepada kandungan anda. Untuk menarik minat mereka, hasilkan kandungan yang benar-benar memberi manfaat.
Elakkan kandungan yang terlalu berunsurkan jualan. Sebaliknya, selitkan produk afiliasi secara semula jadi dalam kandungan yang bermanfaat. Jika anda mengendalikan akaun fesyen, tampilkan produk afiliasi dalam tutorial padanan gaya. Jika anda menghasilkan kandungan kecergasan, gunakan produk afiliasi semasa menunjukkan rutin senaman. Kandungan yang dihasilkan seharusnya tetap bermanfaat walaupun tanpa pautan pembelian.
URL afiliasi biasanya mengandungi parameter UTM yang panjang untuk tujuan penjejakan. Oleh itu, gunakan alat pemendek URL atau alat pautan dalam bio (link-in-bio) bagi menjadikan pautan lebih ringkas dan kemas. Langkah ini membantu meningkatkan pengalaman pengguna serta memudahkan anda mengenal pasti platform yang menjana paling banyak klik melalui pautan pendek yang berbeza bagi setiap saluran.
Contohnya, Aishah Rahim berkongsi teknik solekan praktikal sambil memperkenalkan produk kecantikan secara semula jadi. Kandungan beliau membantu penonton mempelajari teknik solekan terlebih dahulu sebelum memudahkan mereka membeli produk yang digunakan.
Aishah Rahim turut berkongsi senarai produk yang disyorkan melalui TikTok Shop Showcase. Ciri ini membolehkan pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial menghimpunkan produk yang disyorkan di satu tempat, sekali gus memudahkan pengikut melihat dan membeli produk tersebut.
5. Bina khalayak
Membina khalayak memerlukan masa, tetapi strategi berikut dapat membantu anda menarik khalayak yang tepat:
- Untuk penulis blog: Mulakan membina senarai e-mel sejak hari pertama. Senarai pelanggan e-mel ialah aset yang sangat bernilai kerana anda boleh berhubung secara terus dengan pembaca. Hantar surat berita yang mengandungi tip berguna, kemas kini produk dan tawaran eksklusif. Berbeza dengan media sosial yang bergantung pada algoritma untuk menentukan siapa yang melihat kandungan anda, e-mel membolehkan anda berhubung terus dengan pembaca yang benar-benar berminat.
- Untuk pencipta kandungan media sosial: Bekerjasama dengan pencipta kandungan lain dalam niche yang sama untuk memperluaskan jangkauan khalayak. Berinteraksilah secara aktif di ruangan komen dan tunjukkan bahawa anda menghargai setiap soalan dan maklum balas daripada pengikut. Perhatikan kandungan yang mendapat sambutan dalam niche anda, tetapi jangan sekadar meniru orang lain. Sebaliknya, tampilkan perspektif atau pendekatan yang membezakan kandungan anda.
- Asas untuk semua: Terbitkan kandungan yang bernilai secara konsisten. Pastikan khalayak tahu bahawa mereka boleh bergantung pada anda untuk mendapatkan maklumat yang bermanfaat, sama ada melalui catatan blog mingguan atau tip media sosial harian.
Ingat, membina kepercayaan lebih penting daripada jumlah pengikut. Jangan mempromosikan produk secara sembarangan semata-mata untuk meraih keuntungan dengan cepat. Pencipta kandungan yang berjaya dalam jangka panjang ialah mereka yang membina hubungan yang tulen dengan pengikut.
6. Patuhi peraturan FTC
Di Amerika Syarikat, Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) mewajibkan pencipta kandungan mendedahkan apabila mereka memperoleh komisen daripada pautan afiliasi. Langkah ini membantu melindungi pengguna daripada pengiklanan tersembunyi serta meningkatkan kepercayaan terhadap industri pemasaran afiliasi. Di Malaysia pula, pendedahan kandungan berbayar dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui Malaysian Communications and Multimedia Content Code (CMCC). Sejak 2022, sebarang perkongsian antara jenama dan pempengaruh wajib didedahkan secara jelas kepada khalayak.
Maklumkan kepada khalayak dengan jelas apabila anda menggunakan pautan afiliasi dan menerima komisen. Pendedahan tersebut hendaklah mudah dilihat dan dinyatakan pada bahagian awal kandungan, bukannya tersembunyi dalam cetakan halus.
Contoh pendedahan yang lazim digunakan:
- "Catatan ini mengandungi pautan afiliasi. Saya akan menerima komisen jika anda membuat pembelian melalui pautan ini."
- "Sebagai Amazon Associate, saya memperoleh komisen daripada pembelian yang layak."
- "Saya mungkin menerima komisen daripada pembelian yang dibuat melalui pautan dalam catatan ini."
Ramai pencipta kandungan turut menjelaskan bahawa cadangan yang diberikan adalah berdasarkan pengalaman sebenar, contohnya: "Saya hanya mengesyorkan produk yang benar-benar saya gunakan dan saya percayai."
Jika anda menjalankan pemasaran afiliasi di luar Amerika Syarikat, semak peraturan tempatan berkaitan kandungan tajaan dan pendedahan pemasaran afiliasi. Setiap negara mempunyai keperluan yang berbeza, jadi pastikan kandungan mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di negara anda.
Bersikap telus tentang hubungan afiliasi membantu membina kepercayaan khalayak. Apabila pencipta kandungan bersikap jujur tentang cara memperoleh komisen, khalayak lebih yakin terhadap cadangan yang diberikan.
Mula menjana pendapatan dengan pemasaran afiliasi
Pemasaran afiliasi menawarkan cara berisiko rendah untuk mula menjana pendapatan dalam talian. Jika anda menghasilkan kandungan yang bernilai secara konsisten, anda boleh membina khalayak dan menjana komisen secara berterusan tanpa memerlukan modal permulaan yang besar.
Namun begitu, peluang sebenar bermula apabila anda berjaya mengembangkan khalayak tersebut menjadi perniagaan sendiri. Kevin Espiritu membuktikan perkara ini melalui Epic Gardening. Selepas membina pengikut yang setia menerusi kandungan dan komisen afiliasi, beliau menyedari bahawa potensi perniagaannya jauh lebih besar daripada yang disangkakan.
"Saya melihat situasi ini lalu berfikir, 'Mengapa saya hanya menerima tawaran daripada jenama yang saya gemari? Apakah yang sebenarnya mereka mahukan?'" jelas Kevin dalam Shopify Masters. "Mereka mahukan akses kepada khalayak saya, dan saya mempunyai akses tersebut. Jadi, mengapa tidak saya menawarkan sesuatu secara terus kepada khalayak tersebut?"
Kini Kevin mengendalikan perniagaan e-dagang yang berjaya dengan menjual tumbuhan dan kelengkapan berkebun. Beliau masih menghasilkan kandungan yang bermanfaat, tetapi bukan sekadar memperoleh komisen. Sebaliknya, beliau turut membina nilai perniagaan dan jenamanya sendiri.
Itulah kelebihan sebenar pemasaran afiliasi. Pemasaran afiliasi membantu anda membina khalayak serta memahami produk yang benar-benar ingin dibeli oleh mereka. Apabila kemahiran tersebut dikuasai, anda boleh membangunkan produk sendiri yang memberi manfaat kepada komuniti sambil membina perniagaan yang mampan untuk jangka panjang.
Soalan lazim pemasaran afiliasi untuk pemula
Bolehkah anda menjana RM100 sehari dengan pemasaran afiliasi?
Boleh, tetapi jumlah pendapatan bergantung pada saiz dan tahap penglibatan khalayak anda. Pemasar afiliasi yang baru bermula biasanya memperoleh komisen sehingga 30% bagi setiap jualan. Untuk menjana RM100 sehari, anda memerlukan khalayak yang mempercayai cadangan anda serta program afiliasi yang sepadan dengan minat mereka.
Bagaimanakah saya memulakan pemasaran afiliasi tanpa pengalaman?
Mulakan dengan menghubungi terus jenama yang sudah anda kenali dan gunakan, atau sertai platform afiliasi yang menghubungkan pencipta kandungan dengan peniaga. Fokus pada program yang berkaitan dengan niche anda dan pilih program yang menawarkan kadar komisen yang lebih tinggi. Platform seperti Shopify Collabs membolehkan setiap jenama menetapkan kadar komisen sendiri, yang selalunya memberikan pulangan yang lebih baik.
Bolehkah anda menjana RM10,000 sebulan melalui pemasaran afiliasi?
Anda boleh menjana RM10,000 sebulan melalui pemasaran afiliasi, tetapi anda memerlukan khalayak yang besar, aktif dan terlibat. Fokus pada program yang menawarkan kadar komisen tinggi serta promosikan produk yang benar-benar ingin dibeli oleh khalayak anda.
Bagaimanakah saya memulakan pemasaran afiliasi sebagai pemula?
- Pilih niche yang sesuai
- Pilih platform yang ingin digunakan
- Cari program pemasaran afiliasi yang berkaitan melalui rangkaian afiliasi
- Hasilkan kandungan yang bernilai
- Bina khalayak
- Patuhi peraturan pendedahan FTC atau peraturan tempatan yang berkaitan, seperti Malaysian Communications and Multimedia Content Code

