Syarikat cetak atas permintaan memudahkan anda untuk mereka bentuk produk tersuai. Gunakan aplikasi dan laman web cetak atas permintaan (print-on-demand atau POD) untuk mengembangkan senarai produk, mencipta barangan berjenama atau menyasarkan khalayak baharu tanpa perlu mengurus inventori dan penghantaran.
Setiap syarikat cetak atas permintaan mempunyai katalog produk, alat reka bentuk, dasar penghantaran dan struktur harga yang tersendiri.
Untuk memilih syarikat POD yang sesuai dengan perniagaan anda, lihat 11 perkhidmatan cetak atas permintaan percuma dan berbayar ini.
11 syarikat cetak atas permintaan terbaik
- Printful: Perkhidmatan POD global terbaik
- Printify: Rangkaian pembekal POD terbaik
- Gelato: Terbaik untuk produk alat tulis tersuai
- Gooten: Terbaik untuk produk rumah tersuai
- Apliiq: Terbaik untuk pakaian tersuai
- Spreadconnect: Terbaik untuk pemprosesan pesanan yang pantas
- CustomCat: Terbaik untuk komuniti penjual
- Teelaunch: Terbaik untuk produk unik
- ShineOn: Terbaik untuk barang kemas tersuai
- JetPrint: Terbaik untuk jam tangan tersuai
- AOP+: Terbaik untuk percetakan dalaman
Semua syarikat cetak atas permintaan dalam senarai ini boleh diintegrasikan dengan Shopify, jadi anda boleh membina kedai dalam talian untuk menjual produk tersuai anda.
Bersedia untuk bermula? Bina, urus dan kembangkan perniagaan cetak atas permintaan anda dengan alat yang mudah digunakan dan sokongan khusus.
Kemaskinian: Laman web dan aplikasi cetak atas permintaan ini terakhir disemak pada November 2025.
1. Printful: Perkhidmatan POD global terbaik

Sama ada anda ingin menjual pakaian, cetakan, hiasan rumah atau aksesori, terdapat pelbagai pilihan dalam katalog produk Printful yang menawarkan pelbagai pilihan produk.
Platform cetak atas permintaan ini menawarkan pelbagai produk cetak atas permintaan bersama ciri untuk membantu anda bermula seperti penjana mockup baju-t dan pembuat logo.
Selepas anda menghantar reka bentuk menggunakan editor terbina dalam, Printful mengendalikan semua proses pengeluaran dan pemenuhan termasuk pencetakan, pembungkusan dan penghantaran pesanan. Jika anda mengintegrasikan Printful dengan platform e-dagang, pesanan pelanggan akan dimajukan secara automatik untuk diproses.
Dengan kos tambahan, anda boleh menambah penjenamaan pada pembungkusan produk, label pakaian dan sisipan pembungkusan. Printful juga menawarkan perkhidmatan seperti reka bentuk grafik dan video pemasaran,serta diskaun pukal sehingga 55%.
Ciri-ciri
- Penjana mockup terbina dalam untuk memvisualisasikan produk
- Integrasi dengan pelbagai platform e-dagang dan pasaran dalam talian
- Diskaun 20% untuk pesanan sampel
Produk
Kategori produk Printful yang popular termasuk:
- Baju-T
- Seluar sukan, legging dan jogger
- Beg tote dan beg galas
- Cawan
- Selongsong telefon
- Kerusi beg kekacang (bean bag)
- Poster berbingkai
- Cetakan
Pencetakan
Printful menawarkan cetakan terus pada pakaian (DTG), sulaman, potong dan jahit serta cetakan sublimasi bergantung pada produk. Anda juga boleh menambah tag koyak pada pakaian serta sisipan dan pelekat pada bungkusan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.
Penghantaran
Jangkaan masa pemenuhan: 2 hingga 5 hari
Printful menghantar produk ke seluruh dunia. Produk biasanya siap untuk dihantar dalam tempoh dua hingga lima hari bekerja dari kemudahan pengeluaran di AS, Mexico dan Eropah. Menurut Printful, 50% pesanan siap dalam tempoh kurang daripada tiga hari.
Kos penghantaran bergantung pada destinasi, jenis produk dan kaedah penghantaran yang dipilih. Bagi kebanyakan produk, Printful menawarkan kadar penghantaran yang lebih rendah apabila anda menambah item dalam pesanan yang sama.
Lihat halaman penghantaran Printful untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang kos dan anggaran masa penghantaran ke destinasi anda.
Apa kata pengguna
Penilaian pengguna: 4.8/5 (2,400+ ulasan)
Secara keseluruhan, peniaga Shopify memberikan maklum balas yang sangat positif terhadap Printful. Ramai pengulas memuji kualiti pakaian dan aksesori yang ditawarkan, selain hasil cetakan yang konsisten dan berkualiti tinggi.
Pengulas turut memuji antara muka yang mesra pengguna, sokongan pelanggan yang baik, dan penyegerakan produk yang lancar pada laman web mereka.
“Saya sangat berpuas hati dengan tempoh pemprosesan dan kualiti produk yang ditawarkan! Pilihan warna yang tersedia juga sangat banyak, dan saya amat menghargainya!”
Choke Cherry Creek Designs.
Baca semua ulasan pengguna Printful.
Mengapa memilih Printful?
Jika anda mencari penyelesaian cetak atas permintaan yang lengkap, fleksibel dan mampu berkembang seiring dengan perniagaan anda, Printful ialah pilihan yang wajar dipertimbangkan.
2. Printify: Rangkaian pembekal POD terbaik

Printify menawarkan pilihan produk boleh suai yang pelbagai dalam senarai ini. Platform ini menyediakan pustaka item yang besar dengan menghubungkan pengguna kepada rangkaian rakan kongsi percetakan global. Fleksibiliti ini membolehkan peniaga memilih pengeluar yang sesuai untuk mendapatkan penghantaran yang lebih pantas dan kos yang lebih rendah.
Ciri-ciri
- Rangkaian pembekal yang luas untuk pilihan pencetakan yang pelbagai
- Kos penghantaran dan masa pengeluaran yang fleksibel bergantung pada pembekal
- Pelan Premium bulanan tersedia dengan diskaun 20% untuk semua pesanan
Produk
Kategori produk Printify yang popular termasuk:
- Baju-T dan hoodie
- Beg galas
- Kanvas dan cetakan berbingkai
- Magnet peti sejuk
- Pelekat
- Pakaian renang
- Skirt
- Selimut
- Kasut sukan
- Kasut tumit tinggi
Pencetakan
Printify menawarkan pelbagai kaedah pencetakan termasuk cetakan terus pada pakaian, sublimasi, potong dan jahit, sulaman dan lain-lain bergantung pada pembekal dan produk.
Penghantaran
Jangkaan masa pemenuhan: Berbeza-beza mengikut pembekal
Rangkaian vendor Printify menyebabkan kos penghantaran, pembungkusan dan masa pemenuhan berbeza-beza bergantung pada pembekal percetakan dan produk yang dipilih. Lihat kadar penghantaran Printify untuk butiran khusus.
Apa kata pengguna
Penilaian pengguna: 4.7/5 (3,400+ ulasan)
Peniaga Shopify menghargai harga Printify yang telus serta kemaskinian penghantaran masa nyata yang membantu mereka mengurus kedai dengan lebih teratur. Mereka juga memuji sumber pembelajaran Printify yang memudahkan pengguna baharu menyediakan akaun dan mereka bentuk produk pertama mereka.
“(Aplikasi) sangat mudah untuk dinavigasi dan difahami. Ada beberapa perkara asas yang perlu dipelajari tetapi sangat sedikit dan tidak mengelirukan atau sukar. Printify sangat memudahkan perjalanan saya setakat ini.”
Southertees.
Baca semua ulasan pengguna Printify.
Mengapa memilih Printify?
Jika anda merancang untuk menjual di peringkat antarabangsa atau memerlukan penyelesaian cetak atas permintaan yang membolehkan anda memilih rakan kongsi pencetakan tempatan, Printify ialah pilihan yang sesuai.
Sukar menentukan pilihan antara Printful dan Printify? Baca perbandingan antara Printful vs. Printify untuk memahami perbezaan utama dan menentukan platform yang sesuai untuk anda.
3. Gelato: Terbaik untuk produk alat tulis tersuai

Gelato ialah pilihan utama untuk menjangkau pelanggan di seluruh dunia. Dengan rangkaian lebih 100 rakan kongsi percetakan, platform ini menghantar ke lebih 200 negara. Laman ini menggunakan algoritma untuk memilih pembekal percetakan terbaik berdasarkan lokasi pelanggan anda, bermakna sesetengah pesanan boleh dihantar dalam tempoh 72 jam sahaja.
Bermula dengan produk kertas tersuai, Gelato telah berkembang untuk merangkumi pelbagai item menarik seperti pakaian dan seni dinding, selain produk alat tulis yang menarik.
Ciri-ciri
- Pemilihan pintar pembekal cetakan berdasarkan lokasi
- Kad sisipan peribadi untuk nota terima kasih atau kod diskaun
- Pelbagai produk hiasan rumah
Produk
Jenis produk Gelato yang popular termasuk:
- Seni dinding
- Hiasan rumah
- Alat tulis
- Beg tote
Pencetakan
Gelato menyokong pencetakan pada bahagian depan, belakang dan lengan kebanyakan item pakaian. Platform ini juga menawarkan pencetakan pada pelbagai jenis kertas dan produk alat tulis.
Penghantaran
Jangkaan masa pemenuhan: 4 hari bekerja
Gelato mempunyai pencetak tempatan di lebih 30 negara untuk mengoptimumkan penghantaran global. Kalkulator penghantaran Gelato memberikan anggaran masa penghantaran mengikut lokasi. pelanggan yang memesan produk asas seperti baju-t leher kru (crew neck) ke alamat di Amerika Syarikat (sebagai contoh) boleh menjangkakan penghantaran dalam tempoh kurang daripada enam hari atau empat hari dengan penghantaran ekspres. Tempoh penghantaran ke lokasi lain mungkin mengambil masa yang lebih lama.
Apa kata pengguna
Penilaian pengguna: 4.8/5 (800+ ulasan)
Peniaga Shopify yang menggunakan Gelato memuji rangkaian rakan kongsi percetakan global ini yang membantu mengurangkan masa dan kos penghantaran merentasi pelbagai wilayah. Mereka juga menghargai komitmen kelestarian Gelato yang membolehkan mereka bekerjasama dengan platform cetak atas permintaan ini sambil mengekalkan imej jenama yang lebih mesra alam.
“Platform ini boleh dikatakan antara pembekal cetak atas permintaan terbaik. Masa pengeluaran dan penghantaran sangat pantas, perkhidmatan pelanggan cemerlang dan responsif serta kualiti cetakan dan sulaman berada pada tahap tertinggi.”
Burdens to Billions.
Baca semua ulasan Gelato.
Mengapa memilih Gelato?
Jika anda berminat untuk mencipta produk kertas tersuai, Gelato ialah pilihan yang tepat untuk anda.
Untuk penulis dan penerbit, buku cetak atas permintaan menawarkan penyelesaian tanpa inventori untuk penerbitan sendiri.
4. Gooten: Terbaik untuk produk rumah tersuai

Gooten menawarkan katalog yang pelbagai dengan lebih 200 produk cetak atas permintaan termasuk pakaian, seni dinding, hiasan rumah premium, barangan minuman dan aksesori. Kebanyakan item dihasilkan dalam tempoh dua hari bekerja dan dihantar pada kadar tetap.
Dengan rangkaian pemenuhan lebih 50 pengeluar yang terletak di lebih 70 wilayah global, Gooten menyokong perniagaan cetak atas permintaan yang ingin berkembang dan menembusi pasaran global.
Ciri-ciri
- Katalog komprehensif dengan pelbagai produk boleh suai
- Rakan Kongsi Aplikasi Bertauliah Shopify untuk perkhidmatan berkualiti tinggi
- Penjana mockup
Produk
Kategori produk Gooten yang popular termasuk:
- Baju-T
- Kemeja peluh (Sweatshirt)
- Hoodie
- Selimut
- Bantal
- Langsir bilik mandi
- Tumbler
- Botol air
- Seni dinding
- Selongsong telefon
- Alat tulis
Pencetakan
Gooten menawarkan pelbagai kaedah pencetakan termasuk cetakan terus pada pakaian, cetakan terus pada filem, sublimasi pewarna, cetakan seluruh permukaan termasuk potong dan jahit, cetakan digital inkjet, cetakan UV serta pilihan sulaman bergantung pada produk.
Penghantaran
Jangkaan masa pemenuhan: 3 hingga 4 hari bekerja untuk kebanyakan produk
Gooten mengurus pemenuhan pesanan dengan kadar penghantaran tetap serta menawarkan kadar diskaun untuk item tambahan dalam pesanan yang sama. Untuk kos dan masa penghantaran khusus mengikut lokasi pelanggan, pilih wilayah penghantaran pada halaman produk masing-masing.
Jika anda menggunakan Gooten dengan Shopify, rujuk halaman sokongan untuk panduan penyediaan penghantaran.
Apa kata pengguna
Penilaian pengguna: 3.6/5 (140+ ulasan)
Peniaga Shopify memuji Gooten kerana pemenuhan yang boleh dipercayai semasa waktu puncak serta keupayaan menambah ciri penjenamaan seperti label leher tersuai. Sesetengah peniaga juga menghargai pilihan produk bayi boleh suai yang ditawarkan. Namun, sebahagian kecil pengulas melaporkan kesukaran untuk menghubungi sokongan pelanggan.
“Harga yang ditawarkan berpatutan dan biasanya lebih rendah berbanding kedai POD lain yang lebih besar. Saya sangat suka produk asas tanpa cetakan yang berkualiti tinggi seperti ‘Shakawear’ dan ‘Bayside’ kerana produk premium ini sesuai dengan jenis pelanggan dalam niche saya”.
Accessoriex.
Baca semua ulasan pengguna Gooten.
Mengapa memilih Gooten?
Cuba platform Gooten untuk menjual hiasan rumah tersuai, produk gaya hidup dan produk bayi di pasaran AS atau antarabangsa.
5. Apliiq: Terbaik untuk pakaian tersuai

Jika anda ingin memulakan jenama pakaian dengan fokus pada reka bentuk tersuai, Apliiq ialah laman web cetak atas permintaan yang patut dicuba. Berpangkalan di pusat bandar Los Angeles, platform ini menyokong pelbagai pilihan penyesuaian dengan matlamat membantu pengguna mencipta baju-T dan produk pakaian label peribadi berkualiti runcit.
Peniaga boleh memilih pelan yang merangkumi sehingga 100 label tenunan tersuai yang dijahit pada produk anda. Apliiq juga menyediakan jaminan kualiti dengan pasukan pengeluaran dalaman yang menyemak produk sebelum dihantar.
Bergantung pada model perniagaan pilihan anda, anda boleh menggunakan model perniagaan dropship cetak atas permintaan (Apliiq akan mengurus pembungkusan dan penghantaran) atau membeli secara pukal untuk menyimpan stok sedia untuk dihantar segera.
Ciri-ciri
- Tambah label dan tag berjenama
- Lapisan dalaman, poket, tampalan dan lain-lain yang boleh disuaikan
- Sokongan reka bentuk profesional
Produk
Jenis produk Apliiq yang popular termasuk:
- Baju-t berpoket (reka bentuk pada poket di bahagian dada)
- Jogger premium
- Hoodie dengan cetakan pada lapisan dalaman
- Hoodie kangaroo
- Topi snapback
- Jaket denim
- Pakaian mesra alam
Pencetakan
Anda boleh menambah label jenama sendiri, tag pakaian atau tampalan sulaman untuk mencipta produk berjenama sebenar. Apliiq juga menawarkan cetakan digital, cetakan skrin (untuk pesanan pukal), potong dan jahit, apliké (reka bentuk dijahit sebagai lapisan fabrik berasingan) serta pilihan sulaman.
Penghantaran
Jangkaan masa pemenuhan: Sehingga 7 hari bekerja
Pengeluaran boleh mengambil masa sehingga tujuh hari untuk pesanan. Apliiq menawarkan penghantaran berdasarkan berat, dengan pesanan pukal melebihi $500 (kira-kira RM2,350) dihantar secara percuma di AS. Platform ini juga menghantar ke lebih 150 negara di seluruh dunia, termasuk pasaran seperti Malaysia (lihat halaman penghantaran antarabangsa untuk jadual kadar penghantaran).
Apa kata pengguna
Penilaian pengguna: 4.9/5 (250+ ulasan)
Kualiti produk dan perkhidmatan pelanggan merupakan dua aspek utama yang sering dipuji oleh peniaga Shopify yang menggunakan Apliiq. Pengulas menghargai tahap penyesuaian yang luas serta pengalaman bekerjasama dengan Apliiq yang sering melebihi jangkaan berbanding kebanyakan syarikat POD lain.
“Pengalaman terbaik yang pernah saya ada dengan syarikat percetakan. Saya mahu memastikan cetakan saya menjadi seperti yang diharapkan, jadi saya menempah panggilan video dengan mereka (sangat jarang syarikat menawarkan layanan sebegini) dan menjalani sesi perbualan yang sangat meyakinkan serta terperinci dengan kakitangan/pereka di Apliiq. Beg tote itu terhasil dengan sangat baik.”
JanelleJacquelineArt.
Baca semua ulasan pengguna Apliiq.
Mengapa memilih Apliiq?
Sesiapa yang ingin membina jenama pakaian premium patut mencuba Apliiq terutamanya jika anda ingin membeli secara pukal untuk menyimpan stok sedia ada.
Jika anda ingin memberi tumpuan pada pakaian, ketahui cara menjual baju-t cetak atas permintaan dengan strategi terperinci untuk kategori produk ini.
6. Spreadconnect: Terbaik untuk pemprosesan pesanan yang pantas

Dimiliki oleh Spreadshop, Spreadconnect adalah antara platform cetak atas permintaan yang paling pantas dari segi masa pemenuhan: 95% pesanan dihantar dalam tempoh 48 jam.
Walaupun Spreadconnect menawarkan pilihan produk yang lebih kecil berbanding syarikat lain, platform ini unggul dari segi harga yang kompetitif serta model penghantaran yang mudah dan caj berdasarkan jumlah nilai pesanan, sekali gus menjadikan platform ini pilihan yang baik untuk peniaga yang ingin melaksanakan strategi penghantaran yang menggalakkan peningkatan jualan tambahan (upsell) dan jualan silang (cross-sell).
Ciri-ciri
- Pemenuhan pesanan pantas dalam tempoh 48 jam
- Struktur harga yang kompetitif
- Kos penghantaran mudah berdasarkan nilai pesanan
- Diskaun 20% untuk pesanan sampel
Produk
Pilihan Spreadconnect termasuk:
- Baju-T organik premium
- Apron boleh laras
- Topi besbol
- Cawan perkhemahan
- Stoking krew
Pencetakan
Spreadconnect menawarkan cetakan digital terus, sublimasi terma, pemindahan digital, pemindahan laser dan fleks khas bergantung pada produk yang ingin anda cipta.
Penghantaran
Jangkaan masa pemenuhan: Dalam masa 48 jam (dari AS)
Penghantaran bermula pada $3.65 (kira-kira RM17.20) untuk pesanan domestik dengan kos berdasarkan jumlah nilai pesanan. Kadar penghantaran terperinci boleh didapati menggunakan kalkulator penghantaran Spreadconnect.
Apa kata pengguna
Penilaian pengguna: 3.6/5 (120+ ulasan)
Peniaga Shopify yang menggunakan Spreadconnect kagum dengan pemenuhan dua hari untuk kebanyakan produk. Pengulas juga menyukai ciri penyesuaian untuk mereka bentuk grafik produk dengan mudah.
“Kualiti produk sangat baik, pilihan yang sangat banyak, proses muat naik reka bentuk yang mudah dan format pembayaran yang sangat lancar.”
Hiwez Illustrations.
Baca semua ulasan Spreadconnect.
Mengapa memilih Spreadconnect?
Spreadconnect sesuai untuk mereka yang baru memulakan perniagaan dan mahukan platform cetak atas permintaan dengan pemenuhan pantas serta proses penghantaran yang ringkas.
7. CustomCat: Terbaik untuk komuniti penjual

CustomCat menawarkan katalog besar dengan lebih 550 produk, bersama alat yang mudah digunakan serta masa pemenuhan yang pantas. Untuk pengguna tetap, pelan berbayar menawarkan diskaun merentasi keseluruhan rangkaian produk.
Ciri-ciri
- Alat reka bentuk yang mudah digunakan
- Harga kompetitif dan pemenuhan pantas
- Pelan berbayar pilihan untuk diskaun tambahan
Produk
Kategori produk CustomCat yang popular termasuk:
- Baju-T
- Seluar sukan
- Selongsong komputer riba
- Aksesori haiwan peliharaan
- Barang kemas
- Barangan minuman
- Jaket dan seluar windbreaker
- Jersi
Pencetakan
Pilihan pencetakan termasuk cetakan terus pada pakaian, sublimasi, resapan pewarna 3D dan sulaman.
Penghantaran
Jangkaan masa pemenuhan: 2 hingga 3 hari
Pesanan dihasilkan di AS dan sedia untuk dihantar dalam tempoh dua hingga tiga hari bekerja. Selepas itu, penghantaran domestik mengambil masa kira-kira satu hingga tujuh hari bekerja, manakala penghantaran antarabangsa mengambil masa sekitar empat hingga 15 hari.
Penghantaran domestik CustomCat ke AS berharga $4.99 (kira-kira RM23.45) untuk item pertama dan $1.50 (kira-kira RM7.05) untuk setiap item tambahan. Rujuk polisi penghantaran rasmi pada laman web untuk maklumat lanjut.
Apa kata pengguna
Penilaian pengguna: 4.4/5 (100+ ulasan)
Peniaga Shopify yang mencuba CustomCat memuji sokongan pelanggan yang responsif. Mereka juga menonjolkan komuniti Facebook peniaga CustomCat yang aktif sebagai sumber berguna untuk pengguna baharu cetak atas permintaan.
“Saya telah menggunakan CustomCat sebagai penyedia POD kami selama kira-kira dua tahun dan sangat berpuas hati dengan kualiti produk serta perkhidmatan yang diberikan. Apabila terdapat isu dengan sesuatu pesanan, pasukan sokongan mereka segera menyelesaikan masalah saya. Saya berasa sangat yakin dengan produk yang saya tawarkan pada kedai dalam talian saya.”
REGALODETI.
Baca semua ulasan CustomCat.
Mengapa memilih CustomCat?
Jika anda memerlukan perkhidmatan cetak atas permintaan dengan pilihan produk yang luas, cuba CustomCat.
8. Teelaunch: Terbaik untuk produk unik

Teelaunch ialah rakan kongsi ideal jika anda ingin mencipta pakaian harian serta item premium yang unik. Platform ini menawarkan pelbagai produk pada harga yang menarik termasuk gajet seperti pembesar suara Bluetooth. Selain itu, alat mockup mereka membantu anda menghasilkan imej pemasaran yang profesional, lengkap dengan foto gaya hidup untuk sesetengah item.
Ciri-ciri
- Penjana mockup yang mudah digunakan
- Alat pemperibadian untuk reka bentuk tersuai
- Harga kompetitif
Produk
Teelaunch menawarkan gabungan pelbagai jenis produk. Kategori popular termasuk:
- Baju-T
- Set kanvas tiga panel
- Cawan bertukar warna
- Beg tangan monogram
- Belon
- Beg galas Penryn
- Kasut lari
- Pembesar suara Bluetooth
- Mangkuk makanan anjing
- Barang kemas
- Sarung iPhone
- Pengecas telefon
- Jurnal
Pencetakan
Produk Teelaunch boleh disesuaikan dengan cetakan seluruh permukaan serta potong dan jahit. Produk seperti tumbler dan papan pemotong juga boleh diukir menggunakan laser.
Penghantaran
Jangkaan masa pemenuhan: 3 hingga 6 hari
Pengeluaran mengambil masa tiga hingga enam hari bekerja, selepas itu pesanan sedia untuk dihantar dari kemudahan di AS, Kanada atau UK. Kos penghantaran bergantung pada produk dan destinasi. Rujuk halaman produk dan maklumat penghantaran Teelaunch untuk butiran lanjut.
Apa kata pengguna
Penilaian pengguna: 4.3/5 (100+ ulasan)
Peniaga Shopify menyatakan bahawa tawaran produk unik Teelaunch meningkatkan penglibatan kedai mereka, dengan item seperti seni dinding logam dan papan pemotong berukir laser menerima maklum balas pelanggan yang positif serta pembelian berulang. Namun, sesetengah pengguna melaporkan isu pada kemaskinian aplikasi terbaharu yang dikatakan memadamkan data kedai mereka.
“Saya telah menggunakan aplikasi Teelaunch selama kira-kira 1 1⁄2 tahun dan mengesyorkan aplikasi serta pasukan perkhidmatan pelanggan Teelaunch. Untuk POD, saya kebanyakannya menggunakan Teelaunch untuk seni dinding logam dan papan pemotong berukir laser. Pelanggan saya sangat memuji kedua-dua produk ini!”
Amazing Faith Designs.
Baca semua ulasan Teelaunch.
Mengapa memilih Teelaunch?
Peniaga yang mencari laman web cetak atas permintaan serba boleh dengan rangkaian produk yang luas patut mempertimbangkan Teelaunch.
9. ShineOn: Terbaik untuk barang kemas tersuai

ShineOn ialah syarikat cetak atas permintaan yang popular dalam kalangan penjual hadiah dan cenderamata. Platform ini memberi tumpuan kepada produk barang kemas boleh suai, membolehkan anda mereka bentuk ratusan produk termasuk rantai leher, jam tangan berukir dan hiasan akrilik.
Salah satu kelebihan ShineOn ialah pustaka UGC (Kandungan Dijana Pengguna) yang memaparkan video pemasaran media sosial hasil produksi dalaman. Dengan kos tambahan, anda boleh memesan video reaksi dan klip unboxing yang menampilkan pelakon menggunakan produk tersuai anda. Dengan narasi yang disertakan, kandungan ini menjadikan kandungan Instagram dan TikTok anda lebih asli dan meyakinkan.
Ciri-ciri
- Pelbagai barang kemas boleh suai
- Video pemasaran tersuai
- Penghantaran dari AS
Produk
Katalog produk ShineOn termasuk:
- Barang kemas grafik
- Barang kemas dengan kad mesej
- Produk berukir
- Rantai leher nama tersuai
- Produk akrilik
- Seni dinding
- Barangan rumah
- Produk kulit
- Beg
- Produk mainan
Penghantaran
Jangkaan masa pemenuhan: 1 hingga 4 hari bekerja
Produk biasanya siap diproses dalam 1 hingga 4 hari bekerja tidak termasuk masa pengeluaran. Semua item dihantar dari AS, jadi tempoh penghantaran ke lokasi antarabangsa, termasuk Malaysia, mungkin berbeza berbanding pembekal lain.
Untuk butiran lanjut tentang kadar dan garis masa penghantaran, lawati halaman penghantaran ShineOn.
Apa kata pengguna
Penilaian pengguna: 4.6/5 (400+ ulasan)
Peniaga Shopify memuji ShineOn dari segi kualiti barang kemas boleh suai dan aplikasi Shopify yang boleh dipercayai. Platform ini turut dipuji kerana sumber pembelajaran melalui POD University yang membantu peniaga mengembangkan perniagaan mereka. Peniaga juga menghargai pembungkusan pesanan pelanggan yang teliti.
“Produk pertama yang saya beli dari sini dihantar tanpa sebarang masalah. Harga sangat berpatutan dan aplikasi juga sangat mudah digunakan.”
A to Z Jewelry Box.
Baca semua ulasan ShineOn.
Mengapa memilih ShineOn?
Untuk penjual yang ingin melancarkan atau mengembangkan kedai barang kemas, ShineOn menyediakan pelbagai produk serta kandungan pemasaran media sosial profesional. Platform ini sesuai untuk penjual di Malaysia yang menyasarkan pelanggan antarabangsa.
10. JetPrint: Terbaik untuk jam tangan tersuai

JetPrint merupakan antara syarikat cetak atas permintaan yang menumpukan pada produk aksesori seperti jam tangan dan kasut. Platform ini turut menawarkan penghantaran antarabangsa ekspres, sekali gus menjadikan platform ini pilihan menarik untuk penjual yang ingin memenuhi pasaran global.
Apabila anda mereka bentuk produk di JetPrint, platform ini bukan sahaja memproses reka bentuk anda tetapi juga menjana set lengkap foto produk profesional yang memaparkan pelbagai sudut dan butiran. Cara ini memudahkan anda mempamerkan produk secara dalam talian.
Ciri-ciri
- Penghantaran antarabangsa secara ekspres
- Pemprosesan pesanan automatik dengan tempoh semakan sebelum pembayaran
- Mockup profesional dan spesifikasi produk terperinci dijana secara automatik
Produk
JetPrint menawarkan beberapa item unik:
- Jam tangan tali kulit dan keluli
- Jam tangan kalendar kekal
- Selongsong telefon keras
- Baju-t
- Tapestri dinding
Pencetakan
JetPrint memfokuskan jam tangan, dengan keupayaan mencetak reka bentuk tersuai pada muka jam.
Penghantaran
Jangkaan masa pemenuhan: 5 hingga 7 hari
Purata masa pengeluaran antara lima dan tujuh hari bekerja. JetPrint menawarkan penghantaran global dengan anggaran masa ketibaan sekitar 12 hingga 15 hari, atau kurang daripada seminggu dengan penghantaran ekspres. Untuk mendapatkan maklumat penghantaran dengan lebih terperinci, rujuk halaman Soalan Lazim penghantaran JetPrint.
Apa kata pengguna
Penilaian pengguna: 3/5 (90+ ulasan)
Secara keseluruhan, peniaga Shopify memberikan maklum balas positif terhadap JetPrint, khususnya daripada segi rangkaian produk yang unik termasuk jam tangan dan aksesori lain. Pengguna juga menghargai harga yang kompetitif serta sokongan pelanggan yang responsif.
“Kami sangat menyukai platform ini. Mudah untuk mereka bentuk dan menghasilkan produk, serta menawarkan pilihan produk yang hebat.”
Kim's Signature Beauty.
Baca semua ulasan JetPrint.
Mengapa memilih JetPrint?
Jika anda ingin menambah produk tersuai seperti jam tangan pada kedai anda, JetPrint ialah pilihan yang sesuai.
11. AOP+: Terbaik untuk percetakan dalaman

AOP+ mencetak semua produk secara dalaman, memastikan setiap item memenuhi standard kualiti yang tinggi. Hal ini termasuk cetakan seluruh permukaan untuk produk yang boleh disesuaikan sepenuhnya.
Platform ini beroperasi secara global dengan pusat pemenuhan di AS, Eropah dan UK, dan boleh digunakan oleh penjual dari Malaysia untuk pasaran antarabangsa.
Ciri-ciri
- Pencetakan dalaman untuk jaminan kualiti
- Slip pembungkusan tersuai disertakan dalam pesanan
- Diskaun dan pilihan penjenamaan dengan pelan berbayar
Produk
Produk AOP+ yang popular termasuk:
- Baju-T
- Cawan
- Bantal hiasan
- Legging
- Beg tote organik
- Selongsong telefon keras
- Gaun hoodie
- Selipar
- Alas kaki pintu
- Bendera
Pencetakan
AOP+ memfokuskan cetakan sublimasi pewarna, cetakan seluruh permukaan dan cetakan terus pada pakaian.
Penghantaran
Jangkaan masa pemenuhan: 3 hingga 5 hari
AOP+ mengendalikan penghantaran dari pusat pemenuhan di AS, Eropah, dan UK. Kos penghantaran bergantung pada produk, dengan diskaun untuk item tambahan dalam pesanan yang sama. Platform ini sesuai untuk penjual di Malaysia yang menyasarkan pelanggan antarabangsa. Ketahui kadar penghantaran terkini AOP+ ke AS serta perubahan kadar umum.
Apa kata pengguna
Penilaian pengguna: 4/5 (20+ ulasan)
Secara keseluruhan, peniaga Shopify memberikan ulasan positif terhadap AOP+, khususnya dari segi kualiti cetakan, pengeluaran yang cekap dan penghantaran yang boleh dipercayai.
“Pilihan produk AOP dan perkhidmatan pelanggan sangat baik. Mereka juga menguruskan pesanan biasa serta pesanan berskala besar melebihi 100 unit dengan mudah. Semua ulasan pelanggan untuk pesanan AOP kami mendapat lima bintang, tanpa sebarang aduan.”
Baca semua ulasan AOP+.
Mengapa memilih AOP+?
Jika anda mengutamakan kualiti dan ingin bekerjasama dengan syarikat cetak atas permintaan berskala lebih kecil yang mencetak produk secara dalaman, AOP+ ialah pilihan yang sesuai.
Bagaimana syarikat cetak atas permintaan terbaik dipilih
Syarikat cetak atas permintaan yang dipaparkan dalam artikel ini dipilih berdasarkan kriteria yang paling penting kepada penjual. Setiap perkhidmatan dinilai berdasarkan enam faktor utama, berpandukan maklum balas daripada peniaga Shopify yang mempunyai pengalaman langsung menggunakan platform tersebut.
Kualiti produk
Kualiti produk merupakan antara faktor terpenting dalam memilih syarikat cetak atas permintaan. Peniaga Shopify melaporkan bahawa syarikat yang disenaraikan dalam artikel ini secara konsisten menghasilkan produk yang memenuhi jangkaan pelanggan dan membantu mengekalkan kualiti jenama mereka.
Kelajuan pemenuhan
Masa pengeluaran dan penghantaran yang pantas memainkan peranan penting dalam memastikan kepuasan pelanggan. Berdasarkan maklum balas peniaga Shopify, perkhidmatan yang dipilih mengekalkan masa pemenuhan yang singkat, dengan sesetengah syarikat mampu menghasilkan produk tertentu dalam tempoh kurang daripada dua hari.
Kepelbagaian produk
Sama ada anda menjual baju-t, cawan atau hadiah unik, katalog produk yang pelbagai dapat membantu kedai anda menonjol. Syarikat yang disenaraikan menawarkan pelbagai pilihan produk merentasi pelbagai niche, memudahkan anda mencari produk yang sesuai untuk perniagaan anda.
Pilihan penghantaran
Penghantaran yang cekap dan boleh dipercayai amat penting. Penilaian ini mengutamakan syarikat yang terkenal dengan perkhidmatan penghantaran domestik dan antarabangsa yang lancar, supaya produk dapat sampai kepada pelanggan tepat pada masanya.
Sokongan penjual
Sokongan yang baik amat membantu penjual, terutamanya apabila berdepan isu seperti pesanan yang tidak diterima atau proses pemulangan. Peniaga Shopify mendapati syarikat yang dipilih menawarkan khidmat pelanggan yang responsif dan membantu menyelesaikan masalah dengan cepat.
Ulasan pengguna
Pengalaman pemilik kedai yang menggunakan aplikasi cetak atas permintaan secara aktif turut diambil kira. Maklum balas daripada peniaga Shopify, termasuk ulasan positif dan negatif menjadi antara pertimbangan utama dalam penyediaan senarai ini.
Mencari rakan kongsi cetak atas permintaan yang tepat
Syarikat cetak atas permintaan menawarkan cara yang mudah dan berisiko rendah untuk memulakan perniagaan dalam talian. Dengan rakan kongsi POD yang boleh dipercayai dan produk yang memenuhi jangkaan pelanggan, anda mempunyai asas yang kukuh untuk membina jenama runcit sendiri.
Walaupun banyak syarikat cetak atas permintaan menawarkan perkhidmatan yang hampir serupa, setiap satu mempunyai kelebihan tersendiri. Oleh sebab itu, penting untuk memilih rakan kongsi yang paling sesuai dengan keperluan perniagaan dan pelanggan anda. Semasa membuat pilihan, pertimbangkan perkara berikut:
- Penghantaran: Berapa lama proses pencetakan dan penghantaran mengambil masa? Bagaimanakah kos penghantaran ditentukan?
- Pencetakan: Apakah teknik pencetakan dan pilihan penyesuaian yang tersedia?
- Ciri unik: Apakah kelebihan yang membezakan syarikat ini daripada pesaing lain?
- Kesesuaian: Siapakah pengguna atau perniagaan yang paling sesuai menggunakan perkhidmatan ini?
- Katalog produk: Apakah jenis produk cetak atas permintaan yang ditawarkan?
Sama ada penjual baharu atau peruncit global, Shopify sesuai untuk semua. Lihat pelan dan harga.
Soalan lazim berkaitan syarikat cetak atas permintaan
Apakah perniagaan cetak atas permintaan?
Perniagaan cetak atas permintaan mendapatkan dan menyesuaikan produk label putih mengikut pesanan bagi pihak individu atau perniagaan lain. Antara produk cetak atas permintaan yang paling biasa termasuk baju-t, cawan, topi besbol dan beg tote.
Bagaimana cara memulakan perniagaan cetak atas permintaan sendiri?
- Pilih produk yang ingin dijual.
- Muktamadkan reka bentuk untuk produk anda.
- Pilih pembekal cetak atas permintaan.
- Hasilkan reka bentuk tersuai untuk produk anda.
- Daftar platform e-dagang seperti Shopify.
- Cipta kedai dalam talian untuk menjual produk anda.
- Pasarkan jenama anda.
Adakah perniagaan cetak atas permintaan popular?
Industri cetak atas permintaan terus berkembang pesat dengan pasaran global diunjurkan antara $57 bilion hingga $103 bilion (kira-kira RM268 bilion hingga RM555 bilion) menjelang 2033–2034 dengan kadar pertumbuhan tahunan purata sekitar 23% hingga 24%. Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan yang semakin meningkat terhadap produk tersuai, perkembangan ekonomi pencipta kandungan, serta teknologi dan keupayaan pemenuhan POD yang semakin baik.
Adakah perniagaan cetak atas permintaan menguntungkan?
Walaupun model perniagaan cetak atas permintaan mungkin menawarkan margin keuntungan yang lebih rendah berbanding pembelian pukal, anda masih boleh menetapkan harga produk bagi memastikan keuntungan anda. Dengan mengambil kira kos yang dikenakan oleh pembekal semasa menentukan harga jualan, perniagaan cetak atas permintaan boleh menjadi model perniagaan yang menguntungkan.
Bagaimana cara menetapkan harga produk cetak atas permintaan?
- Kira kos setiap produk termasuk reka bentuk, pengeluaran, penghantaran, cukai dan yuran platform.
- Tambah margin keuntungan untuk menentukan harga runcit.
- Ambil kira perbelanjaan lain seperti pemasaran dan pengiklanan.
- Tentukan jumlah pesanan minimum yang diperlukan untuk menampung kos bulanan berdasarkan margin keuntungan anda.
- Tetapkan harga produk yang merangkumi semua kos dan masih memberikan keuntungan.

