Perniagaan dropship di TikTok membolehkan pemilik perniagaan menjual produk melalui akaun TikTok Shop tanpa perlu menguruskan inventori dan pemenuhan pesanan.
TikTok Shop membolehkan peniaga menjalankan perniagaan dropship di TikTok. Menurut TikTok Newsroom Malaysia, platform ini merekodkan lebih 100 juta carian produk setiap hari serta pertumbuhan jualan melebihi 140% tahun ke tahun (YoY) semasa kempen Jualan 6.6.
Dalam artikel ini, ketahui cara memulakan perniagaan dropship di TikTok Shop serta mempromosikan produk kepada pengguna TikTok.
Apakah perniagaan dropship di TikTok?
Perniagaan dropship di TikTok ialah model e-dagang yang membolehkan pemilik kedai memasarkan dan menjual produk melalui TikTok Shop, manakala pembekal pihak ketiga mengendalikan penyumberan produk, pengurusan inventori dan pemenuhan pesanan. Peniaga dropship memperoleh keuntungan dengan menjual produk pada harga yang lebih tinggi daripada harga borong pembekal.
Untuk memulakan kedai dropship melalui TikTok Shop, anda boleh memuat naik produk terus ke platform atau menghubungkan kedai e-dagang anda ke TikTok Shop melalui integrasi rasmi, seperti aplikasi TikTok untuk Shopify. Tiada syarat khusus untuk menjalankan perniagaan dropship di TikTok Shop, tetapi anda perlu memenuhi syarat umum untuk mendaftar sebagai penjual di TikTok Shop.
Yuran penjual TikTok Shop
TikTok mengenakan yuran apabila penjual menyenaraikan produk untuk dijual dalam aplikasi. Pastikan anda mengambil kira kos perniagaan dropship di TikTok berikut apabila menggunakan platform ini untuk menjual produk:
| Yuran TikTok Shop | Kos |
|---|---|
| Yuran komisen | Berbeza mengikut kategori produk dan promosi. Sila rujuk kadar yuran komisen terkini di TikTok Shop Malaysia. |
| Yuran pengeluaran pendapatan | Tiada yuran bagi pengeluaran manual atau automatik. Jumlah pengeluaran minimum ialah RM0.01. |
| Cukai jualan (jika anda dikehendaki memungut cukai) | Kadar cukai jualan (SST) bergantung pada kategori barangan yang dikenakan cukai |
Cara menjalankan perniagaan dropship di TikTok Shop
- Pilih produk untuk dijual di TikTok
- Tentukan pembekal perniagaan dropship
- Cipta akaun TikTok Shop
- Muat naik produk
- Pasarkan produk
Ikuti langkah berikut untuk memulakan perniagaan dropship di TikTok:
1. Pilih produk untuk dijual di TikTok
Mulakan dengan menyelidik produk yang ingin anda jual secara dropship di TikTok. Terdapat beberapa kaedah yang boleh anda cuba.
Kamil Sattar, seorang usahawan perniagaan dropship yang dikenali sebagai The Ecom King di YouTube, mengesyorkan agar anda memilih niche yang sudah anda kenali.
“Pendekatan itu kadangkala lebih baik untuk jangka panjang kerana apabila tiba masa untuk membina pasaran … anda akan lebih mengenali [pasaran sasaran anda] berbanding orang lain kerana anda juga ialah bakal pelanggan,” kata Kamil dalam satu episod podcast Shopify Masters.
“Anda meminati industri tersebut. Contohnya, anda suka anjing atau kucing. Anda tahu perkara yang diinginkan oleh pemilik kucing dan anjing lain, jadi anda tahu perkara yang perlu ditawarkan kepada mereka.”
Berikut ialah beberapa strategi lain untuk mencari produk bagi perniagaan dropship:
Rujuk laporan pasaran
Laporan pasaran memberikan gambaran tentang pertumbuhan sesebuah industri dan jenis produk yang diminati pengguna. Contohnya, permintaan terhadap mainan pendidikan seperti STEAM (sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik) terus meningkat dalam kalangan ibu bapa yang ingin menyokong pembelajaran anak-anak.
Kenal pasti trend sebelum menjadi popular
Exploding Topics, alat yang dibangunkan oleh platform pemasaran digital Semrush, mengenal pasti topik baharu termasuk frasa deskriptif, bahan atau produk sebelum topik tersebut menjadi popular “secara meluas.” Alat ini membantu anda mengenal pasti peluang untuk memanfaatkan trend yang sedang meningkat dalam pasaran atau budaya.
Exploding Topics mengumpulkan data daripada pelbagai platform media sosial, enjin carian, artikel dan forum dalam talian untuk mengenal pasti trend yang sedang muncul daripada pelbagai sumber.
Cari hashtag
Cari hashtag #TikTokMadeMeBuyIt untuk melihat video yang memaparkan produk yang tular di TikTok. Anda juga boleh melawati TikTok Creative Center untuk melihat hashtag yang sedang popular di TikTok. Klik pada hashtag tertentu untuk mengetahui tahap minat dari semasa ke semasa dan demografi khalayak.
Gunakan produk popular TikTok
TikTok Creative Center turut menyediakan bahagian yang memaparkan produk popular di platform ini (berdasarkan tera iklan). Pilih kategori produk untuk melihat tahap populariti dari semasa ke semasa serta cerapan khalayak.
2. Tentukan pembekal perniagaan dropship
Pilihan pembekal perniagaan dropship boleh mempengaruhi prestasi kedai anda. TikTok memberikan setiap kedai satu Skor Pengalaman Kedai (SES). Pengiraan skor ini mengambil kira masa pemprosesan dan penghantaran. Dalam perniagaan dropship, pembekal mengendalikan pemenuhan pesanan dan logistik. Oleh itu, satu-satunya cara untuk mempengaruhi komponen SES ini ialah dengan memilih pembekal perniagaan dropship yang boleh dipercayai.
SES yang lebih tinggi membuka lebih banyak peluang kepada anda di TikTok Shop serta meningkatkan kredibiliti kedai anda. Contohnya, skor 3.5 atau lebih tinggi memberi anda akses kepada pemasaran afiliasi, manakala skor 4 atau lebih tinggi melayakkan anda menerima lencana penjual bintang emas atau perak yang menunjukkan kredibiliti perniagaan anda.
Apabila memilih pembekal perniagaan dropship, pertimbangkan kualiti produk dan sama ada pembekal mampu menawarkan penghantaran yang pantas dan boleh dipercayai. Anda boleh menilai pembekal dengan memesan sampel produk. Pada masa yang sama, anda juga berpeluang mencipta kandungan asli yang memaparkan produk yang dijual.
Baca: Panduan Lengkap Meminta Sampel untuk Kedai Anda
Jika anda menggunakan Shopify, anda boleh melayari Shopify App Store untuk mencari aplikasi perniagaan dropship yang membolehkan anda menambah produk terus ke kedai daripada panel pentadbir Shopify. Anda juga boleh membaca ulasan di App Store untuk mengetahui pengalaman peniaga dropship lain dengan pelbagai pembekal.
3. Cipta akaun TikTok Shop
Jika anda menggunakan Shopify, anda boleh mencipta akaun TikTok Shop daripada panel pentadbir Shopify dengan memuat turun aplikasi TikTok.
Ikuti langkah berikut untuk menyediakan akaun TikTok Shop anda:
- Buka panel pentadbir Shopify, kemudian klik “Tetapan” diikuti “Saluran jualan”. Pilih “Shopify App Store”.
- Cari TikTok. Buka penyenaraian produk dan klik “Tambah saluran”. Anda akan dibawa ke halaman Sediakan TikTok Shop dalam panel pentadbir Shopify. Klik “Sambung”.
- Kotak dialog Daftar akan dipaparkan. Log masuk ke akaun anda atau daftar sebagai pemilik perniagaan di TikTok. Masukkan nombor telefon, alamat e-mel dan kata laluan, kemudian pilih “Daftar sebagai penjual”.
- Semak terma perkhidmatan TikTok, kemudian klik “Sambung”.
- Sahkan maklumat kedai dan muat naik dokumen yang diperlukan.
- Pilih “Selesaikan persediaan”.
Jika anda belum mempunyai akaun Shopify atau kedai e-dagang, anda masih boleh mendaftar akaun TikTok Shop secara terus melalui TikTok.
4. Muat naik produk
Selepas mencipta akaun TikTok Shop, tiba masa untuk menambah produk.
Pemilik kedai Shopify boleh menguruskan proses ini daripada panel pentadbir Shopify. Pasang aplikasi TikTok untuk menyegerakkan katalog produk sedia ada dengan TikTok. Kemudian, gunakan aplikasi perniagaan dropship untuk menambah atau membuang produk daripada katalog.
Walaupun secara teknikal anda tidak memerlukan kedai e-dagang untuk menjalankan perniagaan dropship di TikTok, pilihan saluran jualan anda terhad kepada satu platform sahaja. Pelan Shopify Starter direka untuk jualan sosial, jadi anda boleh menjalankan perniagaan dropship merentas platform lain seperti Instagram selain TikTok Shop.
Jika anda ingin menjalankan perniagaan dropship di TikTok tanpa laman web e-dagang, anda perlu menyenaraikan produk secara manual, menampal URL setiap produk daripada laman web lain atau memuat naik penyenaraian produk secara pukal menggunakan hamparan Excel.
5. Pasarkan produk
Bangunkan strategi pemasaran di TikTok dengan menggabungkan iklan, pempengaruh dan kandungan organik untuk meningkatkan trafik ke TikTok Shop. Berikut ialah beberapa idea:
- Gunakan alat seperti TikTok Creative Center untuk mengenal pasti trend dan format kandungan berprestasi tinggi.
- Cipta akaun TikTok Ads Manager untuk memantau prestasi iklan video dan melaraskan kempen berdasarkan prestasi iklan.
- Rakam video yang menarik untuk memaparkan produk yang dijual. Contohnya, anda boleh menghasilkan video tarian yang menghiburkan dengan menampilkan produk kasut atau video tutorial solek yang menunjukkan hasil penggunaan pembayang mata.
Cara mengiklankan produk perniagaan dropship di TikTok
Terdapat beberapa cara untuk memasarkan produk perniagaan dropship anda di TikTok, termasuk:
Pemasaran pempengaruh
Pemasaran pempengaruh melibatkan kerjasama dengan pencipta kandungan di TikTok yang boleh mempromosikan produk kepada pengikut mereka. Di Malaysia, TikTok Shop mempunyai lebih 1.7 juta pencipta afiliasi yang membantu penjual mempromosikan produk dan menjana jualan.
Satu cara untuk mula bekerjasama dengan pempengaruh TikTok ialah melalui penyemaian produk, iaitu menghantar produk percuma kepada pencipta kandungan dengan harapan mereka akan berkongsi produk berkenaan. Jenama kecantikan Three Ships mendapati strategi ini berkesan.
“Anda tidak perlu membayar apa-apa,” kata Laura Thompson, pengasas bersama Three Ships, dalam Shopify Masters. “Anda hanya memberi mereka produk percuma. [Penyemaian produk] berkesan kerana pendekatan ini lebih tulen. Pencipta kandungan akan berkongsi produk tersebut [jika] mereka benar-benar menyukai produk itu.”
Iklan berbayar
Di TikTok, iklan disepadukan dengan kandungan lain. “[Iklan TikTok] benar-benar terasa seperti sebahagian daripada platform ini,” kata pakar strategi pertumbuhan, Jaclyn VanSloten, yang mengendalikan firma pemasaran Femra Consulting. “Iklan di TikTok sangat ringkas dan menarik. Iklan itu tidak kelihatan seperti diselitkan, sebaliknya mengalir secara semula jadi.”
Iklan juga boleh mempengaruhi pelanggan untuk membuat pembelian. Di Malaysia, hampir 83% pengguna bergantung pada platform hiburan sosial untuk mencari produk dan barangan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan untuk meningkatkan jualan melalui pengiklanan di TikTok.
Dengan aplikasi TikTok untuk Shopify, anda boleh mencipta iklan melalui panel pentadbir Shopify atau TikTok Ads Manager, serta menyasarkan semula pelanggan yang pernah berinteraksi dengan laman e-dagang anda. Aplikasi ini juga membolehkan anda memasang TikTok piksel, iaitu kod penjejakan yang menjejaki aktiviti pengunjung di kedai Shopify.
Iklan berbayar juga berkesan apabila digabungkan dengan strategi pemasaran lain. Pakar perniagaan dropship, Kamil, menggunakan iklan untuk mempromosikan kandungan yang mendapat sambutan secara organik.
Beliau mencipta halaman TikTok bagi setiap produk atau niche dan memuat naik kandungan yang tidak terlalu bersifat promosi. Apabila sesuatu kandungan mendapat sambutan daripada penonton, beliau menjalankan iklan TikTok. “Anda boleh menukar video organik tersebut kepada iklan dan kadangkala pendekatan ini lebih berkesan berbanding menghasilkan iklan dari awal,” katanya.
Pemasaran afiliasi
Melalui pemasaran afiliasi, pencipta kandungan boleh memperoleh komisen dengan mempromosikan produk anda di TikTok, biasanya melalui kod unik atau pautan afiliasi. Terdapat beberapa cara untuk memulakan pemasaran afiliasi di TikTok.
TikTok Shop menyediakan program afiliasi terbina dalam untuk kedai yang memenuhi syarat kelayakan, termasuk memperoleh Skor Pengalaman Kedai (SES) sekurang-kurangnya 3.5. Program afiliasi TikTok Shop membolehkan pencipta kandungan menambah produk ke ruang pameran pilihan yang dikenali sebagai TikTok Showcase.
Jika anda tidak memenuhi syarat untuk menyertai program afiliasi terbina dalam atau mahukan lebih banyak fleksibiliti dan kawalan, anda boleh memulakan program afiliasi sendiri menggunakan aplikasi seperti Shopify Collabs. Shopify Collabs juga membantu anda mencari pempengaruh baharu untuk bekerjasama serta menguruskan kerjasama sedia ada melalui panel pentadbir Shopify.
Siaran langsung
Gunakan TikTok Live untuk menjual produk. Anda boleh menunjukkan cara menggunakan produk serta menjawab pertanyaan pelanggan.
TikTok membolehkan anda memaut terus ke TikTok Shop untuk menggalakkan penonton membuat pembelian serta-merta. Di Malaysia, pelanggan juga boleh membeli produk secara terus semasa sesi beli-belah menerusi siaran langsung, sekali gus memudahkan penjual meningkatkan jualan melalui interaksi secara langsung dengan pelanggan.
SEO TikTok
TikTok kini bukan sekadar aplikasi media sosial, malah turut menjadi platform untuk mencari maklumat dan produk. Di Malaysia, TikTok Shop merekodkan lebih 100 juta carian produk setiap hari. Hal ini menunjukkan semakin ramai pengguna menggunakan TikTok untuk mencari produk sebelum membuat pembelian.
Pengoptimuman enjin carian (SEO) TikTok membantu meningkatkan peluang kandungan muncul dalam hasil carian khalayak sasaran anda.
Leslie Ann Hall, CEO dan pengasas agensi sosial Iced Media, mencadangkan agar setiap siaran dioptimumkan dengan mengambil kira SEO. Mulakan dengan menjalankan penyelidikan kata kunci menggunakan Google Ads Keywords Planner untuk mengenal pasti peluang carian yang sedang meningkat. Kemudian, gunakan kata kunci tersebut dalam elemen teks seperti kapsyen.
Soalan lazim perniagaan dropship di TikTok
Bagaimanakah saya boleh mempromosikan kedai perniagaan dropship di TikTok?
Promosikan kedai perniagaan dropship di TikTok dengan mencipta iklan berbayar melalui TikTok Ads Manager, bekerjasama dengan pempengaruh untuk mempromosikan produk serta menjalankan siaran langsung.
Bolehkah saya menjual di TikTok menggunakan Shopify?
Ya, anda boleh menjual di TikTok menggunakan Shopify dengan menghubungkan kedai Shopify kepada akaun perniagaan TikTok dan memohon TikTok Shop, iaitu pasaran dalam aplikasi untuk produk. Aplikasi TikTok percuma untuk Shopify membolehkan anda menyepadukan TikTok Shop dengan kedai Shopify anda.
Bolehkah saya menjalankan perniagaan dropship di TikTok Shop?
Ya, anda boleh menjalankan perniagaan dropship di TikTok Shop. Anda memerlukan pembekal perniagaan dropship, kedai dalam talian untuk menguruskan pesanan dan akaun perniagaan TikTok. Anda juga boleh menyegerakkan katalog produk ke TikTok Shop menggunakan aplikasi TikTok untuk Shopify.
Apakah produk terbaik untuk perniagaan dropship di TikTok?
Produk terbaik untuk perniagaan dropship di TikTok bergantung pada minat, trend semasa dan hasil penyelidikan pasaran. Antara kategori produk yang popular di TikTok Shop ialah barangan fesyen, elektronik dan gajet, produk rumah, makanan dan minuman, serta produk kecantikan.
Adakah TikTok membenarkan perniagaan dropship?
TikTok membenarkan usahawan menjalankan perniagaan dropship melalui TikTok Shop atau dengan menyenaraikan produk untuk dijual di laman web perniagaan dropship sendiri.
Adakah perniagaan dropship di TikTok menguntungkan?
Perniagaan dropship di TikTok berpotensi menjadi model perniagaan dalam talian yang menguntungkan kerana semakin ramai pengguna menggunakan TikTok untuk mencari dan membeli produk. Untuk meningkatkan keuntungan, jual produk perniagaan dropship bernilai tinggi, bina hubungan yang kukuh dengan pengikut dan hasilkan kandungan berkualiti secara konsisten.

