Memulakan perniagaan dropship ialah laluan yang mudah diceburi untuk menjadi usahawan.
Apabila pelanggan membuat pesanan daripada kedai dropship anda, pembekal akan menghantar produk terus kepada mereka, jadi anda tidak perlu menyimpan inventori atau menguruskan penghantaran.
Ikuti sembilan langkah ini untuk melancarkan perniagaan dropship anda. Atau, mulakan sekarang dengan panduan permulaan ini.
Cara memulakan perniagaan dropship
- Tentukan sama ada perniagaan dropship sesuai untuk anda
- Pilih niche perniagaan dropship
- Kaji pesaing
- Pilih pembekal
- Pilih produk dan tetapkan harga
- Bina kedai dalam talian
- Tentukan struktur perniagaan
- Uruskan kewangan
- Pasarkan perniagaan dropship anda
1. Tentukan sama ada perniagaan dropship sesuai untuk anda
Perniagaan dropship hanyalah salah satu cara untuk mengendalikan kedai dalam talian. Sebelum melangkah lebih jauh, luangkan masa untuk memastikan model perniagaan ini sejajar dengan matlamat anda.
Perniagaan dropship sesuai untuk mereka yang mempunyai kemahiran pemasaran dan ingin menjalankan kedai dengan pelaburan awal yang minimum. Oleh kerana anda tidak perlu menyimpan stok produk, perniagaan boleh dilancarkan hanya dengan sebuah kedai e-dagang dan pembekal produk.
Namun, kemudahan ini tidak terlepas daripada beberapa kelemahan. Peniaga dropship mungkin mempunyai akses yang terhad dengan produk dalam katalog mereka, menjadikan kawalan kualiti lebih mencabar. Persaingan juga boleh menjadi sengit kerana peruncit lain mungkin menjual barangan yang sama.
Jika anda merancang untuk menumpukan usaha pada pemasaran dan tidak berhasrat menjual produk unik buatan sendiri, perniagaan dropship mungkin pilihan yang tepat untuk anda.
2. Pilih niche perniagaan dropship
Niche ialah segmen tertentu dalam sesuatu pasaran. Anda boleh menyasarkan pelanggan dalam niche tersebut dengan menyesuaikan jenama dan pilihan produk kedai anda mengikut keutamaan mereka.
Memilih niche perniagaan dropship membantu anda mengenal pasti khalayak sasaran. Dengan pelanggan tertentu dalam fikiran, pencarian produk untuk dijual secara dropship menjadi lebih mudah.
Terdapat dua kaedah umum untuk memilih niche:
- Pilih niche yang anda mahir atau minati.
- Pilih niche berdasarkan permintaan pasaran.
Matlamat kaedah kedua ialah mencari niche dengan minat pelanggan yang tinggi dan peluang untuk bersaing. Anda boleh menilai permintaan pasaran melalui kajian kata kunci dan kajian produk.
Mencari niche melalui kajian kata kunci
Kajian kata kunci mendedahkan istilah carian yang popular dalam kalangan orang ramai dalam talian.
Alat seperti Google Trends, Facebook Audience Insights, dan Keywords Everywhere menunjukkan carian popular berkaitan produk yang boleh dilayan oleh kedai dalam talian anda.
Semasa menilai permintaan carian, perhatikan minat sejarah serta jumlah carian bulan ini untuk mencari niche yang mempunyai populariti berterusan dan semakin meningkat.
Sebagai contoh, pengasas eBike Generation, John Murphy, menggunakan kajian kata kunci untuk membina syarikat dropship bernilai USD3 juta (kira-kira RM13.5 juta) dengan mengenal pasti niche yang kurang dilayan dalam pasaran e-basikal: e-basikal untuk pemburu.
Mencari niche melalui kajian produk
Kajian produk membantu anda menemukan produk yang sedang popular dan memahami permintaan pengguna merentas kategori produk.
Banyak aplikasi perniagaan dropship membolehkan anda mencari produk mengikut jumlah pesanan, supaya anda dapat mengukur potensi jualan. Anda juga boleh berhubung dengan jenama Shopify melalui Shopify Collective untuk mengakses produk terpilih daripada pembekal yang mantap dengan maklumat harga dan penghantaran yang telus.
Gabungkan kajian produk dengan kajian kata kunci untuk mendapatkan gambaran menyeluruh tentang sesuatu niche perniagaan dropship. Tabiat pengguna berubah dengan pantas, jadi lakukan semakan berkala terhadap trend kata kunci dan populariti produk.
Untuk menyelaraskan perniagaan anda dengan ketersediaan produk, anda juga boleh memilih pembekal dropship terlebih dahulu sebelum menentukan niche.
3. Kaji pesaing
Analisis pesaing amat berguna apabila memulakan perniagaan dropship. Luangkan masa untuk mengumpul maklumat tentang kedai saingan dalam niche anda.
Dengan memerhati produk yang ditawarkan pesaing anda, terutamanya peniaga dropship lain, anda boleh mengenal pasti produk dan strategi pemasaran yang berpotensi. Semak halaman produk dan iklan media sosial mereka untuk melihat produk yang menarik minat pelanggan.
Lakukan kajian pesaing dengan tugasan berikut:
Lakukan carian Google
Mulakan dengan mencari kata kunci yang relevan dengan niche anda untuk melihat perniagaan yang muncul. Contohnya, jika anda memulakan perniagaan dropship dalam niche bekalan haiwan peliharaan, anda mungkin mencari "mainan haiwan peliharaan," "makanan haiwan peliharaan," atau "berus haiwan peliharaan."
Perhatikan dengan teliti perniagaan yang kerap muncul dalam hasil carian. Perniagaan tersebut berkemungkinan besar adalah pesaing utama anda. Untuk pandangan yang lebih mendalam, gunakan alat SEO.
Anda mungkin mendapati pesaing mengoptimumkan kandungan mereka untuk kata kunci ekor panjang, iaitu frasa yang lebih panjang dan spesifik yang dicari pelanggan. Kata kunci ekor panjang sering menjadi sasaran strategik bagi laman web perniagaan dropship yang lebih kecil.
Sebagai contoh, analisis pesaing anda mungkin mendedahkan bahawa kata kunci "kolar anjing" dikuasai oleh peruncit besar, manakala "kolar anjing LED" mempunyai persaingan yang lebih rendah. Maka, kata kunci "kolar anjing LED untuk anjing kecil" masih mempunyai ruang untuk perniagaan baharu anda.
Gunakan alat analisis pesaing
Alat analisis pesaing ialah cara lain untuk mengintip strategi saingan. Pantau sumber trafik, bilangan pelawat, dan penglibatan media sosial untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.
Contohnya, jika anda mendapati pesaing terlalu bergantung pada iklan berbayar, anda boleh mempertimbangkan kempen saingan, atau melabur lebih banyak dalam kandungan SEO. Jika mereka aktif di platform sosial yang anda terlepas pandang, mungkin sudah tiba masa anda membuka saluran di platform tersebut.
Layari media sosial
Ikuti halaman media sosial pesaing untuk memahami cara mereka berinteraksi dengan pengikut. Perhatikan jenis hantaran yang mendapat paling banyak suka, komen, dan perkongsian.
Contohnya, jika pesaing dalam niche bekalan haiwan peliharaan anda menjadi viral dengan video dandanan DIY, pertimbangkan untuk menghasilkan kandungan yang serupa. Perhatikan juga sebarang jurang, mungkin terdapat permintaan yang belum dipenuhi untuk kandungan tentang tip kesihatan haiwan peliharaan.
Semak pasaran dalam talian
Penjual di pasaran dalam talian dalam niche anda di platform seperti eBay, Amazon, dan Etsy turut menawarkan pandangan yang berguna.
Perhatikan berapa bilangan penyenaraian yang wujud untuk produk yang ingin anda jual. Jika pasaran kelihatan tepu, fikirkan cara untuk membezakan penyenaraian produk anda, sama ada dengan menurunkan harga atau menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih premium.
Rekodkan semua dapatan kajian pesaing anda dalam lembaran hamparan supaya mudah dicari dan dirujuk.
4. Pilih pembekal
Pembekal dropship menyediakan produk dan menguruskan pesanan pelanggan. Apabila anda membuat jualan, pesanan akan dimajukan kepada pembekal untuk pembungkusan dan penghantaran kepada pelanggan.
Memandangkan pembekal memainkan peranan penting dalam perniagaan dropship anda, pemilihan yang teliti amat diperlukan.
Pertimbangkan faktor berikut semasa mencari pembekal:
- Kelajuan penghantaran: Kaji masa penghantaran produk berdasarkan lokasi penyimpanan dan destinasi penghantaran utama. Cari pembekal yang mempunyai pusat pemenuhan tempatan dan perkongsian dengan syarikat kurier yang dipercayai.
- Kebolehpercayaan inventori: Semak amalan pengurusan inventori pembekal dan sistem untuk mengurangkan risiko kehabisan stok. Kehabisan stok yang kerap menyebabkan pesanan dibatalkan dan pelanggan kecewa.
- Pemulangan: Fahami dasar pemulangan dan bayaran balik pembekal. Prosedur pemulangan yang mudah akan memudahkan proses untuk anda dan pelanggan.
- Rekod prestasi: Baca ulasan pelanggan dan testimoni daripada peruncit lain. Semak pensijilan yang berkaitan dengan produk dan industri anda.
Jika anda mendapatkan produk dari luar negara, memahami tarif import dan kod HS amat penting untuk mengelakkan kos yang tidak dijangka dan kelewatan penghantaran yang boleh menjejaskan margin keuntungan serta kepuasan pelanggan.
Cari pembekal dengan Shopify Collective
Shopify Collective merupakan rangkaian pembekal percuma yang menghubungkan anda dengan jenama Shopify yang mantap, menawarkan produk berkualiti dengan pemenuhan yang boleh dipercayai. Berbeza daripada pembekal pasaran biasa, rakan kongsi Shopify Collective ialah peniaga Shopify yang telah menjalani proses saringan, sering menawarkan margin keuntungan 20–50% dan penghantaran yang lebih pantas.
Layari ribuan produk merentas kategori seperti pakaian, produk kecantikan, barangan rumah, dan elektronik. Pengguna yang layak boleh melihat maklumat pembekal terperinci, ulasan yang disahkan, dan kadar penghantaran sebelum berhubung dengan pembekal untuk mengimport penyenaraian produk terus ke kedai mereka.
5. Pilih produk dan tetapkan harga
Produk dalam kedai anda ditentukan oleh inventori pembekal. Ingat, kedai dropship pesaing mungkin mempunyai akses kepada produk dan pembekal yang sama, jadi penting untuk menyusun pilihan produk yang sesuai dengan khalayak niche anda.
Katalog produk yang dipilih dengan baik membuka peluang untuk jualan silang, iaitu menggalakkan pembeli menambah barangan pelengkap ke dalam troli mereka.
Semasa memilih produk daripada pembekal atau pasaran dropship, teliti ulasan daripada penjual lain serta rekod prestasi pembekal. Setelah mempunyai senarai pendek, pesan sampel produk untuk menilai kualiti dan konsistensi.
Pastikan pengalaman pelanggan yang memuaskan dengan menyimpan produk daripada pembekal yang terletak di rantau anda. Jika anda menjalin kerjasama dengan pembekal luar negara, pertimbangkan produk yang layak untuk perkhidmatan penghantaran ekspres seperti penghantaran ePacket.
Tetapkan harga produk dropship anda
Sama ada barangan elektronik, pakaian, atau mainan, anda memerlukan strategi penetapan harga untuk memastikan perniagaan dropship anda mampan dan membolehkan anda meraih keuntungan daripada setiap jualan.
Tidak kira titik harga, tetapkan margin keuntungan untuk setiap produk dengan mengira kos anda. Ini termasuk harga yang dibayar kepada pembekal dan perbelanjaan operasi lain. Seimbangkan angka ini dengan harga produk yang serupa di pasaran untuk memastikan kedai anda kekal berdaya saing.
6. Bina kedai dalam talian
Kedai dalam talian anda ialah hab perniagaan dropship, mempamerkan katalog produk dan memberi pelanggan cara untuk membeli barangan. Kedai ini juga menjadi destinasi trafik daripada iklan media sosial anda.
Selain halaman produk, kedai anda boleh memaparkan kandungan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan. Ini termasuk ulasan produk, panduan pengguna, panduan pembelian, dan catatan blog yang relevan. Kandungan tambahan bukan sahaja membantu pelanggan membuat keputusan, malah turut meningkatkan keterlihatan kedai dalam hasil enjin carian.
Pembina kedai Shopify membolehkan anda membina kedai dropship dengan sistem pembayaran yang mempunyai kadar penukaran terbaik di Internet serta penjenamaan tersuai. Cipta kedai anda dengan tema reka bentuk profesional yang menarik minat khalayak anda.
Tambahkan aplikasi perniagaan dropship ke kedai Shopify anda bagi memudahkan pengurusan produk dan pemprosesan pesanan.
7. Tentukan struktur perniagaan
Menulis rancangan perniagaan yang menggariskan matlamat dan strategi anda membantu untuk memastikan segala-galanya teratur semasa anda membina perniagaan dropship.
Sebagai sebahagian daripada perancangan, mendaftarkan perniagaan anda mungkin juga merupakan langkah yang perlu untuk menjamin kelangsungan jangka panjang perniagaan dropship anda.
Tiga struktur perniagaan yang lazim untuk perniagaan dropship ialah:
Pemilikan tunggal
Pemilikan tunggal dikendalikan oleh seorang individu. Di kebanyakan negara, menjalankan perniagaan pemilikan tunggal tidak memerlukan pemfailan dokumen cukai atau kertas kerja undang-undang yang rumit. Ini menjadikan pemilikan tunggal pilihan yang popular bagi peniaga dropship yang ingin memastikan segala-galanya ringkas dan berpatutan.
Namun, pemilikan tunggal tidak menawarkan perlindungan aset peribadi sekiranya perniagaan menghadapi masalah undang-undang.
Syarikat sendirian berhad (Sdn. Bhd.)
Menubuhkan perniagaan dropship sebagai syarikat sendirian berhad memisahkan kewangan peribadi daripada perniagaan — bukan sahaja lebih selamat, malah memudahkan perakaunan.
Berbanding pemilikan tunggal, syarikat sendirian berhad menawarkan manfaat cukai yang lebih fleksibel dan perlindungan liabiliti yang lebih baik. Walau bagaimanapun, anda perlu mematuhi keperluan pemfailan tambahan di SSM dan membayar yuran penubuhan.
Syarikat Berhad (Bhd.)
Banyak perniagaan yang sudah mantap ditubuhkan sebagai syarikat berhad (Bhd.) kerana perlindungan liabiliti yang menyeluruh. Syarikat berhad sesuai untuk perniagaan yang bercadang menawarkan saham kepada orang awam, namun proses penubuhan dan keperluan pematuhannya lebih kompleks dan mahal.
Sebelum memilih struktur perniagaan, adalah bijak untuk berunding dengan peguam atau akauntan bagi memahami pilihan yang paling sesuai dengan situasi anda.
Daftarkan perniagaan anda dengan SSM
Apa jua strukturnya, semua perniagaan di Malaysia perlu didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Nombor pendaftaran SSM diperlukan untuk memfailkan cukai, membuka akaun bank perniagaan, memohon lesen perniagaan, dan aktiviti perniagaan lain.
Daftar perniagaan anda secara dalam talian melalui portal MySSM atau hubungi cawangan SSM berdekatan.
8. Uruskan kewangan
Memisahkan perbankan peribadi daripada perniagaan dropship anda memudahkan perakaunan dan memastikan status kewangan perniagaan anda sentiasa jelas.
Pertimbangkan tugasan kewangan asas ini semasa memulakan perniagaan dropship:
Buka akaun semasa perniagaan
Buka akaun bank perniagaan untuk menerima hasil jualan. Akaun khusus untuk kedai dropship anda memudahkan penjejakan pendapatan dan perbelanjaan serta memastikan ketelusan kewangan.
Mohon kad kredit perniagaan
Pertimbangkan untuk mendapatkan kad kredit perniagaan bagi membayar pesanan produk, langganan perisian, yuran iklan, dan perbelanjaan lain. Langkah ini membantu memisahkan perbelanjaan peribadi dan perniagaan, serta boleh memberi anda ganjaran jika anda memilih kad yang menawarkan manfaat.
Semak keperluan lesen perniagaan tempatan
Walaupun anda beroperasi dari rumah, pihak berkuasa tempatan mungkin memerlukan lesen perniagaan. Keperluan berbeza mengikut lokasi, jadi semak dengan kerajaan tempatan anda untuk memastikan anda mematuhi semua undang-undang yang berkaitan.
Kutip cukai jualan
Di Malaysia, peniaga yang menjual produk atau perkhidmatan melebihi nilai ambang yang ditetapkan perlu mendaftar untuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Semak laman web JKDM untuk memahami keperluan pendaftaran SST yang berkaitan dengan perniagaan dropship anda.
Jika perniagaan anda sudah berdaftar SST, bersedialah untuk mengutip cukai daripada pelanggan yang layak dan meremitkannya kepada JKDM mengikut jadual yang ditetapkan.
9. Pasarkan perniagaan dropship anda
Setelah kedai dropship anda aktif, alihkan perhatian kepada pemasaran. Strategi pemasaran yang giat membawa trafik ke kedai anda akan memberikan perniagaan dropship anda peluang terbaik untuk berjaya.
Bangunkan strategi untuk saluran pemasaran penting ini:
- Iklan berbayar
- Pemasaran pempengaruh
- Pemasaran kandungan
- Komuniti
- Pemasaran mudah alih
- Pemasaran e-mel
Iklan berbayar
Eksperimen dengan iklan di Facebook, Instagram, TikTok, YouTube, dan Google. TikTok dan Kekili Instagram (Reels) terus menawarkan pulangan pelaburan yang kukuh untuk perniagaan berfokuskan produk, manakala iklan Google Shopping berkesan untuk menarik pencari yang mempunyai niat pembelian tinggi.
Menguji iklan di kedua-dua platform boleh membantu anda menentukan pendekatan yang paling berkesan.
Pemasaran pempengaruh
Bekerjasama dengan pempengaruh di platform seperti TikTok dan Instagram boleh meluaskan jangkauan dan kredibiliti anda, seterusnya berpotensi meningkatkan jualan.
Gunakan Shopify Collabs untuk berhubung dengan pempengaruh dalam niche anda dan bayar mereka menggunakan model pemasaran afiliasi berasaskan prestasi.
Pemasaran kandungan
Membangunkan strategi pemasaran kandungan boleh meningkatkan keterlihatan jenama anda. Pertimbangkan untuk memulakan blog di kedai Shopify anda, menghasilkan video tutorial, atau melancarkan podcast berkaitan niche anda. Kandungan yang berkualiti boleh mengekalkan penglibatan pelanggan selepas pembelian dan meningkatkan kedudukan carian anda dari semasa ke semasa.
Komuniti
Berinteraksi dengan kumpulan yang berminat dengan niche anda. Menyertai perbincangan di platform seperti Reddit dan Facebook Groups boleh membina kepercayaan dan memupuk hubungan, asalkan anda tidak terlalu berfokuskan jualan.
Pemasaran mudah alih
Jika anda berjaya membina senarai pelanggan, strategi pemasaran SMS (mesej teks) cenderung menerima tahap penglibatan yang tinggi. Pertimbangkan untuk mewujudkan kumpulan sembang VIP, menawarkan sokongan sembang langsung, atau menghantar mesej dengan kod promosi masa terhad.
Pemasaran e-mel
Pemasaran e-mel membantu untuk mengekalkan hubungan dengan pelanggan selepas mereka meninggalkan laman web anda. Menghantar e-mel peribadi dengan promosi dan maklumat berguna boleh menggalakkan pembelian berulang.
Kesilapan perniagaan dropship yang perlu dielakkan
Seperti mana-mana perniagaan runcit, mengendalikan kedai dropship datang dengan cabaran tersendiri. Elakkan kesilapan perniagaan dropship yang lazim ini untuk memastikan perniagaan anda terus berkembang:
Mengabaikan data jualan
Kesilapan biasa dalam kalangan peniaga dropship baharu ialah tidak memberi perhatian yang cukup kepada data jualan.
Pantau jualan secara berterusan, dan jangan takut untuk mengubah hala tuju kedai anda demi mengoptimumkan keuntungan.
Semak secara berkala:
- Produk yang laris dan yang tidak
- Amaun pulangan yang anda peroleh daripada iklan
- Produk yang menjana keuntungan paling tinggi
- Perkembangan trend jualan dari semasa ke semasa
- Sumber trafik pelanggan anda dan peranti yang mereka gunakan
Mengabaikan SEO
Sama ada pelanggan menemukan anda melalui Google atau media sosial, keterlihatan anda dalam talian amat penting kerana faktor tersebut mempengaruhi trafik dan jualan secara langsung.
Oleh itu, tidak mengusahakan pengoptimuman enjin carian (SEO) laman web anda boleh membataskan pertumbuhan. Pastikan anda memberi tumpuan kepada:
- Menghasilkan kandungan asli dan berguna untuk halaman produk
- Meningkatkan kelajuan pemuatan laman web anda
- Memastikan laman web anda mudah digunakan pada peranti mudah alih
Kedai Shopify dilengkapi dengan pemuatan pantas dan reka bentuk halaman yang responsif, memberikan laman web anda asas SEO yang kukuh. Gunakan Google Search Console untuk memantau prestasi laman web anda dalam hasil carian dan mengenal pasti bidang yang boleh diperbaiki.
Tidak merancang untuk pertumbuhan
Tidak membuat persediaan untuk berkembang boleh membantutkan perniagaan anda. Bina kedai anda untuk menampung jumlah pesanan tahun hadapan, bukan sekadar keperluan hari ini. Elakkan batasan seperti:
- Bergantung pada satu pembekal sahaja: Sentiasa cari alternatif untuk mengurangkan risiko dan memastikan produk sentiasa ada stok.
- Mengendalikan pesanan secara manual: Gunakan aplikasi dropship yang mengautomatikkan pemprosesan pesanan.
Salah satu kelebihan dropship ialah keupayaan untuk menerima jumlah pesanan yang semakin besar tanpa pelaburan yang ketara. Pastikan sistem yang betul sudah tersedia untuk mengendalikan lebih banyak pesanan apabila tiba masanya.
Mengabaikan pelanggan yang tidak berpuas hati
Walaupun peniaga dropship tidak berurusan dengan inventori secara langsung, mereka ialah titik hubungan utama untuk sokongan pelanggan. Gagal memberi perhatian kepada pelanggan, terutamanya mereka yang membuat aduan, boleh menyebabkan ulasan negatif dan kadar pemulangan yang tinggi.
Untuk meningkatkan pengalaman pelanggan anda:
- Tulis penerangan produk yang tepat
- Sediakan maklumat hubungan yang jelas
- Balas setiap soalan dan kebimbangan pelanggan
- Uruskan proses pemulangan dan bayaran balik dengan segera, sebelum menghubungi pembekal
Alat AI khidmat pelanggan dan chatbot terkini memberi anda keupayaan untuk memberi jawapan kepada pelanggan dengan serta-merta.
Mulakan perniagaan dropship anda pada tahun 2026
Dengan Shopify, memulakan perniagaan dropship tidak pernah semudah ini.
Mulakan percubaan percuma anda hari ini untuk membina kedai dan menghubungkan aplikasi perniagaan dropship popular, atau temukan produk berkualiti daripada jenama yang dipercayai dengan Shopify Collective.
Daripada penjual kali pertama hingga peruncit global, Shopify sesuai untuk semua orang. Lihat pelan dan harga.
Soalan lazim tentang cara memulakan perniagaan dropship
Bagaimanakah cara memulakan perniagaan dropship?
- Kenal pasti niche: Pilih segmen pasaran tertentu untuk disasarkan.
- Kaji pesaing: Analisis perniagaan yang berjaya dalam niche anda dan fahami sebabnya.
- Pilih pembekal dropship: Jalinkan kerjasama dengan pembekal yang boleh dipercayai dan menyimpan stok produk yang ingin anda jual.
- Bina kedai dalam talian: Reka dan bina laman web e-dagang untuk mempamerkan produk anda.
- Pasarkan perniagaan anda: Gunakan iklan media sosial dan kandungan menarik untuk menarik pelanggan.
Bagaimanakah cara mencari produk terbaik untuk perniagaan dropship?
Untuk mengenal pasti produk terbaik bagi perniagaan dropship anda, mulakan dengan memilih niche yang mempunyai permintaan tinggi tetapi persaingan yang rendah. Kaji trend dan minat pelanggan menggunakan alat seperti Google Trends, dan analisis data pasaran untuk menentukan produk yang menguntungkan.
Adakah perniagaan dropship benar-benar menguntungkan?
Perniagaan dropship boleh menjadi perniagaan yang menguntungkan kerana penjual tidak bertanggungjawab ke atas penghantaran atau pembuatan. Ramai peniaga dropship memperoleh lebih daripada USD100,000 (kira-kira RM450,000) setahun. Namun, kerana kemudahan untuk memulakan perniagaan dropship, persaingan dalam kalangan peniaga dropship sering kali sengit, sekali gus membataskan potensi margin keuntungan.

