Memulakan perniagaan e-dagang sememangnya boleh dilakukan, tetapi terdapat beberapa keputusan penting yang perlu dibuat, termasuk memilih produk yang ingin dijual, cara memenuhi pesanan dan cara menjangkau pelanggan.
Panduan ini merangkumi lima langkah untuk melancarkan kedai e-dagang, anggaran kos yang terlibat, serta tip tambahan untuk membantu anda memulakan perniagaan.
Apakah perniagaan e-dagang?
Perniagaan e-dagang menjual produk fizikal atau digital serta menawarkan perkhidmatan menerusi internet. Perniagaan ini memanfaatkan saluran dalam talian seperti laman web, pasaran dalam talian, aplikasi, platform media sosial atau sistem digital lain yang setara.
Perniagaan e-dagang merangkumi pelbagai skala, daripada kedai khusus berskala kecil hingga syarikat yang mengendalikan pasaran dalam talian berskala besar. Menurut eMarketer, nilai pasaran e-dagang global mencecah $6.7 trilion pada 2025 dan dijangka meningkat kepada hampir $8 trilion menjelang 2027.
Memulakan perniagaan e-dagang dalam 5 langkah
- Kenal pasti peluang produk dan tentukan produk yang ingin dijual
- Kaji pesaing dan sediakan rancangan perniagaan
- Pilih nama perniagaan dan bina kedai dalam talian anda
- Pilih strategi penghantaran dan tetapkan matlamat pemasaran
- Lancarkan perniagaan anda
1. Kenal pasti peluang produk dan tentukan produk yang ingin dijual
Langkah pertama untuk membina kedai e-dagang ialah menentukan produk yang ingin dijual serta mengenal pasti pelanggan sasaran. Keputusan ini akan mempengaruhi cara anda mendapatkan bekalan produk, menetapkan harga, memasarkan produk dan memenuhi pesanan.
Panduan berikut boleh membantu anda mencari idea produk:
- Cara Mencari Produk untuk Dijual dalam Talian
- Cari Idea Produk Baharu di 16 Tempat Ini
- 20 Produk Sohor Kini dan Barangan untuk Dijual dalam Talian
Menilai idea anda
Selepas memilih sesuatu idea, pastikan terdapat permintaan terhadap produk tersebut sebelum melabur dalam inventori, pengeluaran atau pemasaran. Gunakan panduan berikut untuk mengesahkan idea produk dan potensi pasaran:
Mendapatkan bekalan produk
Selepas memilih dan mengesahkan idea produk, tentukan cara untuk mendapatkan bekalan produk. Artikel berikut menerangkan beberapa kaedah mendapatkan bekalan produk, termasuk kelebihan dan kekurangan setiap kaedah:
- Cara Mencari Pengeluar atau Pembekal untuk Idea Produk Anda
- Cara Mendapatkan Bekalan Produk untuk Kedai Dalam Talian Anda
- Cetak atas Permintaan: Cara Berisiko Rendah untuk Menjual Produk Tersuai
Pembekal dan aplikasi perniagaan dropship
Perniagaan dropship membolehkan anda menjual produk tanpa perlu menyimpan stok.
Apabila pelanggan membuat pesanan, pembekal akan menghantar produk terus kepada pelanggan. Model perniagaan ini dapat mengurangkan kos inventori dan penyimpanan pada peringkat awal kerana peruncit tidak perlu menyimpan stok.
Antara pilihan perniagaan dropship yang biasa digunakan termasuk:
- Shopify Collective ialah ciri terbina dalam Shopify yang memudahkan anda mendapatkan bekalan produk. Terokai jutaan produk daripada ribuan jenama Shopify yang disahkan, tambah produk tersebut ke kedai anda, kemudian hantar pesanan terus kepada pelanggan tanpa perlu menyimpan stok.
- Aplikasi perniagaan dropship seperti DropCommerce, Syncee dan AI Dropship memberikan akses kepada pembekal yang disahkan serta membolehkan pengurusan inventori dilakukan secara automatik.
- Kaji pembekal perniagaan dropship untuk mencari rakan kongsi yang sesuai bagi kategori produk dan pasaran sasaran anda.
Jual produk runcit anda dalam talian
Memindahkan perniagaan fizikal ke dalam talian dapat membuka saluran jualan baharu. Gunakan artikel berikut untuk mengembangkan jualan menerusi saluran dalam talian dan fizikal:
Sebagai inspirasi, Hannah Perry berjaya merealisasikan impiannya untuk memulakan perniagaan gula-gula kapas selepas kehilangan pekerjaan apabila Rainbow Floof Cake ciptaannya menjadi tular.
2. Kaji pesaing dan sediakan rancangan perniagaan
Selepas memilih produk dan menentukan cara mendapatkan bekalan, kaji pesaing supaya anda memahami persaingan dalam pasaran serta dapat membezakan jenama anda daripada pesaing. Panduan berikut boleh membantu:
- Panduan Analisis Pesaing 2026: Templat Percuma + Alat AI
- Cara Menggunakan Analisis SWOT: Templat Analisis SWOT Percuma
Menulis rancangan perniagaan
Gunakan hasil kajian pesaing untuk menulis rancangan perniagaan. Rancangan perniagaan membantu anda menentukan perkara yang perlu dibangunkan, diperuntukkan bajet dan diberi keutamaan pada peringkat awal.
Rancangan perniagaan juga membantu anda menyusun keutamaan, termasuk tugasan, bajet dan pencapaian penting. Selain itu, rancangan perniagaan dapat menjelaskan pernyataan misi, pasaran sasaran dan pelan kewangan kepada rakan kongsi, pemberi pinjaman atau ahli pasukan.
Bangunkan rancangan perniagaan anda menggunakan templat berikut:
- 10 Contoh & Templat Rancangan Perniagaan (Kemas Kini 2026)
- Templat Rancangan Perniagaan Percuma untuk Dimuat Turun (Serta Kandungan yang Perlu Disertakan)
Sebagai contoh, di sebalik setiap video YouTube MrBeast yang menghiburkan terdapat rancangan perniagaan yang kukuh, yang menjadi asas kepada empayar perniagaan e-dagang global milik Jimmy Donaldson.
3. Pilih nama perniagaan dan bina kedai dalam talian anda
Selain mencari produk untuk dijual dalam talian, satu lagi langkah awal untuk membina perniagaan e-dagang ialah membangunkan jenama anda. Anda perlu memilih nama perniagaan, mereka bentuk logo dan memilih nama domain yang tersedia.
Panduan berikut merangkumi setiap langkah tersebut:
- 100 Idea Nama Kedai Dalam Talian (+ 8 Tip untuk Menonjol)
- Cara Mendaftarkan Nama Domain untuk Laman Web Anda (2026)
Mencipta logo
Setelah memilih nama perniagaan dan mendaftarkan nama domain, anda boleh mula mencipta logo. Berikut ialah beberapa pilihan untuk mencipta logo yang menarik bagi perniagaan anda:
- Pencipta Logo Percuma Shopify
- 9 Pencipta Logo Dalam Talian Percuma dan Berbayar
- Cara Mereka Bentuk Logo: Panduan Langkah demi Langkah Lengkap (2026)
Memahami pengoptimuman enjin carian
Sebelum membina kedai dalam talian anda, fahami asas pengoptimuman enjin carian, iaitu amalan menjadikan laman web supaya lebih mudah ditemukan, diimbas dan difahami oleh enjin carian.
Mulakan dengan panduan berikut:
- Panduan SEO E-dagang Terkemuka (2025)
- Senarai Semak SEO: 50 Tip untuk Mengoptimumkan Laman Web Anda (2026)
Membina kedai dalam talian anda
Seterusnya, bina kedai dalam talian anda. Berikut ialah beberapa bacaan penting untuk membantu anda mencipta halaman produk dengan penerangan yang jelas, fotografi yang menarik dan palet warna yang sesuai:
- 50 Kedai Shopify Terbaik untuk Memberikan Inspirasi kepada Kedai Anda
- Cara Memulakan Kedai Dalam Talian
Bandingkan pelan harga Shopify untuk mencari pilihan yang sesuai dengan bajet dan matlamat perniagaan anda.
Memilih saluran jualan
Salah satu cara untuk menjangkau pelanggan baharu ialah berjualan di platform yang sudah digunakan oleh khalayak sasaran anda. Gabungan saluran jualan yang sesuai bergantung pada produk dan pasaran sasaran anda, tetapi terdapat beberapa pilihan:
- Cara berjualan di Amazon
- Cara berjualan di Facebook
- Cara berjualan di eBay
- Cara berjualan di Instagram
- Cara menyediakan TikTok Shop
Nama dan jenama perniagaan yang kukuh sering mendapat inspirasi daripada kisah sebenar pengasas. Contohnya, perjalanan mengembara dengan beg galas mendorong dua sahabat menghasilkan rangkaian produk bilik mandi yang mesra alam serta sesuai untuk pengembara:
4. Pilih strategi penghantaran dan tetapkan matlamat pemasaran
Sediakan urusan penghantaran dan pemenuhan pesanan sebelum melancarkan perniagaan. Baca panduan berikut untuk membina strategi penghantaran anda:
- Cara Menghantar Produk kepada Pelanggan
- 17 Strategi Penghantaran untuk Perniagaan Anda
- Cara Mengurangkan Kos Penghantaran
Tentukan penunjuk prestasi utama (KPI) anda sejak awal supaya anda tahu cara mengukur kejayaan selepas perniagaan dilancarkan. Gunakan panduan berikut untuk memilih KPI yang sesuai bagi kedai anda:
Selepas video buatan sendiri yang memaparkan meja makan modular menjadi tular, Transformer Table mencatat pertumbuhan yang pesat. Kini, syarikat tersebut menggunakan Shopify untuk menghantar pesanan dari kedai e-dagang kepada pelanggan di seluruh dunia.
5. Lancarkan perniagaan anda
Setelah semua persiapan selesai, tiba masa untuk memberi tumpuan kepada pemasaran produk anda. Kejayaan pemasaran digital bergantung pada keupayaan menarik trafik yang disasarkan. Artikel berikut membantu anda bermula:
- Cara Mendapatkan Jualan Pertama Anda
- Cara Meningkatkan Trafik ke Laman Web Anda
- Pemerolehan Pelanggan: Panduan Lengkap
Gymshark, jenama pakaian senaman, berkembang menjadi perniagaan e-dagang bernilai berbilion dolar dengan menganalisis data jualan serta memanfaatkan kuasa komuniti menerusi kempen pemasaran pempengaruh:
5 tip untuk memulakan kedai e-dagang
- Jangan jadikan keuntungan pada tahun pertama sebagai sasaran utama
- Kenali khalayak sasaran anda
- Jual produk yang mendapat permintaan tinggi
- Bereksperimen dengan strategi pemasaran dan pengiklanan
- Labur dalam aktiviti jangkauan dan pembinaan pautan
1. Jangan jadikan keuntungan pada tahun pertama sebagai sasaran utama
Memulakan perniagaan e-dagang memerlukan masa beberapa bulan untuk menguji, menambah baik dan menyesuaikan strategi.
Sediakan tempoh 18 hingga 24 bulan untuk perniagaan anda bertapak. Gunakan tahun pertama untuk menguji, menambah baik dan melaburkan semula hasil jualan ke dalam perniagaan berdasarkan garis panduan bajet di bawah.
2. Kenali khalayak sasaran anda
Selain membangunkan atau mendapatkan bekalan produk, anda juga perlu meluangkan masa untuk menarik perhatian pelanggan.
Pastikan produk anda sampai kepada pelanggan yang tepat, iaitu mereka yang benar-benar berpotensi membeli melalui laman web anda. Memahami khalayak sasaran dapat membantu anda menjangkau pelanggan dengan lebih cepat dan meningkatkan jualan.
3. Jual produk yang mendapat permintaan tinggi
Cipta atau jual produk berkualiti yang mempunyai permintaan pasaran yang terbukti. Lihat sahaja peruncit terkemuka hari ini dan anda akan dapati mereka menawarkan produk berkualiti tinggi.
"Kualiti produk amat penting kerana produk yang baik lebih mudah dijual," kata Eric Even Haim, CEO Upsell.com, sebuah aplikasi jualan tambahan dan jualan silang. "Apabila anda menggabungkan produk yang hebat dengan khalayak yang benar-benar mahukan produk tersebut, usaha pemasaran menjadi 10 kali lebih mudah."
Eric menjelaskan bahawa produk baharu tidak semestinya menjadi “fenomena besar”. Anda hanya perlu mengenal pasti trend yang sedang berkembang serta pasaran yang masih belum memenuhi keperluan pelanggan.
4. Bereksperimen dengan strategi pemasaran dan pengiklanan
Selepas melancarkan perniagaan, uji pelbagai saluran bagi mengenal pasti saluran yang paling berkesan untuk menjangkau khalayak sasaran. Cuba pelbagai strategi pemasaran untuk memahami platform yang paling kerap digunakan oleh khalayak sasaran.
Uji pelbagai taktik pemasaran dalam talian seperti:
- Pemasaran afiliasi
- Iklan Instagram
- Tetingkap pop timbul di laman web
- Jualan tambahan dan jualan silang semasa pembayaran
- Carian organik
- Pemasaran kandungan
- Program kesetiaan
"Kejayaan bergantung pada kebolehan anda untuk bereksperimen, menguji dan menganalisis strategi iklan serta pemasaran," kata Stephen Light, CEO dan pemilik bersama syarikat tilam Nolah. "Bereksperimen ialah cara terbaik untuk mengelakkan andaian tentang khalayak sasaran kerana andaian tersebut boleh memudaratkan perniagaan, bukannya membantu."
Stephen menyarankan agar anda bersedia menerima kemungkinan melakukan kesilapan, terutamanya ketika baru memulakan perniagaan. Gunakan data yang dikumpulkan untuk membina kempen yang lebih berkesan bagi meningkatkan trafik dan keuntungan.
"Selain itu, mengoptimumkan kempen iklan serta mengumpulkan data tentang respons pelanggan dapat membantu anda menambah baik ciri laman web," kata Stephen.
“Bereksperimen ialah cara terbaik untuk mengelakkan andaian tentang khalayak sasaran kerana andaian tersebut boleh memudaratkan perniagaan, bukannya membantu.”
Stephen Light, CEO, Nolah
5. Labur dalam aktiviti jangkauan dan pembinaan pautan
Satu lagi tip untuk pemilik kedai e-dagang baharu ialah penyediaan pelan jangkauan dan pembinaan pautan. Taktik ini membantu meningkatkan kedudukan SEO di Google.
"Lebih awal anda melaksanakan strategi pembinaan pautan dan membina autoriti laman web, lebih cepat enjin carian mengiktiraf laman web laman anda sebagai laman berautoriti dalam niche tersebut," kata James Taylor, perunding SEO yang berpangkalan di UK.
"Enjin carian menganggap pautan daripada sumber berautoriti sebagai tanda kepercayaan terhadap laman web anda. Semakin banyak pautan daripada laman web yang dipercayai, semakin tinggi tahap kepercayaan enjin carian terhadap laman web anda sebagai laman berautoriti."
James mengesyorkan pemilik dan pemasar kedai e-dagang baharu melabur dalam perhubungan awam digital serta kempen pembinaan pautan seawal mungkin. Langkah ini meletakkan asas yang kukuh untuk kejayaan SEO jangka panjang supaya laman web dapat mencapai kedudukan lebih tinggi di Google, menarik lebih banyak trafik organik dan menjana lebih banyak jualan.
"Lebih awal anda melaksanakan strategi pembinaan pautan dan membina autoriti laman web, lebih cepat enjin carian mengiktiraf laman web anda sebagai laman berautoriti dalam niche tersebut."
Berapakah kos untuk memulakan perniagaan e-dagang?
Kos memulakan perniagaan e-dagang boleh serendah $100 (kira-kira RM420), yang meliputi pendaftaran domain dan pembelian tema untuk kedai dalam talian anda. Kos menjalankan perniagaan e-dagang biasanya lebih rendah berbanding membuka kedai fizikal kerana anda tidak memerlukan lesen dan permit yang sama banyak, selain tidak perlu membayar sewa premis perniagaan.
Jika anda menggunakan model perniagaan dropship dengan pembekal seperti Shopify Collective, kos permulaan mungkin lebih rendah kerana anda tidak perlu mengeluarkan kos untuk bahan mentah, inventori atau tenaga kerja.
Jika anda menghasilkan produk sendiri atau bekerjasama dengan pengeluar, anda perlu mengeluarkan kos awal untuk peralatan, bahan mentah dan tenaga kerja.
Kajian menunjukkan bahawa pemilik kedai e-dagang baharu boleh menjangkakan kos perniagaan mencecah ribuan dolar pada tahun pertama. Kategori perbelanjaan termasuk:
- Produk: bahan mentah, inventori, pembekal, pembuatan, paten dan sebagainya.
- Operasi: yuran pemerbadanan/guaman, perisian tambahan, insurans perniagaan, perakaunan dan sebagainya.
- Kedai dalam talian: langganan laman web/platform, pengehosan/domain, khidmat pembangun/pereka bentuk kontrak dan sebagainya.
- Penghantaran: pembungkusan, label dan sebagainya.
- Operasi luar talian: yuran gerai/meja, sewa, minyak dan sebagainya.
- Pasukan/kakitangan: gaji, faedah, insentif dan sebagainya.
- Pemasaran: logo, penjenamaan, iklan, bahan bercetak, kad perniagaan dan sebagainya.

Pada tahun pertama, pemilik perniagaan membelanjakan:
- 11% untuk kos operasi
- 10.3% untuk kos pemasaran
- 9% untuk kos kedai dalam talian
- 31.6% untuk kos produk
- 8.7% untuk kos penghantaran
- 18.8% untuk kos pasukan
- 10.5% untuk kos operasi luar talian
Ini tidak bermakna anda perlu mengeluarkan modal yang besar untuk membuka kedai e-dagang. Jumlah perbelanjaan pada tahun pertama berbeza-beza bergantung pada industri, model perniagaan e-dagang serta sama ada perniagaan mempunyai pekerja atau dijalankan sepenuh masa.
Anda juga tidak memerlukan aliran tunai yang besar untuk memulakan perniagaan e-dagang. Menurut tinjauan peniaga Shopify pada November 2025, 79% peniaga yang telah bertapak menggunakan keuntungan untuk membiayai pertumbuhan perniagaan, manakala 62% turut mendapatkan sumber pembiayaan tambahan apabila diperlukan.
Mulakan kedai e-dagang anda
Membina perniagaan e-dagang yang berjaya sememangnya mengujakan, tetapi pada masa yang sama turut mencabar. Anda akan mempelajari cara memilih produk, menilai potensi pasaran, menentukan kaedah pengeluaran, membina laman web e-dagang serta memasarkan dan menjual produk kepada khalayak baharu. Ada kalanya anda mungkin berasa seperti sedang menyelesaikan teka-teki yang sukar, namun segala usaha itu berbaloi.
Semoga panduan perniagaan e-dagang ini menjadi peta jalan sepanjang perjalanan anda. Seperti biasa, nasihat terbaik ialah mulakan sekarang dan nikmati setiap langkah dalam membina perniagaan anda.
**Berdasarkan tinjauan pada 2025 terhadap 500 peniaga Shopify yang dijalankan dalam bahasa Inggeris di Australia, Kanada, United Kingdom, Ireland, New Zealand dan Amerika Syarikat. Responden terdiri daripada peniaga yang telah menggunakan platform Shopify selama dua tahun atau lebih. Keputusan tinjauan ini berdasarkan pengalaman kumpulan responden tersebut dan mungkin tidak mewakili semua peniaga.
Ilustrasi oleh Cornelia Li
Daripada penjual baharu hingga peruncit global, Shopify sesuai untuk semua orang. Lihat pelan dan harga.
Soalan lazim perniagaan e-dagang
Apakah perniagaan e-dagang?
E-dagang ialah aktiviti membeli dan menjual barangan atau perkhidmatan secara dalam talian. Perniagaan e-dagang dijalankan menerusi kedai e-dagang, pasaran dalam talian, media sosial atau aplikasi mudah alih. E-dagang membolehkan perniagaan menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih mudah kepada pelanggan di seluruh dunia.
Bagaimanakah saya boleh memulakan perniagaan e-dagang?
Kenal pasti produk yang ingin dijual atau sumber bekalan produk, pilih nama perniagaan, daftarkan perniagaan dengan pihak berkuasa serta dapatkan permit dan lesen yang diperlukan. Kemudian pilih perisian e-dagang, bina laman web, tambahkan produk, lancarkan kedai dan mulakan pemasaran.
Apakah 4 jenis perniagaan e-dagang?
- Perniagaan kepada pengguna (B2C): Apabila anda menjual barangan atau perkhidmatan kepada pengguna (contohnya, anda membeli jaket daripada peruncit dalam talian).
- Perniagaan kepada perniagaan (B2B): Apabila anda menjual barangan atau perkhidmatan kepada perniagaan lain (contohnya, sesebuah perniagaan menjual produk secara borong untuk digunakan dalam operasi perniagaan lain).
- Pengguna kepada pengguna (C2C): Apabila anda menjual produk atau perkhidmatan kepada pengguna lain (contohnya, anda menjual pakaian vintaj melalui Facebook Marketplace kepada pengguna lain).
- Pengguna kepada perniagaan (C2B): Apabila anda menjual produk atau perkhidmatan kepada sesebuah perniagaan (contohnya, seorang pempengaruh atau ahli program afiliasi mempromosikan sesebuah perniagaan kepada pengikut sebagai balasan kepada bayaran).
Adakah e-dagang perniagaan dalam talian yang menguntungkan?
Ya, industri e-dagang sememangnya menguntungkan. Namun, membina perniagaan e-dagang yang berjaya memerlukan masa dan usaha berterusan, bukannya kejayaan yang dicapai dalam masa singkat. Perniagaan anda mungkin memerlukan 18 hingga 24 bulan untuk benar-benar bertapak. Jangan jadikan keuntungan pada tahun pertama sebagai ukuran kejayaan perniagaan.
Adakah sukar untuk memulakan perniagaan e-dagang anda sendiri?
Tidak. Platform seperti Shopify membolehkan anda membina kedai dalam talian hanya dalam beberapa hari. Namun, membina jenama yang berjaya memerlukan kerja keras serta kajian pasaran yang berterusan untuk menambah baik perniagaan. Baca panduan ini tentang cara memulakan perniagaan e-dagang sebelum menyediakan kedai dalam talian anda.

