Perniagaan dropship Amazon ialah saluran jualan yang boleh memberikan pulangan besar kepada usahawan.
Perniagaan dropship kini sudah menjadi model perniagaan arus perdana dan semakin popular untuk pelbagai kategori produk. Pasaran perniagaan dropship global melepasi USD464 bilion (kira-kira RM2.09 trilion) pada 2025 dan terus berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 22%, menandakan potensi jangka panjang yang kukuh untuk usahawan e-dagang.
Namun bagaimanakah sebenarnya perniagaan dropship Amazon berfungsi, dan bagaimanakah anda boleh menjadikan dropship menguntungkan untuk perniagaan e-dagang anda?
Teruskan membaca untuk mengetahui cara melakukan perniagaan dropship di Amazon, serta alat dropship ringkas yang boleh membantu anda mula menjual hari ini.
Apa itu perniagaan dropship Amazon?
Perniagaan dropship Amazon ialah model perniagaan tempat penjual menyenaraikan produk di Amazon tanpa menyimpan inventori. Apabila jualan berlaku, penjual membeli barangan daripada pembekal pihak ketiga yang menghantar terus kepada pelanggan.
Adakah Amazon membenarkan perniagaan dropship?
Amazon membenarkan perniagaan dropship di pasarannya selagi anda mematuhi peraturan berikut:
- Anda hendaklah menjadi satu-satunya penjual yang direkodkan untuk produk tersebut.
- Perniagaan anda mestilah tertera sebagai penjual pada slip pembungkusan, invois dan maklumat lain berkaitan produk.
- Semua maklumat yang mengenal pasti pembekal pihak ketiga hendaklah dialih keluar sebelum pesanan dihantar kepada pelanggan, bagi mengelakkan kekeliruan.
- Anda haruslah bertanggungjawab dalam menerima dan memproses pemulangan.
- Anda hendaklah mematuhi semua syarat perjanjian penjual dan dasar perniagaan dropship Amazon.
Perkara yang perlu diketahui penjual Amazon pada tahun 2026
1. Kredit fi untuk penjual baharu
Amazon menawarkan insentif untuk membantu penjual baharu mengurangkan kos awal. Manfaat ini dikaitkan dengan tindakan tertentu semasa anda menyediakan akaun, bukannya satu kredit tetap.
Sebagai contoh, penjual yang layak boleh memperoleh kredit untuk fi penghantaran masuk atau fi pemenuhan apabila menghantar inventori menggunakan pengangkut rakan kongsi Amazon. Sesetengah penjual baharu juga layak mendapat kadar diskaun Multi-Channel Fulfillment untuk penghantaran pertama mereka, yang boleh mengurangkan kos pemenuhan apabila menjual di saluran lain.
Insentif yang tersedia berbeza mengikut penjual dan tamat tempoh selepas tempoh tertentu, jadi sebaiknya semak kelayakan anda terus di Seller Central sebelum melancarkan perniagaan.
2. Kos promosi lebih tinggi semasa acara kemuncak
Model fi promosi Amazon berubah pada tahun 2025. Pada hari biasa, Lightning Deals dan Best Deals kini menggunakan model hibrid yang menggabungkan fi harian dengan peratusan berasaskan jualan. Model ini menggantikan fi tetap lama dan menjadikan kos tawaran jangka panjang lebih berubah-ubah.
Semasa acara jualan besar seperti Prime Day, Black Friday dan Cyber Monday, penjual membayar fi premium tetap untuk Lightning Deals (sekitar USD500 - kira-kira RM2,250) dan Best Deals (sekitar USD1,000 - kira-kira RM4,500), yang secara amnya lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
3. Penamatan pengecualian duti de-minimis AS bernilai USD800 (kira-kira RM3,600)
Mulai tahun 2025, peraturan import AS mengubah cara penghantaran bernilai rendah dikendalikan di kastam. Pengecualian de-minimis USD800 (kira-kira RM3,600) yang telah lama berkuat kuasa, sebahagian besarnya telah dimansuhkan, jadi banyak bungkusan yang dahulunya masuk tanpa duti kini perlu melalui kastam dan membayar duti.
Penghantaran melalui pengangkut swasta seperti FedEx, UPS dan DHL dikenakan kadar tarif penuh. Bungkusan pos pula mendapat tempoh tangguh fi tetap selama enam bulan.
Bagi peniaga dropship Amazon, kos import untuk inventori berharga rendah dari China dan kebanyakan negara lain telah meningkat, jadi penting untuk mengambil kira duti dalam penetapan harga dan strategi perniagaan dropship keseluruhan anda.
Sehingga Oktober 2025, Malaysia dan AS telah memeterai perjanjian perdagangan baharu yang tidak menghalang kerjasama berterusan dengan China. Memandangkan maklumat sentiasa berubah, manfaatkan kalkulator terbina dalam Shopify untuk cukai dan duti.
4. Alat AI generatif percuma untuk penyenaraian dan video
Pada tahun 2025, Amazon melancarkan Enhance My Listing (EML), iaitu ciri Seller Central yang menganalisis penyenaraian sedia ada dan mencadangkan tajuk, poin ciri dan atribut yang lebih terkini.
AI ini memanfaatkan cerapan beli-belah Amazon dan terbukti meningkatkan skor kualiti penyenaraian sebanyak 40% berbanding versi sebelum AI. Penjual hanya perlu memuat naik satu foto produk, dan EML akan mencipta salinan halaman produk yang sedia untuk diterbitkan.
Cara mula perniagaan dropship di Amazon dalam 6 langkah
- Daftar akaun penjual Amazon
- Dapatkan kelulusan dalam kategori produk anda (jika perlu)
- Log masuk ke kedai Shopify anda
- Sambungkan akaun Amazon anda ke Shopify
- Cipta penyenaraian produk Amazon
- Promosikan produk anda di Amazon
Bersedia untuk bermula? Ikuti enam langkah ini untuk menyambungkan Amazon dengan kedai Shopify anda dan mulakan perniagaan dropship.
1. Daftar akaun penjual Amazon
Untuk menjual di Amazon, anda perlu mencipta akaun penjual Amazon. Layari sellercentral.amazon.com untuk mendaftar.
Anda akan diminta untuk memberikan maklumat berikut tentang perniagaan anda:
- Alamat e-mel perniagaan
- Kad kredit yang diterima di peringkat antarabangsa
- Kad pengenalan kerajaan
- Maklumat cukai
- Nombor telefon
- Akaun bank untuk menerima hasil jualan
2. Dapatkan kelulusan dalam kategori produk anda (jika perlu)
Amazon memerlukan penjual mendapatkan kelulusan untuk jenis produk tertentu. Barangan koleksi, muzik dan jam tangan ialah kategori popular yang memerlukan kelulusan sebelum anda menyediakan kedai Amazon. Semak gambaran keseluruhan kategori produk untuk mengetahui sama ada anda memerlukan kelulusan untuk produk yang ingin anda jual secara dropship.
Perlu diingat bahawa sesetengah produk mungkin memerlukan kelulusan walaupun kategori produk tersebut tidak memerlukan sedemikian. Untuk menyemak sama ada produk individu memerlukan kelulusan, cari dalam senarai ini dan klik Show Limitations.
Jika anda sedang mencari produk untuk anda jual secara dropship, cuba Product Opportunity Explorer Amazon. Alat ini boleh membantu anda menilai trend permintaan pelanggan untuk produk di Amazon sebelum anda membeli inventori atau membuat komitmen dengan pembekal.
3. Log masuk ke kedai Shopify anda
Jika anda belum mempunyai kedai Shopify, mulakan percubaan percuma. Perniagaan dropship melalui kedai Shopify membantu untuk mengurus keseluruhan proses, daripada penyegerakan produk hingga penyambungan dengan pembekal dan penjejakan pesanan.
4. Sambungkan akaun Amazon anda ke Shopify
Setelah mencipta akaun Amazon dan memohon sebarang kelulusan yang diperlukan, sambungkan kedai Amazon anda ke Shopify menggunakan aplikasi integrasi Amazon daripada Shopify App Store.
Aplikasi integrasi Amazon menjadi jambatan antara Amazon dan Shopify. Dengan aplikasi ini, anda boleh mengautomatikkan pemenuhan pesanan, memberikan pelanggan maklumat penjejakan terkini dan menyegerakkan inventori produk.
Aplikasi ini membantu mengautomatikkan pemenuhan dan memastikan inventori sentiasa selaras supaya lebih mudah untuk berkembang setelah anda menemukan pembekal perniagaan dropship yang memenuhi keperluan anda.
Berikut ialah beberapa aplikasi yang boleh anda gunakan:
Setelah memilih dan memasang aplikasi, anda boleh mencipta penyenaraian untuk produk anda dan mengurus jualan merentas kedua-dua platform.
5. Cipta penyenaraian produk Amazon
Produk perniagaan dropship anda tidak akan tersenarai secara automatik di Amazon selepas anda menambah aplikasi integrasi. Untuk mengurus penyenaraian perniagaan dropship Amazon anda dengan Shopify, terdapat tiga pilihan:
- Pautkan penyenaraian Shopify anda kepada penyenaraian Amazon menggunakan aplikasi integrasi.
- Pautkan penyenaraian Amazon sedia ada ke kedai Shopify anda.
- Cipta penyenaraian baharu untuk produk baharu di Amazon.
Jika anda masih baharu dalam Amazon dan perniagaan dropship, anda mungkin tidak dapat menyenaraikan banyak produk dengan segera. Amazon mengehadkan bilangan nombor ID Amazon baharu (ASIN) yang boleh anda cipta setiap minggu sehingga anda menjadi penjual yang mantap.
6. Promosikan produk anda di Amazon
Walaupun pilihan pemasaran di pasaran ini terhad, terdapat beberapa cara untuk mempromosikan produk di Amazon.
Laksanakan kempen iklan Sponsored Product
Jika anda mempunyai bajet pemasaran, pertimbangkan untuk berbelanja pada iklan Sponsored Product. Program iklan Amazon beroperasi berdasarkan model kos per klik (CPC) yang akan meletakkan produk anda pada kedudukan yang lebih baik dalam hasil carian.
Optimumkan penyenaraian anda
Memandangkan semua halaman produk Amazon berkongsi susun atur yang sama, ciri seperti tajuk produk, imej dan poin ciri "Perihal Produk Ini" memerlukan perancangan yang teliti. Perlu diingat bahawa pelanggan anda akan meneliti halaman anda sepintas lalu dan membandingkan produk anda dengan produk yang serupa.
Gunakan media sosial
Tiada sekatan untuk mempromosikan pautan Amazon di kebanyakan platform media sosial. Ini bermakna anda boleh mencipta Kekili Instagram untuk mempamerkan produk anda, atau melancarkan kempen iklan Facebook.
Menangi Featured Offer (dahulunya Buy Box)
Pada penyenaraian Amazon yang dikongsi, platform ini menganugerahkan Featured Offer kepada penjual yang menawarkan pengalaman pelanggan terbaik secara keseluruhan. Faktor seperti harga yang bersaingan, pemenuhan yang pantas dan boleh dipercayai, metrik penjual yang kukuh serta ketersediaan inventori, semuanya memainkan peranan.
Menggunakan Fulfillment by Amazon (FBA), mengekalkan harga yang konsisten dan memastikan prestasi akaun dalam status yang baik boleh meningkatkan peluang anda untuk memenangi Featured Offer dan meraih lebih banyak jualan.
Berapakah kos berniaga secara dropship di Amazon?
Fi penjual Amazon berbeza mengikut jenis produk tetapi biasanya antara 8% hingga 20%. Jika anda beroperasi dengan margin kecil semasa menjual produk Amazon secara dropship, fi ini boleh mengurangkan keuntungan anda.
Kategori produk dengan fi penjual terendah termasuk peralatan rumah, elektronik pengguna, alat dan produk automotif.
Walau bagaimanapun, oleh sebab Amazon mengenakan fi sebagai peratusan daripada jumlah harga, amaun fi sebenar akan berbeza bergantung pada kos keseluruhan sesuatu barangan. Untuk semua jenis produk, Amazon mengenakan fi minimum sebanyak USD0.30 (kira-kira RM1.35).
Untuk menjual di Amazon, anda juga perlu membeli pelan jualan. Pelan Individu Amazon berharga USD0.99 (kira-kira RM4.50) setiap unit yang dijual, manakala pelan Profesional berharga USD39.99 (kira-kira RM180) sebulan, tanpa mengira bilangan produk yang anda jual.
Adakah perniagaan dropship Amazon menguntungkan?
Terdapat banyak kelebihan perniagaan dropship Amazon, dan model ini boleh menguntungkan. Kebanyakan jualan Amazon dilakukan oleh penjual bebas, termasuk peniaga dropship, yang tidak perlu risau tentang inventori tidak terjual atau kos penghantaran yang tidak menentu.
Margin perniagaan dropship boleh mencapai sehingga 40%, bermakna terdapat banyak ruang untuk meraih keuntungan. Namun ingat, Amazon akan mengenakan fi rujukan ke atas jualan. Kejayaan anda sebagai peniaga dropship juga bergantung pada keberkesanan strategi pemasaran anda.
Cara memilih pembekal perniagaan dropship
Kelebihan daya saing utama anda berbanding peniaga dropship Amazon yang lain ialah harga, dan selain mengurangkan margin keuntungan anda setakat yang boleh, cara terbaik untuk mengatasi penjual lain dalam niche perniagaan dropship anda ialah bekerjasama dengan pembekal yang tepat.
Berikut ialah perkara yang perlu dicari dalam pembekal perniagaan dropship:
- Pembekal menawarkan penghantaran yang boleh dipercayai ke lokasi pelanggan anda.
- Mereka menyimpan stok pelbagai produk dalam niche anda dengan kualiti setanding atau lebih baik daripada pesaing.
- Tiada tanda amaran perkhidmatan pelanggan atau ulasan negatif yang kerap.
- Fi setiap pesanan yang rendah dan tidak akan menghakis margin keuntungan anda.
- Peniaga dropship berjaya yang lain turut menggunakan pembekal tersebut.
- Pembekal mampu bersaing dengan purata masa penghantaran dalam niche anda.
- Mereka menawarkan sokongan pelanggan secara langsung untuk perniagaan anda.
Disebabkan populariti perniagaan dropship dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan perkhidmatan pembekal perniagaan dropship palsu atau berniat jahat. Ikuti panduan perniagaan dropship terkini untuk mengelakkan pemborong yang mengenakan fi yang tidak sepatutnya.
Untuk pembekal yang boleh dipercayai, pertimbangkan Shopify Collective—rangkaian pembekal terpilih Shopify sendiri yang menghubungkan anda dengan jenama Shopify yang disahkan, menawarkan produk berkualiti dengan margin yang lebih baik. Anda juga boleh meneroka aplikasi perniagaan dropship yang menyediakan akses kepada ribuan pembekal yang disahkan di seluruh dunia, termasuk pilihan seperti DropCommerce untuk pembekal Amerika Utara dan Syncee untuk sumber global.
Perisian perniagaan dropship Amazon terbaik
Alat dalam senarai ini bertujuan untuk membantu anda bermula dengan perniagaan dropship Amazon:
MerchantWords
Perisian ini menyemak volum carian dan data untuk kata kunci produk.
Harga: Pelan berbayar bermula pada USD35 (kira-kira RM158) sebulan.
Sellery
Perisian penetapan harga semula Amazon secara masa nyata ini mencadangkan strategi penetapan harga untuk memenangi Featured Offer dan meningkatkan jualan.
Harga: Anda boleh menggunakan versi percubaan secara percuma. Pelan berbayar ialah 1% daripada jualan kasar bulanan anda, dengan fi minimum USD50 (kira-kira RM225) sebulan.
FeedCheck
FeedCheck memantau ulasan pelanggan untuk membantu anda bertindak balas dengan segera merentas Amazon dan saluran jualan lain. Selain itu, perisian ini membolehkan anda memantau ulasan dan soalan produk pesaing supaya anda boleh menganalisis dan menambah baik penerangan produk anda sendiri.
Harga: Disediakan atas permintaan.
Cara menjalankan perniagaan dropship Amazon tanpa modal
Kebanyakan peniaga dropship membelanjakan wang untuk membina perniagaan mereka, melabur dalam aset seperti kedai dalam talian, penciptaan kandungan, pengiklanan dan perisian pemasaran atau pengurusan. Namun, anda boleh mulakan perniagaan dropship di Amazon tanpa membelanjakan sepeser pun.
Pilih pelan Penjual Individu
Berbeza dengan pelan Penjual Profesional Amazon yang merupakan langganan berbayar, pelan Penjual Individu dikenakan caj mengikut setiap barangan yang dijual, jadi anda tidak akan dikenakan bayaran sebelum membuat jualan.
Pilih pembekal tanpa kos pendahuluan
Kebanyakan pembekal perniagaan dropship yang bereputasi baik tidak akan mengenakan fi pendahuluan untuk menjalankan perniagaan dengan anda. Ini bermakna anda tidak perlu membayar pembekal sehingga anda membuat jualan dan menerima bayaran daripada pelanggan.
Uji produk anda
Jika anda mampu membelanjakan sedikit wang, pertimbangkan untuk membeli produk yang ingin anda jual. Dengan memegang, melihat dan mencuba produk secara fizikal, anda boleh menguji kualiti produk tersebut dan mencipta kandungan pemasaran yang lebih berkualiti.
Cipta kandungan sendiri
Tulis penerangan dan ulasan produk anda sendiri, ambil foto produk sendiri dan cipta video demonstrasi produk menggunakan telefon anda.
Tidak dinafikan bahawa kandungan pemasaran buatan sendiri memakan masa. Selain itu bergantung pada kemahiran penulisan serta penerbitan anda, mungkin sukar untuk menandingi kualiti salinan dan imej profesional.
Walau bagaimanapun, dengan meneliti kandungan pesaing anda dan menyelidik pelanggan sasaran secara mendalam, anda boleh menghasilkan kandungan yang berkesan - kandungan yang menyampaikan butiran utama produk anda, sekali gus menjelaskan manfaat membeli produk tersebut kepada pelanggan anda.
Manfaatkan saluran pemasaran organik
Saluran pemasaran organik ialah cara paling mudah diakses untuk mempromosikan produk anda tanpa membelanjakan wang untuk pengiklanan.
Platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok ialah alat yang mantap untuk menyebarkan kesedaran tentang produk anda, sekiranya kandungan anda mampu mengimbangi hiburan dan promosi. Luangkan masa untuk mengikuti trend terkini dan berikan sentuhan tersendiri pada meme popular.
Strategi pemasaran SEO melibatkan pengoptimuman kandungan anda untuk mendapat kedudukan yang lebih tinggi dalam hasil enjin carian. Dengan memasukkan kata kunci yang relevan dalam penerangan produk dan menjadikan kandungan anda benar-benar bermanfaat, anda berpeluang untuk muncul dengan lebih kerap dalam carian Amazon dan Google.
Menjalankan perniagaan dropship dengan kedai dalam talian sendiri
Alternatif kepada perniagaan dropship produk Amazon melalui pasaran pihak ketiga ialah memulakan kedai dalam talian sendiri untuk menyenaraikan dan mempromosikan produk anda.
Menggunakan kedai anda sendiri boleh menjadi model perniagaan dropship yang lebih berjaya dalam jangka panjang. Ini kerana kedai sendiri memberikan anda lebih kawalan terhadap khidmat pelanggan serta fleksibiliti dalam pemasaran dan penjenamaan.
Peralihan ini ialah sesuatu yang dialami oleh ramai pemilik perniagaan apabila mereka berkembang maju. Seperti yang dijelaskan oleh Louise Verity, pemilik Bookishly, di Shopify Masters, penting untuk bergantung pada pemasaran sendiri juga.
"Saya tidak boleh bergantung sepenuhnya pada pemasaran orang lain," kata Louise. "Saya akan terus menjual di pasaran selagi berbaloi, tetapi saya tidak boleh bergantung sepenuhnya pada laman web orang lain. Apabila anda sudah mempunyai kakitangan dan tanggungjawab sebenar, tahap kawalan itu amat penting."
Kelebihan perniagaan dropship dengan kedai dalam talian sendiri
Lebih kawalan
Apabila anda membina kedai dalam talian sendiri, anda boleh mencipta persekitaran beli-belah yang kondusif untuk menjual produk anda. Anda boleh menyesuaikan rupa dan susun atur, serta mencipta halaman produk tersuai yang dioptimumkan untuk pelanggan dan niche anda.
Reka bentuk yang mudah
Dengan pembina kedai seperti Shopify, tiada halangan untuk mereka bentuk dan menjalankan kedai sendiri. Setelah laman web anda beroperasi, mudah sahaja untuk menambah ciri tambahan yang meningkatkan kadar penukaran anda.
Dalam masa sehari, anda boleh mencipta kedai, menjenamakan kedai tersebut, menambah produk anda dan menyambungkan gerbang pembayaran untuk membuat jualan pertama.
Mesra mudah alih
Jangan halang pelanggan anda daripada membeli-belah melalui peranti mudah alih mereka. Jika anda memilih untuk membina kedai dalam talian dengan platform e-dagang, laman anda akan bersifat responsif. Ini bermakna laman web anda akan menyesuaikan diri dengan saiz skrin yang pelbagai.
Tiada fi pihak ketiga
Dengan kedai sendiri, anda tidak perlu membayar fi rujukan Amazon. Ini akan meningkatkan margin keuntungan anda dengan ketara.
Membina perniagaan sebenar
Dengan mencipta kedai tersendiri, anda sedang membangunkan perniagaan jangka panjang dengan identiti jenama yang tersendiri. Hal ini membuka peluang bagi anda mendapatkan pelanggan tetap yang setia. Pelanggan yang akan menceritakan kepada orang lain tentang laman web anda.
Lebih banyak pilihan penghantaran dan pembekal
Apabila anda menjalankan perniagaan dropship di laman web sendiri, anda boleh membina hubungan dengan pemborong yang berbeza dan mengakses rangkaian pembekal khusus. Ekosistem perniagaan dropship Shopify merangkumi aplikasi yang menghubungkan anda dengan pembekal yang menawarkan masa penghantaran yang lebih pantas, produk yang berkualiti lebih tinggi dan margin keuntungan yang lebih baik berbanding banyak pembekal Amazon. Anda juga boleh mendapatkan produk daripada Shopify Collective, rangkaian terpilih Shopify yang terdiri daripada jenama domestik yang disahkan dengan pemenuhan terus dan tanpa memerlukan inventori.
Kelemahan perniagaan dropship dengan kedai dalam talian sendiri
Tiada trafik percuma
Dengan laman web sendiri, anda bertanggungjawab menjana trafik melalui pemasaran, media sosial, SEO dan pengiklanan berbayar. Hal ini boleh menjadi beban besar jika anda tidak mempunyai masa atau sumber untuk menangani sebahagian atau semua elemen ini dalam menjalankan perniagaan e-dagang sendiri.
Cara lain untuk menjual di Amazon
Jika anda mahukan kehadiran penjual di Amazon tetapi merasakan perniagaan dropship tidak sesuai untuk anda, terdapat pilihan lain. Dua cara popular untuk menjual di Amazon selain perniagaan dropship ialah pemasaran afiliasi dan Fulfillment by Amazon.
Pemasaran afiliasi Amazon
Program pemasaran afiliasi Amazon, dikenali sebagai Amazon Associates, ialah alternatif percuma dan popular kepada perniagaan dropship. Afiliasi Amazon mempromosikan produk yang dijual di Amazon melalui laman web, iklan atau siaran media sosial mereka sendiri.
Apabila pelawat laman web atau pengguna media sosial mengklik pautan afiliasi, mereka dibawa ke Amazon untuk membuat pembelian. Afiliasi menerima komisen setiap kali mereka berjaya memujuk pelanggan membeli produk melalui pautan afiliasi.
Kadar komisen berbeza mengikut kategori produk, tetapi kebanyakannya antara 3% hingga 5%. Untuk menjadi afiliasi Amazon, semak terlebih dahulu sama ada laman web atau akaun media sosial anda memenuhi kriteria kelayakan.
Amazon FBA (Fulfillment by Amazon)
Amazon juga mempunyai pusat pemenuhan sendiri, dikenali sebagai Fulfillment by Amazon.
Dengan model ini, anda menghantar produk anda ke pusat FBA Amazon. Amazon menguruskan penyimpanan, pembungkusan dan penghantaran produk kepada pelanggan. Khidmat pelanggan dan pemulangan pesanan juga dikendalikan oleh Amazon.
Walaupun ini boleh menjimatkan banyak masa dan usaha, FBA disertakan dengan pelbagai fi, termasuk fi penyimpanan dan fi pemenuhan.
Amazon FBA berbanding perniagaan dropship
Amazon FBA dan perniagaan dropship Amazon ialah model pemenuhan yang membolehkan anda menyenaraikan dan menjual produk tanpa menyimpan inventori.
Perbezaan antara FBA dan perniagaan dropship ialah dengan FBA, Amazon akan menyimpan, membungkus dan menghantar produk anda. Manakala perniagaan dropship, pembekal pihak ketiga pilihan anda mengendalikan pengurusan inventori dan pemenuhan pesanan.
Kembangkan perniagaan dropship anda hari ini dengan Shopify
Perniagaan dropship Amazon boleh menjadi cara terbaik untuk meningkatkan jualan perniagaan anda, sama ada anda sudah mantap atau baru bermula. Jika anda memilih untuk memasukkan kaedah perniagaan dropship ini dalam kedai Shopify anda, terdapat banyak alat yang sedia membantu anda dengan pemenuhan perniagaan dropship, penyumberan, penetapan harga dan pemasaran.
Pertimbangkan untuk mempelbagaikan asas pembekal anda dengan aplikasi perniagaan dropship Shopify bagi mengurangkan kebergantungan pada mana-mana satu platform, dan pastikan anda juga menyemak beberapa tip perniagaan dropship terbaik.
Soalan lazim perniagaan dropship Amazon
Adakah perniagaan dropship Amazon menguntungkan?
Perniagaan dropship boleh menjadi model perniagaan yang menguntungkan. Ramai usahawan memperoleh pendapatan yang baik daripada perniagaan dropship di Amazon. Walau bagaimanapun, kejayaan bergantung pada mengenal pasti niche yang menguntungkan, mendapatkan produk berkualiti dan memasarkan perniagaan dengan berkesan.
Adakah perniagaan dropship Amazon sah di sisi undang-undang?
Perniagaan dropship Amazon adalah sah di sisi undang-undang. Peniaga dropship harus mematuhi dasar Amazon, termasuk menjadi penjual yang direkodkan untuk produk dan bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan pemulangan pelanggan.
Adakah perniagaan dropship Amazon-ke-eBay dibenarkan?
Perniagaan dropship dibenarkan di eBay, tetapi menyenaraikan produk di eBay dan kemudian membeli produk tersebut daripada Amazon untuk dihantar terus kepada pelanggan adalah tidak dibenarkan. Penjual boleh beroperasi di kedua-dua platform, namun mereka tidak boleh menggunakan Amazon untuk memenuhi pesanan eBay.
Adakah perniagaan dropship Amazon FBA berbaloi?
Menggunakan Amazon FBA untuk dropship boleh menjadi pilihan yang berbaloi jika Amazon merupakan saluran jualan utama dan perniagaan anda tidak mempunyai sumber untuk menyimpan, membungkus dan menghantar pesanan. FBA membolehkan penjual memulakan dan mengembangkan perniagaan dengan kos overhed yang lebih rendah.
Bolehkah anda menjalankan perniagaan dropship secara percuma di Amazon?
Menjual di Amazon, termasuk perniagaan dropship, memerlukan akaun penjual Amazon. Pelan Profesional berharga USD39.99 (kira-kira RM180) sebulan, manakala Pelan Individu dikenakan USD0.99 (kira-kira RM4.50) bagi setiap unit yang dijual. Fi tambahan, seperti fi rujukan, fi penutupan atau fi penyenaraian volum tinggi, juga mungkin dikenakan.

